Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.
Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.
Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini. Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.
Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.
Ads
Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.
Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.
Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.
Ads
Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rumah rakit ini.
Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.
Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rumah rakit ini aplikasi micro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.
Ads
Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.
Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.
Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.
Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Paloh, laluan kapal, Zon ZE, Port Klang, Selat Melaka, Pintu Gedung dan line menotok merupakan panggilan lokasi memancing secara sekitar area Selangor membawa ke arah Melaka.
Kawasan pesisir pantai ini adalah sebahagian unjuran laluan Selat Melaka yang paling menyempit.
Teknik berhanyut adalah paling efektif kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di kawasan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Walau apa pun istilah yang disebut, kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah,
kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Pada trip ulangan ini cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali pintu air Pulau Pintu Gedung.
Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup.
Umpan hidup dari hasil apollo lebih diperolehi namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama masih diterajui sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir maksima tatkala permukaan laut mendatar.
15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung.
Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa. Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintas Pelabuhan Klang menuju ke arah selatan.
Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar.
Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing.
Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai.
Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka.
Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja.
Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang. Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan.
Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan.
50% kadar hook up masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000 HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari kedudukan pada larian awal ikan.
Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan.
Ikan bermasalah, itulah yang digelar kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan.
Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar.
Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika.
Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang.
Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi. Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja.
Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin lemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak.
Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira gasak atau digasak.
Kumpau itu sesuatu yang indah untuk dikenang tetapi pahit untuk ditelan.
Di dalam industri memancing amnya dan kolam pancing komersial khususnya, sumber kewangan atau dana besar sahaja tidak menjamin keupayaan sesebuah kolam pancing komersial untuk kekal beroperasi.
Begitulah yang dibuktikan oleh seorang pemancing dan pengurus kolam memancing, Kolam Memancing Bezz Aquaculture, yang terletak di Guar Jentik, Perlis. Berbekalkan sedikit ilmu akuakultur sepanjang bekerja dengan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian atau MARDI dan menjadi seorang pemancing kolam selama beberapa tahun Rohairy Rohim, 32 berupaya ‘menghidupkan’ kembali kolam pancing air tawar komersial yang pernah ditinggalkan oleh beberapa orang pengusaha sebelumnya.
“Saya masih seorang pemancing kolam, jadi saya tahu apa yang diinginkan oleh pemancing kolam kerana pemancing kolam ini ada pelbagai ragam dan kemahuan,” ujar Rohairy yang turut dikenali sebagai Bezz semenjak dari zaman persekolahan.
Berikutan daripada itulah Rohairy bukan sekadar menghidupkan kembali kolam pancing tersebut sebaliknya berjaya memeriahkannya berbanding pengurusan-pengurusan terdahulu.
Semenjak mengambil alih pengurusan kolam pada Mac 2015 yang lalu, Kolam Memancing Bezz Aquaculture kini menempatkan lebih 18 tan ikan pelbagai spesies dan didominasi oleh spesies tempatan. Selain dihuni oleh spesies patin tempatan paling berat sehingga 17 kilogram, ia turut dikongsi oleh spesies patin Mekong melebihi berat 20 kg sebanyak 13 ekor.
Spesies lain seperti tongsan, pacu dan khusus peminat pancingan rohu turut tidak diketepikan. Kolam pancing berkeluasan sekitar 100 meter x 40 meter ini di dalam kawasan kebun getah ini memiliki kedalaman tidak sekata antara 6 hingga 10 kaki.
Konsep pancingan di Kolam Memancing Bezz Aquaculture amat ringkas dan mesra pemancing. Dengan yuran bayaran memancing RM 25 untuk tempoh 3 jam pertama dan RM 7 untuk tambahan setiap jam berikutnya.
Para boleh pemancing boleh berkunjung ke sini setiap hari bermula jam 9 pagi hingga kecuali pada hari Jumaat, kolam mula beroperasi pada jam 3 petang hingga 3 pagi. Selain menyediakan ranking ikan terberat dua minggu sekali, pihak kolam turut menyediakan hadiah khas bagi spesies tertentu yang berjaya didaratkan.
Revolusi penghasilan jam & meter teksi kepada kekili pancing
Syarikat yang pada asalnya bernama AB Urfabriken ini mula-mula ditubuhkan pada tahun 1921 oleh Carl August Borgstrom di Blekinge, Sweden.
Nama syarikat ini bermaksud “The Watch Factory, LTD“ merupakan sebuah syarikat pembuatan yang memfokuskan kepada pembuatan jam dan meter teksi.
Namun, anak kepada pemilik asal iaitu Gote Borgstrom merupakan seorang pemancing tegar kemudiannya menukar haluan syarikat ini kepada pembuatan kekili ketika Perang Dunia ke-2.
Tahun 1941 merupakan tahun di mana kekili ABU Record diperkenalkan. Pada tahun 1952, kekili Red Ambassadeur diperkenalkan dalam pameran dunia di New York.
Kemudiannya, syarikat pancing terbesar di US, Garcia Corporation mula mengimport dan memasarkan banyak kekili buatan ABU termasuk kekili Ambassadeur yang terkenal.
Ketika itu, Garcia merupakan peneraju dalam industri barangan pancing termasuk memasarkan kekili Mitchell 300 dari Perancis.
Awal 1950-an memperlihatkan ABU memperkenalkan beberapa siri kekili dan produk pancing lain. ABU 444, kekili spinning pertama buatannya diperkenalkan pada 1955.
Bermula 1957, syarikat ini juga menjadi terkenal dengan kekili spincast iaitu The Abumatic – yang dilengkapi dengan beberapa inovasi kejuruteraan yang dipertingkatkan.
Kekili spinning terkenal buatan ABU iaitu Cardinal pula mula diperkenalkan pada tahun 1965.
Pada tahun 1971, anak kepada Gote iaitu Lennart mengambil alih perniagaan ABU daripada bapanya. Gote kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1974.
Dalam tahun 1984, nama syarikat ini ditukar daripada ABU kepada ABU Garcia oleh kerana nama Garcia lebih dikenali oleh kebanyakan pemancing Amerika.
Pada 1995, Abu Garcia dibeli oleh Berkley, Inc. dan The Outdoor Technologies Group (OTG) pula ditubuhkan.
Pada 1999, OTG menukar namanya kepada Pure Fishing. Hari ini, kilang pembuatan kekili di Blekinge masih menghasilkan kekili klasik Ambassadeur serta kekili generasi baru
baitcasting terkenal iaitu siri Revo, yang telah melakukan revolusi dalam rekaan kekili baitcast hari ini.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...