Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Klang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini. Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak. Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Ads
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat. Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Ads
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan. Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Ads
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka. Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan. Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Terdapat pelbagai jenis gewang atau umpan tiruan di pasaran. Pada asasnya cara penggunaan gewang adalah hampir sama saja iaitu perlu digerakkan untuk mendapatkan aksinya. Walau bagaimana pun setiap gewang perlu dimainkan dengan aksi karauan tertentu untuk membolehkannya beraksi dengan lebih hidup.
Floating Crankbait
Lakukan karauan beberapa saat, kemudian berikan sedikit masa supaya gewang terapung ke permukaan sedikit dan lakukan kembali karauan. Boleh juga dengan kombinasi sentapan hujung joran ke kiri atau kanan ketika karauan.
Tempo karauan: Perlahan atau sederhana
Sinking Crankbait
Boleh terus mengarau kekili apabila gewang jatuh ke permukaan air atau tunggu beberapa saat supaya gewang tenggelam dan baru mengarau kekili untuk mencapai tahap kedalaman yang lebih.
Tempo karauan: Perlahan atau sederhana
Sinking Minnow
Boleh terus melakukan karauan apabila gewang jatuh ke air atau tunggu beberapa saat agar gewang tenggelam untuk mencapai tahap kedalaman yang dikehendaki.
Tempo karauan: Sederhana atau cepat
Popper
Apabila gewang jatuh ke permukaan air, tunggu 5-10 saat kemudian tegangkan tali. Lakukan sentapan hujung joran ke bawah dengan pantas. Kemudian gulung tali masuk ke spool. Ulang proses yang sama sambil memberi sedikit masa bagi setiap kali sentapan. Ia juga boleh ditarik secara terus sesekali untuk menaikkan kemarahan ikan.
Tempo karauan: Sederhana atau perlahan.
Spinnerbait
Setelah melontar gewang ke spot dan mencecah permukaan air, terus lakukan karauan tanpa perlu melakukan sebarang aksi tambahan. Ia juga boleh dimainkan di sub permukaan dan dasar lubuk.
Tempo karauan: Perlahan atau sederhana.
Soft Frog
Boleh dimainkan dengan cara karauan perlahan, atau dengan kombinasi menyentap sedikit ke atas atau ke bawah. Di kawasan perairan tanpa lumut atau rumpair, ia juga boleh dimainkan dengan karauan sederhana laju.
Tempo karauan: Perlahan dan sederhana
Spoon
Boleh terus mengarau kekili ketika spoon jatuh ke permukaan air atau membiarkannya hingga mencecah dasar. Boleh mengarau kekili secara statik atau dengan kombinasi berhenti sesaat (stop and go) dengan sentapan hujung joran ke atas ke bawah.
Tempo karauan: Sederhana atau cepat
Bucktail jig
Tunggu sehingga gewang mencecah dasar, tegangkan tali kemudian karau perlahan disertai dengan sentap hujung joran ke atas secara berterusan.
Tempo karauan: Perlahan
Jump frog
Terus saja mengarau kekili apabila gewang menyentuh permukaan air, perlahankan sedikit tempo jika banyak sambaran agar ia berada lebih lama dalam strike zone.
Tempo karauan: Perlahan, sederhana atau cepat
Stickbait
Terus saja melakukan karauan perlahan seraya sentapan hujung joran ke bawah secara konsisten. Ia akan menghasilkan gerakan zig-zag atau walk the dog pada gewang. Ia juga boleh dimainkan dalam zon sub permukaan air.
Tempo karauan: Sederhana atau cepat
Micro Jig
Tunggu sehinga gewang menyentuh dasar dan tegangkan tali. Lakukan karauan sambil sentapan hujung joran ke atas beberapa kali sehingga gewang sampai ke permukaan. Lepaskan tali agar gewang tenggelam dan ulangi proses yang sama.
Tempo karauan: Perlahan, sederhana atau cepat.
Kicking Frog
Segera melakukan karauan sedang Tempo yang sesuai apabila gewang mencecah permukaan air. Perhatikan renangan kaki gewang untuk mendapatkan Tempo karauan yang sepadan.
Tempo karauan: Sederhana
Grub Softlure (Soft Plastic)
Tunggu sehingga gewang tenggelam dan ia perlu dimainkan di dasar. Lakukan sentapan joran ke atas sebanyak 2-3 kali bagi setiap satu karauan penuh.
Tempo karauan: Perlahan atau sederhana
Pencil
Terus saja melakukan karauan perlahan seraya sentapan hujung joran ke bawah secara konsisten. Ia akan menghasilkan gerakan zig-zag atau walk the dog pada gewang.
Tempo karauan: Sederhana atau cepat
Weedles Bottom Soft Plastic Lure
Tunggu sehingga gewang mencecah dasar, lakukan karauan dengan kadar perlahan sambil sesekali lakukan sedikit sentapan ke atas pada hujung joran.
Padang pancing atau port utama sasaran pemancing pantai, kaki tebing dan game biasanya berdasarkan tangkapan mega. Selain itu pantai tersebut sebaiknya tidak berarus dan kawasan yang landai. Berikut merupakan spot atau port pilihan ramai surfcaster termasuklah juga pantai yang biasanya diadakan pertandingan.
Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.
Pantai Teluk Ketapang merupakan salah satu pantai yang menjadi tarikan utama pelancong di Kuala Terengganu. Pantai yang terletak kira-kira 4 km dari Kampung Wakaf Tembesu dan berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini menjadi tarikan utama pelancong tempatan dan luar kerana keadaan pantainya yang cantik dan bersih.
Pengunjung yang datang ke sini boleh mengikuti aktiviti menunggang kuda, memancing dan bermain layang-layang. Selain dari taman permainan, pondok rehat juga banyak disediakan untuk kemudahan pengunjung berehat & berkelah bersama keluarga.
Pantai Teluk Lipat, Dungun.
Pantai Teluk Lipat yang terletak di daerah Dungun diberi nama kerana kawasannya berteluk dan selalu terhakis apabila datangnya musim monsun timur laut atau tengkujuh. Kawasan berteluk ini telah dibenteng dengan konkrit bagi menghalang hakisan ombak. Ia bermula dari Rumah Pegawai Daerah hinggalah ke kawasan Taman Selera.
Walaubagaimana pun pelancong atau anak tempatan boleh bersantai di kawasan lain kerana pantainya terlalu panjang bermula dari muara Sungai Dungun hinggalah ke Kampung Sura Hujung di mana terletaknya Kampus UiTM Dungun dan terletak pula Banjaran Bukit Bauk dan Pantai Rekreasi Teluk Gadung.
Pantai Kelulut, Marang.
Pantai Kelulut terletak di antara Marang dan Rantau Abang (antara Kuala Terengganu dan Kuantan. Ia terletak di sebelah kiri jalan dan jarak antara Kuala Terengganu ke Pantai Kelulut adalah 17 km). Pantai yang berpasir dan sesuai untuk pengunjung mandi. Pengunjung yang datang ke pantai ini mesti tertarik dengan keindahan dan ketenangan pantai ini.
Pantai ini juga mempunyai keindahan semulajadi seperti pemandangannya yang cantik, pokok kelapa dan dapat menghirup udara yang segar. Di sini juga terdapat perkampungan yang diperbuat daripada kayu yang cantik.
Pantai Nenasi, Pekan.
Nenasi merupakan sebuah bandar kecil di Pahang, Malaysia. Ia terletak di dalam daerah Pekan, separuh jalan antara Kuala Rompin dan Pekan. Nenasi adalah satu kawasan yang bagus untuk aktiviti-aktiviti perkhemahan di pantai. Terdapat paya, sawah-sawah purba, sungai-sungai dan kampung kecil untuk diteroka.
Pantai lama, biasanya bernaung (kecuali dalam bandar Nenasi sendiri) dan hanya satu tempat besar untuk mengail, barbeku, kem, berenang dan tidak berbuat apa-apa. Pantai Batu 16 contohnya merupakan lokasi terbaik untuk mendaratkan tangkapan mega.
Pantai Kuala Pahang, Pekan.
Kuala Pahang merupakan sebuah mukim dan bandar kecil di Sungai Pahang, daerah Pekan, Pahang, Malaysia. Terletak 13 kilometer dari bandar Pekan. Makam diraja Pahang lama terletak di Kampung Marhum, berhampiran dengan kuala ini.
Pantai Kuala Rompin, Rompin.
Kuala Rompin atau Rompin adalah bandar terbesar dalam daerah Rompin, tenggara Pahang, Malaysia. Ia terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia dan menghadapi Laut China Selatan.
Ia terletak kira-kira 133 km (83 mi) dari selatan Kuantan, Ibu Pejabat Pahang. Dari Singapura, pelancong mesti mengembara sejauh 215 km (134 mi) oleh jalan pesisir melalui bandar Johor Bahru dan bandar Mersing.
Dari ibu kota Kuala Lumpur, Kuala Rompin terletak di timur dan kira-kira 3½ jam perjalanan dengan jalan. Pantai Chedoq antaranya merupakan pantai pemburuan pari yang popular.
Pantai Tanjung Sedili, Johor.
Tanjung Sedili ialah sebuah kawasan di daerah Kota Tinggi, Johor, Malaysia. Terletak di muara Sungai Sedili di pinggir Laut China Selatan, kira-kira 40 kilometer dari Bandar Kota Tinggi, kawasan ini dibahagikan kepada tiga kawasan utama, iaitu Tanjung Sedili, Sedili Besar dan Sedili Kecil.
Pantai Puteri, Melaka
Pantai yang dahulunya dikenali dengan nama Pantai Kundor itu bukan lagi asing dalam kalangan pengunjung berbilang kaum daripada pelbagai peringkat usia. Selain suasana pantai yang nyaman, kebersihan serta keindahan Pantai Puteri menjadi antara faktor tarikan utama pengunjung.
Ditambah dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk memancing, riadah, berkhemah dan berkelah, pantai yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar itu aktif dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan terutama setiap kali tibanya hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan.
Pantai Remis, Kuala Selangor.
Pantai Remis Kuala Selangor terletak 20km arah selatan Kuala Selangor iaitu di Sg Sembilang, Jeram yang mana ia merupakan salah satu lokasi eko-pelancongan yang semakin di gemari oleh orang awam.
Di mana, para pengunjung berpeluang berjalan di persisiran pantai sambil menghirup udara segar serta menikmati keindahan alam dan menikmati keenakan makanan laut selain menjalankan aktiviti seperti beriadah bersama keluarga dan kawan-kawan, bermain layang-layang atau mengemudi perahu layar, mencari hidupan laut (sea shell) dan aktiviti memancing.
Pantai tanjung harapan, Klang.
Tanjung Harapan, Pulau Indah merupakan satu lokasi pemandangan tepian pantai berbatu sesuai untuk aktiviti beriadah serta bersiar-siar terutamanya pada waktu petang. Pengunjung juga boleh menjalankan aktiviti-aktiviti seperti menangkap gambar, memancing dan berjoging.
Pada waktu malam pula, disarankan untuk berkunjung ke medan-medan ikan bakar yang terdapat di tepian-tepian pantai disamping menikmati pemandangan indah dan sapaan angin bayu. Tanjung Harapan merupakan antara lokasi popular di daerah Klang yang kerap dilawati terutamanya pada hujung minggu.
Figura untuk kolum Personaliti Umpan pada kali ini menampilkan pemunya nama Azmi Jamaludin. Azmi Jamaludin atau lebih dikenali nama Azmi PT di kalangan pemancing merupakan seorang yang biasa-biasa sahaja jika dipandang sepintas lalu, namun bagi rakan-rakan dalam dunia pancingan Malaysia, Azmi PT cukup dikenali sebagai seorang yang mempunyai pelbagai ilmu dan kemahiran berkaitan pancingan.
Senang cerita ‘Mr. Know It All’. Kerjaya utama sebagai pengusaha kedai pancing secara tidak langsung membolehkan dia terus melibatkan diri dalam lapangan pancing dengan lebih fokus. Malah singkatan nama samarannya iaitu PT juga mengambil nama hasil daripada nama kedai pancingnya sendiri iaitu Pancing Tegar.
CERITA SERVIS KEKILI ELEKTRIK
Azmi PT boleh dikatakan mempunyai banyak ilmu dan kemahiran dalam lapangan pancing. Antara salah satu kemahiran yang agak jarang dimiliki oleh pemancing lain ialah kemahiran servis dan membaiki kekili elektrik atau lebih sinonim dengan terma ‘mesin bangla’.
Ilmu dan kemahiran berkaitan kekili elektrik ini dipelajarinya dengan usaha sendiri berbekalkan semangat inkuiri yang tinggi. Ceritanya bermula ketika dia membuat trip bersama rakan-rakannya dan rakan pemancing ada menyuarakan kesukaran untuk mencari tempat atau individu yang berkepakaran untuk melakukan servis atau membaiki kerosakan kekili elektrik.
Bermula dari situ, Azmi PT mula mempelajari selok belok mekanikal mesin bangla dan mula memberanikan diri untuk melakukan servis kekili elektrik. Kini, setelah hampir setahun menyediakan khidmat servis kekili elektrik, dia tidak menang tangan apabila menerima lebih kurang 60 buah kekili setiap bulan untuk diservis dan dibaiki.
Selain itu, dia juga pernah menjadi tenaga pengajar untuk kelas khas servis kekili elektrik yang berlangsung di Kolej Komuniti setelah mendapat banyak permintaan rakan-rakan pancing untuk mempelajarinya. Secara terbuka, dia menyambut baik program seperti ini, namun beberapa kekangan seperti masa dan modul yang dirasakannya belum lengkap sedikit sebanyak membataskan program ini untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
CERITA LAPANGAN PANCING
Selain daripada hal kekili elektrik, Azmi PT turut mempunyai pelbagai kemahiran dalam lapangan pancing. Tidak hairanlah, figura yang berasal dari Perak ini lebih senang membuka perusahaan kedai pancingnya sendiri sebagai kerjaya utama.
Di kedai pancingnya sendiri iaitu Pancing Tegar Enterprise, dia juga mahir dan berkeupayaan untuk membina rod buatan tangan atau custom rod selain menyediakan khidmat ubahsuai bot untuk pemancing. Malah, Azmi PT sendiri juga turut dikelaskan antara salah seorang tekong pancing di Pelabuhan Klang di mana dia mempunyai 2 buah bot untuk khidmat sewaan pancing di sana.
HARAPAN
Menurut Azmi yang terjun ke dunia pancing sedari kecil ini, dia mengharapkan agar lapangan pancing terus berkembang dengan cara yang tersusun agar terus mapan. Memberi contoh perihal kekili elektrik, “ Apa equipment (peralatan) pancing pun; lebih-lebih lagi yang berharga mahal, seharusnya mempunyai pusat servis untuk menjamin ketahanan kekili (elektrik), seperti kereta juga yang mempunyai pusat servis,” katanya merujuk kepada khidmat servis kekili elektrik.
Begitu pun, dia mengakui kekangan masa dan komitmen peribadi sedikit membataskan dirinya untuk turut serta dalam perkongsian bagi menambahkan bilangan kepakaran dalam khidmat sebegini. Namun, berdasarkan pelan dan komitmennya, tidak mustahil usaha daripada Azmi Jamaludin akan memberi nilai tambah yang besar dalam survival lapangan pancing di Malaysia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...