Setibanya di Pekan, lantas saya terlebih dahulu mengatur pertemuan dengan Abang Razli untuk mendapatkan tip dan petua memancing spesies ikan di Kuala Pahang. Menurutnya, kebiasaannya untuk teknik casting, gewang berwarna terang sering menjadi pilihan di sini. Siakap, alu-alu, kerapu dan kakap merah antara spesies yang mudah diperdaya di sini.

 

Selain itu, Abang Razli turut memberitahu bahawa waktu tengah malam hingga membawa ke awal pagi menjadi menjadi waktu yang paling efektif memburu ikan di Kuala Pahang. Tidak hairanlah rata-rata penduduk tempatan di sini lebih memfokuskan sesi pancingan malam berbanding siang hari.

 

Malam itu, tanpa membuang masa kami terus memulakan sesi casting di sekitar Kuala Pahang. Tumpuan balingan adalah spot berbatu dan juga kawasan berstruktur. Memang agak sukar cubaan pertama saya casting pada waktu malam kerana perlu berhati-hati ketika melangkah, memandangkan batu-batuan berlumut dan berteritip.

 

Menurut Abang Razli, ketika casting pada waktu malam, kesemua deria mestilah peka terhadap kawasan sekeliling, terutama jika mendengar deburan air, kerana besar kemungkinan itu tanda ada sesuatu yang dikejar dan mengejar. Waktu itu, gewang perlu dilontar sehampir mungkin di kawasan tersebut.

Ads

 

Apa saja gewang boleh digunakan namun pilihan utama biarlah ia gewang jenis minnow selaman cetek, bukan selaman dalam kerana ia mudah sangkut.

Perkara yang tidak dapat dielakkan adalah, sedikit sebanyak pasti mendapat `cenderahati’ iaitu parut di tangan dan kaki hasil dari batuan yang berteritip. Mujurlah sebelum ke sini, Abang Razli sudah awal-awal lagi berpesan supaya membawa but getah dan lampu kepala bagi langkah-langkah keselamatan.

 

Hampir 2 jam sesi casting kami di sini tanpa membuahkan sebarang hasil. Benarlah kata Abang Razli petang tadi bahawa tahun itu menyaksikan ikan di Kuala Pahang agak kurang menyambar gewang. Tidak seperti tahun-tahun sebelum yang menyaksikan ikan begitu frenzy dan rajin mengintai gewang yang dicampak.

Ads

 

Akibat kesunyian tanpa sebarang ragutan, kami pun melakukan tour sehingga ke bahagian hujung kuala. Di sini kelihatan begitu ramai pemancing yang mengaplikasi teknik pelampung berumpankan udang hidup. Rupa-rupanya sejak jam 10.00 malam tadi mereka telah berjaya menaikkan siakap dengan teknik ini.

 

Melihat saja keberkesanan teknik pelampung ini lantas kami turut menukar strategi. Walaupun kebanyakan saiz ikan hanya sekitar bawah 1kg saja, namun kekerapan siakap yang berjaya dinaikkan oleh ramai kaki pancing membuatkan saya turut beralih arah dengan teknik ini.

 

Ads

Trip Throwback – Terjah Siakap Kuala Pahang!!

 

Sewaktu air bergerak surut menjadikan keadaan semakin meriah apabila tidak menang tangan semua yang ada di situ bersilih ganti menaikkan siakap dan juga spesies lain seperti kakap merah, kerapu dan ibu gelama. Siakap yang begitu mendominasi hasil tangkapan benar-benar membuktikan bahawa Kuala Pahang menjadi antara kandang siakap yang popular di Pantai Timur.

 

Keesokan harinya saya telah disaji dengan hidangan istimewa dari kedai milik Abang Razli sendiri iaitu tomyam ikan kakap merah dan siakap tiga rasa hasil pancingan malam tadi. Saya yang pertama kali dalam hidup merasa hidangan tomyam ikan benar-benar mengakui bahawasanya memang ia betul-betul ho liau!

 

Sememangnya pengalaman memancing di Kuala Pahang ini banyak memberikan saya pengetahuan baru yang berharga tentang dunia memancing. Sejujurnya saya agak terkilan juga belum dapat merasai tarikan siakap bersaiz monster di sini. Tapi satu hari nanti, bila tiba lagi musim ikan mengamuk di sini pasti saya akan kembali.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI