Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.
Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh seperti kelazimannya. Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta. Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.
Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan. Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk. Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.
Ads
Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan. Begitulah seterusnya yang kami praktik dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.
Ads
Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa. Andaian kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.
Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan. Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.
Ads
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pemancing dan pengilat khususnya.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Memang tidak dinafikan ada kaki pancing yang membuang terus mata kail selepas digunakan kerana tanggapan mereka, jika digunakan selepas ini ia tidak lagi kuat, tidak tajam dan mudah patah. Jika jenis harga murah terpulanglah kepada anda sama ada mahu menggunakannya semula ataupun tidak. Tetapi bagaimana dengan mata kail berharga mahal?
Satu set assist hook (dua mata kail) ada yang berharga hingga puluhan ringgit. Kurang-kurang pun belasan ringgit juga la. Tentu fikir berbelas kali nak dibuang, bukan?
Tahukah anda mata kail tersebut sebenarnya masih lagi boleh digunakan dan berfungsi baik jika anda mengendali dengan baik. Untuk penjimatan juga, adalah lebih baik sebenarnya anda menggunakan mata kail tahan karat.
Ia tahan lama dan selamat digunakan berulang kali. Jika ingin memancing di laut, pilih mata kail yang bertulis saltwater pada bungkusannya kerana ia sememangnya berupaya menahan hakisan air masin.
Cara penjagaan mata kail
Selepas pulang daripada memancing terutamanya di laut (air masin), jangan sesekali lupa untuk bersihkan dan bilas dengan air tawar. Kemudian keringkan di bawah sinaran cahaya matahari.
Selepas dikeringkan, periksa satu persatu mata kail. Perhatikan mana bahagian yang ada tanda karat. Jika ada, gosok dengan kertas pasir. Penting untuk anda menyimpannya dalam kotak pancing anda. Sila amati semula, jika kurang tajam, boleh gunakan kikir halus (handlife) dan asah pada bahagian berkenaan.
Jika mata kail agak berkarat adalah lebih baik anda membuangnya sahaja. Paling penting, mata kail yang telah anda bersihkan ini jangan sesekali dicampurkan ke dalam bekas atau pek mata kail yang masih belum digunakan. Anda perlu menyediakan satu bekas khas untuk mata kail yang terpakai.
Perkara yang sama juga jika anda menggunakan assist hook atau mata kail gewang. Jangan simpan begitu saja gewang-gewang di dalam tackle box selepas digunakan.
Beberapa tahun lalu saya bersama rakan sepejabat Lizam dan Rosol telah berkunjung ke Lubuk Bentan di Grik, Perak. Setibanya di sama, kami telah disambut oleh dua rakan Raihan dan Zubir. Tujuan kami adalah untuk sesi repeat trip setahun sebelumnya.
Setelah siap segala bekalan khemah serta makanan, jam 10 pagi kami memulakan perjalanan merentas hutan serta sungai menuju ke lubuk sasaran yang memakan masa dua setengah jam perjalanan kaki.
Setelah beberapa kali berhenti rehat kami tiba ke destinasi jam 1 petang. Saya mengambil kesempatan berehat sebentar sambil melihat keadaan sekeliling yang amat memperson dengan keindahan alam ciptaan Ilahi, kejernihan air sungai serta kesejukannya bak air baru keluar dari peti sejuk.
Setelah hilang penat, kami membersihkan kawasan serta membuat persiapan memasang khemah dan tempat memasak. Kemudian kami terus memulakan aktiviti memancing.
Kelihatan Raihan melintas sungai untuk mencari port yang baik dengan bertenggek di atas pokok dekat dengan cenuram berhampiran lubuk. Berumpankan cacing yang digali di situ, selang 10 minit Raihan berjaya memperoleh seekor baung akar lebih kurang seberat 300 gram.
Sebahagian dari kami berpecah menuju ke lubuk lain yang memakan masa lebih kurang 15 minit berjalan kaki.
Jam menunjukkan hampir 4.00 petang, saya membersihkan diri bersama Lizam dan Rosol. Selesai menunaikan solat jamak saya mengambil kamera digital dan merakamkan gambar Rosol yang sedang mandi.
Ingatkan nak bergurau saja akan tetapi alangkah terkejutnya saya apabila melihat di dalam LCD kamera kelihatan satu makhluk Allah seperti bentuk bola putih dengan urat-urat kecil berjuntaian sedang melayang menuju ke arah Rosol, sedangkan pada pandangan mata kasar ketika saya merakamkan gambar tidak ternampak sebarang objek pun melintas di hadapan saya.
Tak mungkin kamera saya menghadapi masalah kerana satu rakaman sebelum dan selepas foto tersebut tiada pula tertera imej tersebut.
Setelah bertafakur sebentar, saya faham apa yang telah termaktub di dalam Al-Quran bahawa bukan manusia saja makhluk Allah, terdapat juga syaitan dan jin, mungkin kami berada dalam kawasannya dan dijodohkan ia ingin menunjukkan sifatnya kepada saya. Lantas saya memohon kepada Allah agar melindungi kami dari segala bencana kerana tujuan kami hanyalah untuk memancing ikan.
Hampir jam 6 petang barulah kumpulan kami yang menuju ke lubuk lain pulang dengan membawa hasil tangkapan beberapa ekor tengas, baung dan juga terbul. Nasi dimasak untuk makan malam berlauk hasil pancingan ikan tadi. Makan dalam hutan ni tak ada kuah pun tak apa, asalkan ada kicap, cili api serta bawang dan asam limau dan memadai. Lebih-lebih lagi ikan tadi digoreng atau pun dipanggang, 3 pinggan nasi pun boleh habis sekali jalan!
Selepas Maghrib kami meneruskan pancingan. Berbekalkan joran aksi ringan serta tali tangsi 10lb barulah terasa puas melayan tarikan ikan dan hasilnya kami memperoleh lebih kurang 20 ekor baung akar seberat 100 hingga 500gm, tengas kecil dan beberapa ekor ikan lain.
Walaupun kunjungan saya kali ini tidak mendapat rentapan ikan yang bersaiz besar seperti kunjungan sebelumnya, namun saya puas dengan hasil tangkapan yang boleh dikatakan agak lumayan juga.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang. Dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan pelabuhan barat banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalam untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondolkan dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda “Kawasan Larangan Memancing”. Itu juga satu revolusi!!! Dalam erti yang menyakitkan hati.
Pecah Tabung
Sampai bila nak sewa sampan, kalau diikutkan jumlah sewa yang dileburkan selama ini sudah tentu dapat bayar deposit bot dan enjin baru. Kalau nak keluar seketul duit bukan senang, wang simpanan masih sedikit. Sambil buat perancangan mencari sampan dan enjin sendiri. Aktiviti memancing tebing dilebihkan sambil mengurangkan sewa sampan.
Setidak-tidaknya ada sedikit wang untuk merealisasikan impian kemudian hari. Masa berlalu begitu pantas walaupun kadang kala bosan menghantui ketika menunggu sentapan ikan yang tak kunjung tiba.
Memancing adalah kepuasan minda, bukan kepuasan mata, soal dapat ikan atau tidak bukan perkara pokok, yang penting dapat melapangkan fikiran di hujung minggu setelah otak penat bekerja. Maki hamun, tekanan, perasaan marah dan kejengkelan terhadap boss dari Isnin hingga Jumaat dapat dilepaskan selepas jam 1800 Jumaat.
Minda dah ‘free’ sebaik sahaja minggu kerja berakhir. Persiapan dan perancangan dibuat sehari dua sebelum masuk hujung minggu. Contact dengan rakan sekaki dalam dunia pancing turut dibuat bagi merencana perancangan yang telah dibuat.
Sambil memancing, kepala dok asyik fikir bila nak merasa sampan sendiri pula. Pasal lubuk, selok-belok dah tahu serba sedikit Kemahiran mendayung, menjala dan mengemudi enjin sampan juga dipertingkatkan. Tunggu masa sahaja sementara guna sampan sewa.
Pasang Telinga
Memandangkan tabung tak cukup penuh, pasang telinga di sekitar pangkalan mana tahu ada yang hendak jual sampan dengan enjin. Puas menunggu akhir terungkai apabila ada kaki pancing ingin menjual sampan kayu 17 kaki bersalut fiber dengan enjin 15hp.
Harga agak murah ketika itu. Bila dah kemaruk melanda tanpa usul periksa sambar sahaja. Bila selesai urusan jual beli, tak sabar menunggu saat dan waktu pertama kali untuk menggunakan sampan sendiri.
Hari pertama menggunakan sampan sendiri cukup mengujakan. Buat permulaan hanya kawasan berdekatan dengan pangkalan sahaja yang dikunjungi sementara mengilap kemahiran. Semakin lama semakin memberanikan diri bertandang ke lokasi lebih jauh kononnya. Enjin kecil setakat sekitar Pulau Ketam sahaja yang mampu dikecapi.
Lapuk dek panas, kuyup dek hujan sudah lumrah apabila bersampan tiada bumbung berlapik petak kayu lantai usang sehingga kematu bontot. Tapi sudah cukup baik memancing bersama teman. Biasalah bila menggunakan enjin berserta sampan kecil selalu kena potong, lebih marah bila kena potong tang selekoh anak sungai.
Ini tidak boleh jadi suatu hari pasti nak cari sampan yang gadang sikit. Langit tidak selalu cerah apabila lepas satu persatu enjin buat hal. Ini belum masuk kes sampan hampir tenggelam akibat hujan lebat semalaman. Paling bengang ialah apabila semua barang siap dipunggah ke dalam sampan bersedia untuk keluar memancing, start enjin tak nak hidup.
Berpeluh satu badan hingga terpaksa buka baju di tengah panas mengerjakan enjin meragam. Sampai habis separuh tenaga barulah enjin berkepuk-kepuk hidup. Dalam perjalanan sekali lagi ia mati di tengah laluan bot.
Habis kudrat enjin terus diam sehingga terpaksa ditunda balik ke pangkalan oleh kenalan yang kebetulan baru balik memancing. Kopak lagi duit asyik dok membela enjin yang sudah layak masuk muzium.
Sampan akhirnya reput begitu sahaja apabila menanti spare part enjin yang tidak kunjung tiba. Kos baik pulih pula lebih baik dapatkan yang baru. Pecah tabung lagi apabila mangsa seterusnya ialah sampan gentian kaca berukuran 19 kaki dengan injin 25hp berusia lebih dari 4 tahun. Baru ada semangat sikit, enjin baik sampan dah boleh muat bertiga.
Bumbung berlipat mudah alih juga dipasang bagi memutihkan sedikit kulit yang sudah gelap terbakar oleh sinaran cahaya terik. Kata orang dari tetanda dapat pula jenahak, dari sembilang mengintai gemang, selalu gelama sesekali mengintai temerih. Banyak sikit barang termasuk peti ikan, dapur ketika bermalam boleh dimuatkan dalam sampan.
Kalau setakat Pulau Ketam tu mainan sahaja, minyak satu tong pergi balik pun tidak habis. Lepas ini berani meneroka lubuk-lubuk baru hingga ke Pulau Angsa. Pantang dengar sahaja kawasan ada potensi terus diterjah dengan hati kering. Malah rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) juga dilawati dengan enjin 25hp tanpa ada perasaan takut.
Ketika itu berpandukan kompas dan Rumah Api Bukit Jugra sebagai pedoman sahaja. Nak dijadikan rezeki ada kenalan bagi pinjam terus GPS miliknya kerana beliau langsung tak tahu pakai, tahu beli sahaja katanya. Pantang dapat ikan di satu-satu lokasi, kedudukan kordinat berkenaan terus dilog dalam GPS.
Ada GPS tidak akan lengkap kalau tiada sonar. Terpaksalah labur sedikit duit beli sonar hitam putih terpakai asalkan dapat lihat struktur dasar sudah memadai. Ketika itu dah rasa cukup sempurna aktiviti memancing. Pantang ada cuti kawasan Delta Klang dijelajahi bagi memenuhi masa lapang. Sehinggalah enjin 25hp dimamah usia beroperasi, ada tanda-tanda semput.
Beberapa kali turun naik ke bengkel akhirnya tiba waktunya ia terus melekat. Nak baiki mahal, akhirnya timbang kati. Sekali lagi terpaksa menebing sambil memendam rasa sementara mengumpul duit menggantikan enjin yang baru.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...