Trip Trobek – Penghuni Monster Lubuk Kapal Karam

Share

 

Pada kedalaman air 170 kaki dengan bacaan pada kekili elektrik 70 meter, ramai berada di luar kabin bot berhadapan set pancing masing-masing menanti sepanjang malam. Sesekali ada juga sambaran kasar diterima membuatkan cadangan masuk tidur awal ditangguhkan.

 

Seekor siakap merah dan seekor aruan tasik masih bertahan dengan status tangkapan terberat ketika awal malam. Dalam pada itu jig turut dihulurkan kerana tukun bot dan kapal karam kebiasaannya spot terbaik melakukan aktivti jigging.

 

Rashid bersahaja jigging mengena ikan terlebih dahulu dengan seekor cupak. Kemudian beliau disertai Rahmad, Zainal, Zul, Dan menumpukan acara jigging seketika dari menunggu hasil dasar yang jarang-jarang ketika itu. Belum sempat ceria berterusan datang pula spesies yang nakal mencuri kepingan jig. Bila ada cupak, alu-alu tentu datang mencelah.

 

Saat ketika sunyi, set joran pantai yang digunakan penulis pula menerima getuan kecil. Dari getuan kecil, kemudian terasa berat sedikit dan akhirnya joran terus melengkung ke bawah sehingga terbenam sepertiga joran di dalam air.

 

Tanpa buang masa joran terus di pam ke atas biarpun ia masih mencecah sebahagian di dalam air. Ia bertujuan untuk mengekang ikan dari membuat larian ke arah bangkai bot Vietnam. Setelah dipujuk perlahan-lahan akhirnya ikan yang menelan sotong pasar mengalah dan muncul di belakang bot.

 

Kekili Command X-6 yang digunakan berdesing memuntahkan tali, masuk semula dengan bantuan tangan dan ia berterusan sehingga 15 minit berlalu. Akhirnya muncul ikan kerapu gadang menghangatkan suasana seketika. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan bersama kerapu 20 kg tersebut.

 

Tidak lama kemudian Zul yang memancing di belakang bot pula menerima sentapan kasar. Beliau yang tekun menunggu selepas kerapu pertama dinaikkan berpuas hati dengan sekor lagi kerapu berskala 4 kg lebih di penghujung malam.

 

Siang berikutnya tekong memilih untuk memancing ke arah timur lagi kira-kira dua jam dari lubuk pertama. Koordinat berpandukan kepada carta laut yang menunjukkan terdapat satu lagi tanda ‘wreck’. Tempat yang belum pernah dikunjungi tekong dan antara lokasi paling jauh beliau membawa kaki pancing bertandang.

 

Kebiasaannya tertumpu kepada kawasan sekitar 2 jam selepas Pulau Tenggol. Beliau menerima saranan kami untuk mengesan lokasi tersebut yang masih samar-samar kewujudan kapal karam tersebut. Apabila tiba, tiada paparan yang jelas, skrin sonar mendatar sahaja. Bot berpusing-pusing merata dalam radius sehingga 0.5 batu nautika namun belum mengesan sebarang objek luar biasa di dasar.

 

Hampir 30 minit berlalu tekong mengambil keputusan untuk mencuba satu lagi lokasi berikutnya 6.8 batu nautika dari kedudukan kami ketika itu. Menurutnya ia merupakan tapak unjam lama yang ditinggalkan setelah banyak unjam putus dilanggar kapal dagang. Unjam putus tetapi pemberat di dasar menjadi tukun dan pastinya menjadi pilihan untuk ikan dasar bertandang.

 

Tiba di lokasi, perkara pokok ialah mengesan kedudukan sebenar tapak unjam yang diberitakan. Sekali lagi bantuan navigasi dan skrin sonar Furuno digunakan untuk mengesahkan lokasi. Mungkin kerana unjam tidak ditambah sekian lama, dasarnya tidak begitu membukit dan mengujakan. Tiada lagi kelibat kumpulan anak ikan bermain di kawasan sekitar.

 

Kemudian kami memancing sambil berhanyut di kawasan tersebut untuk melihat potensi terlebih dahulu. Set pancing rata-rata teknik apollo berumpan sotong ketika itu banyak memikat ikan kerisi kasar dan beberapa ekor cermin.

 

Tiada kerapu mahupun spesies ikan dasar buruan. Akhirnya tekong mengambil keputusan untuk beredar apabila menyedari kawasan berkenaan tiada potensi untuk memancing. Kadang-kadang elok juga meneroka kawasan pancing baru dari semata-mata bergantung kepada lokasi yang sering dituju.

 

Dalam perjalanan kami ternampak kawanan ikan tongkol bermain di permukaan berhampiran dengan unjam. Lantas set mata rawai ‘mengolok aya’ dihulurkan di belakang bot. Sejam berlalu hanya dua ekor tongkol terpedaya dengan apollo tersebut sebelum bot berlabuh di hadapan unjam berkenaan. Sesi pancing diteruskan menjelang petang. Janji layan sahaja apa juga hasil yang sudi dengan umpan yang dihulur.

 

Seronok juga melayan ikan di kawasan unjam yang dipenuhi dengan kumpulan ikan selar kasar, selayang dan penghuni dasar walaupun kecil. Dalam kesibukan melayan set pancing apollo, kami tersentak seketika apabila melihat sekor ikan melompat ke udara beberapa kali.

 

Sebenarnya joran milik Zul mengena ikan tersebut. Dah lama tak melihat ikan belitung besar membaham umpan selayang yang dilabuhkan. Tersenyum puas Zul apabila akhirnya berjaya menangani daya juang ikan yang enggan mengalah hingga saat-saat akhir. Warna yang begitu cantik di air ini sememangnya boleh dikelaskan sebagai ikan ‘game’ tahap menengah. Daya juang belitung yang bersaiz 5 kg ke atas begitu mengujakan.

 

Tapi hari itu belitung bergerak solo atau yang lain tidak berminat dengan umpan. Begitu juga umpanan tenggiri turut tidak mendatangkan sebarang hasil yang positif.

 

Keseluruhan tempoh memancing yang di lalui oleh geng ini tetap menceriakan, setidak-tidaknya apa juga hasil yang diperoleh bukanlah ukuran utama. Dalam perjalanan pulang, fikiran bermain di benak fikiran mencari waktu yang sesuai untuk bertandang lagi.

IKLAN