Selepas dua bulan merancang, satu trip trekking ke hulu Sungai Terenggan, Tasik Kenyir, lokasi kunjungan terdahulu Mus menjadi kenyataan. Tujuh orang telah terlibat dalam trip yang begitu mengerah kudrat; berjalan kaki sekitar 6-8 jam meredah hutan dan sungai.
Manakala guide semestinya Karim, tekong yang tidak pernah miss dalam pilihan sepanjang tujuh tahun mengenali Tasik Kenyir. Selain Karim, trip kami turut dibantu oleh anak Karim, iaitu Yo.
Kami tiba di campsite kira-kira jam 4 petang, selepas 5 jam mengharungi perjalanan menaiki speedboat dari Jenagor sebelum berjalan kaki menghulu Sungai Terenggan. Lokasi campsite ini, sebenarnya bukanlah campsite yang pernah Mus bermalam dahulu.
Ia sebenarnya masih jauh. Disebabkan kami kesuntukan masa (agak lewat akibat beberapa perkara tidak dapat dielakkan), keputusan bersama telah diambil untuk berkhemah di sini dan esok perjalanan ke sebelah hulu akan disambung.
Sebelum menjelang malam, kebanyakan daripada kami cuba untuk casting di lubuk-lubuk yang dianggap berpotensi.
Ads
Kebanyakan spot memang menarik, tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Saya, Zul dan Mus cuba casting di bahagian bawah campsite, tetapi turut pulang hampa. Hanya sebarau bersaiz remaja dan anak bujuk sudi menyambar gewang.
Selesai sarapan, kami bersiap untuk memulakan trekking ke bahagian hulu. Kami bercadang untuk pergi sejauh mungkin iaitu tiba di port ‘Hulu Berdengung’, lokasi Mus mendapat banyak strike semasa kunjungan tahun lalu.
Hanya Padi dan Ayie yang tidak ikut. Padi yang baru sahaja selesai melakukan pembedahan tumor mengambil keputusan untuk cuba casting di bawah. Manakala Ayie meneruskan pancingan dasar di hadapan khemah selain ditugaskan untuk memasak.
Ads
Perjalanan naik ke hulu memang mencabar. Kami terpaksa meranduk air yang deras dan penuh dengan batu-batu licin. Jika meredah hutan pula, ada kalanya trek baru terpaksa dibuat, kerana trek lama langsung tidak kelihatan. Mujurlah, kami tidak membawa beban beg seperti hari semalam.
Ujar Karim, di bahagian hulu ini, teramat jarang kaki-kaki pancing datang berkunjung, kerana faktor jauh dan kebanyakan jejak yang ada dibuat oleh penceroboh haram yang datang untuk mencari kayu gaharu yang dipercayai dilakukan warganegara Thailand. Buktinya kami memang terjumpa bekas penempatan di dalam hutan, tidak jauh dari sungai.
Ads
Sepanjang perjalanan, kami cuba casting di lubuk-lubuk yang berpotensi. Semasa melalui kawasan jeram yang berarus deras, Wan yang berada paling hadapan menerima sambaran. Lontaran sesudu Abu Island II, 12 gram, disergap rakus oleh makhluk yang berada di bawah sana. Sehingga terpaksa dia melompat ke batu dan meranduk air, lantaran larian pemangsa cukup laju.
Selepas 5 minit barulah nampak kelibatnya dan akhirnya muncul tengas dalam skala 1.2 kg. Walaupun ia hanyalah tengas, tetapi pada skala ini, ia sudah cukup memuaskan hati.
Zul yang setia dengan sesudu Abu Island II, 7 gram, paling banyak menaikkan tengas dalam sekitar 700 gram. Saya tidak terkecuali dan skala ini semuanya kami lepaskan semula.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Pada penhujung April yang lepas, Sungai Pahang telah keruh kembali akibat hujan lebat di hulu.
Jadi tiada harapan lagi untuk kami mengilat spisies begahak, spesies impian ramai caster Sungai Pahang.
Kami beralih pula ke Sungai Jengka, salah satu anak sungai yang bersambung dengan Sungai Pahang.
Sungai Jengka mmg tidak asing lagi bagi kaki mengilat di sekitar Jengka, Maran dan Temerloh.
Malangnya setiap tahun, sungai ini sering dituba oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan tamakkan hasil sungai dalam masa singkat tanpa mengambil kira kemusnahan yang ditinggalkan.
Jika tidak dituba, hasil pancingan di sungai ini boleh dikatakan lumayan. Ketika kondisi air sungai yang agak jernih, spesies seperti kerandang amat mudah dipancing.
Kehadiran kerandang boleh dikesan apabila ia timbul mengambil nafas di tepi-tepi tebing sungai.
Spesies yang biasa menjadi buruan di sungai ini seperti tenggalan, lampam, udang galah, lais, patin dan kaloi.
Bagi kaki mengilat pula spesies sperti sebarau, toman, belida, baung, kerandang dan haruan… di sungai ini juga terdapat begahak dan tapah.
Potensi untuk aktiviti memancing di Sungai Jengka agak baik. Jika tiada sebarang aktiviti menuba.
Ketika air keruh, geng-geng membottom (pancing dasar) kerap turun memancing spesies patin, baung, tenggalan dan udang galah.
Lain pula cerita ketika air mula surut dan jernih. Ketika air jernih, Sungai Jengka sangat berpotensi untuk aktiviti mengilat. Tetapi, ketika inilah kaki-kaki tuba datang menuba!
Disarankan untk menduga Sungai Jengka, set yang sesuai digunakan dari kelas medium light hingga ke medium heavy, dengan panjang joran tidak lebih 6kaki.
Ini kerana rod yg panjang menyukarkan untuk membuat cast (lontaran) kerana akan tersangkut pokok dan ranting. Sudah memadai set rod antara 5-10lb hingga 6-17lb, dengan mainline berkekuatan 15-25lb.
Kami berempat bertolak dari Kuala Lumpur dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke ibu kota. Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang. Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit. Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan soft frog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi. Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau. Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuk ekoran kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak. Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya. Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang.
Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz bocet (kecil).
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Kebiasaannya kita mengimpikan perjalanan dan hasil trip yang memuaskan walhal kita tahu memancing adalah satu percaturan yang kesudahannya tidak diketahui.
Rezeki itu semuanya datang dari Yang Maha Esa dan kita hanya jadi perancang sesuatu trip.
Telah berpuluh trip saya terlibat dengan hobi ini dan hanya sebahagian dianggap berjaya dan sebahagian lagi kecundang dengan hasil yang tidak memuaskan atau perjalanan trip yang menyeksakan.
Lokasi Kumpau 1 – Sungai Selangor
Trip 2 hari 1 malam sememangnya terlalu singkat untuk mencari spesies sebarau yang di idam-idamkan. Namun jika faktor cuaca dan air menyebelahi tidak mustahil trip berhasil.
Melalui perjalanan 90 kilometer dari rumah dengan membawa segala kelengkapan berkhemah kami memulakan aktiviti memancing setelah segalanya disiapkan, namun teknik casting di kawasan sungai menghampakan.
Air yang keruh dan cetek mengurangkan potensi mencari spesies pemangsa kerana gewang sukar dikesan oleh spesies sebarau selain air yang cetek membuatkan ikan lebih peka dengan kehadiran manusia.
Alternatif kami untuk bergerak ke hulu lagi juga hanya mendatangkan hasil yang menghampakan.
Pelbagai gewang digunakan namun sedikit cuitan pun tidak dibalas. Hanya teknik pancingan dasar sedikit sebanyak pengubat duka apabila 4 kilogram ikan keli pelbagai saiz berjaya dibawa pulang.
Lokasi Kumpau 2 – Sungai Bentong, Pahang
Dengan menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama, sedikit sebanyak membataskan peralatan yang boleh dibawa namun memberi kelebihan untuk kami melalui denai-denai kecil yang tidak boleh diharungi oleh kenderaan beroda empat.
Apabila matahari memuncak, kami tiba di lokasi perkhemahan setelah melalui perjalanan lebih kurang 120 kilometer dari Kuala Lumpur.
Khemah terus dibina dan sesi memancing terus dimulakan di sekitar tapak perkhemahan.
Teknik casting tidak membuahkan hasil namun ahli lain yang menggunakan teknik dasar berjaya mendaratkan beberapa ekor lampam sungai.
Pada sebelah petang saya berjalan menuju ke hulu dan cuba melontar gewang di kawasan jeram berbatu namun tiada yang sudi menyambar gewang.
Cuaca kelihatan agak suram menandakan hujan mungkin turun bila-bila masa.
Tidak lama kemudian, hujan mulai turun. Paras air sungai perlahan-lahan merapati kaki khemah kami.
Apabila air semakin meninggi, barulah kami sedar kesilapan kami kerana mendirikan khemah terlalu hampir dengan air.
Pantas, kata sepakat diambil dan kami terus mengemas khemah dalam kegelapan malam menandakan kami terpaksa menamatkan trip ini lebih awal.
Lokasi Kumpau 3 – Sungai Tekai, Pahang
Mendengar cerita-cerita daripada mulut Zahar, anak peneroka Felda Kota Gelanggi telah membuatkan kami teruja untuk meneroka spot ini.
Menurut Zahar, ikan kelah, sebarau, tengas dan lain-lain banyak mendominasi sungai pergunungan ini.
Cuma cabaran untuk meneroka tempat ini adalah dengan hanya menggunakan motosikal kerana ia perlu melalui denai yang mungkin telah lama tidak dilalui.
Satu perbincangan rapi antara ahli telah menetapkan satu tarikh cuti umum untuk membuat trip 3 hari 2 malam ke sini.
Sebuah lori disewa dari Kuala Lumpur untuk membawa motosikal dengan bayaran RM100 bagi sebuah motosikal untuk perjalanan balik.
Setelah lori tiba di rumah Zahar, kami terus menurunkan motosikal satu persatu dan memulakan perjalanan yang dianggarkan 30 kilometer ke dalam hutan.
Setelah melalui perjalanan lebih kurang 2 jam merentas 2 batang sungai kami terpaksa melalui satu denai yang agak tinggi.
Ketika itu barulah kami sedar yang kapcai bandar sebenarnya tidak sesuai dibawa ke sini!
Sepatutnya ia perlu diubahsuai, terutama menukar tayar kepada tayar scrambler. Tetapi majoriti di antara kami menggunakan tayar highway.
Hanya seorang sahaja di antara kami yang menggunakan motor scrambler, itu pun bukan betul-betul tayar berbunga scrambler.
Zahar menyedapkan hati kami semua, sekarang musim panas dan jarang berlakunya hujan.
Setelah hampir 4 jam perjalanan, tekaan kami meleset dan apa yang dirisaukan adalah berlakunya hujan renyai-renyai.
Sebuah motosikal telah ditinggalkan di tengah perjalanan akibat kehabisan klac. Tanpa membuang masa, kami mendirikan khemah agak jauh dari sungai semua ahli trip terus berehat di kawasan khemah kerana kepenatan.
Pada sebelah malam, sesi pancingan dasar menemui kegagalan hujan turun dengan lebat, sekali gus kerana air sungai menjadi keruh dan deras akibat hujan.
Waktu ini juga, kami diuji apabila nasi yang dimasak mentah. Bukan sekali tetapi sepanjang berada di lubuk ini kami memakan nasi mentah.
Kami keluar pada jam 5 petang hari keesokan harinya setelah mendapati tiada potensi langsung mendaratkan sebarang spesies di sini.
Perjalanan keluar dari lubuk begitu menyesakkan kerana jalan balak telah berselut.
Alur air yang turun di sepanjang jalan membuatkan trek licin dan telah mengundang padah buat kami.
Tayar motosikal kami sering kali tersasar dari laluannya yang telah menyebabkan kami jatuh tergolek. Cuaca yang semakin gelap menambahkan lagi seksa perjalanan kami.
Sebuah demi sebuah motosikal ditolak ke atas bukit bagi meloloskan halangan. Dengan pelbagai halangan dan cabaran sehingga terpaksa mencari anak sungai untuk
membasahkan tekak, sekitar jam 9 malam barulah kami dapat keluar ke laluan utama menjadikan perjalanan keluar dari lubuk memakan masa 4 Jam!
Kerana kepenatan kami mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu sungai utama dan akan menyambung perjalanan pulang pada keesokan harinya.
Dalam kepenatan, kami sempat juga memancing dasar. Hasilnya barulah kami dapat merasai tarikan anak-anak tengas menggunakan umpan sawit.
Trip memancing tidaklah lama, kerana kami semua tertidur awal gara-gara kepenatan menolak motosikal siang tadi.
Keesokan harinya, kami keluar dari kawasan ini dengan 1001 kenangan yang tidak akan dilupakan.
Apabila sampai di rumah Zahar, pelbagai cerita sepanjang perjalanan trip dikongsi. Ada ahli yang diganggu dan melihat benda ghaib di khemah kami bermalam.
Rupanya ada makhluk ghaib menemani kami tidur di sepanjang trip. Mujurlah rakan tersebut tidak berbuat bising menceritakan kepada rakan yang lain ketika di dalam hutan, kalau tidak, sudah tentu lain macam jadinya.
Namun bagi kaki pancing, pelbagai cabaran malah walau kumpau berdarah pun, tak sesekali melemahkan semangat untuk meneruskan aktiviti hanyir ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...