Bagi sesetengah pemancing, belut bukanlah spesies ikan yang menyeronokkan untuk dipancing. Malah, ramai di antara pemancing yang tidak pernah sekali pun memancingnya. Contoh terdekat adalah saya sendiri. Namun, bukanlah saya tidak pernah sekali pun memancing belut. Cuma ia tersangat jarang.

Setelah mencubanya buat kali pertama kira-kira enam atau tujuh tahun sebelumya, kerinduan untuk mengocak umpan di lubang belut dan bertarung menarik ia keluar dari lubangnya yang melingkar kembali menjengah.

Bezanya, jika pada kali pertama dahulu saya mengocak lubang belut di bawah terik matahari, kali ini akan mengocak lubang belut pada waktu malam pula. Atas sebab itulah sebenarnya saya tertarik untuk mencubanya. Belum pernah lagi saya meredah sawah bendang pada waktu malam untuk menyuluh dan memancing belut.

Usai solat Maghrib, bersama seorang rakan, Anhar, kami bertolak dari Sungai Buloh ke Sungai Besar. Sungai Besar yang terletak di Selangor sememangnya padang pancingan belut popular berikutan kawasan sawah padinya yang luas.

IKLAN

Setibanya di rumah Iwan di Parit 1, hampir sepuluh orang pemancing belut yang sudah bersedia untuk meredah kegelapan sawah padi yang sudah dituai hasil sepenuhnya. Sebelum turut serta, kami dipelawa untuk mengalas perut dengan menjamah ikan gerepoh dan cencaru bakar yang disediakan oleh oleh Iwan.

Setelah berpecah secara berkumpulan, saya dan Anhar ditemani oleh Iwan sendiri sebagai guide. Parit kecil atau parit bendang tidak jauh di belakang rumah Iwan menjadi lokasi pertama kami. Sekiranya hasil kurang memberangsangkan, barulah kami akan menjelajah bendang sawah yang lain pula.

Trip Retro: Membelut Di Malam Hari

Sebelum ini saya hanya menggunakan joran pendek saja untuk memancing belut. Jadi, hanya joran pendek yang saya bawa. Rupanya ia satu kesilapan besar. Kesilapan saya menggunakan joran sependek empat kaki kerana menjangkakan parit bendang itu cetek dan sempit separas lutut sebagaimana parit bendang yang pernah saya pancing dahulu. Rupanya parit bendang itu agak lebar dan bertebing tinggi. Joran tanpa kekili itu tidak mampu dihulurkan ke lubang belut. Akibatnya saya sekadar dapat menyaksikan Anhar yang baru pertama kali memancing belut bersorak riang setelah berjaya mengeluarkan dua ekor belut dari lubangnya. Awal-awal lagi saya sudah kena 2-0.

IKLAN

Setelah meminjam set pancing yang sepadan dari Iwan, kami berkereta pula mencari parit bendang yang berpotensi. Tidak semua parit bendang sesuai untuk mencari lubang belut. Ada parit bendang yang sudah kering airnya, ada yang masih tinggi airnya dan ada pula sukar untuk dilalui kerana semak tinggi.

Setelah beberapa petak sawah diredah, kami beralih ke parit bendang di tepi palong pula. Untuk memancing belut di sini kami perlu memanjat dan meniti palong. Ia tidaklah terlalu berisiko tetapi tersilap langkah boleh mendatangkan kecederaan juga. Apatah lagi penglihatan yang terbatas pada waktu malam.

IKLAN

Mungkin disebabkan joran pinjam yang telah `hanyir’, nasib saya segera berubah. Keseronokan awal mula terasa apabila melihat riak air di permukaan lubang apabila umpan direndam, menandakan lubang tersebut berpenghuni.

Cabaran sebenar memancing belut ialah pemasaan. Masa yang tepat untuk melakukan strike apabila umpan disedut belut. Sentapan yang terlalu awal menyebabkan mata kail tidak tercangkokng kemas pada mulutnya. Sementara sentapan yang lewat pula memberi ruang kepada belut melingkar di dalam lubangnya dan ia bukanlah tugas yang mudah untuk menariknya keluar.

Setelah beberapa jam memancing dan hampir jam tiga pagi barulah kami kembali ke rumah Iwan. Walaupun hasil keseluruhan yang dikumpul tidaklah sebanyak mana, namun kepuasan bertarung menarik belut keluar dari lubangnya sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan dan bakal mendatangkan rasa rindu untuk mengulanginya lagi pada masa mendatang.

Trip Retro: Membelut Di Malam Hari
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI