Menurut boatman kami, pihak pengurusan Empangan Chenderoh telah membuka kunci pintu air bagi mengelakkan kawasan Royal Belum banjir. Akibatnya kami boathouse kami mengalami kesukaran untuk sampai ke Sungai Kejar dan perjalanan bot kerap terganggu kerana boathouse terpaksa mencari alur sungai, tetapi kata putus dibuat, bot terpaksa lepak jauh dari Sungai Kejar.
Kami menggunakan speedboat ke sana. Di sana kami hanya berpeluang casting sebarau di kawasan jeram. Jelas terpancar sedikit kekecewaan di kalangan ahli komplot. Kerana sebarau yang diperolehi hanyalah bersaiz juvenil. Apa boleh buat, kita hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya Allah yang Maha Esa menjadi penentu.
Ada juga yang memasang umpan sawit. Tetapi melihatkan bot tentera yang lalu lalang dan jaring orang asli suku kaum Jahai yang berlapis-lapis terus melemahkan harapan kami untuk melihat umpan sawit peram yang dibawa dimakan kelah.
Ads
Malam tersebut, aktiviti memancing baung bermula. Dengan menaiki speed boat, kami bergerak mencari arah aliran sungai kecil masuk ke dalam tasik. Tetapi hujan yang lebat menyebabkan kami terpaksa pulang ke boathouse. Baik layan minum kopi O kaw dengan biskut lagi baik kata mereka.
Keesokan harinya, plan ditukar menjadi trip memancing apa sahaja. Ada yang berpecah mencari toman, ada juga yang repeat mencari sebarau juvenil di kawasan jeram di pintu kuala Sungai Kejar.
Ads
Saya bersama Nizam dan salah seorang guide mengambil keputusan untuk cuba memancing di sebuah tasik yang surut airnya. Selepas meminta kebenaran, kami mula memancing di situ.
Memang best. Rupa-rupanya tasik yang akan kembali tenggelam jika air kembali penuh itu, adalah ‘rumah’ haruan. Kami tiga orang saling berpesta menaikkan seekor demi seekor haruan. Menariknya disebabkan banyaknya haruan di situ, saya cuba melakukan eksperimen semua gewang dan janggut yang ada dalam kotak pancing saya.
Ads
Hasilnya, memang menakjubkan. Haruan di situ agaknya tak pernah kenal dan jumpa gewang dan janggut. Semuanya di bedal. Pendek kata baling sahaja gewang ke sini, mesti akan disambar haruan, baik kecil atau besar.
Kami hanya mengambil beberapa ekor sahaja dan melepaskan kembali mana-mana saiz yang kecil. Rasanya memang saya bergiat memancing haruan, inilah port haruan yang heaven bagi saya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.
Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.
Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.
Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.
Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.
Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.
Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.
Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.
Apa lagi, kami pun menurunkan set appolo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.
“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.
Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.
Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.
Mungkin pada tanggapan sesetengah orang, memancing ikan lampam bukanlah satu cabang memancing yang popular. Senang cakap, takde kelas! Tapi kami tidak peduli itu semua. Pedulilah apa orang nak kata janji kami seronok dengan aktiviti dilakukan.
Pedulilah ada kelas tak. Memancing aje pun… buat apa nak kena ada kelas atau tak. Lagi pun apa yang kami lakukan bukanlah satu kesalahan.
Aktiviti mencari lampam agak sinonim dengan kami. Sebenarnya bukan lampam saja yang kami gemar pancing. Kami lebih gemar memancing ikan-ikan liar termasuk baung dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan-ikan manis. Biasanya ikan yang kami dapat itu kami akan bakar atau masak di tempat itu juga.
Oleh kerana itulah kami mencari ikan-ikan liar di sungai, tasik, lombong atau kolam (bukan kolam pancing komersial) yang bersih dan sihat kualiti airnya. Bila air cantik barulah ikan yang dipancing enak dan manis rasanya.
Hobi memancing untuk ikan berlauk ini juga merupakan salah satu alternatif riadah. Walaupun memancing agak santai dan rilek tetapi kebanyakan kawasan memancing yang kami pergi tidak boleh diakses dengan kereta secara terus. Sesetengah tempat kami terpaksa berjalan kaki sehingga setengah jam.
Biarpun agak penat untuk ke lokasi tetapi merasa aman dan damai dikelilingi alam semulajadi yang indah dan tenang. Ia sama sekali tidak sama dengan suasana memancing kolam-kolam memancing berbayar.
Disebabkan itulah kami ke merata tempat semata-mata mencari ikan berlauk…. walaupun ia cumalah lampam. Dan walaupun ia cuma lampam tetapi keenakannya sukar untuk diperbandingkan. Lampam digoreng garing-garing pun sudah cukup sedap diratah begitu saja. Apatah lagi kalau dibuat gulai tempoyak atau goreng berlada.
Pada kebiasaannya kami memancing lampam menggunakan umpan alternatif berasaskan dedak, roti dan pes perisa. Lebih kurang sama dengan umpan yang digunakan untuk memancing di kolam berbayar. Cabaran memancing lampam adalah kesabaran perlu tinggi.
Lampam perlu dirasuah dengan bancuhan dedak yang banyak. Dan apabila ada seekor lampam yang terkena mata pancing, selepas itu barulah keseronokan bermula. Keseronokan berganda jika menggunakan set pancingan ultra ringan. Tarikannya memang mengujakan!
Apabila memburu toman di Air Ganda, saya lebih suka berkunjung ketika air rendah. Kandungan oksigen yang kurang menyebabkan toman lebih kerap timbul mengambil udara.
Struktur seperti tunggul kayu mati, reba, rimbunan ranting serta kayu tumbang mudah ditemui, yang mana di sini kebiasaannya toman bersembunyi.
Namun kunjungan kami kali ini ketika air tinggi. Struktur di bawah air tidak kelihatan. Tekong menyasarkan kawasan ‘highway’ sebagai medan tempur.
Sekitar 45 minit perjalanan dari jeti, tekong memperlahankan enjin sambil memerhati keadaan sekeliling.
Bila sudah hampir dengan kawasan lubuk toman enjin dimatikan dan tekong berdayung secara perlahan-lahan.
Setelah gewang keramat disemat ke hujung leader pemancing perlu bersiap sedia dalam keadaan berdiri.
Dengan set pancing digenggam kemas di tangan, mata serta telinga perlu peka dengan bunyi kocakan air di mana toman meneguk udara.
Pemancing yang mampu menghantar gewang dengan tepat lagi pantas mempunyai kelebihan mendapat lebih sambaran.
Panjang joran tidak menjadi masalah kerana memancing menggunakan bot. Acap kali juga toman timbul hanya beberapa kaki sahaja dari bot.
Kekuatan joran serta kuasa tuilan yang mantap lebih perlu dititik-beratkan agar mampu mengekang larian sang toman sebelum menyusup ke bawah struktur.
Ketika air tinggi struktur di dalam air yang tidak kelihatan boleh menyebabkan bot terlanggar tunggul.
Walaupun ada penduduk kampung yang menyewakan bot dan pemancing boleh pandu sendiri tapi lebih selamat jika menggunakan khidmat tekong yang tahu selok-belok di sini.
Keadaan tasik ini juga tidak kurang berbelit-belit. Waktu pergi nampak macam OK, tapi bila menghala balik akan celaru mana satu simpang yang harus dilalui.
Saya bertanya pada tekong, Pak Usop, antara air tinggi dengan air rendah, mana yang lebih efektif untuk menoman di sini. Ini jawapan beliau…
“Kalau air tinggi… lama-lama toman kurang galak. Air rendah lama-lama pun sama. Dia lepas air naik atau air baru lepas surut, masa tu toman galak”.
GEWANG PILIHAN
Mengilat toman menggunakan gewang permukaan amat mengujakan. Pencil, popper, jump frog serta buzz bait pasti mendapat tempat di dalam kotak gewang.
Namun begitu gewang selaman perlu dibawa bersama, sama ada selaman cetek mahu pun dalam. Bila mana toman kurang berselera dengan gewang permukaan, maka gewang
selaman akan beraksi seperti Megabass Deep-X, Rapala Fat Rap, Zerek Giant Ruby, Ofmer X-Deep serta Rapala Risto Rap dan lain-lain.
Pada kunjungan ini kami mempraktikkan kedua-dua aksi sekali gus. Apabila terdengar riak air, seorang melontar gewang top water mana kala seorang lagi menghantar gewang selaman.
Dua-dua pun mencakup. Megabass X-Pod yang saya lontar diterkam sebaik sahaja mencecah permukaan tasik.
Untuk riak air berikutnya gewang selaman rakan pula disergap laju. Penggunaan sesudu juga efektif.
Bila tekong memasuki suak atau teluk saya menukar gewang kepada sesudu. Sebelum gewang kesayangan lebur dilarikan samseng tasik lebih baik stanby awal-awal.
Memang betul. Balingan entah kali yang ke berapa sesudu Gold 18 gram disergap pemangsa yang kasar.
Muncul dari bawah batang kayu, jelas kelihatan laju menerpa dan terus strike. Pecutan ala torpedo ke celah bangkar mengakibatkan putus tali utama setelah berlaku pergeseran dengan struktur dalam air.
Percubaan saya menggunakan soft frog juga memberangsangkan. Beberapa sambaran berlaku di kawasan yang banyak terdapat batang kayu timbul serta reba.
Katak getah dilontar hingga ke tebing dan menariknya ke arah bot yang berada di tengah suak.
TOMAN CULAS
Toman yang terlucut akan serik. Begitu juga apabila toman berjaya melarikan gewang.
Kesakitan akibat kecederaan di mulut atau rahang serta merasa janggal dengan ‘aksesori tambahan’ di bibir akan membuatkan toman lebih berhati-hati untuk menyergap gewang pada lain masa.
Kerap kali mengena mata kail sama ada mata tunggal atau double hook di belakang jump frog mahu pun mata tiga juga antara penyebab sang toman culas. Ikan lebih berwaspada dan semakin cerdik!
Tempoh pertarungan yang lama akan menyebabkan toman menjadi lemah dan boleh mati.
Penggunaan peralatan yang sepadan perlu diambil perhatian agar tidak terlalu lama ‘fight’ dan ikan dapat didaratkan dalam keadaan masih cergas serta selamat untuk dilepaskan kembali.
Di tasik ini, sudah cukup dengan rawai yang menghiasi di tepi-tepi tebing. Sudah memadai jaring-jaring yang pelampungnya memutih melintang di tengah tasik. Itu kerjaya mereka sebagai nelayan menyara keluarga.
Sebaiknya diabaikan niat untuk membawa balik spesies game fish air tawar yang popular ini. Cukuplah sekadar pelepas gigil dengan sergapan serta pertarungan yang dinikmati.
Bagaimana perasaan apabila gewang harapan dilontar namun tiada pemangsa yang endah. Terubatkah hati dengan terma ‘kumpau itu indah…?’.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...