Alkisahnya, beberapa tahun lalu, saya dijemput oleh bersama geng Lubuk Trekker ke Royal Belum. Tujuan utama ke sana memang untuk memancing sebarau.
Sayangnya kunjungan kami ke sana walaupun musim hujan, keadaan air di Tasik Temenggor amat mendukacitakan. Air surut begitu mendadak sekali, sehingga ke paras 2-3meter turunnya dari kebiasaan.
Menurut boatman kami, pihak pengurusan Empangan Cenderoh telah membuka kunci pintu air bagi mengelakkan kawasan Royal Belum banjir.
Akibatnya kami boathouse kami mengalami kesukaran untuk sampai ke Sungai Kejar dan perjalanan bot kerap terganggu kerana boathouse terpaksa mencari alur sungai, tetapi kata putus dibuat, bot terpaksa lepak jauh dari Sungai Kejar.
Kami menggunakan speedboat ke sana. Di sana kami hanya berpeluang casting sebarau di kawasan jeram. Jelas terpancar sedikit kekecewaan di kalangan ahli komplot.
Kerana sebarau yang diperolehi hanyalah bersaiz juvenil. Apa boleh buat, kita hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya Allah yang Maha Esa menjadi penentu.
Ada juga yang memasang umpan sawit. Tetapi melihatkan bot tentera yang lalu lalang dan jaring orang asli suku kaum Jahai yang berlapis-lapis terus melemahkan harapan kami untuk melihat umpan sawit peram yang dibawa dimakan kelah.
Malam tersebut, aktiviti memancing baung bermula. Dengan menaiki speed boat, kami bergerak mencari arah aliran sungai kecil masuk ke dalam tasik.
Tetapi hujan yang lebat menyebabkan kami terpaksa pulang ke boathouse. Baik layan minum kopi O kaw dengan biskut lagi baik kata mereka.
Keesokkan harinya, plan ditukar menjadi trip memancing apa sahaja. Ada yang berpecah mencari toman, ada juga yang repeat mencari sebarau juvenil di kawasan jeram di pintu kuala Sungai Kejar.
Saya bersama Nizam dan salah seorang guide mengambil keputusan untuk cuba memancing di sebuah tasik yang surut airnya. Selepas meminta kebenaran, kami mula memancing di situ.
Memang best. Rupa-rupanya tasik yang akan kembali tenggelam jika air kembali penuh itu, adalah ‘rumah’ haruan. Kami tiga orang saling berpesta menaikkan seekor demi seekor haruan.
Menariknya di sebabkan banyaknya haruan di situ, saya cuba melakukan eksperimen semua gewang dan janggut yang ada dalam kotak pancing saya.
Hasilnya, memang marbeles. Haruan di situ agaknya tak pernah kenal dan jumpa gewang dan janggut. Semuanya di bedal. Pendek kata baling sahaja gewang ke sini, mesti akan disambar haruan, baik kecil atau besar.
Kami hanya mengambil beberapa ekor sahaja dan melepaskan kembali mana-mana saiz yang kecil. Rasanya memang saya bergiat memancing haruan, inilah port haruan yang heaven bagi saya.
(oleh: Muhammad Adam)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Belum pun reda isu pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang menjejaskan kesihatan ribuan penduduk berhampiran, tidak mustahil insiden yang sama berlaku di Pulau Indah, Klang pula.
Kelmarin Harul GMK, admin kelab pancing Facebook (Geng Menebing Klang) ada memuat turun foto dan video ikan-ikan siakap yang mati dipercayai berpunca dari pencemaran sungai.
Menurut Harul, sesiapa saja yang pernah masuk ke Lebuhan Gurap, Pulau Indah akan dapat melihat tahap kualiti air sungai yang seperti warna oren apabila surut habis.
Beliau percaya kejadian itu berpunca dari pencemaran bahan-bahan sisa buangan ke dalam anak sungai tersebut.
Ahli kelab tersebut turut sependapat dengan beliau apabila memuat turun komen dan pernah melihat pontoon (tongkang) membuang sisa besi ke dalam sungai.
Tambah menyakitkan mata apabila melihat pelbagai spesies ikan terutamanya siakap bersaiz besar 5-7kg mati begitu saja.
Kami memilih Mat Rafi sebagai tekong. Pada awalnya, semasa tiba jam 6.30 pagi di Jeti Kampung Permatang, Teluk Rubiah, langit yang pada mulanya kelihatan cerah telah bertukar mendung dalam sekelip mata.
Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi. Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yamg tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ada yang memanggilnya jenak, ada yang menggelar unga, tetapi lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai jenak – si golden snapper bernilai emas. Selaku pemancing rekreasi, saya sudah memburu spesies dari selatan tanah air sehinggalah ke melepasi sempadan tanah air.
Anehnya, perairan Sungai Besar yang terletak di Lembah Kelang, yang merupakan padang pancing yang dianggap berdekatan tidak pula dikunjungi. Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru dalam dunia pancingan jenak.
Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan kaedah tradisional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu. Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju fiber, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan.
Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini. Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Klang, waktu terbaik untuk memburu jenak di perairan Sungai Besar adalah ketika arus lemah.
Atau menghampiri air mati. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan. Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
Di perairan ini juga jig-jig aksi perlahan bersaiz 200 gm dan ke atas, dengan pelbagai warna yang telah banyak mengorbankan nyawa jenak di perairan lain seperti hilang taring. Sebaliknya jig yang lebih ringan dari 40 gm hingga 100 gm dengan warna asas keperakan ternyata lebih berkesan.
Bukan jenak saja yang menggemarinya, kerapu-kerapu saiz hidangan meja juga berselera membahamnya. Malah bapak tenggiri bersaiz 10 kg turum sama menggonggongnya.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, panorama memancing pada hari dipenuhi dengan kilauan emas yang mempersonakan.
Pesta menuai jenak dimulakan oleh tekong sendiri. Setelah lebih dari sekali tekong menaikkan jenak dan spesies lain dengan jig ringan, kami tidak tertangguh lagi menyimpan jig-jig berat. Selain menukar kepada jig yang lebih ringan, aksi dan gaya tekong berjigging turut kami copy & paste.
Tatkala kebanyakan trip jigging perlahan kebelakangan ini amat kurang hasilnya dan menghampiri kumpau, maka kejayaan kami mendaratkan 8 ekor jenak (tidak termasuk spesies lain), bolehlah dianggap sebagai satu pesta!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...