Kuala Selingsing merupakan satu lubuk yang menjadi kegilaan bagi pemancing-pemancing tempatan. Macam-macam teknik boleh digunakan dilubuk ini. Lain padang lain belalang… lain lubuk lain tekniknya. Bagi Kuala Selinsing, teknik yang saya selalu guna adalah casting menggunakan umpan udang hidup. Balingan dibuat ke atas reba dan tarik atau karau perlahan tanpa henjut.
Bagi Spesis MJ atau siakap merah, ia adalah spesies yang suka membawa dan melilitkan tali pancing kita pada kayu-kayu dan ranting-ranting yang berada disekitarnya setelah ia menyambar umpan kita. Ia juga pemangsa yang ganas dan rakus, mempunyai gigi yang tajam adalah kelebihan spesis ini untuk memotong tali pancing (leader) kita.
Oleh itu kita haruslah tarik secepat yang mungkin bagi mengelakkan ianya kembali ke dalam reba dan memotong tali pancing. Siakap putih (barramundi) pula sikapnya yang selalu terbang di permukaan air untuk menanggalkan mata pancing anda. Ia tidak punya gigi tetapi spesies ini mempunyai permukaan bibir yang kasar. Lambat tarik pun boleh putus jua.
Ads
Bagi siakap putih ini, jangan sesekali anda angkat hujung rod ke atas kerana ianya akan memberi peluang untuk ikan naik dan terbang di permukaan air. Semasa karauan dibuat, tali pancing anda haruslah sentiasa tegang dan selam hujung rod anda ke dalam air bagi mengelakkan ianya naik di permukaan air.
Ads
Oleh itu, saya sarankan kepada caster-caster yang ingin memujuk spesies ini gunalah peralatan pancing yang sesuai sebelum anda berputih mata. Para caster juga perlu memilih tarikh air yang sesuai untuk memburu pemangsa-pemangsa di lubuk sungai air masin ini.
Tekong dilubuk ini juga banyak memberi peranan dengan meronda mencari lubuk berpenghuni dan sentiasa memberi tunjuk ajar. Beberapa kali saya turun memburu di lubuk ini ia tidak pernah menghampakan saya. Dari dulu sampai sekarang saya masih menggunakan teknik yang sama.
Ads
Antara spesies yang ada di lubuk ini kerapu, siakap putih dan siakap merah. Mana-mana caster yang ingin memburu di lubuk ini bolehlah berhubung dengan tekong-tekong handalan Kuala Selinsing di FB seperti Amir Hamzah, Herry Ramly, atau Azeem Asyraf.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perairan Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya melemahkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.
Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.
Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu. Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.
Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan. Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.
Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi. Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut. Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.
Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya. Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.
Lubuk Tenggiri
Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.
Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun. Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.
Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.
Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.
Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.
Ebek Lubuk 60
Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus. Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.
Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.
Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.
Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb. Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.
Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya. Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.
Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.
Semua ahli trip cukup teruja apabila menjejakkan kaki di Jeti Kuala Tahan tanggal cuti Hari Malaysia. Maklumlah majoriti ahli komplot belum pernah sampai, kecuali dua orang sahaja yang pernah sampai sebelum ini.
Usai sarapan sekitar jam 9.00, memunggah barangan ke dalam bot dan mengambil permit di pos kawalan Perhililitan di Sungai Tahan, bermulalah perjalanan menongkah arus Sungai Tembeling.
Dalam sedar tak sedar, tepat jam 1.30 tengah hari, perahu panjang yang membawa kami akhirnya tiba di Lata Said. Jelas berbeza ujar Abang Rom yang mengatakan, sekiranya musim kemarau, sekitar jam 4-5 petang nanti barulah sampai di Lata Said, akibat terpaksa banyak kali menolak bot.
Usai memasang khemah dan makan bermulalah aktiviti memancing sekitar lubuk berhampiran sebelum ia terbantut apabila langit tiba-tiba sahaja gelap dan hujan turun dengan begitu lebat membawa hingga ke larut malam. Dalam kesejukan berada di dalam khemah, masing-masing berdoa agar hujan segera berhenti.
Hari Kedua
Awal pagi, kelihatan air keruh bak teh tarik mengalir deras di hadapan khemah kami. Jauh bezanya dengan hari semalam yang begitu jernih. Rakan yang sudah merancang untuk trekking, tergamam melihat warna air. Bukan sahaja keruh, tetapi parasnya juga tinggi. Menurut Abang Rom, walaupun keruh yang teruk, jika tidak hujan pada hari tersebut, esok ia sudah kembali pulih.
Semasa sarapan, kami berbincang di mana sekumpulan rakan bersama beberapa boatman yang lain bertekad untuk cuba trekking ke bahagian hulu untuk casting dan juga mencuba pancingan dasar. Ini kerana dengan menuju ke bahagian hulu, keadaan air pasti akan pulih dengan cepat.
Penulis pula, pudar hati untuk trekking melihatkan air yang keruh bak teh tarik ini. Untuk tidak membuang masa, penulis bersama Rul, John, Mazuan dan Bahar bersetuju mengikut Abang Rom dan tiga orang boatman lagi (menggunakan dua buah bot) mudik ke bahagian hilir sehingga ke Lubuk Rawa. Harapannya tidak lain tidak bukan memancing baung sambil berharap ada spesies lain, terutamanya sang tenggalan akan diperoleh.
Hendak dijadikan cerita, sehingga ke tengah hari, kami memang berpesta baung akar sahaja. Cukup banyak sampai tak menang tangan menjaga dua batang joran. John yang memancing sekitar Lubuk Rincing pula mendapat bonus seekor udang galah.
Kembali ke Lata Said pada sebelah petangnya, kami menantikan rakan yang pulang dari trekking. Beberapa ekor kejor berjaya diperolehi melalui kaedah casting dan pancingan dasar oleh boatman.
Sebarau paling mendominasi tangkapan, tetapi tiada bersaiz badong berjaya didaratkan. hanya Udin yang tersenyum lebar, kerana berjaya memperoleh kejor menggunakan sesudu. Geng tekong yang membantu memancing kelah melalui kaedah pancingan dasar, juga gagal.
Post mortem yang diadakan pada malam itu merumuskan keadaan air yang masih keruh membantutkan usaha untuk casting dengan baik. Air yang dalam dan deras turut membataskan mereka yang trekking berjalan lebih jauh dan pantas kerana perlu berhati-hati memijak batu yang tidak kelihatan dan licin.
Hari ketiga
Ketika menikmati makan malam, Lata Said dibasahi hujan lagi. Tetapi tidaklah lebat. Paginya masing-masing bersemangat untuk memulakan trekking kerana keadaan air sudah kembali pulih walaupun ia berstatus ‘air bulu kera’.
Disebabkan ramai yang ingin turun casting, terpaksa berpecah kepada dua grup. Satu grup akan bermula casting dari Lubuk Batu Terubung menghala ke Lata Said. Manakala satu grup lagi dengan ditemani dua boatman lagi menghala naik lebih atas lagi menuju ke Keniam Kecil. Saya memilih untuk naik ke atas bersama Zul, John dan Bahar.
Di bahagian atas, keadaan air amat cantik. Banyak sebarau kami berjaya perolehi dan mana yang bersaiz juvenil dilepaskan kembali. Di satu lubuk yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, Zul berjaya memperoleh seekor sebarau bersaiz 1.5 kg menggunakan sesudu Bakau (warna tembaga), manakala penulis berjaya memperoleh seekor kejor yang beratnya hampir 1 kg.
Hari terakhir
Hari keempat adalah hari terakhir kami di Sungai Keniam. Ternyata 2 yang lalu hari adalah hari yang kami ‘pulun’ memancing dan bakinya adalah lebih kepada perjalanan pergi dan pulang.
Sekitar jam 10 pagi, kami meninggalkan Lata Said dan lebih kepada sesi casting sebarau secara berhanyut sambil boatman mendayung bot sehinggalah sampai di Lubuk Rincing.
Dalam trip ini, masing-masing mendapat pengalaman yang berharga ketika menjejakkan kaki kali pertama ke Sungai Keniam. Tiada istilah serik, sebaliknya geng ini akan cuba mencari tarikh yang sesuai untuk menjejakkan kaki lagi ke sini dan sasaran utama adalah seawal yang mungkin selepas musim tengkujuh berakhir sekitar Mac nanti.
Selaras dengan slogan Hulu Langat syurga memancing, Prawn Valley Farm (Galah Malaysia) tidak mahu ketinggalan merancakkan lagi industri memancing tanah air khususnya di Lembah Kelang dengan melancarkan pusat rekreasi memancing udang galah.
Prawn Valley Farm (PVF) yang turut dikenali dengan nama Galah Malaysia merupakan sebuah pusat rekreasi keluarga memancing udang galah yang terletak di Lot 100 Jalan Sungai Sop, Batu 14 Hulu Langat berdekatan dengan restoran popular Langat Ah Soon Seafood, mula beroperasi pada 16 September 2017 yang lalu. Ia bolehlah dianggap sebagai kolam memancing udang galah (kolam simen) terbesar di Malaysia.
Menurut pemilik PVF, Johnson Chew yang baru berusia 26 tahun, minat dan keinginan beliau untuk mengusahakan pusat rekreasi memancing udang galah ini berpunca dari hobi. Berikutan kerap meluangkan masa di pusat memancing udang galah, beliau mula nampak potensi pusat rekreasi seumpamanya dan tidak berlengah mencari lokasi dan tapak bagi menjayakannya.
“Dulu saya selalu pancing udang tapi bila sudah ada kolam, mahu pancing pun sudah tidak ada masa,” ujar pemilik PVF yang ramah dan bercita-cita tinggi untuk meluaskan lagi cabang perniagaannya.
Prawn Valley Farm (Galah Malaysia) berkeluasan lebih tiga ekar ini beroperasi dari jam 12.00 tengah hari hingga 6.00 pagi setiap hari ini menyediakan dua buah kolam simen (kolah) pancingan udang galah. Kolam A berkeluasan 100 kaki x 30 kaki dengan purata kedalaman sehingga 6 enam kaki.
Manakala kolam B pula berkeluasan 50 kaki x 26 kaki dengan purata kedalaman sehingga 4 kaki. Dengan kedua-dua kolam ia mampu menempatkan sehingga 120 pemancing pada satu masa.
Untuk memancing di PVF, anda boleh datang dengan berlenggang tanpa sebarang peralatan memancing kerana segalanya disediakan. Anda boleh membawa joran tanpa kekili (teleskopik) sendiri atau menyewanya dengan kadar sewa berpatutan. Yuran memancing bermula dari RM 30 untuk tempoh 1 jam, RM 50 untuk 2 jam, RM 68 untuk 3 jam dan tawaran yang lebih rendah untuk tambahan jam berikutnya. Sementara umpan yang dibenarkan hanyalah perumpun atau umpun-umpun dan ia ada disediakan di kaunter dengan kadar bayaran tertentu.
Menurut Johnson Chew lagi, setiap pemancing tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana setiap hari beliau akan melepaskan udang galah antara 30 hingga 40 kilogram setiap hari. Semakin ramai pemancing maka semakin banyak udang galah yang akan dilepaskan kerana sebagai seorang pemancing, beliau faham dan tahu apa yang dikehendaki oleh seorang pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...