Walaupun banyak urusan lain pada hari itu, namun semuanya saya ketepikan dulu demi untuk melampiaskan nafsu dan menghanyirkan rod yang sudah agak lama bersawang di rumah. Biarpun tidak membawa peralatan yang secukupnya, namun kami tetap komited untuk melayan komplot santai ini.
Difahamkan di kawasan Seri Iskandar ini memang kaya dengan lombong-lombong tinggal yang dihuni pelbagai spesies ikan. Biarpun begitu, penulis memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk misi ini berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan. Cukuplah sekadar merasai ‘karen’ ikan-ikan kecil yang mungkin sudi menjamah umpan nanti.
Ads
Dengan berumpankan campuran dedak pandan dan dedak ayam kami terus melabuhkan umpan. Tidak perlu menunggu lama untuk memujuk ikan di lombong ini untuk buka mulut. Adik saya menjadi yang pertama mendaratkan spesies pendatang yang dikatakan semakin memonopoli lombong ini.
Tidak lama selepas itu bersilih ganti kami melayan pelbagai jenis ikan yang saiznya tidaklah begitu membanggakan. Biarpun saiz hanya sebesar tapak tangan namun bila melayani tarikannya dengan set ringan dapat memberi satu rasa yang hanya difahami oleh kaki pancing sahaja.
Ads
Ads
Sebelum senja, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan di sini memandangkan penulis perlu berkemas untuk pulang semula ke Melaka keesokan harinya.
Biarpun tidak mendapat hasil dengan saiz membanggakan, namun penulis tetap berpuas hati kerana sempat juga melepaskan gian di kampung yang hanya dapat penulis kunjungi dua tahun sekali, itu pun pada musim perayaan!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Musim panas yang berlaku sekitar pertengahan hingga hujung tahun seperti diramalkan seakan memberi impak kepada hidupan air. Paras air empangan juga dikatakan menjadi semakin surut, begitu juga dengan terusan air yang semakin menyusut dan mengering menambahkan lagi kebimbangan di hati.
Apa tidaknya, trip Royal Belum yang telah dirancang awal lagi mungkin berpotensi menemui kegagalan akibat faktor cuaca ini. Sudah tentulah paras air di sana akan lebih rendah dan lubuk-lubuk yang terbentuk akan menjadi sangat terhad.
Hari Pertama
Seawal jam 6.00 pagi kami sudah tiba di jeti Tasik Temenggor. Sebaik sahaja tekong tiba tidak lama selepas itu, kami seramai 9 orang pemancing menaiki bot terus meredah kedinginan pagi. Terlebih dahulu, kami perlu mendaftarkan diri di pondok Jabatan PERHILITAN untuk mengambil permit.
Tanpa berlengah masa, kami terus sahaja menyusuri lubuk yang telah pun ditentukan oleh tekong. Sepanjang perjalanan kelihatan paras air tidaklah sesurut seperti yang kami gambarkan. Tetapi ia tetap juga menampakkan perbezaan paras air di tebing dan kedalaman suak yang menjadi agak cetek.
Pada awal pagi, tiada sambaran langsung diterima oleh kami walaupun mencuba pelbagai jenis gewang. Lontaran demi lontaran dibuat ke arah suak atau reba-reba yang diyakini dihuni oleh sang pemangsa namun masih tiada sambaran diterima.
Apabila jam menunjukkan ke angka 10 pagi, Ojang yang tidak jemu bertukar tukar teknik mencuba jig ringan 14 gram menerima sambaran daripada penghuni lubuk. Teknik henjutan jig berwarna kuning keemasan ke kawasan reba pokok tumbang betul-betul memberikan sinar harapan buat kami. Terkulai sang sebarau bersaiz remaja di tangan Ojang.
Azman yang menukar kepada spoon dengan mata kail tunggal terus melakukan lontaran ke arah tunggul kayu yang berada 10 meter dari bot kami. Tidak menunggu lama, ia terus direntap spesies yang diyakini sebarau. Lantas, beliau terus mengunci drag dan mengawal larian pemangsa tersebut. Tepat sekali, sebarau bersaiz 500 gram berjaya juga dijinakkan Azman.
Apabila matahari terpacak atas kepala, bahang yang panas mula merimaskan kesmua ahli komplot. Sambil itu, kami terus menyusuri suak demi suak mencari lubuk berpotensi. Pelbagai jenis gewang lagi ditukar, sama ada jenis tenggelam, separa timbul, timbul, gemerincing, tidak gemerincing dan bermacam-macam lagilah.
Riak air yang bergerak di permukaan air menandakan adanya kawanan anak toman terus sahaja menerbitkan nafsu untuk kami mencuba melontarkan gewang. Mana tahu ada mama toman berada di bawahnya. Malangnya, tetapi, tiada sambutan yang diterima. Dan kami akur, kawanan anak toman yang berjalur ini, mungkin sudah kehilangan ibunya.
Selepas hampir 2 jam berehat dan makan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti casting hingga lewat petang. Namun, hanya seekor toman saja yang berjaya dijinakkan Affendy dan ia menjadi penutup hari pertama buat kami.
Hari Kedua
Hari kedua yang juga hari terakhir trip ini, kami sepakat untuk meneroka semaksimum spot berpotensi. Mana tahu hari kedua lebih baik dari hari pertama walaupun kami sebenarnya terpaksa menerima hakikat pencarian tangkapan pada ketika dan musim ini bukanlah mudah.
Banyak perkara yang dapat kami belajar dari hari pertama kami di sini, terutamanya tentang ‘rumah’ sang sebarau yang gemar mendominasi lubuk-lubuk yang dalam dan mempunyai reba sebagai tempat mencari makan.
Tidak sesukar hari pertama, hari kedua nampaknya rezeki lebih banyak memihak kami. Konsep memujuk atau menanti di setiap lubuk sehingga sebarau sudi menjamah umpan adalah antara teknik yang kami terapkan sepanjang hari kedua ini. Namun boleh dikatakan situasi ini amat mencabar dan menguji ketahanan mental.
Walaupun ada masa kami agak was-was dengan lubuk yang disinggahi, namun hasil pengalaman dan tunjuk ajar tekong yang lebih mengetahui isi dasar yang mempunyai banyak reba menjadikan hari kedua kami menjadi semakin baik.
Bot akan berhenti betul-betul di atas reba tersebut dan jig diturunkan dicelah celah dahan dan ranting yang mula mereput dimamah air. Di situlah banyak sambaran sang sebarau yang kami terima.
Penutup
Kesimpulannya, biarpun berdepan dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu, namun ia masih memberikan kami hasil yang memuaskan. Biarpun dikatakan paras air akan terus mengering, namun ia seakan tidak menjejaskan kawasan Royal Belum kerana ia masih banyak menerima air dari banyak sumber cabang sungai yang ada di sini.
Teknik ala jigging boleh digunakan dengan menjatuhkan jig terus ke dasar yang di bawahnya dipercayai terdapat tunggul atau kayu balak tumbang yang sering kali menjadi ‘rumah’ sebarau. Walaupun bersaiz kecil, jig boleh dilontar jauh terutama ketika ikan boiling jauh dari bot.
Perairan Sedili merupakan lokasi pemburuan ikan tenggiri tersohor buat kaki-kaki pancing di selatan Malaysia.
Pada trip kali ini kami telah memilih khidmat tekong Pak Mahmod. Tekong Pak Mahmod memang berpengalaman luas lebih 30 tahun.
Antara lain kelebihannya, beliau mempunyai lubuk unjamnya sendiri lebih kurang dua jam perjalanan dari jeti.
Setibanya kami di lubuk unjam darat milik Pak Mahmod, umpan hidup dilabuhkan belakang bot.
Kami memastikan drag kekili ditetapkan agar tidak terlalu ketat atau terlalu longgar bagi memudahkan umpan direntap ikan tenggiri.
Ikan umpan dilepaskan lebih kurang 20 hingga 30 meter jauh dari bot.
Penggunaan perambut yang disarankan adalah mata kail saiz 1.0/2.0 berkembar menggunakan perambut dawai sejengkal dan disambungkan dengan perambut halimunan flourocarbon kira-kira lima hingga tujuh depa panjang berkekuatan 15-20 lb.
Manakala tali utama tekong menyarankan agar menggunakan tali mono tanpa warna (tangsi) atau tali sulam berwarna hijau gelap sahaja yang berdiameter halus.
Setelah hampir satu jam menanti, saat yang ditunggu telah tiba, umpan yang dilabuhkan telah disambut ikan, rod pancing kami telah melendut akibat ditarik ikan tenggiri kasar,
drag menjerit dan kekili memuntahkan tali dibawa lari oleh sang Tenggiri berskala 9-10 kilogram dan setelah 15 minit bertarung akhirnya ikan dapat didaratkan ke dalam bot.
Kemudian satu per satu joran kami disambar dan ditarik ikan Tenggiri. Memang seronok dan riuh bot dibuat.
Kami berpendapat bahawa, tenggiri di Sedili mungkin semakin bijak. Apa tidaknya ia cukup pandai dan sensitif terhadap cubaan menjeratnya.
Kalau menggunakan set pancing kasar umpan tidak akan diusiknya. Oleh yang demikian kami menggunakan set ultra ringan dan halus untuk memperdayakan tenggiri agar menyambar umpan.
Perlu mempunyai ilmu untuk berhadapan dengannya, jika salah teknik melayan akan berlaku rabut, putus dan ia mudah culas, diludahkan semula umpan dengan mudah dan akhirnya pemancing akan melopong dan berputih mata.
Beberapa panduan atau tip untuk menduga tenggiri Sedili ialah pastikan tali sentiasa tegang semasa melayan larian tenggiri, drag terlalu longgar boleh menyebabkan tenggiri melepaskan diri.
Ada ketikanya bila tengah bertarung dengan ikan, tiba-tiba tali rasa ringan seperti terlucut, kemungkinan besar ikan tenggiri telah memecut ke arah bot, ketika ini anda perlu
bertindak pantas dengan mengarau dengan kadar laju supaya ikan tidak dapat memutuskan tali utama, perkara begini perlu diberi perhatian kerana sering terjadi.
Untuk kami yang masih amatur ini, kami tidak perlu peningkan kepala memikir teknik memancing yang padu. Tak perlu fikir soal ikatan perambut atau umpan killer. Hanya memancing dengan menggunakan apollo paling membahagiakan.
Paling berbahagia ketika ikan tengah galak menyerbu mata-mata apollo, bersedia dengan tong di sisi, kain dan pliers sekiranya diperlukan. Untuk tempoh 2jam (atau lebih bergantung kepada ikan galak makan) apollo yang dinaikan akan penuh dengan ikan selar, kembong, kunyit, tamban atau talang. Sesekali jika rezeki menyebelahi, dapatlah merasa tarikan bawal cermin atau cencaru kuda.
Biarpun hanya teknik apollo namun perlu tahu juga jenis apollo yang disukai ikan. Ketika kami memancing di sini apollo yang berwarna putih sama ada bulu, benang atau kertas paling laku. Mungkin juga berbeza jika di lain masa, lain orang, lain apollonya.. bergantung kepada rezeki masing-masing juga.
Untuk mereka yang target ikan bersaiz besar, boleh cuba umpan tamban hidup atau isi tamban atau udang hidup. Lazimnya umpan ini boleh menaikan ikan kurau, talang, gerong belang dan lain-lain lagi. Dan kalau jika ikan kurang galak boleh cuba tambahkan umpan udang kopek pada mata apollo. Itu pasal la kami suka guna apollo je…. hahaha.
MAKAN
Usah bimbang kelaparan atau kehausan. Di Kelong Acheh ini makan disediakan 5 kali sehari. Senang cakap memang tak ada masa langsung untuk lapar. Menu memang sedap, enak, menyelerakan… senang cakap memang terbaekk!
Air panas kopi atau teh dan biskut krim kreker tersedia sepanjang masa. Sambil-sambil rehatkan otot-ptot lengan dan jari jemari, bolehlah santai-santai minum-minum di bawah teduhan atap nipah. Apa lagi yang lebih syahdu kalau bukan cicah biskut dengan kopi O sambil ditiup angin laut.
MEMBAWANG
Aktiviti wajib waktu malam ketika ikan kurang galak makan umpan… hahaha. Padahal boleh dikatakan sepanjang waktu terluang pasti nak membawang. Yang pasti Kelong Acheh memang port paling best untuk memancing, makan-makan dan membawang!
Terima kasih kepada kak Farah Au yang banyak membantu dan tak jemu mengajar kami pelbagai teknik memancing. InsyaAllah next trip kita cuba target ikan mega pulak!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...