Bagi trip Belukang 33 ini, saya dan beberapa orang rakan lain iaitu Cikgu Badek, Ralf, Abang Lan, Faizal Ali, Jawe, dan Abang Ali bertindak sebagai penyerang untuk menduga perairan di sini.

 

Pada awalnya trip ini hampir dibatalkan berikutan info cuaca mengatakan bahawa arus pada hari tersebut terlalu laju. Penulis dan Jawe nekad untuk turun juga walaupun arus dijangka laju sambil menaruh harap agar tiada tiupan angin yang kuat.

 

Jika di perairan PD ketika arus laju, jig 200 gram hanya sempat mengetuk dasar 5 ke 6 kali sahaja sebelum hanyut dan sekiranya angin kuat akan lebih menyukarkan kami meneruskan aktiviti jigging.

 

Lagi pun trip ini sebenarnya lebih kepada trip ‘gathering’ bagi meraikan Jawe yang akan bertugas di Arab Saudi selama 3 tahun. Jadi di dalam hati memang berharap agar cuaca bersikap baik terhadap trip kami ini.

 

Pagi itu, tepat jam 8.30 pagi, kami mula meninggalkan jeti. Makanan tengah hari telah siap disediakan dan segala kelengkapan mula dipasang ketika bot bergerak menuju ke spot pertama.

Bagi saya yang kali terakhir turun ke laut sekitar tahun 2012 bersama rakan-rakan menduga layaran Rompin, trip kali ini terasa ibarat trip laut pertama.

 

IKLAN

Sampai sahaja di spot pertama, saya telah berjaya memberi sedekah dasar laut PD dengan jig seberat 220 gram selepas beberapa kali membuat unjunan. Putih mata kejap beb! Hanya mampu berhuhu-huhu sambil memandang rakan lain.

 

Tidak lama kemudian, Faizal Ali berjaya mendapat strike yang pertama untuk grup kami. Unjunan jig Faizal dimamah oleh seekor yu anggaran 2-3 kg. Walau bagaimanapun, agak malang bagi Faizal apabila ikan tersebut lucut biarpun sudah diheret ke tepian bot.

 

“Takpe, dah boleh senyum pasal ikan sudah gigit jig aku,” ujar Faizal dengan positif dalam masa yang sama cuba menaikkan semangat kawan-kawan yang lain.

 

Selepas itu, tiba giliran Cikgu Badek yang kali ini berjaya menaikkan seekor ikan talang. Kalau Cikgu Badek dapat ikan yang lain siaplah, memang akan panas telinga la. Dah nama pun cikgu kan, mestilah power memberikan tip semacam dalam kelas.

Dalam tidak henti memanaskan telinga ahli trip lain, Cikgu Badek sekali lagi menjinakkan seekor ‘tong gas’. Memang sungguh hanyir cikgu ini.

IKLAN

 

Banyak spot-spot berlurah dan berbukit di dasar perairan Port Dickson berdasarkan monitor pada sonar. Memang indah ciptaanNya dan apatah lagi jelas kelihatan spot-spot impian kaki pancing. Seterusnya, Jawe pula berjaya menaikkan seekor ‘tong Gas’.

 

Bertambah berbulu kami yang belum disapa penghuni dasar. Saya pula hanya berjaya mendapat satu sambaran tetapi lucut selepas beberapa karauan. Tertekan juga masa tu tapi apa nak buat belum ada rezeki.

 

Lebih tertekan bila pembantu tekong, Syafik sahaja telah berjaya menjinakkan 2 ekor ebek bersaiz mantap dan saya dan beberapa orang rakan lain masih lagi setia mengetuk dasar dengan harapan ada sambaran kasar dari penghuni dasar.

 

Ketika bot berhenti untuk makan tengah hari, beberapa orang rakan lain yang telah berjaya menaikkan ikan menjamah makanan tengah hari. Kami yang lain masih terus menghulurkan jig ke dasar. Tidak disangka-sangka, bot berhenti tepat pada kawanan GT.

IKLAN

Pertama sekali jig saya direntap kasar dan diikuti oleh jig Faizal Ali, dan seterusnya jig Jawe. Triple hook-up!

 

Apa lagi, bersimpang siur tali utama kami ke kiri dan ke kanan. Sentapan rakus si GT telah berjaya menanggalkan split ring dari jig Faizal Ali. Akhirnya, GT pertama saya untuk tahun ini seberat 7 kg berjaya dinaikkan selepas 20 minit pertarungan dan GT kedua oleh Jawe yang berat jangkaan sekitar 20kg dinaikkan selepas 40 minit bertarung.

 

Memang cukup besar bagi GT yang dinaikkan Jawe hingga bot hanyut sejauh hampir 2.5 batu dari spot asal. Ketika pertarungan dengan Sang GT, kedengaran nyanyian berseloroh.

 

“Pulangkan… pulangkan… pulangkan wang kami…” daripada Cikgu Badek. Ini kerana, pertarungan Jawe memakan masa yang cukup lama sekali gus Wanx Ismail dan Ebek pinjam hasil pancingan Mr. Nedd menyebabkan rakan-rakan lain tidak boleh menurunkan jig masing-masing.

Apa pun, sikap rakan-rakan lain yang ‘sporting’ dan memberi peluang rakan-rakan melayan ikan sangat saya puji.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI