Hasrat untuk menguji kehandalan kelah melarikan umpan dan menyusup ke celah-celah bangkar sentiasa ada dalam diri. Hanya tidak pernah kesampaian, mungkin disebabkan tiada kesungguhan untuk direalitikan.

 

Justeru, apabila mendapat undangan dari team Sentap untuk berkhemah dan memancing di Kuala Koh, tentu saja peluang tersebut tidak dibiarkan berlalu begitu saja.

 

Cuti umum yang panjang sememangnya tempoh waktu yang amat bersesuaian untuk aktiviti perkhemahan dan memancing.

 

Namun bukan pemancing saja yang mengambil kesempatan di sebalik cuti panjang tersebut. Ia turut dimanfaatkan oleh warga kota untuk pulang kampung halaman.

 

Hasilnya… beribu kenderaan bersusun panjang di atas Bukit Tujuh meskipun sudah jam 4 pagi! Dan ia bukanlah satu petanda yang menyenangkan sebenarnya.

 

Petanda kurang bagus berikutnya, dari 14 anggota komplot tiada seorang pun pernah pergi atau melalui jalan ke Taman Negara Kuala Koh.

 

Sekadar tahu saja untuk ke Kuala Koh perlulah melalui gugusan Felda Aring dan berpandukan papan tanda yang sedikit mengelirukan.

 

Keadaan tambah mengelirukan apabila terpaksa meredah jalan hutan yang tak ubah seperti jalan pembalakan. Betul ke jalan ni?

 

Macam bukan je… itulah persoalan yang menjadi perbualan sepanjang perjalanan itu sehinggalah tersergam mercu tanda Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kuala Koh.

IKLAN

 

Melihatkan susunan kereta di kawasan parkir dan beberapa kumpulan lain yang tiba lebih awal, kepala mula membayangkan berapa ramai sebenarnya pemancing yang turun ke Kuala Koh.

 

Bagaimana pulak dengan suasana di lubuk-lubuk nanti? Sama sebagaimana yang diimpikan atau seumpama suasana di pasar malam.

 

Seperkara yang tidak diketahui oleh ahli komplot yang tidak pernah memancing di Kuala Koh, rupanya peraturan Taman Negara agak ketat juga.

 

Dan ia sesuatu yang bagus walaupun terpaksa menelannya dengan muka ketat. Jika berhajat nak guna 7-8 joran, lupakan saja niat tersebut kerana hanya 2 batang joran yang dibenarkan!

 

Selesai pemeriksaan ala-ala kastam oleh renjer Taman Negara, barulah dapat ke lubuk secara berperingkat kerana bot pancung hanya mampu memuatkan empat pemancing dalam satu perjalanan.

 

Disebabkan ramai pemancing yang masuk lebih awal, maka kumpulan kami terpaksa dipecahkan kepada dua lubuk. Separuh dihantar ke Lubuk Kaloi Atas dan separuh lagi ke Lubuk Kedah.

IKLAN

 

Selesai mendirikan khemah dan keperluannya, barulah umpan dilabuhkan dengan harapan menggunung. Naikkan kelah! Namun harapan saya segera merudum apabila batu ladung hidup saiz nombor 6 begitu mudah ditolak arus sungai.

 

Sedangkan itulah saiz paling besar yang dibawa. Tak sangka pulak arus sebegitu deras. Jika tidak bergolek pun, tali tangsi pula memerangkap dedaun yang hanyut di dasar sungai. Setiap kali tarik, ‘kelah daun’ yang naik.

 

Itu pun kalau naik kerana acapkali arus akan menghanyutkan umpan dan akhirnya tersangkut pada bangkar. Cukup 3-4 kali kehilangan batu ladung, swivel dan mata kail, impian untuk menaikkan kelah secara bottom, terus terkubur.

 

Harapan untuk mendapatkan kelah disandarkan pula dengan kaedah casting. Apabila menjelang petang, kami mencuba nasib meranduk air separuh lutut dan melakukan di kawasan jeram menggunakan sesudu.

 

Ia bukanlah satu kaedah yang lazim untuk memancing kelah, malah pada sesetengah pemancing ia dianggap sebagai taboo. Mana boleh meranduk sungai untuk casting kelah.

 

IKLAN

Ternyata ia bukanlah rukun memancing kelah kerana salah seorang daripada kami berjaya juga menaikkan seekor kelah dan lebih memeranjatkan, beliau hanya menggunakan sesudu atau spoon berstatus cap ayam! Spoon berharga kurang dari RM 5… bukannya spoon yang dianggap keramat atau rare.

 

Satu hari satu malam di Lubuk Kedah, kami berjaya menaikkan seekor kelah dan beberapa ekor ikan rong dan susur batang sebesar 3 jari.

 

Manakala satu grup bersebelahan kumpulan kami berkhemah turut berjaya menaikkan seekor kelah, hasil usaha mencari lubuk yang bersesuaian dengan menggunakan rakit buluh kepunyaan Orang Asli Bateq.

 

Selain beberapa ekor lampam sungai yang agak kasar juga saiznya. Ia sesuatu yang menarik juga kerana dikhabarkan agak sukar untuk menaikkan spesies tersebut di Kuala Koh.

 

Hari berikutnya, Lubuk Kedah bertukar rupa. Ia tidak lagi sebagaimana lubuk kelah yang didambakan. Sunyi dan damai, sebaliknya tidak ubah seperti kawasan perkelahan. Tambah pula yang datang membawa keluarga dan menjadikan lubuk kelah ini sebagai kawasan berkelah. Siap ada kelas si ibu mengajar anak-anak berenang di bawah tali pancing. Dan kelas itu berlarutan dari pagi sehinggalah ke petang.

 

Episod berkelah di Kuala Koh diserikan pula dengan hujan lebat malam kedua. Sekaligus menamatkan sisa-sisa harapan untuk menaikkan kelah lagi.

 

Hari ketiga, air sungai pula yang bertukar warna. Keruh umpama teh tarik. Sekeruh muka-muka kami juga barangkali. Yang jernih cuma wajah pengusaha bot pancung kerana tugasnya dapat diselesaikan lebih awal.

 

Dan secara peribadi pula, saya berharap ahli team Sentap yang baru melangkah ke hobi memancing ini tidak sentap sebagaimana nama kumpulan.

 

Kuala Koh masih ada kelah dan spesies-spesies lain. Kuala Koh masih lubuk memancing kelah… dan bukannya bertukar menjadi port berkelah.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI