Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Ads
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis. Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit saja sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Ads
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukan ular dan boleh dimakan.
Ads
Nenek selalu memberikan nasihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain. Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Mangrove Jack (MJ) atau lebih dikenali ikan siakap merah atau kakap merah turut dipanggil dengan gelaran mak janda (MJ), merupakan antara ikan sasaran setiap kali kami turun memancing ke laut dalam.
Ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.
Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.
Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.
“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.
Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.
Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah kenduri mak janda. 12 ekor mak janda berjaya didaratkan. Jangka masa situasi kenduri ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.
Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja. Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor mak janda bersaiz kasar.
Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk mak janda tersebut.
Negeri Sabah memang terkenal dengan lokasi pancingan sungai pegunungan yang menarik untuk memburu spesies pelian dan sebarau. Antara yang popular ialah di daerah Sipitang yang terletak di bahagian paling selatan negeri Sabah.
Dengan kawasan hutan yang masih terpelihara serta sistem sungai yang jauh dari kawasan penempatan manusia menjadikan spesies ikan mampu berkembang biak dengan jumlah yang banyak.
Trip Musim Kemarau
Saya bersama beberapa orang rakan berpeluang menjelajah ke satu bahagian Sungai Meligan yang terletak di kawasan Sipitang. Jarak perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam dari Pekan Sipitang menuju ke Kampung Meligan sebelum bergerak ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan 4 roda.
Trip kali ini disertai oleh saya sendiri, Supari dan isteri, Adi, Reon selaku pemandu arah serta saudara Faidey bersama isteri. Kami bergerak dari Pekan Sipitang menggunakan 2 buah kenderaan dan tiba di Kampung Meligan sekitar jam 9 malam.
Setibanya di rumah penginapan yang diaturkan oleh Reon kami mengambil keputusan untuk berehat sambil menyediakan segala kelengkapan untuk dibawa hari berikutnya. Keesokan hari, setelah bersarapan, kami bergerak ke lokasi dengan menggunakan 2 buah kenderaan.
Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang sejam setengah menggunakan pacuan 4 roda melalui jalan balak. Perjalanan kali ini agak mudah disebabkan cuaca panas dan kering menjadikan laluan agak mudah dilalui.
Trip kali ini kami disertai oleh beberapa orang malim dari Kampung Meligan sebagai jurupandu serta membantu mengangkut segala kelengkapan kerana kami akan bermalam di lokasi.
Setibanya di lokasi terakhir yang boleh dilalui kenderaan, kami terus bersiap untuk menyambung perjalanan dengan berjalan kaki. Perjalanan menuruni bukit mengambil masa lebih kurang 1 jam melalui denai pemburu.
Perjalanan agak selesa kerana cuaca yang sedikit redup serta suhu yang agak sejuk. Sekitar jam 11 pagi kami sampai ke tapak perkhemahan di kaki bukit betul-betul di atas tebing sungai. Kru malim yang turut serta banyak membantu menyiapkan khemah serta persediaan lain sebelum aktiviti memancing diteruskan.
Bebas Pencemaran
Kawasan Sungai Meligan yang jauh daripada pembangunan serta tiada pencemaran memberi pengalaman indah sepanjang perjalanan kami. Tujuan utama kami bukanlah untuk mengambil ikan sebanyak mungkin, tetapi lebih kepada aktiviti riadah.
Perjalanan tidaklah begitu sukar memandangkan kebanyakan bahagian sungai menjadi kering akibat musim kemarau yang berpanjangan. Namun begitu terdapat banyak lubuk yang cantik di mana kebanyakan spesies sebarau dan pelian berkumpul.
Sepanjang 4 jam perjalanan menyusuri sungai kami sempat casting menggunakan set ala kadar dan menggunakan sesudu ekonomi. Oleh kerana sistem sungai yang masih terpelihara, banyak strike yang kami dapat sepanjang perjalanan. Terdapat juga lubuk yang dalam yang sesuai diduga dengan teknik pancingan dasar.
Apa jua teknik yang digunakan di kawasan ini hampir pasti akan mendatangkan hasil. Setelah jauh berjalan akhirnya kami sampai ke salah satu lubuk besar. Di situ kami menggunakan teknik mengilat serta pancingan dasar menggunakan umpan buah sawit masak. Ternyata banyak spesies sebarau serta pelian yang mendiami lubuk berkenaan.
Pengalaman Bernilai
Setelah berjaya mendaratkan spesimen sebarau dan pelian yang mencukupi akhirnya kami membuat keputusan untuk balik ke tapak perkhemahan. Kami bergerak pulang dengan kepuasan dan kegembiraan dapat menikmati seluruh pemandangan dan pengalaman indah sepanjang hari itu.
Setibanya di tapak perkhemahan, kru sudah siap sedia dengan pelbagai menu masakan termasuk pelian dan sebarau yang berjaya dipancing pada hari berkenaan.
Begitu segar rasanya dapat menjamu selera dengan juadah masakan sambil ditemani alam semula jadi yang masih terpelihara. Kepenatan sepanjang perjalanan bagaikan tak terasa sepanjang berada di sini.
Saya berharap sesiapa pun yang berpeluang untuk menjelajah ke Sungai Meligan akan merasai pengalaman yang menyeronokkan lagi berharga ini. Diharapkan juga agar keindahan sungai serta hutan kita akan terus terpelihara bagi menjamin kelestarian spesies sebarau dan pelian yang menjadi antara identiti sungai pegunungan.
Kaki pancing pastinya mengenali ikan haruan. Spesimen bersifat karnivor yang boleh ditemui di kebanyakan lokasi dan sumber air kecuali air masin.
Tidak keterlaluan jika dikatakan haruan antara ikan darat yang paling banyak diburu oleh pemancing.
Beberapa faktor yang menyebabkan spesies tempatan ini begitu popular seperti lokasi pancingan yang senang diterjah dan tidak jauh.
Dengan kata lain ‘port belakang rumah’ sahaja. Manakala kos pancingan yang murah sudah boleh melampiaskan gigil mengilat kerana tiada apa-apa bayaran dikenakan kepada pemancing. Padang pancing haruan pula adalah percuma.
Waktu pancingannya pula tidak lama, pada sebelah pagi dan pada waktu petang hingga Maghrib. Sebelum pergi kerja atau balik kerja masih boleh casting haruan, kalau rajin.
Ada juga di kalangan pemancing yang memburunya pada waktu malam.
Peralatan pancing yang ekonomi sudah cukup untuk menewaskan ikan yang nama saintifiknya Channa striata ini.
Kini banyak joran serta kekili dijual dengan harga mampu milik. Sama ada set spinning mahu pun casting terserah kepada selera dan poket masing-masing.
Cuma untuk kepuasan, sebilangan snakehead hunter menurunkan ‘senjata tempur’ yang high-end lagi mahal.
Haruan yang bersifat teritorial akan menyambar apa sahaja umpanan yang bergerak melintasi wilayah kuasanya.
Tidak perlu risau sama ada soft frog, jump frog, popper, soft plastic, gewang, janggut dan lain-lain umpan tiruan yang dimainkan oleh kaki mengilat atau caster pasti bersambut.
Bunga manggar yang biasa dijadikan perhiasan di majlis perkahwinan pun mencakup! Begitulah gambaran betapa mudahnya menipu-daya spesis snakehead ini.
Umpan semula jadi juga popular di kalangan kaki casting seperti cicak dan katak yang dicangkuk ke mata kail kalis sangkut.
Bagi peminat pancingan dasar dan teknik berpelampung pula cengkerik, anak ikan, lipas dan cacing tanah menjadi pilihan.
KOMPLOT 4 DAERAH
Apis Mirul dari Bentong, Ame Dahalan dari Bera, Akim dari Temerloh dan Amirul dari Mentakab bergabung dalam misi memburu sang haruan Lanchang.
Sehari sebelum komplot, Apis telah pun meninjau mana spot yang bakal diterjah.
Menurut Apis tiga buah paya ditemui dan satu daripadanya bersambung dengan Sungai Semantan. Di samping itu Apis juga menemui sebuah tasik berhampiran sungai.
“Situ boleh layan toman..bang,” Apis memberitahu. Berita baik tu!
Di lokasi pertama kami dikejutkan dengan sambaran awal yang diterima Ame. Saya dan rakan-rakan baru sahaja meletakkan beg dan menyambung joran, tiba-tiba Ame berteriak
“Dah ada..dah ada”. Kelam-kabut semua memasang katak tipu dan bergegas ke spot pilihan masing-masing.
Saya yang mempertaruhkan jump frog celoreng kelabu keluaran Lure Factory masih kumpau. Katak ‘ori’ yang diunjun Akim pula bersepai kepala kena sambar tetapi lucut.
Manakala rakan lain yang menggunakan katak getah asyik diserang ‘curutron’. Kesemua haruan kecil tersebut dilepaskan kembali ke habitat asal untuk stok masa hadapan.
“Jom pindah” Akim bersuara. Apa ada hal. Kalau dah curut sahaja yang sudi lebih baik beralih lokasi.
Langkah diatur menuju ke kereta dan tasik tepi sungai menjadi sasaran kami seterusnya. Kami singgah ngeteh di gerai tepi jalan untuk mengalas perut.
Pancing, pancing jugak tapi kalau perut berkeroncong tak best jugak.
JUAL MAHAL
Tapi nampaknya semasa pencarian kami ini, haruan pula ‘jual mahal’ kepada kami.
Berbagai-bagai umpan tiruan dicuba namun belum berhasil. Lantas saya bergerak secara solo ke satu sudut yang diliputi rumpair.
Setelah trekking meredah belukar kecil, jump frog celoreng dilontar bertali-arus.
Permukaan air sudah dipenuhi dengan jaluran buih hasil lompatan jump frog namun masih tiada sambaran. Terlintas untuk bertukar spot tapi terdetik pula di hati “Campak 4-5 kali lagi, kalau tak ada jugak..Choww”.
Balingan kedua tiba-tiba meletup satu sambaran kasar. Sangkaan awal saya toman yang mengena, rupa-rupanya haruan yang baru mencapai taraf mama yang menyambar.
Seketika bertarung ikan berjaya diheret ke tebing. Jump frog saiz 5.5 cm agak besar juga namun ditelan habis.
Setelah ikan digari, saya kembali semula kepada rakan-rakan. Bersemangat semua apabila melihat hasil yang dibawa. Lontaran demi lontaran kembali cergas menerjah air.
BANGLO HARUAN
Kami berpindah ke lokasi ketiga di mana alurnya memanjang berliku-liku dengan keluasan sekitar 3 meter.
Kelihatan beberapa kumpulan anak-anak haruan yang masih merah bermain di celah rumpai dan reba.
Menurut perkhabaran seorang penduduk kampung yang kebetulan lalu, jarang pemancing yang sampai ke sini.
Sesi terakhir kami mencari sambaran haruan Lanchang di alur ini menyaksikan beberapa ekor lagi pemangsa berjaya ditawan.
Saiz sebesar lengan banyak diperolehi namun megatron nampaknya tidak berminat dengan lompatan serta renangan katak tipu yang kami mainkan.
Sang bujuk pun tidak nampak muka.
Tiupan angin yang tadinya perlahan kini semakin kencang. Rintik-rintik hujan mula turun. Apa tunggu lagi, sebelum ia lebat.
Lantas kami berlari menuju mencari tempat teduhan sebelum menamatkan trip ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...