Mangrove Jack (MJ) atau lebih dikenali ikan siakap merah atau kakap merah turut dipanggil dengan gelaran mak janda (MJ), merupakan antara ikan sasaran setiap kali kami turun memancing ke laut dalam.
Ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.
Ads
Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.
Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.
Ads
“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.
Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.
Ads
Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah kenduri mak janda. 12 ekor mak janda berjaya didaratkan. Jangka masa situasi kenduri ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.
Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja. Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor mak janda bersaiz kasar.
Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk mak janda tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Bila sebut pasal belangkas, mungkin ramai yang pernah pernah mendengarnya tetapi tidak ramai di antara kita yang mengenalinya. Malah mungkin ada juga yang tidak pernah mengetahui mengenai kewujudan makhluk laut ini. Belangkas atau nama saintifiknya Tachypleus gigas, merupakan sejenis haiwan yang hidup di laut dan air payau. Bentuk badanya yang bercengkerang dan dilihat seakan-akan kereta kebal mini yang berwarna kehijauan.
MENANGKAP BELANGKAS
Kebiasaannya, bagi nelayan di Malaysia, belangkas amat mudah ditangkap menggunakan jaring atau pukat yang dipasang memanjang di pesisiran pantai berpasir. Apabila air mulai bergerak pasang, belangkas akan bergerak ke pesisir pantai dan dari situlah ia akan terperangkap di jaring yang dipasang merentasi pantai.
Tahukah anda, belangkas juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Caranya dengan memerhatikan kelompok buih di atas air (sepanjang gigi air). Dengan cara ini, Ia memerlukan daya penglihatan yang tajam untuk menangkap spesies ini.
Kebiasaannya, belangkas akan diperolehi sepasang, iaitu jantan dan betina. Kebanyakan penangkap belangkas, hanya akan mengambil belangkas betina manakala jantan akan dilepaskan. Ia disebabkan betina bersaiz lebih besar, lebih banyak isi dan mengandungi telur.
DARI LAUT KE DAPUR
Untuk menyiang belangkas ia memerlukan ketelitian kerana anda perlu membuang saluran najis hingga ke kantung perutnya yang berada di tengah-tengah anggota kakinya hingga ke dubur iaitu pangkal ekor tajamnya.
Ini kerana, bahagian tersebut mengandungi sejenis toksin yang boleh membuat pemakannya berasa mabuk dan pening kepala. Untuk resipi, belangkas boleh dimasak asam pedas kering atau masak lemak cili api (salai terlebih dahulu). Rasa isinya memang manis seperti isi ketam dan telurnya yang banyak dan rasanya seakan kuning telur asin yang menyelerakan.
UMPAN MEMANCING
Selain dijadikan masakan, belangkas juga amat popular di kalangan kaki pancing laut mahupun kolam kerana keupayaannya dijadikan umpan yang berkesan untuk memikat ikan. Untuk pancingan laut, biasanya, pemancing akan menggunakan telur belangkas dan dikepal bersama mata kail untuk menjerat pelbagai jenis ikan.
Ia memang terbukti mampu menjinakkan spesies bersengat seperti sembilang, belukang dan duri. Manakala untuk air tawar, belangkas dijadikan minyak belangkas yang dicampur bersama dedak atau pallet untuk menjerat rohu, patin, jelawat dan lampam.
Sepanjang perjalanan, Hairi asyik bersiul. Entah mengapa, hatinya berasa sangat gembira dan teruja untuk ke Jeram Lesung. Amza, kawan Zainal sudah beberapa kali mengingatkan Hairi agar menjaga pantang larang semasa di dalam hutan terutama bersiul, namun Hairi buat endah tak endah saja dengan teguran yang diberikan.
Hampir 45 minit meredah denai , akhirnya mereka berlima sampai ke tempat yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras dibahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka. Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.
“Subhanallah! Cantik betul tempat ni.” puji Mizan sambil berjalan ke gigi air. Dia membasuh mukanya sambil berfikir-fikir lokasi manalah hendak dilabuhkan jorannya nanti.
“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Amza. Semua mengikut arahan Amza tanpa banyak soal.
Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Zainal kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar. Mizan dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.
“Ikan apa yang ada di lubuk ni Amza?” Tanya Hairi.
“Ikut pengalaman akulah, ada ikan tengas, sebarau, baung dan kelah” jawab Amza. Mata kail yang sudah dilekatkan umpan dilemparkan ke dalam air.
“Kelah?” Hairi tersenyum keriangan.
Ikan kelah adalah raja segala ikan sungai. Ikan ini memerlukan habitat yang bersih, sunyi dan air yang mengalir tenang.
Bukan calang-calang orang dapat menangkap ikan kelah ini! Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai.
Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.
Menjelang waktu Maghrib, Amza sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.
Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 50-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.
“Boleh pakcik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Amza hanya memandang saja. Zainal dan Mizan pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.
“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Hairi menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
“Tak takut ke memancing di tengah-tengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.
“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Hairi menjawab. Amza menjeling tajam ke arah Hairi!
Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari ditiup angin.
“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Hairi. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya.
Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.
Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.
Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur. Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.
Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang. Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.
“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.
“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah!” jawab lelaki itu bersahaja.
Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat. Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.
Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan. Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Lesung.
Sebagaimana kejohanan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) tahun, pertandingan RPBIC 2017 turut menyaksikan satu keputusan yang sengit.
Tahun lalu (2016) pasukan Rompin Ocean 1 muncul juara dengan perbezaan satu tangkapan berbanding pasukan Penn Battle yang berpuas dengan naib juara.
Tahun ini menyaksikan Team Gawas berjaya muncul sebagai juara setelah berjaya mendaratkan 29 tangkapan manakala pasukan Rompin Ocean terpaksa berpuas hati dengan jumlah 28 tangkapan dan berada di podium kedua.
Selama dua hari pertandingan berlangsung dalam cuaca baik ini menyaksikan 311 tangkapan berupa ikan layaran berjaya direkodkan (200 tangkapan pada hari pertama dan 111 pada hari kedua).
Ia jumlah tangkapan yang begitu memberangsangkan berikutan jumlah peserta yang mengambil bahagian pada tahun ini hanya seramai 78 orang dengan melibatkan 26 buah bot memancing.
Mungkin disebabkan faktor jumlah kemasukan ikan spesies berparuh ini ke perairan Rompin tidak pernah berkurang pada musimnya, sedikit sebanyak ia mempengaruhi jumlah
tangkapan peserta dan yang pasti, tiada satu pasukan pun yang gagal mendaratkan sekurang-kurangnya seekor ikan layaran pada RPBIC 2017 ini.
Keputusan Acara RPBIC 2017
TEAM GAWAS – Dennis Lee Chong Seng (Malaysia), Steven Chong (Malaysia), Wilson Tan (Malaysia) – 29 tangkapan (17,400 mata) – RM20,000 + trofi + peralatan pancing.
ROMPIN OCEAN – Jason Tan (Singapura), Jay (Malaysia), Tan Chon Wee (Malaysia) – 28 tangkapan (16,800 mata) – RM14,000 + trofi + peralatan pancing.
LFX – Ang Sel Sheng (Malaysia), Patrick Erler (Austria), Ang Sel Yin (Malaysia) – 26 tangkapan (15,600 mata) – RM 10,000 + trofi + peralatan pancing.
TEAM XZOGA – Reuben Tan (Singapura), Jacky Ho (Singapura), Chong Man Lee (Malaysia) – 25 tangkapan (15,000 mata) – RM6,000 + trofi + peralatan pancing
LEMAX PRO TEAM – Irwan Osman (Malaysia), Markus Ho (Malaysia), Mohd Kamaruddin Ameran (Malaysia) – 19 tangkapan (11,400 mata) – RM3,000 + trofi + peralatan pancing
TEAM EXPERT GRAPHITE – Ahmad Johari Abdul Jamil (Malaysia), Hidayat Osman (Malaysia), Mohd Ariff (Malaysia) – 16 tangkapan (9,600 mata) – RM2,000 + trofi + peralatan pancing
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...