Lokasi pertama yang saya kunjungi tidak lama dahulu adalah Sungai Hulu Berakit. Lokasinya nun jauh di dalam hutan di Mukim Lepar Utara, Pahang bersempadankan daerah Maran/Kuantan. Trip ini boleh dikatakan trip terjah, bila mensasarkan 100% casting.

 

Di mukim ini, terdapat banyak sungai-sungai pergunungan. Ada yang masih bertaraf anak dara dan ada juga bertaraf bohsia, bila mana ia telah dikaran, tuba, pedih mata oleh orang yang singkat akal fikirannya.

 

Trip Terjah Lubuk Hutan Lepar

 

Kami memilih Sungai Hulu Berakit, kerana destinasinya jauh dan perlu trekking hampir lima jam ke sini. Malah ujar Chilid, rakan yang juga merangkap sebagai guide kami, lokasi ini terlalu jarang dikunjungi pemancing, melainkan pemburu dan juga pencari kayu gaharu dan damar.

 

Selain beg, khemah, saya hanya membawa sekotak kecil perkakasan memancing yang diisi dengan gewang dan sesudu dan dengan ditemani 3 orang rakan dan bermalam satu malam di sini.

 

Bertolak dengan menaiki motosikal sekitar jam 9 pagi, perjalanan kami meredah laluan estet kelapa sawit, lombong besi, jalan balak sebelum tiba di rumah kongsi balak untuk menumpang letak motosikal. Kemudiannya kami berjalan kaki ke hulu sungai dan tiba sekitar jam 3 petang.

IKLAN

 

Trip Terjah Lubuk Hutan Lepar

 

Amat mengujakan bagi saya, kerana sungai yang pada mulanya nampak biasa di bahagian hilir, semakin memukau pandangan mata bila mana sampai ke bahagian hulunya. Daripada pemandangan sungai biasa di bahagian hilir, di bahagian hulu terbentuk kolam-kolam sekaligus membentuk lubuk yang dalam dan airnya berwarna hijau kehitaman.

 

Pada saya memang ia lubuk terbaik memancing bottom. Tetapi, memandangkan tiada perancangan untuk pancingan dasar, kami terus sahaja casting dan terus casting. Hasilnya beberapa ekor tengas bersaiz lengan budak berjaya diperolehi.

 

IKLAN

Trip Terjah Lubuk Hutan Lepar

 

Untuk casting, di kawasan sungai berarus laju ini, sesudu atau gewang kecil perlu dilontarkan di celah atau tepi batu yang dalam airnya. Kemudian karau laju dan cuba berulang-ulang kali. Tengas bersaiz kasar biasanya ada di celahan batu dan jika ada objek melayang (disangka makanan) akan keluar dan mengejar.

 

Menjelang malam, sedang kami merancang apa yang ingin dilakukan esok hari di dalam khemah, tiba-tiba sahaja angin menderu dan tidak lama kemudian hujan lebat turun mencurah hinggalah ke pagi.

 

Sekal gus menyebabkan pemandangan indah yang kami nikmati pagi tadi bertukar menjadi keruh dan deras menyebabkan malam itu kami tidak tidur malam, bimbang-bimbang berlaku kepala air turun.

IKLAN

 

Trip Terjah Lubuk Hutan Lepar

 

Awal pagi, air sungai bukan setakat keruh, tetapi juga meningkatkan paras sungai yang telah membantutkan usaha kami meneroka sungai ini. Oleh sebab paras air masih tinggi, kami mengambil keputusan menamatkan dan pulang. Tiada gunanya terus menunggu.

 

Untuk pulang, kami terpaksa memanjat beberapa buah bukit, menebas semak samun kerana laluan semalam tidak boleh dilalui lagi. Puas berjalan hampir empat jam barulah kami tiba di rumah kongsi balak.

 

Trip Terjah Lubuk Hutan Lepar

 

Saya percaya, jika dapat berkunjung semula ke sini pada musim panas kering dan mempraktikkan pancingan dasar, pasti mampu memberikan hasil yang lebih menggembirakan. Ini kerana tengas bersaiz kasar aktif mencari makan pada waktu malam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI