Beberapa tahun yang lalu, ajakan dari seorang rakan kerja untuk mengikuti pak ciknya memancing di Klang memang tidak saya lepaskan. Peluang sebegini memang datang hanya sekali sekala. Apatah lagi trip ini terdapat otai-otai yang turut serta.
Kami hanya memakai umpan udang hidup yang dibeli pangkalan jeti. Saya hanya membawa set pancingan ringan dan sederhana dari jenis seperti Toman X-Series dan Exori untuk joran, manakala Pioneer dan Abu Garcia untuk kekili.
Di lokasi pertama, ikan gelama mendominasi tangkapan dengan banyaknya. Puas melayan gelama, kami beralih tempat dengan harapan ada spesies lain yang boleh dipancing.
Alhamdulillah kami berjaya mendapat tarikan dari pari, ketuka, malong, mengkerong, senangin, mayong dan ikan duri. Bersyukur saya dengan tangkapan yang diperolehi.
Sebelum pulang ke jeti, kami singgah di muara sungai untuk menghabiskan saki baki umpan udang hidup.
IKLAN
Unggas dan nyamuk antara ‘rakan’ yang tidak diundang tetapi mereka tidak segan silu menghisap darah kami. Itu semua tidak mematahkan semangat saya.
Selang 30 minit kemudiannya, rod saya membengkok menandakan adanya sentapan dari ikan. Dengan berhati-hati, saya mengarau tali dan hasilnya seekor ikan daun baru.
Dalam pada masa yang sama, terdengar satu kocakan air dan pak cik kawan saya memberitahu itu kemungkinan siakap yang mengejar anak-anak ikan.
IKLAN
Saya dengan segera mencangkuk umpan udang hidup dan membaling ke arah kocakan air tadi. Tidak sampai pun 10 minit, rod saya melentur kuat diselangi bunyi drag menandakan tali dipaksa keluar.
Walaupun menggunakan joran berharga ekonomi, saya cukup sayangkannya dan apa yang penting sekali, ia mampu menahan asakan dari makhluk air ini.
Tali semakin banyak keluar dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Apabila ikan keletihan dan timbul di permukaan air, dengan badannya yang berkilat, saya dengan spontan menjerit… siakap!
IKLAN
Ia merupakan rekod pertama kali saya mendapat siakap. Walaupun badan, kaki,dan tangan bengkak-bengkak dikerjakan oleh unggas dan nyamuk, tapi dengan tertewasnya seekor siakap berskala 2.1kg, membuatkan saya cukup ceria malam itu.
Sampai di jeti pada pukul 3 pagi dan tanpa berlengah lagi saya terus memandu pulang ke rumah kerana pada pukul 8.30 pagi nanti saya terpaksa menjalani rutin harian sebagai seorang pekerja pejabat.
Badan letih adalah lumrah selepas memancing satu hari suntuk tetapi tangkapan yang dibawa pulang terutama tangkapan ’istimewa” pengubat kepada segala keletihan tersebut. Trip bersama otai-otai akan diulangi di masa depan.
Bot yang saya naiki turut disertai oleh 7 lagi wakil media dan agensi pelancongan Pulau Pinang. Kami menaiki bot yang dimiliki oleh Ah Eng. Bot ini sememangnya cukup selesa untuk kami kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
Ah Eng telah membawa kami ke unjam terlebih dulu untuk mendapatkan bekalan umpan hidup. Kami tiba di lokasi mancing tepat jam 6 petang. Tanpa membuang masa, kami terus menghulurkan umpan selar hidup dengan menggunakan teknik hanyut. Spesies buruan kami adalah tenggiri untuk petang ini. Namun, setelah hampir 2 jam menunggu, langsung tiada seekor pun tenggiri yang sudi menjamah umpan.
Tekong mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi rahsianya yang memang didiami oleh spesies ikan gred A seperti jenahak dan kerapu. Kami tiba di lokasi kedua pada jam 8.30 malam. Di spot jenahak dan kerapu ini, ujar tekong teknik yang paling sesuai digunakan adalah teknik pancingan bottom dengan menggunakan umpan sotong atau udang hidup.
Tidak perlu menunggu lama, joran milik agensi pelancongan terus melendut direntap penghuni dasar. Tidak sampai 3 minit bertarung sudah terlihat kilauan emas di dalam air. Naik sahaja jenahak yang pertama, tidak menang tangan kami melayani penghuni dasar ini. Satu demi satu berjaya dinaikkan.
Belum puas melayani jenahak, kami dikejutkan dengan jeritan mesin yang diletakkan di belakang bot. Pemancing yang berada berhampiran terus menyentap joran dan asakan yang kuat dapat dirasai.
Dengan asakan bertubi-tubi, spesies tersebut berjaya melarikan diri ke lubang persembunyiannya. Kemenangan nampaknya berpihak kepada sang ikan. Menurut Ah Eng, daripada cara permainan tersebut, ia sudah dapat di agak iaitu kerapu bersaiz besar!
Jam sudah menunjukkan angka 1 pagi, namun masih ramai lagi wakil media yang masih berjaga menunggu sang ikan menjamah umpan. Saya yang sedang rancak mencandat sotong untuk dijadikan umpan tiba-tiba dikejutkan dengan lenturan kuat joran yang diletakkan di belakang bot lantas bingkas bangun dan menyentap joran tersebut.
Aksi penutup hari pertama adalah dari wakil agensi pelancongan dan wakil media yang masing-masing berjaya menaikkan jenahak bersaiz kasar. Yang epiknya, kedua-dua ikan tersebut juga telah berjaya mematahkan joran mereka. Bayangkan bagaimana joran yang begitu kuat berjaya dipatahkan dengan asakan si bantal emas ini?
Hari kedua bermula sangat hambar. Tidak ada sebarang getuan dapat dirasai pada sebelah pagi sehinggalah joran milik tekong mendapat satu stike dari penghuni dasar. Ah Eng yang menggunakan kekili elektrik, bagaikan tiada tentangan langsung untuk menaikkan seekor ikan duri berskala hampir sekilogram.
Pada waktu lewat petang pula joran milik wakil media turut direntap ganas. Pada mulanya kami menjangkakan ikan duri yang telah meratah umpan sotong yang dihulurkan, rupa-rupanya sang kerapu hampir sekilogram menunjukkan bayangnya. Wakil media bersorak kegembiraan kerana pada hari pertama tiada seekor pun kerapu berjaya kami naikkan.
Menjelang senja, Tekong mengajak kami berpindah ke Lubuk Kapal Karam yang juga menjadi lubuk favouritenya. Di sini, sekali lagi Ah Eng menjadi pemecah suasana apabila berjaya mendaratkan ikan duri berskala sekilogram.
Tidak lama selepas itu, salah seorang daripada kami menerima asakan kuat dari dasar dan dengan bantuan tekong, beliau berjaya menaikkan kerapu berskala 2 kilogram. Apa lagi riuh rendah suasana di dalam bot apabila satu persatu spesies gred A berjaya dinaikkan. Menurut tekong, semakin hari gelap, semakin galak ikan menjamah umpan.
Menjelang jam 6 pagi, kami pun menuju pulang ke Jeti Straight Quay. Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan matahari terbit yang begitu indah sekali. Kami tiba di Jeti tepat jam 9 pagi.
Dalam kenyataan akhbar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bertarikh 5 Ogos (kelmarin) mengesahkan seekor ikan bersaiz monster atau nama saintifiknya Arapaima gigas ditemui mati terapung di tepi Tasik Taman Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.
Ikan arapaima merupakan antara ikan air tawar terbesar dunia berasal dari Lembangan Amazon. Ikan gergasi spesis ini ditemui mati di Bukit Padang, Kota Kinabalu Sabah.
Dipercayai ia adalah ikan jenis Arapaima yang biasanya hidup di perairan Amazon Brazil. Ikan sepanjang 7kaki dan seberat 108kg itu ditemui mati oleh anggota Bahagian Taman
Awam, Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sekitar jam 8.00 pagi semasa kerja-kerja pembersihan di tepi tasik Taman Tuan Fuad Stephens (Bukit Padang).
Pihak DBKK menafikan ikan tersebut dipelihara oleh DBKK, berkemungkinan ikan itu dilepaskan oleh pemilik ke Tasik Taman Tun Fuad Stephens kerana tidak mampu menjaganya.
Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS telah membawa ikan tersebut ke makmal untuk mengenal pasti punca kematian.
Berita yang turut dipaparkan di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia – Malaysia Animal Associations itu ternyata mendapat pelbagai respon dari netizen.
Ramai yang menzahirkan kebimbangan spesies ikan invasive yang dari negara luar yang kini berada di perairan Malaysia mengganggu ekologi dan mengancam spesies ikan tempatan.
Kemusnahan spesies ikan tempatan akan berlaku sekiranya peminat ikan membawa ikan spesies ganas dan pemangsa dari luar dan tidak bertanggungjawab melepaskan ikan
pemangsa sebegini ke sungai, tasik dan lombong dinegara ini apabila sudah tidak mampu memeliharanya lagi.
Lebih dibimbangi jika ikan ini membesar ke saiz yang maksimum membahayakan bot kecil pemancing dan mampu menterbalikkan bot pemancing yang sedang berada di tasik atau sungai tanpa mengetahui spesies pengancam ini telah lama berada di tasik tersebut.
Antara lain komen netizen:
“Dari tahun 90-an ikan arapaima ni sudah ada di tasik tu (Taman Tun Fuad Bukit Padang). Bukan 1-2 ekor tapi banyak… labi-labi saiz meja bulat pun pernah dijumpai di taman ini.” – Marc Jude MJ
“Sama jugak dengan ikan peacock bass (ikan raja). Sekarang populasi dia dah meningkat dan populasi haruan berkurangan sebab peacock bass ni suka makan anak-anak haruan. Boleh dikatakan hampir semua kolam ada ikan raja ni.” – Naan Tamizhan
“Aritu sy ade tgk discovery channel, x silap sy yg berlaku di US dan di UK sampai rosak ekosistem sg, tasik disebabkan kepercayaan penganut Buddha yg menganggap dgn
melepaskan ikan atau kura2 dapat menghapuskan dosa mereka dan mendatangkan karma yg baik. Ikan yg bawak karma elok tu kebanyakkan nya jenis invasive. Teruk jugak impact ekosistem sg tasik depa. Habis ikan lain kena makan.” – Khairiah Ali-Carr
“Antara spesies yg gila bela, lepas tu lepaskan kt perairan negara… peacock bass, flower horn, cherax (yg diorg panggil lobster air tawar tu…jadahnye lobster), keli afrika… waima
talapia tu pun bukan asal negara kita…tngok bersepah talapia kat sungai dan lombong negara kita.” – Selamanya Jex
Jeti Kemasin yang terletak di kawasan Jajahan Bachok, Kelantan ini memang terkenal bagi kaki-kaki pancing tempatan mahupun dari luar. Tidak hairanlah jika saban minggu ada sahaja muka baru atau orang luar muncul untuk mencuba nasib menduga perairan Laut China Selatan.
Kali ini wakil dari Penang Anglers Club (PAC) ingin mencuba nasib di perairan ini setelah puas bermain dan bertarung dengan ikan-ikan di sebelah utara Selat Melaka. Seramai 18 orang yang menyertai misi ini dan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bot. Kapten pilihan kami ialah tekong Pok Din (bot #1) yang di ‘organise’ oleh saya dan tekong Pok Pa (bot #2 yang di ‘organise’ oleh Faizul.
Tempat sasaran kami adalah sekitar perairan Pulau Redang, Terengganu dan tempoh pancingan yang dipilih adalah 3 hari 2 malam.
Selepas Asar kami menyusur membelah ombak mencari spot sotong untuk dijadikan umpan hidup di Redang pada keesokan hari nanti. Spot sotong mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai dari jeti. Ketika bot menuju spot sempat kami membuat perambut candat dan melelapkan mata seketika untuk berehat.
Kelibat bot #2 sudah tidak kelihatan, masing-masing mencari spot sendiri mana la tahu dapat kandang sotong boleh la ‘calling-calling’ untuk sama-sama mencari umpan.
Ternyata malam itu sotong tidak seberapa mewah. Hanya yang hidup ada 30 ekor sahaja. Tekong Din menghubungi tekong bot #2. Hasil sotong hidup bot #2 pun kurang pada malam tersebut. Memandangkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, satu perbincangan kecil antara saya dengan Tekong Din agar meneruskan perjalanan menuju ke Redang. Perjalanan ke Redang membolehkan kami tidur sepuasnya.
Pukul 7 pagi kami sampai satu spot kapal karam. Bayang Pulau Redang sudah kelihatan tetapi masih jauh nak dituju. Labuh dulu umpan mana tahu ada rezeki kami.
Balan, selaku orang baru yang mengikuti trip ini menggigil mengarau kudrat jenahak. First strike dengan spesimen 7 kg membuatkan beliau tersenyum lebar dan membuatkan rakan lain berasa geram, tercabar dan tak senang duduk. Lantas, kemudiannya, seekor demi seekor pelbagai spesies dinaikkan daripada rakan lain. Ada juga mencuba nasib dengan kaedah jigging.
Faez berjaya mendaratkan sagai berskala 2 kg dengan menggunakan setup light jig. Padanan rod Major Craft Go Emotion PE#0.4-0.8 dengan kekili Shimano Stradic CI4 – 2500FA, serta tali sulam Extreme Spectra 10 lb memang karan melayan.
Pindah lubuk
Jam 9 pagi kami berpindah menuju ke karang Redang. Kelihatan bot #2 baru sampai mencari spot karang dan lopak. Set yang sama digunakan, umpan sotong hidup menjadi taruhan. Strike!!! Hanya menekan button ON kemudian bertahan dengan batang rod sahaja.
Mudah dengan adanya khidmat ‘bangla’. Kudrat Miya command X6 memang tidak dinafikan akan kekuatannya. Jangan putus perambut sudah. Spesimen 4 kg ebek berjaya didaratkan oleh saya.
“Gancu…! Gancu…! Dia mai dah,” jerit Didi yang menjadi DJ di atas bot #1. Ada sahaja celoteh beliau di atas bot yang membuatkan kami tidak sunyi. Tahniah, ebek seberat 6 kg berjaya menjadi milik Shahrul Amin.
Petang kami masih di karang Redang. Melayan karenah ikan bersaiz 500 gram sehingga 2 kg. Saiz sebegini memang sedap untuk lauk. Hari semakin senja, umpan hirisan sotong dipertaruhkan.
Tiba-tiba isyarat loceng berbunyi, lenturan joran kelihatan. Spesies apakah ini? Skrin Miya Command X6 menunjukkan bacaan 54 meter terus memuntahkan tali hingga 70 meter. Drag diperketat sedikit lagi agar tali tidak terus keluar. Sedang asyik melayan kudrat yang tidak tahu spesies apakah ini, ada juga rakan lain sudah berjaya mendaratkan ikan. Pertarungan masih berlaku, akhirnya muncul jua memperkenalkan diri. Satu spesies yang diberi nama yu kemejan.
Memang spesies ini kuat kudratnya sehinggakan memerlukan dua batang gancu untuk menaikkannya di atas bot. Satu kepuasan bagi saya kerana dapat menjinakkan yu kemejan ini yang berskala 13 kg.
Sebelah malamnya, kami masih dengan seisi bottom menggunakan hirisan juraian sotong. Teknik jig juga dipertaruhkan. Dengan menggunakan jig luminous pasti dapat menarik perhatian spesies pelagik.
Cupak bersaiz remaja banyak terpedaya dengan aksi unjunan jig luminous ini. Sesekali alu-alu juga membaham jig ini yang membuatkan putus tali perambut. Geram juga jika spesies ini menyerang. Tetapi hendak buat macam mana memang itu rezeki kita. Layan je la.
(Bot #2)
Dikendalikan oleh tekong Pok Pa dan seorang pembantu bernama Meso. Para pemancing terdiri daripada Faizul (penganjur), Zarmali, angah, Asu, Jett, Amirul Yusrizal, Remy dan Hj Kasim. Saya mendapat maklumat daripada organiser iaitu Faizul, mereka mencari umpan sotong sehingga jam 4 pagi kemudian baru meneruskan perjalanan ke perairan Redang.
Bekalan sotong hidup mereka juga agak kekurangan. Pada malam pertama pencarian sotong lebih gemarkan memakan umpan ikan. Mujur mereka ada membawa sedikit umpan ikan yang dibeli di pasar.
Jam 9 setengah pagi baru mereka sampai di Redang. Bermulalah misi mereka mencari spesies monster. Ada yang mengunjun jig dan bottom sebagai teknik untuk mendapatkan hasil tangkapan. Spot mereka berjaya mendapat 4 ekor jemuduk, 4 ekor ebek, dan pelbagai spesies ikan lauk.
Difahamkan Jett mendapat ragutan kasar oleh sang layaran. Hanya mendapat melihat aksi akrobatik layaran sahaja. Tetapi apakan daya set ringan jignya tidak mampu menahan kudrat sang layaran sehinggakan beliau terpaksa memotong tali set pancingnya.
Pada sebelah petang Faizul mendapat strike seekor tenggiri seberat hampir 5kg dengan teknik drift. Set yang digunakan terdiri daripada kekili Shimano Aernos 8000, rod Asuka 10-20lb, tali utama 25lb Power Pro sudah cukup untuk membuatkan sang tenggiri menyerah kalah.
Misi Selesai
Keesokan hari kami memancing sehingga pukul 10 pagi sahaja memandangkan perjalanan pulang ke jeti yang masih jauh. Bot mula meninggalkan lubuk menuju ke daratan yang mengambil masa 7 jam untuk sampai ke jeti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...