Dunia seorang yang bergelumang dengan dunia hanyir ini sukar untuk diduga. Begitu juga dengan bentuk pancingan dan hasil yang dipancing. Apa saja jenis kaedah untuk memperoleh hasil akan dilakukan jika gagal memperolehnya melalui kaedah memancing.
Namun kaedah mendapatkan hasil tersebut tidaklah menghalalkan cara demi mencapai matlamat. Banyak cara yang beretika untuk mendapatkan hasil tangkapan sekiranya penggunaan joran dan kekili menemui jalan buntu. Salah satu caranya ialah dengan ‘mengoca’.
Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar perkataan mengoca dan tertanya-tanya akan maksud perkataan itu. Namun bagi masyarakat terutamanya di Negeri Sembilan, perkataan itu bukanlah sesuatu yang asing.
Ads
Mengoca ini membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam. Lazimnya, aktiviti mengoca diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.
Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati agak dalam yang menyulitkan untuk menangkap dengan tangan, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.
Ads
Baru-baru saya dan beberapa rakan pemancing melaksanakan aktiviti mengoca tanpa dirancang. Perancangan asal kami ialah untuk casting di tebing-tebing sungai di Sungai Tekala, Semenyih. Setelah beberapa lokasi kami redah dan gagal memperoleh hasil, kami bertemu dengan sebuah lopak kolam di tepi sungai (kawasan limpahan air sungai) yang dihuni spesies ikan yang tidak dikenal pasti.
Setelah meninjau keadaan dan kedalaman lopak kolam tu kami segera bertindak. Menyedari tidak sesuai untuk memancing di lopak kolam tersebut, sedangkan kelihatan begitu banyak pergerakan ikan, maka kami bersepakat untuk mengoca. Tanpa berlengah kami segera mengambil tangguk di dalam kereta.
Ads
Secara beramai-ramai kami mengepung dan membimbing ikan-ikan agar lari ke arah tangguk. Dalam masa yang singkat kami sudah memperoleh hasilnya. Tak sangka pula lopak kolam itu dihuni oleh kumpulan ikan terbol. Saiz-saiz ikan terbol itu pula agak kasar-kasar juga.
Lebih dari satu juga kami menghabiskan masa mengoca di lubuk terbol itu. Setelah hasilnya dikumpul dan ditimbang, sama sekali kami tidak menyangka berjaya mengoca terbol hampir 30 kg banyaknya. Ikan-ikan terbol itu kami agihkan sesama sendiri dan turut menjadi rezeki jiran tetangga yang berdekatan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selepas beberapa kali berbincang dengan Chilid, rakan yang membawa saya ke Hulu Berakit dahulu, akhirnya saya kembali lagi ke mukim ini. Kali ini kunjungan saya disertai beberapa orang rakan dari KL iaitu Hassan, Ramli, Pozi dan Zul yang teringin sangat merasai pengalaman memancing di dalam hutan.
Tapi kali ini ke lokasi baru iaitu Hulu Sungai Lembing yang terletak tidak jauh dari mukim yang sama. Menurut Chilid, Sungai Hulu Lembing ini dijumpai oleh rakan-rakannya yang gemar masuk hutan mencari spot-spot memancing baru selain hasil bantuan pekerja balak yang memberitahu terdapat sungai di lokasi berkenaan.
Dengan perancangan sama untuk bermalam, trip ini bukan semudah trip terdahulu. Laluannya terlalu banyak mendaki bukit yang sebetulnya sudah layak dipanggil gunung. Ini kerana ketika kami tiba dan melalui di satu laluan permatang, gegendang telinga kami berdengung kerana faktor ketinggian selain laluan berkenaan berkabus pada waktu tengah hari.
Keadaan jalan juga cukup teruk dan berbatu kerikil menyebabkan ada di antara motosikal kami terjatuh kerana kesukaran mengawal ketika menuruni bukit curam. Paling teruk, beberapa kali tiub motosikal Ramli dan saya sendiri bocor terus dan kami kehabisan tiub ganti.
Mahu tidak mahu, terpaksa sumbat daun-daun dan rumput sebagai ganti tiub untuk mengurangkan beban tayar. Selepas beberapa kali jatuh, akhirnya kami tiba juga di penghujung jalan balak, sebelum kami meninggalkan motosikal dan trekking pula selama sejam untuk sampai ke campsite.
Hujan Lebat
Walaupun cuaca sebelumnya baik, tetapi hukum alam tidak siapa dapat menghalang. Dalam keseronokan kami melayan tarikan tengas dan baung di hadapan khemah selepas makan malam, kami dikejutkan dengan dentuman guruh dan pancaran kilat di langit. Angin juga menderu kuat dan tidak lama hujan turut dengan selebatnya.
Dalam tempoh beberapa minit sahaja, air sungai menjadi semakin keruh dan tiba di tiang khemah. Serta-merta kami mengangkat khemah berkenaan dan menebas semak di atas bukit dalam keadaan hujan bagi mendirikan khemah baru. Habis terbantut usaha untuk memancing malam tersebut.
Keesokan paginya, air telah beransur surut, tetapi masih lagi keruh. Perancangan tetap diteruskan untuk turun ke bahagian hilir untuk casting dan juga bottom di lokasi yang berpotensi. Zul, Pozi, Azi, Chilid dan saya turun ke hilir, manakala Hassan dan Ramli terpaksa tinggal akibat terseliuh terjatuh dari motosikal semalam.
Sepanjang berjalan meniti di atas batu dan mendaki tebing berbatu, banyak spot menarik yang kami temui, sayangnya, air masih lagi keruh. Cubaan casting menggunakan sesudu bersaiz kecil lebih menjadi, berbanding sesudu besar.
Air Semakin Dalam
Sepanjang turun ke bahagian hilir, kami perhatikan airnya semakin dalam. Sampai satu tahap kami terpaksa terjun dan terus berpaut pada batu untuk ke tebing sebelah sana, kerana kaki sudah tidak jejak di dasar sungai.
Kira-kira empat jam perjalanan, kami memutuskan untuk berhenti kerana tiada cara untuk kami melintas sungai kerana airnya terlalu dalam dan deras. Tambahan pula tebing batu tinggi menyukarkan kami untuk turun lebih jauh.
Di lubuk dalam ini, kami mengambil keputusan untuk memancing dasar untuk tujuan mencari lauk makan malam. Apa yang boleh dikatakan, kami memang tidak menang tangan melayan tarikan tengas hanya menggunakan umpan cacing tanah yang digali di tebing sungai. Cuma tiadalah saiz-saiz XL.
Sesekali, anak kelah juga berjaya diperolehi, sekali gus membuktikan Sungai Hulu Lembing memang kaya dengan khazanah populasi ikannya. Puas melayan bottom, kami berpatah balik pulang ke khemah sambil terus memancing dasar dan juga casting di spot terbaik.
Malam itu, semua tengas saiz kasar kami salai untuk dibawa pulang dan selebihnya sebagai lauk makan. Menu asam pedas ikan tengas dan juga baung menyebabkan kami puas meratah ikan sampai habis.
Menurut Chilid, dia percaya bahagian hilir sungai ini ikan-ikannya saiznya lebih besar, tetapi halangan utama untuk sampai adalah jika mengikut terus jalan air dan agak berbahaya kerana berbatu licin dan deras.
Selain itu, sungai ini betul-betul melalui celah gunung kerana tiada langsung tebing berpasir ataupun mendatar jika mahu memasang khemah. Jika melalui jalan darat, akan mengambil risiko tinggi kerana tebingnya tinggi dan curam.
Suatu masa dahulu, mendengar nama pulau jerejak pasti ramai yang berasa gerun kerana pulau ini pernah menjadi tapak kuarantin bagi pesakit kusta, tibi dan juga penjara bagi pesalah jenayah.
Malah, ada yang pernah menggelar pulau ini sebagai ‘Pulau buangan’ Dan ‘Pulau Alcatraz Malaysia’.
Namun, di sebalik tinggalan kisah lampau ini, Pulau Jerejak ini mendapat tempat sebagai antara lokasi pilihan memancing yang popular di perairan Pulau Mutiara.
Pulau dengan keluasan 362 hektar dan terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar ini menjadi habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.
Siapa sangka sebuah pulau kecil yang dahulunya mencatatkan 1001 kini menjadi antara spot pancingan yang popular di utara tanah air.
Pulau Jerejak yang terletak di selatan Pulau Pinang kini semakin mendapat tempat di hati kaki pancing sejak mula berubah wajah untuk dibangunkan menjadi sebuah kawasan peranginan.
Menurut penduduk sekitar, kunjungan kaki pancing perairan Pulau Jerejak ini semakin meningkat saban hari terutama hujung minggu dan cuti umum.
Apa tidaknya, hasil laut yang ada di sini bolehlah dikategorikan sebagai gred A. Dari spesies jenahak, kerapu, siakap, pari, talang, dan GT, semuanya pernah dinaikkan di pulau ini.
Malah, ada suatu ketika dikatakan kawanan ikan merah pernah singgah di perairan pulau ini.
Dengan bayaran serendah RM15 bagi satu kepala, anda boleh memancing di pulau ini dari pagi hingga ke lewat petang.
Malah, ada juga pemancing yang memilih sesi malam hingga awal pagi untuk menduga ikan di kepulauan kecil ini.
Bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini, mereka boleh memilih sendiri lokasi memancing pilihan mereka.
Tidak kiralah di hadapan atau belakang pulau, semuanya anda boleh deal dengan boatman yang membawa anda ke sana.
PANGGILAN PULAU
Kunjungan saya ke pulau ini tidak dirancang sama sekali. Kunjungan ke rumah rakan sewaktu di IPT dahulu, membuatkan saya mengajaknya untuk merasai pengalaman memancing di sini.
Saya memilih sesi pancingan dari pagi hingga lewat petang untuk beraksi di Pulau Jerejak ini. Untuk trip kali ini, tiada spesies sasaran yang disasarkan, cuma lebih kepada mengharapkan ikan yang bersaiz memuaskan dapat dinaikkan.
Seawal jam 8.00 pagi saya bersama seorang rakan tiba di Jeti Batu Maung untuk menuju ke Pulau Jerejak.
Tepat jam 8.30 pagi kami pun memulakan perjalanan ke lokasi pilihan kami. Kami memutuskan untuk mencuba nasib di bahagian belakang pulau yang berhampiran dengan sangkar ikan. Spot ini sememangnya top di kalangan kaki pancing.
KEBERKESANAN UMPAN DI SEKITAR PULAU JEREJAK
Melalui pengalaman rakan saya yang telah beberapa kali berkunjung ke sini, diet utama ikan di kawasan pulau ini ialah udang hidup dan belanak yang banyak bermain di kawasan pulau ini.
Oleh sebab itu, kami telah standby awal-awal membawa jala untuk mencari umpan hidup. Sebagai pilihan, kami juga telah bersedia dengan umpan hirisan ikan termenung dan sotong sebagai umpan alternatif lain sekiranya bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
Nasib kami agak baik. Kerana sewaktu tiba, air bergerak pasang turut membawa ratusan udang dan anak ikan ke pesisir pantai.
Rupanya begitu mudah sekali mendapatkan bekalan umpan hidup di sini. Namun, ujar rakan saya, pernah dalam kunjungannya dahulu begitu sukar mencari umpan hidup.
Justeru itu, bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini dinasihatkan bersedia dengan back-up plan andai kata terjadi situasi bekalan umpan hidup sukar diperolehi.
BABY GT PENGUBAH SUASANA
Selesai sahaja mendapatkan bekalan umpan hidup, kami terus memulakan aktiviti pancingan.
Di sesi awal ini, hanya menyaksikan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan duri tumpas di tangan kami.
Mungkin disebabkan faktor air yang masih surut tatkala itu menjadikan hanya ikan kecil yang mendominasi tangkapan.
Namun segalanya berubah apabila air mulai pasang menjelang tengahari. Umpan udang hidup yang saya lontarkan berhampiran kawasan berbatu rakus disambar penghuni dasar.
Menjerit reel ekonomi Ajiking Wahoo yang saya gunakan sewaktu ditarik spesies yang belum menunjukkan rupa ini.
Dengan pantas penulis melakukan karauan apabila sang ikan laju meluru ke kawasan terumbu karang.
Tak sampai 5 minit bertarung, muncul kilauan putih yang sudah keletihan di atas air. Rupa-rupanya seekor baby GT berskala 1 kg yang menyambar umpan saya.
Nyata saya amat gembira kerana, inilah ikan GT pertama yang penulis daratkan dengan teknik bottom.
Terkulai sahaja baby GT di dalam box ikan, kami semua mulai bersemangat melontar joran. Tidak lama selepas itu, giliran joran Mat pula disambar ikan.
Meliuk lentuk rod yang diletakkan dibatu apabila disambar spesimen bersaiz kasar. Tidak perlu menunggu lama, terkulai seekor jenahak berskala 800 gram yang membaham umpan belanak hidup.
Pada hari itu sahaja pelbagai spesies ikan yang kami perolehi. Namun yang paling rajin menggetu umpan ialah ketuka yang begitu menggemari umpan udang hidup yang kami hidangkan.
Selain itu, plotan (duri bersaiz kasar), tetanda, gerut-gerut dan pelbagai spesies karang lain turut tumpas di tangan kami.
Apabila air mulai penuh kami cuba juga menggunakan pelampung yang berumpankan ikan belanak dan udang hidup untuk memburu siakap, namun, tiada seekor pun yang sudi pada trip kali ini.
Apapun, kami masih berpuas hati dengan hasil-hasil pancingan sepanjang seharian kami di pulau ini.
PENGAKHIRAN CERITA
Menjelang jam 6 petang, kami mula berkemas dan bersedia untuk pulang ke jeti.
Sepanjang perjalanan pulang, kami dihidangkan dengan pemandangan indah lautan dan flora yang menghijau di sekitar Pulau Jerejak ini.
Pulau Jerejak sememangnya wajar boleh diketengahkan menjadi kawasan memancing yang popular di Malaysia.
Saya juga percaya, jika dijaga dengan rapi, pasti pulau ini dapat menggamit lebih ramai kaki pancing dari dalam dan luar Malaysia.
Trip repeat pasti akan saya rangka lagi dalam masa terdekat nanti untuk memburu spesies gred A lain yang masih bersembunyi di ‘Pulau Buangan’ ini.
Pancingan tarpon gergasi selalu dikaitkan dengan Isle, Mexico. Namun kami memilih lokasi negara di benua Afrika ini sebagai pilihan.
Seorang pemancing, Victor Sebag pernah mendaratkan tarpon seberat 283lbs. Malah pada tahun 2006 sahaja, 12 rekod tangkapan tarpon yang dimasukkan dalam IGFA bagi pelbagai kelas tali.
Bonthe merupakan bandar terpencil, pedalaman di sebuah pulau di Sierra Leone. Pernah menjadi pusat perdagangan pertanian utama ketika zaman penjajahannya dahulu. Tarpon di Bonthe biasanya aktif sekitar Januari hingga Mei.
Memancing di Mongolia adalah pengalaman yang menjadi impian lebih-lebih lagi bagi pemburu taimen. Mongolia mempunyai lebih daripada 4000 sungai dan lebih daripada 30 tasik yang jernih dan bersih lantas menjadi lubuk untuk menangkap pelbagai jenis ikan.
Taimen, ikan yang terbesar dalam keluarga salmon, adalah satu cabaran sebenar untuk pemancing yang berkunjung ke sini.
Spesies Taimen rata-rata bersaiz sekitar 33 inci dan berat kira-kira 10lbs. Bagaimanapun jangan terkejut jika anda berjaya menaikkan taimen yang mempunyai saiz gergasi kerana terdapat taimen yang mencecah panjang 1.5 meter.
Sungai Zambezi merupakan sungai keempat terpanjang di Afrika. Sungai ini merentasi beberapa buah negara seperti Malawi, Zimbabwe, Congo, Zambia dan beberapa buah negara lagi.
Bagi bahagian atas lembah sungai ini iaitu dari punca sungai sehingga ke Victoria Falls, sekitar Zambia, kawasan lembah atas ini cukup popular dengan pancingan tigerfish.
Semasa kemuncak musim hujan ketika Sungai Zambezi menjadi semakin lebar dan bertukar warna air, waktu ini merupakan waktu puncak untuk memancing tigerfish di sini.
Tigerfish merupakan spesies ikan yang cukup ganas dan setiap pemancing sudah pasti mahu merasai sendiri bagaimana tentangan daripada ikan yang mempunyai rupa yang cukup ganas ini.
Jika anda penggemar dan merupakan pemancing yang mahu memburu black marlin atau gelarannya ‘Black gold’, apa kata anda terbang menuju ke Cairns.
Cairns yang terletak di timur laut Australia ini dikatakan merupakan tempat terbaik untuk merasai tentangan black marlin. Banyak black marlin yang mempunyai saiz mengagumkan boleh didapati di sini.
Oleh kerana kawasan ini memang dikenali sebagai lokasi tumpuan untuk black marlin membiak, jadi tidak hairanlah jika Cairns menjadi lokasi pilihan utama kaki pancing yang mahu memancing black marlin.
Cairns dikatakan lokasi yang lebih baik berbanding Mozambique dan Panama dalam konteks memancing black marlin. Waktu paling sesuai ke sini ialah sekitar September hingga Disember.
1,496lb! Itulah angka berat seekor tuna sirip biru yang mengatasi semua rekod dunia dan tuna tersebut dipancing di sini pada tahun 1979.
Ikan tuna sirip biru yang selalu ditangkap di kebanyakan tempat lain biasanya mempunyai berat sekitar 800 lb yang dianggap besar, namun di perairan Kanada ini anda boleh menaikkan tuna seberat sekitar 1000lb dengan peratusan yang lebih tinggi.
Memancing di sini biasanya tidak jauh dari daratan. Setiap bot memancing di sini biasanya dilengkapi dengan kerusi untuk pertarungan, namun jika anda mampu berdiri ketika menahan asakan, apa salahnya.
Di sini, undang-undang tangkap dan lepas berkuatkuasa untuk tangkapan tuna sirip biru. Namun bot kini dibenarkan untuk mengambil satu atau dua tangkapan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...