IKLAN

Sekitar jam 10 malam tatkala air pasang perlahan-lahan bergerak surut, joran sepanjang 17 kaki milik Cikgu yang terikat kemas pada pagar kelong, betul-betul di hadapan Faiz direntap kasar hingga terlambung dan menghentak lantai kelong.

Berumpankan seekor sotong mengabang hidup, memang tidak syak lagi target spesies sudah mengena!

 

Memang rezeki Faiz untuk merasa tarikan ganas sang jenahak. Dan sememangnya dapat merasakan tarikan sajalah kerana ia berakhir dengan rabut.

Sama ada perambut kurang berkualiti atau tersilap ikatan, sang jenahak berjaya membawa pergi mata kail yang terlucut daripada ikatan perambut.

 

HARI KEDUA

Arus yang sedikit laju pada awal pagi, penulis ambil kesempatan untuk mencuba drift selar hidup. Geram juga tengok alu-alu yang berlegar di keliling kelong.

 

Sambil mengunjun apollo di bahagian belakang kelong, tiba-tiba alarm Penn 940 levelmatic yang dipacak di bahagian hadapan kelong menjerit panjang. Hampir ¾ tali berjaya dibawa

keluar oleh sang todak berskala lebih 2 kilogram yang pada awalnya penulis sangkakan alu-alu.

Jenuh jugalah penulis mengarau multiplayer ratio rendah itu menarik sang todak hingga ke tangga kelong.

 

Pagi hari kedua ini juga Rahman dan 2 orang adiknya, yang merupakan regular anglers di Kelong Pozi dan gemar memancing todak, tiba untuk menyertai kami.

 

Tidak menunggu lama, Rahman memperbaharui lesen jenahaknya berumpankan tamban hidup. Sementara adik-adiknya pula mempamerkan skill dan teknik memancing ikan-ikan kecil seperti jenjulung, todak dan bebolos.

IKLAN

 

Menjelang tengah hari, ketika sedang asyik menghanyutkan tamban hidup melalui teknik drift, salah satu joran Faiz berumpankan selar hidup melendut dan tali ditarik keluar dengan laju. Pantas penulis sambar dan melayan hingga mangsa mendedahkan identitinya.

 

“Gubal!” Jerit Cikgu.

 

Namun dalam kekalutan mengheretnya ke dalam tangguk, senangin bersaiz besar itu berjaya meloloskan diri juga. Melihat senangin bersaiz besar atau gubal itu longkos hanya beberapa jengkal dari mulut tangguk, bukanlah satu insiden yang manis untuk dikenang.

 

Setelah sepi buat seketika dan air mula bergerak pasang, umpan udang hidup yang dihulurkan oleh Cikgu berhampiran tiang kelong, disambar sesuatu dan memecut laju menjauhi kelong.

 

Pengalaman Cikgu ditagih bagi mengendali larian ikan yang belum dikenal pasti jenisnya. Terutamanya apabila ikan itu cuba meloloskan diri dengan memasuki bahagian bawah kelong.

 

IKLAN

Apabila sang mangsa sekilas memperlihatkan belangnya di permukaan air, tekanan terus diberikan dari memasuki bawah kelong sehinggalah selamat masuk ke dalam tangguk. Gerong belang berskala 2.5 kilogram menjadi penyelamat trip ini.

 

TRIP KEDUA

Kegagalan memperolehi lesen jenahak, mendesak penulis untuk buat come back. Hanya bertemankan rakan Fitri, dan Cikgu pula hanya dapat sertai pada lewat petang, trip kedua

ini penulis sediakan sendiri segala kelengkapan termasuklah udang hidup dan sedikit cumit segar sebagai umpan tambahan.

 

Tepat jam 12.30 tengah hari penulis dan Fitri sudah terpacak di atas kelong yang kosong dan lapang. Mujur juga boatman, Jawe, yang ememangnya ringan tulang membantu itu dan ini.

 

Ternyata tamban sukar untuk diperolehi pada kali ini. Jenuh tangan mengunjun Apollo namun seekor tamban pun tak lekat.

Hanya selar kuning saja yang berjaya diperolehi.
Sudahnya, semua pancing dilabuhkan menggunakan umpan udang hidup dan cumit segar ke spot yang berpotensi.

 

Tidak lama selepas itu, Fitri berjaya menaikkan seekor pari bintik berumpankan cumit segar berdekatan dengan tangga kelong. Kemudian seekor dengkis juga beliau berjaya naikkan berumpankan sotong hidup. Udang hidup dan selar kuning langsung tidak diusik.

 

Kehadiran Cikgu bersama 4 orang pemancing pada lewat senja, yang memperbanyakkan lagi umpan dihulurkan ke dalam air juga gagal mendaratkan ikan sasaran.

Hanya ketika dinihari, menghampiri jam 2 pagi, tali pancing milik penulis kelihatan kendur dan hanyut menghampiri kelong.

 

Apabila digulung dan ditegangkan, jelas terasa ada sesuatu yang mengena dan memberikan tentangan kuat. Pecutannya ke arah kelong segera disekat dan akhirnya berjaya dinaikkan ke kelong. Lesen!

 

Akhirnya penulis berjaya juga memperolehi lesen jenahak di Kelong Pozi. Sebelum angin kencang dan hujat lebat turun, seekor jenahak berstatus ‘sunti’ di port yang sama berjaya penulis naikkan.

 

Siang hari pada hari kedua trip kedua, mungkin diperolehi ribut dan hujan lebat, suasana di kelong bertukar sepi ekoran tiada siapa yang berjaya menaikkan ikan.

 

Hanya menjelang tengah hari sebelum penulis mengambil keputusan untuk menamatkan trip, barulah ada yang berjaya menaikkan senangin dan baji. Yang pasti, Kelong Pozi telah didirikan untuk memperbaharui lesen jenahak yang lebih besar.