Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman. Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.

 

Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi appollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini. Appollo kami sering full house di unjam yang singgah.

 

Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami. Selepas kami tamat sesi appollo, kami mula melakukan teknik trolling. Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam. Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.

 

Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu. Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan. Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.

 

Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar. Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan.

 

IKLAN

Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang. Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60lb dan batu ladung bersaiz 14.

 

Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg. Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg. Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.

 

Santai Pulau Aur

Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum. Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.

 

IKLAN

Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur. Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan.

 

Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut. Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.

 

Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan. Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.

 

IKLAN

Lubuk Merah dan Kerapu

Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.

 

Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan. Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.

 

Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain. Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama. Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.

 

Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.

 

Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing. Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing. Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI