Kegilaan peacock bass di sini menghentam gewang-gewang permukaan pada awal pagi dan lewat petang serta ada kalanya sewaktu matahari tegak di atas kepala menyebabkan saya sering gigil tangan kerap ‘repeat’ ke Air Kuning.
Spot-spot lazim seperti Bird Sanctuary, Little Kenyir, Peacock Point dan Port Kandang menjadi port biasa yang sering saya kunjungi setiap kali ke sini.
Setelah beberapa kali menduga dan mengamati tabiat ikan di sini, saya dan pendapat beberapa orang rakan pengilat lain berpendapat bahawa paras air yang paling sesuai untuk memancing adalah semasa air sedang menurun dari paras paling tinggi selepas musim hujan.
Waktu itu, akan banyaklah kelibat peacock bass menghambur anak ikan di permukaan air terutamanya pada waktu awal pagi. Namun ada juga pemancing yang gemar mengilat spesies predator ini sewaktu paras air benar-benar surut kerana pada ketika itu PB banyak berlegar di luar kawasan samai yang telah cetek.
Ads
Sedar atau tak, sudah agak lama lombong-lombong di sini dihuni oleh spesies pendatang ini. Malah, bukan hanya di Air Kuning sahaja, tetapi di sekitar lombong di Malim Nawar, Temoh, Mambang Di Awan, Kampung Pisang dan Kampung Gajah juga sudah banyak diperkatakan tentang kewujudan populasi PB. Malah, sejak tahun 90-an lagi ramai yang sudah sedia maklum akan kehadiran spesies pendatang ini.
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat melakukan aktiviti bersama rakan yang berkongsi minat yang sama. Ada kalanya kegembiraan memancing dengan rakan-rakan baik sudah cukup memadai biarpun kumpau seharian. Kalau beroleh sambaran tu sudah dikira bonuslah bagi seorang pemancing.
Ads
Justeru, saya menyeru kepada kaki pancing semua untuk bersama-sama mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika memancing demi menjamin alam sekitar kita supaya terpelihara.
Ads
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Faktor keselamatan diri juga harus dititikberatkan oleh oleh kaki pancing. Kadang-kadang dengan sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah.
Bagi yang gemar boating di Air Kuning, saya menyeru gunakanlah sentiasa jaket keselamatan sebagai langkah keselamatan diri. Malang tidak berbau. Perlu diingat lombong Air Kuning adalah bekas lombong bijih timah dan ia adalah dalam!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing ikan haruan boleh dikategorikan sebagai game mudah atau easy game. Tetapi boleh juga menjadi pancingan ekstrem bergantung kepada padang pancing.
Bagi yang baru terjebak dalam dunia pancingan, ikan haruan adalah spesis yang mudah untuk diburu. Bagi caster baru pula, spesies ini akan menjadi salah satu latihan yang bagus untuk membiasakan diri dengan teknik kasting.
Walaupun perlawanan dengan ikan haruan tidaklah terlalu mencabar seperti spesies snakehead lain seperti toman namun beberapa tips perlu anda ketahui untuk memburu spesies berkepala ular ini.
Walaupun anda baru dengan teknik kasting percayalah bahawa memburu ikan haruan adalah sangat mudah asalkan lubuk yang diterjah tersebut memang ada ikan haruan.
Memburu ikan haruan tidak secerewet memancing spesis ikan lain. Antara yang perlu dititik beratkan semasa ingin memancing ikan haruan adalah mengenal pasti lubuk ikan haruan.
Ikan haruan lazimnya mudah didapati di mana-mana parit terutamanya berdekatan dengan sawah padi dan juga di kebun kelapa sawit.
Kebiasaannya lokasi seperti ini memang menjadi tumpuan mudah kaki casting. Buat karauan 4-5 kali pada sesuatu tempat pada dan jika anda pasti ada ikan di situ buat karauan pada tempo yang berlainan bagi memujuk ikan haruan menyambar umpan anda.
Ikan haruan juga gemar berada pada sesuatu spot seperti di sebalik dahan pokok yang tumbang, atau di bawah rimbunan pokok yang mempunyai samai dibawahnya.
Umpan-umpan pilihan
Tidak dinafikan sama sekali bahawa katak adalah sinonim dalam pemburuan ikan haruan. Ini kerana, katak adalah makanan kegemaran haruan selain daripada anak ikan.
Namun jika anda tidak menyukai katak atau tidak mengemari menggunakan umpan hidup anda boleh mengunakan alternatif lain yang banyak berada dipasaran sekarang seperti
jump frog, katak getah (soft frog), soft plastic, spoon, spinner, dan gewang yang mempunyai warna dan bentuk seperti anak ikan.
Lain tempat lain ragamnya. Seperti spesis ikan lain, adakalanya ikan haruan juga memilih. Ada tempat yang mana umpan tiruan lansung tidak diendahkan oleh ikan haruan.
Namun secara amnya ikan haruan tidak terlalu memilih umpan. Ini kerana haruan gemar menyambar apa-apa sahaja yang melalui kawasannya. Dengan sedikit pergerakan sahaja ikan haruan sudah mula menimbulkan minat.
Pulau Song Song, terletak di perairan Yan, Kedah merupakan pulau kecil yang tidak berpenghuni.
Selain pulau ini, terdapat lagi beberapa pulau lain berhampirannya Bunting, Tukun Terendak, Telor dan Bidan.
Kesemua pulau ini ada kaitannya dengan legenda setempat yang berkait rapat dengan kisah perkahwinan.
Bagi pemancing tempatan, lokasi pulau-pulau berbatu ini sememangnya ’port’ terbaik casting GT dan ta lang menggunakan umpan bulu.
Sebenarnya, hajat untuk menduga spesies menyambar GT dan Talang di sekitar perairan Pulau Song Song, Kedah telah sudah lama dipendam.
Asyik tertahan je nafsu melihat gambar-gambar dari handphone Cikgu Anamis.
Dua tiket bas dari Shah Alam ke Alor Setar lantas dibeli untuk dua orang. Segala kelengkapan cuba disiapkan sebaik mungkin, terutama rod dan kekili.
Malangnya saya tidak ada rod casting yang sesuai iaitu 7 kaki, sebaliknya hanya ada 6 kaki setengah.
Dek kerana kesuntukan masa, peralatan lain apa yang ada dalam kotak pancing diselongkar dan apa yang dirasakan sesuai itulah yang dibawa.
Bertolak pukul 10.00 malam dari Shah Alam dengan menaiki bas Transnasional, kami tiba di Terminal Bas Shahab Perdana Alor Setar sekitar jam 5 pagi.
Setengah jam kemudian, kami berdua dijemput berkereta oleh tekong Abang Din seorang tekong yang handal memburu GT, talang, tenggiri di sekitar perairan Pulau Song Song.
Abang Din kemudian menuju ke rumah rakannya Cikgu Wafi, di Alor Setar untuk kami tinggalkan beg pakaian dan mandi serta mengambil seorang lagi pemancing, Wahid untuk turut serta.
Wahid sebenarnya pemancing dari Sarawak yang juga rakan baik Cikgu Anamis, tekong dan juga Cikgu Wafi.
Yang respeknya, Wahid sanggup terbang dari Kuching ke Pulau Pinang, sebelum dijemput Cikgu Wafi ke Alor Setar hanya semata-mata gilakan casting GT, talang guna bulu ayam.
Bukan sekali tapi dah banyak kali dia berkunjung ke sini. Semuanya gara-gara terkena racun bulu ayam ’hand made’ Abang Din, tekong casting tersohor di perairan ini.
Wahid telah sampai dua hari awal dan dia telah pun memancing sehari awal sebelum kami.
Selepas membeli bekalan ais kami terus ke Kuala Yan dan tiba di Jeti Pantai Murni, sebelum jam 7.00 pagi.
Sebelum itu, sempat juga beli kuih-muih buatan Kedah dan nasi lemak buat sarapan.
Selepas memunggah barang, kami mula meninggalkan jeti. Walaupun air masih lagi surut, berkeladak dan beralun kuat, tapi atas kepakaran Abang Din, bot akhirnya berjaya juga melepasi halangan.
Pulau pertama yang kami tuju adalah Song Song, merupakan sebuah pulau berbatu, tidak berpenghuni.
Menghampiri sahaja kawasan berbatu, Abang Din memberi isyarat kami sudah boleh mula casting ke arah batu-batu yang ketika itu dihempas ombak.
Ujar Abang Din, ikan seperti GT, talang, bluefin trevally, jemuduk, cencaru kuda akan berlegar di kawasan berbatu ini.
Tapi dalam hati penulis, tak kisahlah ikan apa pun yang naik, janji nak kena karan bulu ayam.
Maklumlah ini kali pertama casting guna kaedah ni. Kalau kena tenggiri sesat, kira satu bonus, walaupun tenggiri sebenarnya tersangat kurang berlegar di kawasan berbatu ini.
Arus kuat
Benarlah kata pepatah, hari ini, rezeki kita, esok belum tentu. Kunjungan saya sebenarnya pada hari yang agak ’kurang tepat’ sebab menurut Abang Din angin barat masih belum berakhir dan sebab itulah arus agak kuat, dan laut beralun serta kucah.
Kesannya ombak begitu tinggi membadai tebing berbatu sehingga air menjadi keruh.
Menurut Abang Din, waktu terbaik terbaik untuk memikat spesies pelagik yang gemar mengejar umpan bulu ini waktu pagi sebelum matahari memancar terik (antara jam 8 hingga 10.30 pagi) dan lewat petang (jam 3.30 petang hingga lewat senja).
Paling penting, ikan hanya aktif pada air yang jernih dan gemar membuat serang hendap di kawasan berbuih, iaitu sebaik sahaja, ombak memukul batu dan tebing.
Mengelilingi Pulau Song Song, Cikgu Anamis yang menggunakan kekili Shimano Sahara 2500 dan rod keramatnya Viper Venom 10-20lb 7’ setengah mendapat strike pertama.
GT dalam anggaran 600 gram berjaya dibawa naik. Saya yang berbekalkan Shimano Symetre 2500 dan Viper Venom 10-20lb 6’ berjaya menaikkan bluefin trevally.
Riuh rendah Abang Din mengarahkan kami segera melontarkan umpan bulu sebab jika terdapat seekor sudah naik, akan ada gerombolan lain di bawahnya.
Katanya bukan selalu spesies sirip biru ini muncul di sini.
Kami kemudiannya bergerak menuju ke Tukun Terendak, sebuah pulau berbatu paling kecil. Difahamkan, Tukun Terendak sebenarnya sebuah pulau yang besar.
Tetapi selepas dibedil berkali-kali oleh roket pasukan Tentera Australia semasa mereka mendiami Pulau Bidan sekitar tahun 1980-an , pulau ini hancur dan yang tinggal hanyalah pulau batu yang begitu kecil saiznya.
Jelas nasib tidak berapa menyebelahi kami, hanya bersaiz juvenil berjaya dinaikkan. Langsung tiada kelibat GT 2kg ke atas.
Cuma Cikgu Anamis berjaya merasai tarikan ikan yang bersaiz bagak, kerana tali dalam spool Sahara miliknya menjerit nyaring ditarik keluar tanpa dapat ditahan.
Sayangnya, ikan berjaya menyelinap ke kawasan berbatu dan berjaya memutuskan perambut 30lb Xzoga. Aduh sayang sekali.
Kata Abang Din lagi, Tukun Terendak jarang memberikan kehampaan. Ia antara port terbaik GT bersaiz 2 hingga 5 kg.
Wahid pula berkata, semalam juga arus agak kuat, tapi masih ada saiz sekilogram berjaya dinaikkan.
Keadaan alun yang kuat jelas menjadi faktor mengapa ikan tidak berkumpul lama di sesuatu tempat.
Kerapu oh kerapu
Menjelang tengah hari, tiada kelibat GT dan tiba masanya untuk memancing kerapu. Terus sahaja, gewang-gewang selam dalam jenama Halco yang bermacam warna seperti pink, purple, termasuklah warna ’Elton John’ dikeluarkan.
Alamak saya hanya mampu keluarkan gewang main sebarau, mujur ada warna fire tiger. Maklumlah jarang sekali casting di laut. Selalunya hanya main sebarau, toman.
Tapi mungkin juga sebagai salam perkenalan, akhirnya ada juga kerapu dalam anggaran sekilo membedal gewang selam dalam Storm ThunderCrank Flash saya yang juga satu-satunya kerapu tunggal hari ni.
Bila matahari mula bersinar terik, kami mendarat ke Pulau Bidan dan menjamah bekalan nasi yang dibawa.
Kami kemudiannya mengambil kesempatan bersiar-siar melihat persekitaran Pulau Bidan, terutama melihat kesan tinggalan kem tentera Australia sebelum ia diambil alih pihak Tentera Malaysia.
Sayangnya, kawasan bersejarah ini tidak dijaga. Tidak banyak kesan yang masih tinggal, hanya runtuhan bangunan, serpihan pecahan bumbung bangunan dan pokok kelapa yang tumbuh meliar.
Sempat juga, tekong memetik beberapa biji kelapa muda untuk menghilangkan dahaga.
Sekitar jam 3 petang, kami menaiki semula bot dan cuba beberapa kali casting kerapu, sayangnya sang kerapu enggan menyambar puluhan kali gewang yang kami lontarkan. Agaknya kerapu masih tidur kot dalam lubangnya.
Lewat petang, kami sekali lagi menyusuri Tukun Terendak dan Pulau Song Song. Hasilnya naik jugalah beberapa ekor lagi GT dan bluefin trevally. Sekitar jam 7.00 malam, kami mengakhiri trip dengan perasaan puas.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit. Aku lihat Mamat dan Zarin memegang erat pada bahagian tepi bot. Naza pula berlagak selamba. Rizam dan aku asyik memandang suasana sekeliling. Angin laut bertiup agak kencang namun begitu nyaman.
Selepas mendapatkan spot yang sesuai, Pak Teh memberhentikan bot berhampiran dengan tempat yang dipanggil Boya 28. Masing-masing melabuhkan umpan di situ. Umpannya isi ikan kembung dan selar yang dibawa oleh Rizam. Petang itu rezeki kami agak murah. Gelama, siakap merah, daun baru dan ikan tanda menjadi habuan kami.
Asyik benar kami hingga tak sedar suasana sudah diserkup kegelapan malam. Angin yang tadinya bertiup nyaman sudah bertukar kencang. Bot kecil yang kami naiki terumbang-ambing dipukul alun yang membuai kasa. Lantas, Rizam memerintahkan Pak Teh menghidupkan enjin yang ketika itu turut sama memerhatikan sekeliling.
Tapi entah mengapa enjin tak dapat dihidupkan. Puas Pak Teh mencuba tetapi tetap gagal. Di dada langit, kelihatan burung berterbangan pulang. Aku memerhatikan kumpulan burung itu. Bergetar hatiku tatkala melihat di tengah-tengah kumpulan burung itu, terbang satu objek menyerupai manusia. Bezanya, keadaannya serba putih seolah-olah mayat berkafan!!!
Aku cuba memberitahu Rizam dengan kerlingan mata.
“Jangan tegur apa-apa yang kau semua nampak aneh di kawasan muara yang agak keras. Lagipun dah masuk waktu Maghrib ni”. Hanya itu pesan Rizam. Agak keras dan sinikal. Zarin dan Mamat pula aku lihat sudah pucat. Naza pula mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Qursi.
“Cuba kau azan”, kata Rizam apabila melihat Pak Teh seperti sudah putus asa untuk menghidupkan enjin.
Aku melaungkan azan dengan suara perlahan dan serak-serak basah. Tiga kali melaungkan azan barulah Pak Teh berjaya menghidupkan enjin bot. Kami semua menarik nafas lega. Ketika bot meluncur laju ke jeti, aku sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 7.30 malam. Sudah masuk waktu maghrib.
Sewaktu bot mahu memasuki anak sungai menuju ke jeti, perhatian kami tertumpu pada tebing sungai. Kelihatan rumah-rumah kampung beratap rumbia. Di setiap rumah terpacak jamung. Suasana di kawasan kampung itu meriah seolah-olah ada pesta yang berlangsung.
Peliknya, getus hati saya bila memikirkan keadaan yang seolah-olah kami memasuki pada zaman silam, walhal semasa pergi petang tadi kawasan berkenaan di kelilingi hutan bakau.
“Kenduri apa pulak ni,” tegur Zarin sebelum sempat aku memberi isyarat supaya jangan menegur apa-apa. Ketika itulah, penghuni kawasan kampung itu seolah-olah serentak memandang ke arah kami.
Mahu menjerit dibuatnya apabila melihat makhluk itu badan seperti manusia tetapi mempunyai tanduk di antara dua biji mata. Mata mereka bersinar seperti mentol lampu yang terang. Zarin menjerit seperti histeria hingga bot yang kami naiki bergoyang ke kiri dan kanan.
Nasib baiklah Pak Teh berjaya mengemudinya dengan baik. Sebaik sahaja sampai di jeti, kami memapah Zarin ke dalam chalet Rizam. Di sini Zarin diubati seorang ustaz yang dibawa oleh suami Rizam yang sudah dimaklumkan melalui telefon.
Jelas ustaz berkenaan, kawasan tersebut memang didiami makhluk halus dan kebetulan waktu berkenaan adalah waktu puncak mereka bertebaran.
Syukurlah tiada apa kejadian buruk yang menimpa kami. Peristiwa ini sudah dua tahun berlalu. Zarin hingga ke hari ini tidak berani lagi turun ke laut. Hanya aku dan Naza yang rajin mengikut Rizam turun memancing. Mamat pula sejak berkahwin sudah melupakan terus hobi memancing ini.
Aku sendiri hanya keluar memancing pada waktu siang sahaja. Kejadian ini benar-benar menginsafkan aku bahawa selain manusia, ada makhluk lain yang mendiami dunia Allah SWT ini. Wallahualam..
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...