Tak berlengah saya keluarkan set pancing aksi ringan yang tidak digunakan langsung dalam sesi memancing di Tukun Perak.
Mujur juga saya tergerak hati nak satu set ringan itu, kalau tidak memang melopong sajalah tengok ahli trip berpesta ikan cencaru.
Selain cencaru, spesies tenggiri turut banyak mendiami tuas ini. Malah ikan tenggiri sebenarnya adalah spesies sasaran utama ramai pemancing ke tuas Pulau Payar.
Walaupun saiznya tidaklah sekasar mana dengan purata yang didaratkan sekitar 1-3 kilogram sahaja, namun jumlah kehadirannya boleh dianggap agak banyak juga.
Ads
Puas melayan cencaru dengan pelbagai kaedah, saya menukar rentak bermain slow pitch jigging pula. Iyalah, tak sempat nak puas main slow di Tukun Perak.
Selain kehilangan satu set jig, Tukun Perak hanya menghadiahkan seekor kerapu kecil saja. Manalah tahu kerapu boron sebesar tong gas Pulau Payar sedang menanti saya.
Jenuh mengetuk jig di dasar dan percaya tiada spesies bersisik di tuas itu saya menukar tempo karauan. Manalah tahu ia menimbulkan rasa geram tenggiri untuk membahamnya.
Tatkala jig yang dikarau laju tiba di pertengahan, terus ada pemangsa yang menyambar. Namun ia rabut di pertengahan perlawanan apabila berjaya memutuskan kevlar mata kail.
Ternyata pemburu bergigi tajam banyak berlegar di pertengahan air. Percubaan kali kedua juga berpihak kepada pemangsa bergigi tajam.
Cuma kali ini ia lebih pedih di hati apabila melihat ia berjaya memutuskan perambut ketika tiba di permukaan air. Lebih pedih lagi melihat ia bukanlah tenggiri sebaliknya cuma alu-alu.
Walaupun tahu pemangsa yang banyak kali memutuskan kevlar dan leader serta menukunkan jig yang bukan murah harganya itu hanyalah alu-alu, namun saya tidak serik malah terasa sakitnya tuh di sini pula jika tidak dapat menewaskannya.
Ads
Saya usaha juga sehinggalah berjaya mengeluarkan tiga ekor alu-alu di tuas itu.
Lewat senja kami berpindah ke tuas lain pula. Namun hasil di tuas kedua ini tidaklah serancak di tuas pertama.
Setelah beberapa jam tanpa hasil yang menghiburkan, para tekong dan pemilik bot akhirnya sepakat sekata untuk pulang sekali gus menamatkan trip singkat di tuas Pulau Payar.
Teknik berhanyut adalah paling efektif kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka. Istilah menotok lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di kawasan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Apa-apapun istilah kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Tak menang tangan
Permintaan semakin menggunung apabila aktiviti memancing di negeri Pantai Timur direhatkan seketika akibat musim tengkujuh. Dalam trip ulangan terbaru ini cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali pintu air Pulau Pintu Gedung.
Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih diperolehi namun ia sekadar umpan pilihan kedua. Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun. Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan. Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Umpan Killer
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang. Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari. Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai.
Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan. Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran. Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000. Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang.
Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan. Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan. 50% kadar ‘hook-up’ masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari kedudukan pada larian awal ikan. Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan. Larian sang cobia Ikan bermasalah, itulah yang digelari kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika. Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletakkira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi. Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperolehi.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira gasak atau di gasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Pemancing yang ingin menduga perairan antarabangsa, amat memerlukan perancangan rapi sebelum turun ke laut.
Perairan Selat Melaka di antara Malaysia dan Indonesia, antara lokasi pancing yang baik dan ia menjadi lokasi sasaran kumpulan kami dengan menaiki bot yang berpengkalan di Tanjung Karang.
Dalam misi kali ini, kami memburu siakap batu ataupun pecah periuk lengkap dengan persiapan memancing dan juga umpan yang menjadi subjek utama untuk memburu spesies ini.
Teknik serta ‘skill’ yang dipelajari dari tekong amat berguna dipraktikkan ketika bertembung dengan apungan atau sampah hanyut.
Apungan pokok nipah atau apa juga ‘sampah’ yang hanyut di laut dianggap sesuatu yang menganggu ekosistem habitat laut.
Tetapi di setiap apungan yang hanyut, terdapat penghuni yang sentiasa berlegar-legar dan bertumpu di bahagian bawah apungan untuk mencari makanan.
Saiz apungan juga memainkan peranan dalam menentukan populasihabitat spesies ini.
Dari apa yang pernah tekong ceritakan kepada penulis, saiz apungan yang sebesar padang futsal boleh didominasi spesies ini sehingga mencecah 500 hingga 700 ekor dengan pelbagai saiz.
Spesies ini akan berlegar sekitar kedalaman 5 meter dari apungan yang hanyut. Ianya lebih mudah dikesan mengunakan polarized sunglass yang membolehkan jangkauan penglihatan sehingga 2 hingga 3 meter dari permukaan air.
Kebiasaannya apabila kuantitinya terlalu banyak ianya dapat dilihat seperti wujudnya kerumunan hitam berlegar di bawahnya.
Perjalanan ke lokasi
Seramai 12 orang menyertai trip kali ini. Matlamat utama bukanlah hanya ingin menjejak siakap batu ini, tetapi kami lebih tertumpu kepada penghuni demersal yang mendiami lubuk lubuk dalam simpanan tekong Jaman yang cukup berpengalaman di perairan ini.
Setelah dua jam berlepas dari jeti, satu apungan pokok nipah kami temui.
Menggunakan perambut kabel 30lb dan mata kail saiz 4 serta dicangkuk umpan sotong, kami tidak menunggu masa yang lama untuk mendapat strike pertama dari penghuni apungan.
5 ekor siakap batu berjaya didaratkan berskala 2 hingga 3 kilogram. Dalam perjalanan menuju ke perairan antarabangsa teknik trolling dipraktikkan tetapi tiada sambutan langsung daripada tenggiri atau spesies pemangsa lain.
Sedang bot memecah ombak tiba-tiba tekong memperlahankan kelajuan bot. Dilihat seperti ada yang tidak kena pada laluan ini.
Rupa-rupanya terdapat satu apungan yang lebih besar daripada apungan pertama yang kami temui sebelum ini.
Tanpa membuang masa lagi semua pemancing tertumpu ke arah apungan dan umpan di lontar serapat yang mungkin agar ianya jatuh betul-betul hampir dengan apungan tersebut.
Hasilnya, hampir 6 orang menerima strike serentak. Indra yang ketika itu berada di tengah badan bot kelihatan menerima asakan yang lebih hebat.
Kekili bersaiz 4500 memuntahkan tali tanpa henti sehingga sebahagian tali telah keluar dari gelendungnya. Rod aksi ringan melentur mencecah permukaan air.
Mangsa cuba melarikan diri dan menyeret tali ke bawah bot. Bimbang tali sulam berkekuatan 40lb bergesel dibahagian perut bot, Indra sedaya upaya melenturkan joran
mengikut rentak larian mangsa dan cuba membawa mangsa di lapangan yang tiada penghalang.
Hampir 15 minit aksi tarik menarik berlangsung, akhirnya tewas seekor pecah periuk berskala 6 kg. Beberapa ekor juga telah berjaya didaratkan berskala 2-3 kg seekor.
Secara puratanya kami hanya berpeluang melontar umpan disekitar apungan dalam masa 20 hingga 30 minit sebelum apungan tersebut hanyut jauh dari bot.
Sesi apollo
Sesi petang pula, kami di bawa menuju ke lubuk cencaru dan kali ini mata Apollo bersaiz 10 sahaja yang diturunkan kerana cencaru di sini bersaiz sederhana berskala lebih kurang 150 gram seekor.
Henjutan demi henjutan dengan kebanyakkan 6 mata apollo dipenuhi cencaru yang tergoda dengan apollo berbulu hijau.
Hampir 50 kg cencaru berjaya di pancing di lubuk tukun ini sehingga ada yang kepenatan dan tidak mahu lagi melayannya.
Kami membuat persediaan yang lebih rapi untuk sesi waktu malam menggunakan set yang lebih kasar.
Padanan rod 15-30lb dan kekili multiplier 2 kelajuan digunakan untuk menduga penghuni dasar dengan kedalaman hampir 70 meter.
Arus yang agak laju memaksa batu ladung bersaiz 24 diturunkan ke dasar.
Umpan udang lipan dan sotong cumit digunakan untuk sesi pancingan dasar di waktu malam.
Puas menanti, hanya beberapa ekor gerut-gerut sudi menjamah umpan dan juga beberapa ekor gelama bersaiz dibawah 1 kilogram.
Sasaran utama, kerapu, jenahak dan penghuni dasar lain tidak sudi menjamah umpan kami walaupun tekong telah bertukar ke lubuk kedua dengan kedalaman dasar 40 meter.
Akibat dari kelesuan dan tiada getuan langsung diterima dari penghuni dasar, sesi malam dihabiskan dengan tidur untuk ‘mengecas’ semula tenaga yang berkurangan akibat sesi apollo dari petang tadi.
Santapan pagi
Air yang berarus menyorong pasang membuatkan tekong bergegas menuju ke lubuk kapal karam untuk menggantikan sesi malam yang begitu hambar malam semalamnya.
Tepat berada betul-betul di atas kapal karam melalui bacaan kordinat GPS, kami segera melabuhkan umpan menggunakan perambut ala apollo batu di bawah dengan dua mata digantung. Matakail bersaiz 3/0 digunakan.
Belumpun sempat umpan mencecah ke dasar satu sambaran kuat terasa. Bimbang mangsa melarikan diri ke kawasan kapal karam, sentapan kasar dibuat bagi melemahkan mangsa supaya bermain di luar lingkungan kawasan rumah mangsa.
Permainan singkat yang memakan masa sekitar lapan minit berjaya mendaratkan spesies merah berskala 1.5 kg.
Cuaca yang semakin meninggi mengingatkan kami supaya tiba di jeti sebelum air surut semula kerana dibimbangi bot tidak boleh melalui persisir pantai lumpur yang cetek boleh menyebabkan bot kami terdampar di atas lumpur.
Kami tiba di jeti tepat pada waktunya dan bersyukur dengan rezeki yang diberi. Setelah dikira hasilnya hampir 100 kilogram cencaru berjaya dipancing dan hampir 70 ekor pecah periuk dan beberapa ekor spesies lain.
Jika ada kelapangan pasti kami akan kembali lagi ke sini lagi.
Anik, Jijo, Piji, Adam dan saya sendiri memang gemar memancing. Terbaru kami mencuba memancing di Sungai Dengkil. Kami bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 12.00 malam dan tiba di lokasi memancing yang terletak berhampiran Pasar Dengkil kira-kira pukul 1.00 pagi. Sampai di sana kami agak beruntung kerana tiada orang memancing di sana pada waktu itu.
Sungai Dengkil ini memang terkenal dengan patin mega sehingga mencecah 19 kg. Itu rekod yang dipegang oleh otai kami iaitu Anik. Dia merupakan pemancing tegar di sekitar kawasan ini. Biasanya lokasi ini penuh dengan pemancing.
Untuk mendapatkan patin di sini, umpan yang digunakan amat ringkas iaitu dua bungkus roti Gardenia dan sebotol esen pandan. Ikan patin di sini memang gemar makan roti. Umpan dedak, usus ayam dan cacing umpamanya kurang mendapat sambutan.
Kami semua membawa dua batang joran setiap orang. Saya hanya menggunakan joran biasa je. Pakai batang Santec 7 kaki, kekili Shimano dengan tali Ichiban 30lb. Cukup untuk melayan patin mega di sini kalau menggunakan teknik yang betul. Anik pula dengan pancing kebanggaannya yang menggunakan kekili Maguro dan Abu Garcia. Lain pula dengan adiknya iaitu jijo yang lebih gemar menggunakan Ryobi.
Roti disangkut pada perambut dua mata dan dicampak ke lubuk yang didiami sang patin. Kami menggunakan teknik pancingan dasar. Memandangkan arus sungai deras, pemberat yang besar kami gunakan agar tali tidak hanyut dibawa arus.
Dua jam pertama berlalu tiada apa yang berlaku. Kami menukar lokasi dan memilih di bahagian hulu sungai. Kata Anik, dekat situ memang lubuk yang tidak pernah mengecewakan.
Balingan pertama mengambil masa kurang dua minit sebelum seekor patin mega terus menyambar umpan saya. Apa lagi berhempas pulaslah saya bertarung dengan ikan patin tu. Ikan ini memang gagah dan tidak mudah mengalah seperti ikan kolam.
Kira-kira 10 minit kemudian barulah saya berjaya menaikkan seekor patin seberat 7 kg. Puas hati tak terkata. Setengah jam kemudian giliran Anik pula beraksi. Batang jorannya hampir tercampak ke dalam sungai gara-gara disentap kuat oleh ikan. Dengan pengalaman yang dimiliki, kurang 5 minit dia berjaya menaikkan patin seberat 9 kg.
Riak wajah kecewa mula kelihatan pada wajah sepupu saya iaitu Piji, Jijo dan Adam. Namun mereka tidak berputus asa mereka beralih tempat. Selang kira-kira sejam kemudian, barulah joran Jijo disentap kuat.
Tanpa berlengah dia mula melayan tarikan kuat sang patin. Hasilnya seekor lagi patin seberat 4 kg berjaya dinaikkan. Agak besar tetapi masih tidak berjaya menandingi tangkapan saya dan Anik. Adam dan Piji pula langsung tidak mendapat hasil pada kali ini.
Kami memancing hingga pagi. Sekitar pukul 7 pagi, Anik berjaya menaikkan seekor lagi patin. Namun tidaklah besar sangat. Dalam anggaran sekilo lebih sahaja. Katanya saiz sedemikian memang sedap dibuat gulai tempoyak.
Sebelum pulang saya sekali lagi mendapat seekor lagi patin. Anggaran berat kurang dari 1 kg. Ok la, rezeki mana boleh ditolak. Selepas itu,tiada lagi kelibat ikan bermain dengan joran kami.
Sekitar jam 9 pagi, kami pun pulang dan membahagi-bahagikannya kepada beberapa bahagian termasuklah memberinya kepada jiran. Orang kata rezeki ni kenalah berkongsi, barulah sama-sama happy. Kepada rakan pemancing, jika bertandang ke sungai ini silalah berhati-hati kerana terdapat sang buaya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...