Ketika orang lain sedang sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk meraikan sambutan tahun baru, kami 6 orang ahli keluarga pula sibuk merancang ke mana dan di mana lokasi untuk memancing.
Bincang punya bincang, rancang punya rancang akhirnya kami sepakat untuk memanfaatkan cuti tahun baru dengan memancing di kelong atau rumah rakit Teluk Gong.
Sampai di jeti kampung nelayan Teluk Gong, hari dah pun lewat petang. Tanpa berlengah kami cari pengusaha rumah rakit. Perjalanan menaiki sampan/bot fiber dari jeti ke rumah rakit tidaklah memakan masa yang panjang. Dalam 2-3 minit dah pun sampai.
Ads
Rumah rakit pun boleh dilihat dari jeti dengan jelas. Nasib kami agak baik dibawa ke rumah rakit dua tingkat yang selesa. Banyak kelengkapan yang disediakan.
Bilik untuk tidur, dapur untuk memasak, tandas, kipas, televisyen dan set BBQ turut disediakan. Bayaran yang dikenakan adalah RM 350 bagi penuh untuk satu malam.
Ads
Oleh kerana kami kami tidak berhajat untuk menyewa penuh, maka bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM 35 seorang. Tambah bernasib baik, hari itu tiada pemancing lain yang menyewa rumah rakit tersebut, maka sangatlah privacy.
Setiba di rumah rakit, kami tidak membuang masa memasang alatan pancing. Tak sampai dua minit melabuhkan umpan, sudah ada ikan yang menggetu umpan.
Ads
Apabila direntap, maka naiklah seekor gelama. Pancing lagi, tak lama kemudian naik pula ikan duri. Begitu juga dengan ahli-ahli keluarga yang lain, hanya gelama dan duri saja yang berjaya dinaikkan.
Namun kami tidak kisah apa ikan yang naik dan terus memancing sehingga air surut. Waktu air surut sememangnya kurang sesuai untuk memancing kerana arusnya terlalu laju. Jadi kami berehat dan tidur dulu menunggu air kembali pasang.
Kami memancing sehingga jam 11 pagi keesokan harinya barulah berkemas-kemas untuk pulang. Meskipun hasil pancingan semuanya ikan duri dan gelama saja, ia sudah cukup menggembirakan kami kerana setidak-tidaknya dapatlah juga berkumpul bersama-sama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Terletak di dalam kawasan Gerik, lubuk Air Gadong boleh dikatakan antara lubuk pancing sungai pergunungan yang sangat berpotensi.
Lokasi ini terkenal dengan spesies seperti tengas, baung, sebarau dan juga spesies bujuk.
Kunjungan penulis ke sini beberapa tahun lalu membuktikan spesies-spesies tersebut masih banyak menghuni kawasan ini.
Oleh kerana agak lama tidak turut serta dalam trip air tawar, pengharapan itu agak tinggi untuk mengubat kerinduan larian serigala air tawar atau henjutan deras sang tengas.
Apatah lagi terbayang-bayang menghabiskan masa pada waktu malam dengan melayan sang baung ditemani kopi panas dan biskut kering.
Peluang datang lagi ke sini saya ibaratkan sebagai siaran ulangan dan spesies sebarau, baung dan bujuk menjadi spesies sasaran utama saya dalam kunjungan ke Air Gadong kali ini.
Kalau dapat kelah, ia satu bonus seperti mana dalam kunjungan terdahulu, namun saya tidak terlalu meletakkan harapan.
Sangka Panas Ke Petang, Hujan Pula Di Tengah hari
Sewaktu tiba di kem utama, air sungai yang agak keruh sedikit sebanyak menggusarkan kami namun tidak mematahkan semangat kami.
Setelah berehat, awal pagi hari kedua, masing-masing sudah bersiap untuk menduga penghuni di sini bersama set pancing di tangan dan bergerak dalam 3 kumpulan kecil menghala ke arah Lubuk Besar.
Tidak lama bergerak, mangsa pertama iaitu seekor bujuk juvenil tewas di tangan Nasrul hasil godaan spinner kos rendah.
Walaupun saiz juvenil, ini merupakan petanda yang baik bagi kami. Lantas semakin rajin balingan sesudu berhampiran struktur kayu.
Selang beberapa ketika seekor sebarau menghentam sesudu Abu Island II 7 gram. Mungkin tak tertahan dek lenggok sesudu yang digayakan oleh AJ. Selepas itu, suasana terus sepi.
Sehingga tiba di Lubuk Besar, balingan demi balingan hanya membuahkan penat. Cuma seekor tengas berjaya dijinakkan berhampiran Lubuk Besar sewaktu hampir tengah hari, juga hasil gelekan sesudu Abu Island II.
Puas kami geledah, malah teknik dasar berumpankan cengkerik juga hanya sesekali dicuit tengas. Berbeza betul berbanding dengan kunjungan terdahulu.
Berita daripada rakan lain juga agak hampa dengan jumlah tangkapan ikan yang tewas.
Cuma Ah Hong berjaya menaikkan seekor sebarau, 2 ekor tengas dan seekor bujuk hasil mengilat. Bujuk itulah juga pengubat duka bagi spesies sasaran pada trip kali ini.
Populasi Lubuk Besar Yang Makin Kecil
Trip kali ini jelas memberikan bayangan tentang keadaan Lubuk Besar di Air Gadong yang makin uzur.
Perbezaan yang sangat ketara dalam jumlah tangkapan dan sambaran sedikit sebanyak menunjukkan populasi ikan di sini semakin berkurang.
Jika dibuat perbandingan dengan trip terdahulu, perbezaan ketara jelas dilihat dalam jangka masa hanya sekitar 2 tahun.
Baik dari segi kuantiti dan juga saiz ikan, masing-masing mencatatkan arah yang negatif.
Benar, pandangan ini bukan angka sebenar tahap sumber perikanan kita, namun sekurang-kurangnya saya menulis berdasarkan pemerhatian saya, yakni apa yang berlaku di depan mata saya.
Dan benar juga, ikan masih menghuni di sini, namun mungkin tidak bertahan lama.
Hasil perbualan penulis dan rakan-rakan ketika memancing dasar pada malam hari, kami merumuskan punca utama keadaan ini ialah hasil aktiviti manusia.
Beberapa orang rakan tidak menolak aktiviti seperti mengebom ikan dan menjaring ikan tanpa kawalan menyumbang kepada penurunan populasi ikan di sini.
Kesinambungan Battle of Jigger yang mengambil tempat di Pantai Pelindung diteruskan pula dengan edisi kedua. Pada edisi pertama yang digelar Pelindung Challenge sebagai acara pengenalan, edisi kedua Battle of Jigger pula memperlihatkan cabaran penggunaan tali berkekuatan 10lb lantas acara kali ini digelar Poundage Challenge.
Jika edisi pertama lebih kepada pengenalan kepada acara Battle of Jigger dan Pantai Pelindung, edisi kedua pula lebih fokus kepada keupayaan peserta secara teknikal apabila disyaratkan untuk menggunakan tali berkekuatan 10lbs. Juga bertempat di Pantai Pelindung, Kuantan, edisi kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan lebih ramai peserta bersaing sesama sendiri.
Dengan penyertaan seramai 44 orang peserta, acara kali ini bermula sekitar jam 7.30 pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.
Selain untuk bersaing secara teknikal, edisi ini juga dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pemancing yang rata-rata datang dari sekitar Pahang dan Lembah Klang.
10 buah bot digunakan sepanjang pertandingan dan kesemua dibantu oleh tekong-tekong berpengalaman di Pantai Pelindung. Penganjur juga menyediakan hadiah yang lebih lumayan berbanding edisi lepas setelah mendapat tajaan daripada Pure Fishing Malaysia, Senses, Bossna, Buff dan Hong Lam Aquarium.
Tulang belakang disebalik kejayaan penganjuran kali ini ialah Shah Right, Kay Red dan Nazim dengan kerjasama erat daripada Angler Buff Malaysia. Edisi kali ini juga memperlihatkan peserta menaikkan hasil ikan yang lebih banyak berbanding edisi lepas walaupun cuaca agak mendung sewaktu acara pelepasan waktu pagi.
Mohd Shahidi B. Wahab berjaya memahatkan namanya selaku juara bagi kategori ikan terberat(main prize) edisi kali ini dengan hasil aruan tasik seberat 10.48 kg disusuli oleh Mohd Hafizuddin Talib dan Norsafwan Nordin masing-masing dengan hasil tangkapan gerong belang seberat 4.23kg dan 4.12kg.
Oleh kerana peserta hanya layak membawa pulang satu hadiah seorang, Mohd Hafizul Abd Rahman membawa pulang gelaran hadiah khas kategori ikan terberat dengan spesies aruan tasik seberat 8.2kg. Ikan terpanjang pula dimenangi oleh Aizuddin Shah Osman manakala Mohd Alfashat Md Rawi memenangi kategori ikan terbanyak atas 1kg. Pat Itam atau Mohd Yusof Abdullah pula memenangi hadiah khas kategori tekong terbaik.
Sambil berseloroh, pelawaan sahabat untuk memancing dua tahun dalam satu trip menjadi kenyataan apabila berjaya mengumpul kaki pancing berdekatan dalam masa yang suntuk.
Sambil memancing dapat melihat ragam kapal dagang menyambut tahun baru dengan ledakan api pistol kecemasan.
Walaupun dengan bekalan umpan yang tidak mencukupi serta cuaca yang tidak menentu, kami meneruskan impian dicelah kegelapan malam.
Dengan berbekalkan semangat juang tinggi, kami tiba di spot pertama. Hanya dua jam lagi tinggal untuk kami memburu ikan terakhir sebelum tahun bertukar kepada tahun baru.
Oleh kerana umpan yang dibawa tidak mencukupi, peringkat permulaan hanya jejari sotong kurita digunakan.
Spot pertama adalah kawasan agak terlindung dari tiupan angin barat yang sedang bertiup sederhana.
Tumpuan malam akhir tahun tersebut ialah ikan dasar tanpa mengira spesies asalkan ia menjadi rekod akhir tahun.
Setelah umpan dilabuhkan, semua set pancing di biarkan sahaja kerana sesi mengalas perut kosong sejak petang tadi tanpa menjamah makanan.
Menunggu Detik 12 Malam Selepas kami berlima selesai menjamu nasi bungkus berlauk kari special, satu persatu joran diperiksa.
Dari 6 joran dilabuhkan, lima umpan licin dikerjakan si mengkerong. Hanya Izuan tersengih membuka bicara ikan terakhir beliau dengan seekor tetanda.
Melihat detik jam semakin getir, kami kemudian beredar ke tengah lagi di kawasan lebih terbuka, tambahan pula deruan angin semakin perlahan.
Walau bagaimanapun, sehingga tepat jam 12 malam tetanda tangkapan Izuan menjadi ikan terakhir kami menjelang tahun baru.
Langit tidak selalu gelap apabila sebaik sahaja percikan api merah di udara berserta hon-hon kapal kedengaran di serata kawasan kapal dagang berlabuh menandakan tirai tahun baru sudah bermula.
Tak semena-mena tiga joran milik Jamsuri, Hiddayad dan saya membongkok serentak.
Jam 12.01 iaitu seminit selepas tahun baru, Jamsuri terlebih dahulu bergambar dengan jenahak pertama tahun baru dan diikuti penulis.
Hiddayad pula gagal dalam usaha memujuk ikan setelah tali pancing beliau tersangkut di dasar.
Tidak lama selepas itu Izuan sekali lagi membuka tirai dengan bergaya apabila turut memperolehi jenahak.
Maka, tercapailah hasrat kami melihat telatah kapal dagang menyambut tahun baru di samping misi utama juga membuahkan hasil setelah kiraan 3 ekor jenahak berjaya di pancing buat permulaan.
Nampaknya dalam kiraan detik 12 malam kami bertuah kerana waktu tersebut keadaan air pada peringkat hujung surut, salah satu puncak ikan galak dengan umpan.
Dari jejari sotong, kali ini masing-masing terus sahaja sekor kurita dicangkuk tanpa mempedulikan umpan yang susut.
Hari Pertama Tahun Baru
Terlena dalam kesejukan malam, kami terjaga di awal pagi 1 Januari dalam keadaan laut tenang.
Kemudian sauh dibongkar untuk bergerak ke arah boya mencari umpan yang hampir kehabisan.
Setiba di boya terdapat 6 biji sampan pemancing yang berkerumun di satu-satunya boya yang produktif di kawasan ini.
Maka, masing-masing pun bergilir melabuhkan set apollo untuk mendapatkan anak selar dan tamban.
Apabila umpan agak-agak cukup, sampan terus dikemudikan ke arah selatan menuju spot ikan merah untuk semangat tahun baru.
Bergerak dalam keadaan laut agak tenang kurang dari 40 minit kami tiba di spot ikan merah. Setibanya di lubuk, satu persatu umpan ikan tamban di dilabuhkan ke dasar.
Set kekili manual dan elektrik yang dibawa dipertaruhkan untuk mencari rekod awal tahun.
Dari paparan skrin kedalaman bermula 110 kaki sebelum ia menjunam ke aras 190 kaki Lopak sebegini agak terlindung dan dikenal pasti tempat ikan berehat di siang hari.
Lama juga menunggu sehingga air sudah hampir mencapai 90% surut barulah kami menerima sentapan.
Di lokasi ini 7 ekor ikan dinaikkan tapi semuanya jenahak! Merah kat mana? Merah kat mana?
Setelah air mula bergerak pasang tidak menampakkan sebarang hasil ikan merah. Rata-rata jenahak saja yang sudi.
Yang lucunya, sampan bersebelahan berjaya menjinakkan ikan merah hanya beberapa meter dari tempat kami memancing.
Rezeki dan jenis ikan di dasar sukar untuk kita pilih kerana umpan yang digunakan adalah menjadi hak semua ikan yang terjumpa umpan tersebut.
Malah umpan tamban dan selar adalah menjadi makanan untuk ikan lain, bukan ikan merah sahaja.
Malah sotong, mengkerong , tok mudim dan yu bodoh turut membedal umpan berkenaan jika terjumpa.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...