Suatu masa dahulu, mendengar nama pulau jerejak pasti ramai yang berasa gerun kerana pulau ini pernah menjadi tapak kuarantin bagi pesakit kusta, tibi dan juga penjara bagi pesalah jenayah.

 

Malah, ada yang pernah menggelar pulau ini sebagai ‘Pulau buangan’ Dan ‘Pulau Alcatraz Malaysia’.

Namun, di sebalik tinggalan kisah lampau ini, Pulau Jerejak ini mendapat tempat sebagai antara lokasi pilihan memancing yang popular di perairan Pulau Mutiara.

 

Pulau dengan keluasan 362 hektar dan terletak 1.5 batu nautika dari tanah besar ini menjadi habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.

Siapa sangka sebuah pulau kecil yang dahulunya mencatatkan 1001  kini menjadi antara spot pancingan yang popular di utara tanah air.

 

Pulau Jerejak yang terletak di selatan Pulau Pinang kini semakin mendapat tempat di hati kaki pancing sejak mula berubah wajah untuk dibangunkan menjadi sebuah kawasan peranginan.

 

Menurut penduduk sekitar, kunjungan kaki pancing perairan Pulau Jerejak ini semakin meningkat saban hari terutama hujung minggu dan cuti umum.

Apa tidaknya, hasil laut yang ada di sini bolehlah dikategorikan sebagai gred A. Dari spesies jenahak, kerapu, siakap, pari, talang, dan GT, semuanya pernah dinaikkan di pulau ini.

Malah, ada suatu ketika dikatakan kawanan ikan merah pernah singgah di perairan pulau ini.

 

Trip Retro – Menggigil Di Pulau Jejerak

 

Dengan bayaran serendah RM15 bagi satu kepala, anda boleh memancing di pulau ini dari pagi hingga ke lewat petang.

Malah, ada juga pemancing yang memilih sesi malam hingga awal pagi untuk menduga ikan di kepulauan kecil ini.

 

Bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini, mereka boleh memilih sendiri lokasi memancing pilihan mereka.

Tidak kiralah di hadapan atau belakang pulau, semuanya anda boleh deal dengan boatman yang membawa anda ke sana.

 

PANGGILAN PULAU

 

Kunjungan saya ke pulau ini tidak dirancang sama sekali. Kunjungan ke rumah rakan sewaktu di IPT dahulu, membuatkan saya mengajaknya untuk merasai pengalaman memancing di sini.

IKLAN

 

Trip Retro – Menggigil Di Pulau Jejerak

 

Saya memilih sesi pancingan dari pagi hingga lewat petang untuk beraksi di Pulau Jerejak ini. Untuk trip kali ini, tiada spesies sasaran yang disasarkan, cuma lebih kepada mengharapkan ikan yang bersaiz memuaskan dapat dinaikkan.

 

Seawal jam 8.00 pagi saya bersama seorang rakan tiba di Jeti Batu Maung untuk menuju ke Pulau Jerejak.

Tepat jam 8.30 pagi kami pun memulakan perjalanan ke lokasi pilihan kami. Kami memutuskan untuk mencuba nasib di bahagian belakang pulau yang berhampiran dengan sangkar ikan. Spot ini sememangnya top di kalangan kaki pancing.

 

KEBERKESANAN UMPAN DI SEKITAR PULAU JEREJAK

 

Melalui pengalaman rakan saya yang telah beberapa kali berkunjung ke sini, diet utama ikan di kawasan pulau ini ialah udang hidup dan belanak yang banyak bermain di kawasan pulau ini.

 

Oleh sebab itu, kami telah standby awal-awal membawa jala untuk mencari umpan hidup. Sebagai pilihan, kami juga telah bersedia dengan umpan hirisan ikan termenung dan sotong sebagai umpan alternatif lain sekiranya bekalan umpan hidup sukar diperolehi.

 

Nasib kami agak baik. Kerana sewaktu tiba, air bergerak pasang turut membawa ratusan udang dan anak ikan ke pesisir pantai.

Rupanya begitu mudah sekali mendapatkan bekalan umpan hidup di sini. Namun, ujar rakan saya, pernah dalam kunjungannya dahulu begitu sukar mencari umpan hidup.

IKLAN

Justeru itu, bagi pemancing yang ingin berkunjung ke sini dinasihatkan bersedia dengan back-up plan andai kata terjadi situasi bekalan umpan hidup sukar diperolehi.

 

Trip Retro – Menggigil Di Pulau Jejerak

 

BABY GT PENGUBAH SUASANA

 

Selesai sahaja mendapatkan bekalan umpan hidup, kami terus memulakan aktiviti pancingan.

Di sesi awal ini, hanya menyaksikan beberapa ekor ikan gerut-gerut dan duri tumpas di tangan kami.

Mungkin disebabkan faktor air yang masih surut tatkala itu menjadikan hanya ikan kecil yang mendominasi tangkapan.

 

Namun segalanya berubah apabila air mulai pasang menjelang tengahari. Umpan udang hidup yang saya lontarkan berhampiran kawasan berbatu rakus disambar penghuni dasar.

Menjerit reel ekonomi Ajiking Wahoo yang saya gunakan sewaktu ditarik spesies yang belum menunjukkan rupa ini.

Dengan pantas penulis melakukan karauan apabila sang ikan laju meluru ke kawasan terumbu karang.

 

Trip Retro – Menggigil Di Pulau Jejerak

 

IKLAN

Tak sampai 5 minit bertarung, muncul kilauan putih yang sudah keletihan di atas air. Rupa-rupanya seekor baby GT berskala 1 kg yang menyambar umpan saya.

Nyata saya amat gembira kerana, inilah ikan GT pertama yang penulis daratkan dengan teknik bottom.

 

Terkulai sahaja baby GT di dalam box ikan, kami semua mulai bersemangat melontar joran. Tidak lama selepas itu, giliran joran Mat pula disambar ikan.

Meliuk lentuk rod yang diletakkan dibatu apabila disambar spesimen bersaiz kasar. Tidak perlu menunggu lama, terkulai seekor jenahak berskala 800 gram yang membaham umpan belanak hidup.

 

Pada hari itu sahaja pelbagai spesies ikan yang kami perolehi. Namun yang paling rajin menggetu umpan ialah ketuka yang begitu menggemari umpan udang hidup yang kami hidangkan.

Selain itu, plotan (duri bersaiz kasar), tetanda, gerut-gerut dan pelbagai spesies karang lain turut tumpas di tangan kami.

 

Apabila air mulai penuh kami cuba juga menggunakan pelampung yang berumpankan ikan belanak dan udang hidup untuk memburu siakap, namun, tiada seekor pun yang sudi pada trip kali ini.

 

Apapun, kami masih berpuas hati dengan hasil-hasil pancingan sepanjang seharian kami di pulau ini.

 

Trip Retro – Menggigil Di Pulau Jejerak

 

PENGAKHIRAN CERITA

 

Menjelang jam 6 petang, kami mula berkemas dan bersedia untuk pulang ke jeti.

Sepanjang perjalanan pulang, kami dihidangkan dengan pemandangan indah lautan dan flora yang menghijau di sekitar Pulau Jerejak ini.

Pulau Jerejak sememangnya wajar boleh diketengahkan menjadi kawasan memancing yang popular di Malaysia.

 

Saya juga percaya, jika dijaga dengan rapi, pasti pulau ini dapat menggamit lebih ramai kaki pancing dari dalam dan luar Malaysia.

Trip repeat pasti akan saya rangka lagi dalam masa terdekat nanti untuk memburu spesies gred A lain yang masih bersembunyi di ‘Pulau Buangan’ ini.

 

(Catatan Mohd Fazrul)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI