Trip Retro – Mengenal Potensi Sedili Besar

(Teks & Foto: Fresh}

 

Menjengah perkampungan Sedili Besar yang berkeluasan 20,720 hektar membuat hati melonjak untuk mengenali perairannya yang rata-rata penduduknya berbangsa Melayu dan bekerja sebagai nelayan.

Untuk lebih jelas, Sedili Besar terletak di timur laut negeri Johor, pinggir Laut China Selatan dan kira-kira 40 km jauhnya dari bandar Kota Tinggi.

 

Keunikan di Sedili Besar lagi adalah gabungan budaya orang Melayu Johor dan orang Melayu Terengganu. Ini boleh dilihat dengan jelas kerana penduduk di sini amat menggemari nasi dagang dan pelbagai juadah yang sinonim dengan negeri Terengganu.

 

 

Sejarah

Terdapat 2 mitos berbeza mengenai nama Sedili diberikan untuk kampung ini. Menurut cerita orang lama, asal-usul nama Sedili yang dibuka pada tahun 1937 adalah sempena mengambil nama seorang penduduk awal iaitu Deli yang berasal dari Siam.

 

Suatu hari Deli jatuh sakit. Seorang Cina bernama Pongsai yang menetap dan menjadi peniaga di kampung itu bertanya orang kampung “Tak tengok si Deli ke?” Oleh kerana perkataan pelat Pongsai juga menyebabkan Kuala Sedili mendapat nama.

 

Mengikut pendapat yang kedua pula, 2 beradik bernama Ali Besar dan Ali Kecil yang berasal dari Pahang telah berpindah ke perkampungan ini. Suatu hari mereka telah bergaduh dan membawa haluan masing-masing.

Ali Besar merajuk membawa diri ke seberang Sungai dan Ali Kecil juga berpindah ke perkampunga baru yang akhirnya mendapat nama Sedili Kecil.

 

 

Khazanah lautan

Meninjau ke perairannya pula, nama Sedili sememangnya sudah cukup gah dengan pelbagai khazanah laut yang sentiasa membuat pemancing terigau-igau. Pelbagai spesies lautan yang berupaya menggigilkan kepala lutut pemancing apabila bertarung dengannya.

 

Terdapat banyak spesies gred A boleh di pancing di perairan ini. Jika berkesempatan ke Sedili anda boleh cuba menerokai lubuk lubuk yang sememangnya menjanjikan pulangan lumayan jika kena cara dan waktunya.

IKLAN

 

Kemudahan bot-bot pancing di Sedili boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘darat & laut’. Bot darat membawa pemancing di kawasan sekitar Tukun Batu & Tukun Yu.

Sesuai dengan namanya bot darat, servisnya adalah menduga lubuk lubuk sekitar 2 jam perjalanan dari jeti.

 

 

Walaupun tidak jauh dari pantai terdapat juga spesies ikan mega yang mampu membuat pemancing keletihan melawan asakan.

Tenggiri, alu alu, aruan tasik, merah, ketarap malah yu kemejan sebesar budak 12 tahun pernah menjamah pancing sepanjang lawatan saya ke Sedili.

 

Kategori bot laut pula membawa pemancing jauh ke tengah sekitar Karang Ngah, Karang Long, Karang Laut , Pulau Aur dan Pulau Tinggi.

Terdapat beratus-ratus lubuk ikan yang terbentuk disebabkan kapal karam, karang dan juga kawah dasar laut.

Unjam-unjam persendirian yang dibuat sendiri oleh masyarakat nelayan Sedili juga banyak.

 

 

Semenjak kunjungan pertama saya ke Sedili hingga sekarang khidmat Tekong Mat Setia dan ayahnya Pak Aris memang menjadi pilihan utama saya.

IKLAN

Ini adalah kerana kedua-dua tekong ini serta awak-awaknya Rambo dan Bobby tidak lokek ilmu, rajin dan sentiasa membuat perancangan rapi untuk memilih lubuk-lubuk yang berpotensi.

 

Lubuk Tenggiri.

Tidak sah jika tidak mengaitkan Sedili dengan ikan tenggirinya. Lubuk seperti Karang Ngah dan Karang Long sememangnya amat terkenal dengan populasi tenggiri batang atau nama saintifiknya Scomberomorus commerson.

 

 

Spesies pemangsa ini seolah-olah bermastautin di sini kerana ia boleh di pancing sepanjang tahun.

Banyak cara tenggiri batang ini boleh dijerat termasuklah dengan kaedah jigging atau mengunjun, namun cara paling popular di lubuk ini ialah dengan drift menggunakan umpan ikan kembong, tamban atau selar.

 

Kekili mendatar atau spinning boleh digunakan untuk kaedah drift. Penggunaan tali utama fluorocarbon amat sesuai disambung terus dengan coated steel 20lb sepanjang 6 inci. Dua bentuk mata kail Owner atau Gamakatsu (cutting point) mesti diikat pada coated steel itu.

 

 

Sememangnya spesies Spanish mackerel ini handal dan pantas serta amat rakus melahap umpan.

Kebiasaannya tenggiri akan membaham bahagian kepala umpan dan kemudian barulah ia akan menelan semua umpan itu. Jika terasa halangan, tenggiri itu akan memuntahkan semula umpan. Sebab itulah kita selalu melihat umpan dihiris seperti pisau.

IKLAN

 

Selain itu tenggiri Sedili juga terkenal kerana kepandaian memutuskan tali utama ketika ia berenang laju menuju ke arah bot. Selalunya pemancing akan berhenti mengarau kerana menyangka ikan sudah terlepas. Ketika inilah tenggiri memutuskan tali utama.

 

Ebek Lubuk 60

 

Lubuk 60 diberi nama kerana kedalamannya iaitu lebih kurang 60 depa. Lubuk ini berbentuk kawah terletak berdekatan Tukun Yu. Di kalangan nelayan, lubuk ini terkenal dengan ikan ebek atau nama saintifiknya Alectis indicus.

Ikan ebek ini sentiasa berlegar di sekitar lubuk mencari makanan. Diet utamanya sotong segar dan udang hidup.

 

Untuk memancingnya perambut mestilah panjang sekurang kurangnya 2 meter supaya umpan melayang cantik seolah melambai-lambai ebek untuk melahapnya.

Mata kail yang kukuh diperlukan kerana ebek akan memecut dan menjunam ke dasar di awal larian. Setelah letih ikan ini akan mengiring dan sesekali akan memecut membuatkan kita merasa amat letih untuk menaikkan ikan ini.

 

 

Set yang selalu saya gunakan untuk bertarung dengan Ebek ialah kekili mendatar Penn siri 50, rod PE 3-5, tali utama Power Pro 50lb dan perambut 3 meter suffix 40lb.

Mata kail Gamakatsu saiz 3/0 berumpankan udang hidup kerap menjerat ebek di Lubuk 60. Selalunya ikan ini amat aktif pada sebelah pagi dan senja.

 

Rindu Sedili.

Banyak lagi spesies lain terdapat di perairan Sedili yang mampu memberikan debaran ketika cuba menawannya.

Aruan tasik yang terkenal ganas, ikan jahan yang selalu meluruskan swivel Rosco, malah yu kemejan yang akan membuat kita terpaksa bergilir-gilir menahan renangan tanpa hentinya.

Sepanjang minat pancingan saya, Sedili banyak memberikan ilmu dan pengalaman praktikal yang tidak dapat dibeli di mana-mana kedai sekalipun.

 

 

Keindahan dan penduduknya yang ramah dan sentiasa membantu membuat saya rindu jika lama tidak berkunjung ke Sedili. Selain itu masakan awak-awak bernama Rambo sentiasa menggiurkan saya dengan resipi asam pedas dan singgang Arabnya.