Kita biasa dengar grup pemancing dari semenanjung Malaysia mengadakan trip memancing ke kepulauan Borneo untuk memancing spesies air tawar popular kepulauan
Borneo seperti kanai, semah, pelian serta empurau. Namun amat jarang kita mendengar ada grup pemancing yang ke sana hanya semata-mata untuk memancing spesies ikan
baung. Namun itulah yang dilakukan oleh ahli kumpulan kelab memancing Aluminium Boat Caster atau Alucast.
Trip memancing baung di Empangan Bakun, Sarawak ini bertitik tolak dari Megatrip team Alucast yang diadakan di Tasik Kenyir.
Berikutan ketidakpuasan hati sebahagian kecil ahli Alucast yang turut menggemari pancingan ikan baung selain mengilat, dan senario pancingan baung di Tasik Kenyir tidak
lagi memberangsangkan, maka mereka terasa terdesak untuk mencuba pancingan baung di Empangan Bakun yang diberitakan baung-baung berskala saiz melebihi satu kilogram mudah diperoleh bahkan umpama cendol di sana.
Ads
Dengan matlamat kedua untuk merasai kenikmatan baung Bakun masak tempoyak, justeru selain kelengkapan memancing maka umpan tapa dan tempoyak merupakan barang penting yang wajib tidak boleh dilupakan.
Adrenalina yang melonjak naik untuk memburu baung menyebabkan grup pemburu baung dari semenanjung ini melupakan terus penat lelah setelah mengharungi penerbangan dan jalan darat yang panjang untuk tiba ke pintu masuk Empangan Bakun.
Ads
Sejurus tiba di rumah rakit atau jelatong Belanum Bay yang terletak di kuala sungai Belanum dan memakan masa kira-kira satu jam dengan menggunakan pengangkutan air,
ahli kumpulan seramai lapan orang ini terus saja siap siaga dengan kelengkapan memancing.
Memadai dengan sesi memancing kurang dari dua jam, ahli komplot sudah kembali ke jelatong dengan hasil tangkapan yang benar-benar menepati cerita yang dihebahkan.
Ads
Sememangnya baung di Bakun umpama cendol. Ia bukan sekadar senang dan cepat untuk diperoleh malah saiz-saiznya pula begitu mengagumkan.
Justeru baung yang berjaya didaratkan, hanya beberapa ekor sahaja spesimen dengan saiz sekitar dua kilogram dibawa pulang ke jelatong untuk dijadikan juadah masak tempoyak pertama di Bakun malam itu.
Tasik Kenyir, nama yang begitu sinonim bagi kaki-kaki pancing seluruh malaysia mahupun para pelancong dari luar negara. Ia merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang sentiasa menggamit kehadiran kaki pancing saban tahun.
Mempunyai pelbagai tempat-tempat menarik untuk dikunjungi antaranya Santuari Kelah Sungai Petang, Gua Bewah, Air Terjun Lasir, Taman Herba dan banyak lagi telah menggamit hati Puan Erin untuk menganjur satu trip santai 3 hari 2 malam pada musim monsun bersama-sama rakan.
Impian Erin yang mengandung ketika itu untuk berehat sambil memancing dan menikmati pemandangan indah Tasik Kenyir.
Konvoi ke Tasik Kenyir bermula sekitar 10.30 malam dari Kuala Lumpur ke Kuala Berang dan berehat seketika di hentian Temerloh sekitar pukul 12.00 tengah malam bagi menyegarkan dan membasahkan tekak para pemandu setelah penat menempuh kesesakan di Lebuhraya Karak akibat satu kemalangan jalan raya.
Perjalanan diteruskan dan kami tiba di bandar Kuala berang sekitar jam 7.00 pagi. Setelah segala keperluan seperti bekalan barang basah dan ais dibeli, konvoi terus bergerak ke Pengkalan Gawi di mana House Boat milik Pak Karim sudah sedia menanti kami di sana.
Kegembiraan terpancar di wajah rakan-rakan setelah melihat kebiruan air tasik, maklumlah kebanyakan daripada mereka merupakan pertama kali sampai ke sini. Setelah semua barang diangkut ke dalam boathouse dan kami bertolak sekitar jam 10.00 pagi.
Menurut Pak Karim kedatangan kami tepat pada masanya kerana hujan mula turun dan menaikkan paras air tasik yang mana pada masa inilah ikan-ikan mudik ke hulu sungai untuk bertelur dan ada juga mencari makan. Sebarau, baung, lampam, toman, kelah, temperas, siakap dan lain-lain galak mencari makan sekiranya hujan lebat yang menurunkan air keruh ke dalam tasik.
Perjalanan dari Pengkalan Gawi ke Sungai Berua yang mengambil masa kira-kira 5 jam memberi kesempatan pada ahli-ahli untuk merehatkan badan dan ada juga yang menyiapkan peralatan memancing bagi memulakan sesi pancingan petang nanti.
Hujan lebat mengiringi perjalanan kami ke destinasi yang dituju dan akibat hujan lebat juga terdapat banyak alur sungai terbentuk sekitar tebing-tebing bukit yang menjadi tempat ikan mencari makan.
Kami tiba di Berua sekitar jam 4.30 petang, setelah bot di parkir, sesi pancingan pun bermula. Ada yang keluar casting di sekitar kawasan berdekatan bersama Pak Karim dan anaknya Yol. Ada juga yang melayan lampam dan baung di houseboat, hasil nya 8 ekor sebarau bersaiz sederhana petang itu berjaya didaratkan melalui kaedah casting.
Pada malam hari sesi pancingan baung bermula. Berbekalkan umpan cacing, banyak baung berjaya didaratkan dan banyak juga yang rabut akibat tarikan mengejut sang baung yang berjaya membawa tali pancing ke celah reba-reba kayu yang terdapat di bawah tasik.
Pada hari kedua, dua buah bot keluar casting seawal jam 6.30 pagi dan yang tinggal di boathouse melayan bottom. Banyak juga hasil yang diperolehi.
Ikan baung boleh dianggap mendominasi tangkapan bottom di boathouse. Hasil casting juga membuahkan hasil yang menggembirakan kerana beberapa ekor sebarau saiz besar berjaya diperolehi.
Pada tengah harinya, kami berpindah lokasi kedua iaitu Lata Sungai Lasir untuk melihat keindahan lata tersebut seperti yang dikatakan sangat cantik. Kami tiba di Lata Sungai Lasir jam 3.00 petang, malangnya hasrat untuk mandi-manda di situ terbantut dek kerana airnya keruh dan deras.
Sepanjang malam di Lata Sungai Lasir kami hanya melayan bottom dan ada berkongsi pengalaman berbual-bual menceritakan pengalaman masing-masing sambil menghirup kopi ‘O’ panas.
Keesokkan harinya kami bertolak ke jeti Pengkalan Gawi seawal 7.30 pagi dan tiba sekitar jam 11.00 pagi. Kami bercadang akan datang lagi ke sini pada penghujung tahun ini.
Boleh dikatakan, trip kali pertama buat geng ini ke Tasik Kenyir amat berjaya. Selain bertuah ditimpa hujan tanpa henti, hasil tangkapan juga terbaik. Buat ketua kumpulan Erin, tahniah kerana selamat melahirkan cahaya mata yang kedua.
Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Walaupun kampung halaman di Bagan Datoh yang sememangnya popular sebagai destinasi memancing udang galah namun ia seperti tidak menggamit untuk menggerakkan kaki saya lebih kerap pulang ke kampung. Dan walaupun kerap kali pulang ke kampung, amat jarang saya turun memancing udang. Padahal abang ipar sendiri merupakan seorang tekong udang galah yang agak popular di Bagan Datoh.
Mungkin setelah beberapa kali percubaan dan sering berakhir dengan keputusan yan kurang padu membuatkan saya seperti tiada chemistry dengan jenggo. Cuma sejak kebelakangan ini saya agak kerap pulang ke kampung dan memancing udang galah. Itu pun untuk memenuhi permintaan rakan-rakan rapat yang mula terkena getah tarikan jenggo.
Bersama dua rakan rapat, kami mengulangi trip yang pernah dilakukan pada awal tahun. Seperti biasa trip bidan terjun ini dilakukan pada saat-saat akhir. Dan seperti biasa juga urusan bot tambahan, umpan, perambut mata kail, malah joran untuk memancing sekali pun saya akan minta Yeop, abang ipar sediakan.
Dengan menggunakan bot sewaan saya dan Fazli mengekor saja Yeop yang membawa Shahrul kerana Yeop lebih arif mengesan lubuk-lubuk berpotensi. Pada awal pagi ketika arus bergerak surut kami lebih banyak memancing merapati tebing kerana menurut Yeop awal-awal pagi udang lazimnya berkumpul berhampiran tebing sungai.
Spot pertama kurang memberangsangkan lalu kami berempat berpindah ke arah hilir. Di spot kedua ternyata agak memberangsangkan. Tidak lama berada di spot kedua saya berjaya menaikkan seekor jenggo menggunakan umpan udang kertas.
Sementara Fazli yang menggunakan umpan umpun-umpun lebih banyak mendaratkan udang galah namun bersaiz kecil.
Apabila udang galah semakin kurang menjamah umpan sebaliknya lebih banyak dicuri ikan-ikan pengacau, kami berpindah lagi. Namun Yeop dan Shahrul kekal di lubuknya.
Menjelang tengah hari dan setelah berpindah beberapa kali kami kembali ke tempat Yeop dan Shahrul. Rupanya mereka sudah ke tengah sungai. Hajat kami bermegah dengan hasil tangkapan terpaksa dilupakan saja apabila hasil tangkapan jauh lebih banyak dan besar dari hasil kami.
Kali ini kami tidak berpisah jauh lagi dengan lubuk pilihan Yeop. Mungkin disebabkan kurang sabar menanti dan kerap berpindah menyebabkan hasil tangkapan berkurang.
Ketika arus semakin lemah kami bergerak lebih jauh ke tengah sungai dan apabila arus kembali bergerak laju, kami berempat berpindah ke arah tebing bertentangan pula. Namun usaha kami untuk menyaingi tangkapan Yeop dan Shahrul sudah terlewat.
Sebaliknya kami semakin pedih mata melihat mereka menaikkan udang demi udang sedangkan jarak antara kami tidaklah sejauh mana.
Dan sebelum matahari terbenam di ufuk timur, kami sempat mengumpul dan menimbang kesemua hasil tangkapan. Tak sangka hampir lima kilogram juga udang galah dan jenggo yang kami perolehi. Secara tidak langsung tanpa sedar ia membuatkan saya pula yang terkena getah jenggo setelah berjaya keluar dari badi kumpau jenggo.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...