Biarpun perairan Rompin lebih gah dengan aktiviti memancing ikan layaran, ia sama sekali tidak meluntur semangat sebuah kelab memancing untuk menganjurkan kejohanan memancing dengan konsep pancingan jigging ringan atau light jigging.
Rompin Jigging Hustle merupakan pertandingan memancing berasaskan konsep jigging ringan merupakan satu usaha berani kelab pemancing Madness Eastern Angler (MEA) sebagai penganjur utama.
Acara sukan memancing ini turut mendapat kolaborasi dari Mindspace, Rompin Boat Fishing dan Tourism Malaysia Pahang, serta mendapat sokongan dari Pejabat Ahli Parlimen Rompin.
Ia turut memperoleh penajaan dari pengusaha industri memancing seperti 1Stop Fishing, OAG Worldwide, Senses Fishing dan banyak lagi.
Ads
Rompin Jigging Hustle yang dilangsungkan pada 21 Julai lalu ternyata mendapat sambutan menggalakkan dari pemancing bergelar jigger seluruh negeri.
Bermula pada jam 8.45 pagi sebanyak 12 buah bot pancing yang memuatkan maksimum 7 pemancing bagi setiap bot dilepaskan.
Sepanjang berada di laut dalam radius 15 batu nautika dari jeti, pemancing hanya dibenarkan memancing menggunakan umpan tiruan (jig) melalui aplikasi jigging sebagaimana yang tertera di dalam syarat dan terma pertandingan.
Ads
Untuk membolehkan hasil tangkapan melebihi 1 kg sebagaimana yang disyaratkan, pemancing perlulah menyertakan rakaman foto dan video aksi memancing dan hasil tangkapan, sejurus tiba di jeti pada jam 5 petang.
Keputusan pertandingan:
Ads
(Kategori Individu)
Khairul Hafis (JKT Team) – Jemuduk 8.450 kg
Yap (Throlling Stones) – Talang 6.305 kg
Fariz Haziq (Kuda Belang 2) – Barracuda 5.250 kg
KS Law (CK Team C) – Ebek 4.960 kg
Mohd Khirul (Kuda Belang 1) – Ebek 4.660 kg
Jacky (CK Team B) – Cobia 4.640 kg
Shahril Abu Bakar – Ebek 4.16 kg
Aliff Nordin (Uncle Sam 2) – Barracuda 4.100 kg
(Kategori Team)
JKT Team – 14.370 kg
CK Team B – 12.120 kg
CK Team A – 10.805 kg
GALERI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Berikutan kegagalan memburu spesies tenggiri di perairan Pulau Kapas, kami berlima meneruskan pencarian tenggiri di perairan Pulau Tenggol pula.
Bagi cabaran memburu tenggiri di perairan Dungun ini kami menaiki bot pancing persendirian milik Nazar.
Nazar merupakan adik kepada Pokmud yang turut sama dalam trip memburu tenggiri ini.
Besarlah harapan kami tenggiri perairan Dungun ini tidaklah sesombong tenggiri perairan Kuala Terengganu.
Bot berukuran 30 kaki dan enjin 175 kuasa kuda berkembar yang dipandu mencecah 40 km/j membolehkan kami tiba di lokasi bekas unjam lama sekitar 45 minit sahaja dalam keadaan laut agak berkucah.
Lubuk yang berstruktur tapak unjam sekitar 3 kilometer melepasi sempadan taman laut itu pernah dikunjungi oleh Nizar dan Pokmud dan hasil yang diperoleh sangat menakjubkan.
Menurut Pokmud, berpuluh ketul jig berkubur di situ dan berbelas ekor tenggiri berjaya dibawa pulang.
Setelah agak lama berhanyut sambil mengunjun kepingan jig seberat 40 gram hingga 80 gram di lubuk pertama tanpa sebarang petanda positif, kami bergerak ke tapak unjam lama yang kedua pula.
Setelah beberapa kali drift di lubuk tersebut, hasilnya tetap sama. Tiada sebarang sambaran yang berlaku.
Keputusan awal yang agak mengecewakan itu mendorong Nazar ke lokasi seterusnya yang semakin menjauhi Pulau Tenggol.
Ternyata di lubuk ketiga ini berpenghuni. Aksi pembuka tirai Faizal menyuntik semangat untuk berjigging dengan lebih gigih.
Namun ikan yang didaratkan hanyalah alu-alu bukannya spesies yang kami sasarkan. Selepas itu seorang demi seorang merasai strike namun kesemuanya adalah alu-alu bukannya tenggiri.
Malah ikan tongkol yang berjaya didaratkan pula tidak cukup sifat setelah sebahagiannya dicukai oleh alu-alu.
“Kalau kacang (alu-alu) dah banyak macam ni memang payahlah nak tenggiri nak masuk,” ulas Nazar selaku tekong berdasarkan pengalamannya memancing di perairan tersebut.
Menjelang petang angin kian bertiup kencang menambahkan lagi laut berkucah. Kesukaran untuk berhanyut di kawasan lubuk mendorong tekong beralih ke lokasi sedikit terlindung di bahagian belakang pulau.
Air berkedalaman 20 hingga 50 kaki menjadi padang permainan kami sementara menanti angin teduh.
Lubuk yang tidak menjanjikan apa-apa tanpa disangka-sangka bertukar menjadi lubuk penawar duka.
Khususnya lubuk berkedalaman 20 kaki dengan dasar berbatu banyak dihuni beberapa spesies kerapu bara.
Setelah berseronok melayan pelbagai jenis kerapu dan sebelum senja menjelang, kami kembali lagi ke lokasi pemburuan tenggiri.
Namun tiada sebarang hasil yang berjaya didaratkan. Tenggiri yang dikatakan banyak didaratkan seminggu sebelumnya langsung tidak kelihatan.
Dengan beberapa ekor kerapu bara kami bergerak pulang sekaligus menjadi trip penamat di perairan Laut China Selatan berikutan monsun timur laut mula memperlihatkan tanda-tanda kehadirannya.
lokasi hulu Sungai Gadong yang terletak dalam jaringan hutan Royal Belum di Perak merupakan antara lokasi yang jarang dikunjungi.
Lantas, sungai berarus laju ini dikatakan antara lokasi yang masih kaya dengan spesies air tawar seperti sebarau, tengas, kelah dan lain-lain.
Trip terjah ke Hulu Sungai Gadong di Perak sebenarnya agak lama juga dinantikan. Hampir sebulan juga menanti sejak menerima panggilan daripada rakan-rakan Kelab Raja Rimba
Adventure (RRA) yang meminta supaya bersedia untuk trip ini. Bila-bila masa saja serbuan akan dijalankan.
Beberapa orang rakan-rakan dari kelab pacuan empat roda RRA yang berpangkalan di Grik telah melakukan intipan awal keadaan lokasi dan cuba menduga waktu paling sesuai untuk melakukan serbuan lokasi Hulu Sungai Gadong ini.
Berdebar dan teruja juga ketika menantikan trip ke Hulu Sungai Gadong ini. Set pancing memang sudah tersedia kemas untuk menduga penghuni sungai di sana nanti.
REDAH HUTAN ROYAL BELUM
Setelah hampir sebulan ternanti-nanti, akhirnya panggilan keramat yang ditunggu tiba jua.
Trip ke Hulu Sungai Gadong telah tiba. Team Umpan bersama beberapa orang rakan RRA dari Lembah Klang bertolak menuju ke Grik yang menjadi tempat pertemuan kami.
Kami tiba di bandar Grik pada awal pagi. Setelah berehat seketika, bersarapan dan siap mencari beberapa barang keperluan, 11 buah pacuan empat roda yang menjadi kenderaan
rasmi trip ini mula bergerak masuk ke Hutan Royal Belum untuk menuju Sungai Gadong sekitar jam 10 pagi.
Menyertai trip meredah hutan bersama Kelab RRA ini bukan kerja mudah. Untuk tiba di lokasi utama, sepanjang perjalanan memerlukan semangat kerjasama yang tinggi.
Kami menyusuri jalan balak yang telah lama ditinggalkan dan perlu mengharungi beberapa batang anak sungai dan kawasan berbukit. Hari pertama ternyata kami hanya bermandi peluh untuk tiba di Hulu Sungai Gadong.
Mujur hujan mula renyai ketika lewat petang saat kami hampir tiba di kem utama. Setelah mendirikan kem utama, masing-masing berehat bagi mengembalikan tenaga untuk sesi pancingan esok hari memandangkan hari sudah semakin gelap.
GELEDAH PENGHUNI LUBUK
Awal pagi hari kedua, kami bersiap untuk menduga penghuni di sini. Kami berpecah kepada beberapa kumpulan dan berjalan menyusuri sungai ke bahagian hulu.
Banyak lubuk cantik sepanjang laluan sungai. Setiap lubuk yang dilintasi, pasti akan dilontarkan dengan sesudu bagi menduga pemilik setiap lubuk.
Penulis memilih sesudu Abu Island II warna emas sebagai taruhan. Taruhan tidak sia-sia apabila beberapa kali sesudu dihentam kuat setelah dibaling berhampiran tunggul kayu.
Sesudu warna emas sering dihentam sebarau. Tengas juga tidak segan menghentam sesudu walaupun tidak segalak sebarau.
Kebanyakan setiap lubuk di sini selalunya pasti ada yang mengawalnya. Jika sudah menghentam sesudu yang dibaling, kami akan berpindah ke lubuk seterusnya.
Rakan-rakan yang mengilat yang lain berjaya menaikkan kebanyakannya sebarau dan terdapat juga beberapa ekor tengas.
Selain tengas, Amang berjaya menaikkan spesies bujuk selepas sesudu yang dibiarkan tenggelam sebelum dikarau berjaya menggoda spesies ini.
Setelah penat mengilat, kami bertukar ke acara pancingan dasar dengan cengkerik sebagai taruhan umpan. untuk pancingan dasar di sungai yang tidak atau jarang dikunjungi
sememangnya tidak perlu tunggu lama, sang tengas pasti berebut-rebut melarikan tali utama. Memang puas seharian dapat melayan sampai kenyang pecutan spesies berarus laju ini.
Lewat petang itu, kesemua kami kembali ke kem utama dan mengumpulkan kesemua hasil yang berjaya dinaikkan.
Masing-masing seakan-akan terlupa akan penat kerana puas melihat hasil yang berjaya cungkil dari dalam perut Sungai Gadong ini.
Waktu malam pula sambil bersantai, joran tetap dilabuhkan bagi menduga baung. Rupanya baung akar mendominasi sekitar kawasan berdekatan kem utama kami apabila mula menjamah umpan.
Ketika keadaan baru hendak rancak, tiba-tiba hujan mulai turun dengan lebat menyebabkan aktiviti pancingan malam kami terhenti lebih awal.
PENAT TAPI PUAS
Pagi hari ketiga, kami mula bergerak keluar sekitar jam 10 pagi. Namun hujan semalam menyebabkan jalan menjadi becak dan berselut.
Laluan semakin sukar dan lebih mencabar berbanding ketika masuk. Mahu tak mahu kami perlu mengerahkan lebih tenaga bagi mengatasinya.
Hujan renyai-renyai sedikit melambatkan pergerakan kami selain sedikit kerosakan kecil pada kenderaan pacuan rakan kami. Namun semua itu berjaya juga diatasi.
Kami selamat keluar dan tiba di Grik sekitar jam 9 malam, beberapa jam melewati jangkaan awal kami.
Setelah membersihkan diri dan berehat, masing-masing duduk melepaskan penat. Namun di wajah tetap mengukir senyuman puas.
Penat memang penat, tapi lebih puas dapat menggeledah penghuni Hulu Sungai Gadong!
Tidak sebagaimana perairan pantai timur, terutamanya dari Kuantan hingga Kuala Lumpur, perairan pantai barat atau Selat Melaka, kurang menjadi lokasi pemburuan spesies ebek. Sama ada ebek kapak atau ebek bulat, kedua-duanya jarang menjadi sasaran utama trip memancing.
Perairan Port Dickson tidak terkecuali. Apa saja teknik pancingan yang dilakukan, para pemancing menyasarkan ikan-ikan dasar gred A seperti jenahak, kerapu dan juga merah. Gamefish seperti GT, talang atau aruan tasik pula disasar oleh penggemar sportfishing. Jika ebek mudah diperoleh sebagaimana pantai timur, sudah pasti ia tersenarai paling atas.
Dan sebagaimana ragam tekong yang penuh kejutan, perairan Port Dickson turut sama mempersembahan kejutan tersendiri apabila menghadirkan gerombolan ebek kapak yang sama sekali di luar jangkaan.
Trip memancing bersama Tekong Pak Ali pada hari itu sama sebagaimana trip sebelumnya. Boleh dikatakan semua ahli menyasarkan buruan utama teknik jigging perlahan, ikan demersal Gred A seperti kerapu, merah atau jenahak. Dan mudah-mudah peroleh ikan bonus, ibu gelama atau juga dikenali sebagai temerih.
Mungkin berkongsi teknik persembahan gaya permainan yang hampir dengan teknik light jigging dalam pemburuan ebek kapak, iaitu menyeret perlahan dan mengunjun jig di permukaan dasar, jig-jig seberat hingga 200 gm yang kami gunakan dalam sesi jigging perlahan menjadi tarikan kepada ebek-ebek kapak ini.
Secara kebetulan saya menjadi ahli trip pertama berpeluang merasai keseronokan melayan kekentalan daya juang spesies yang turut dikaitkan dengan bentuk berlian ini.
Dengan daya pecutan dan kekal memberikan tekanan melebihi paras setengah kedalaman air, saya mula yakin ia bukanlah spesies buruan utama iaitu jenahak atau kerapu namun masih sangsi sebenar sama ada gerepoh, gerong belang, sagai, haruan tasik atau spesies tak bersisik lainnya. Yang pasti tidak terlintas sama sekali ia adalah ebek kapak sehinggalah melihat kelibatnya di permukaan air.
Berikutan bentuk mulutnya yang kecil dan mata kail tertancap pada badan membuatkan tekanan yang diberikan lebih teruja.
Sangkaan kami ia hanyalah ikan sesat atau samseng yang bergerak secara secara solo turut meleset apabila seorang demi seorang ahli trip termasuklah Pak Ali sendiri berjaya mendaratkan spesies itu walaupun berlainan lokasi lubuk. Sekaligus menjadi tangkapan bonus kepada kami kerana bukan semua pemancing dihadiahkan dengan kejutan amokan ebek kapak sedemikian rupa.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...