Sungai Timun, Linggi sememangnya terkenal dengan aktiviti memancing udang galah. Sama ada ia udang galah, sepit biru atau jenggo, ia sememangnya spesies yang seronok dipancing dan sedap dimakan.
Selain udang galah, sebenarnya Sungai Timun lebih dikenali dengan kehadiran sang bedal aka buaya.
Mungkin juga dengan kehadiran sang bedal ini maka populasi si sepit biru terkawal di Sungai Timun.
Ada yang berkata, ada udang ada buaya. Itu memang tidak dinafikan, Tapi saya pula berpendapat, ada buaya ada udang.
Maka itulah sebabnya Sungai Timun sentiasa ada udang. Bila ada buaya, maka kuranglah sedikit orang turun menangkap udang.
Begitulah halnya pada saya. Kalau tak kerana join orang setempat, maka sampai bila-bila pun saya takkan berani nak memancing udang galah di Sungai Timun.
Oleh kerana bertemankan orang setempat, maka cara kami memancing udang galah agak berbeza sedikit. Biasanya, orang akan menyewa sampan dan memancing pada sebelah siang hari saja.
Ads
Tapi kami berenam menaiki dua buah sampan di Jeti Sungai Timun pada pagi Sabtu dan kembali ke jeti pada petang Ahad, keesokan harinya.
Walaupun Sungai Timun terkenal dengan kehadiran sang bedal tapi tidak bermakna setiap inci sungai didiami buaya. Sungai Timun itu sendiri bukanlah cuma sejengkal.
Sekiranya bertembung juga dengan buaya sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sehingga kini belum pernah lagi berlakunya kejadian yang tidak diingini antara buaya dan manusia di Sungai Timun.
Berpandukan rakan anak jati Sungai Timun, kami dibawa ke lubuk-lubuk yang berpotensi. Kami memancing di atas sampan sehinggalah ke petang.
Dalam pada masa yang sama kami turut meninjau beberapa kawasan tebing yang sesuai untuk dijadikan tapak perkhemahan untuk kami berehat pada malam hari dan berpotensi untuk pancingan tebing juga.
Ads
Hasil seharian memacing di atas sampan bolehlah dianggap lumayan juga bagi kami yang baru pertama kali turun memancing udang di Sungai Timun ni.
Hasil itu kami jadikan juadah pada sebelah malam. Selain alatan ringkas perkhemahan, kami turut membawa alatan mmemasak dan makanan kering. Tentu saja kami tidak lupakan mi segera.
Apa lagi yang lebih enak dimakan selain mi segera udang galah bersama kopi O!
Ads
Hasil pancingan dari tebing pada malam harinya agak perlahan. Namun saiz udang yang diperoleh agak kasar-kasar juga. Kami memancing sehingga mana mata larat berjaga.
Keesokan pagi setelah bersarapan ala kadar dengan apa yang ada, kami menyambung kembali aktiviti memancing udang galah di atas sampan sehinggalah kembali ke jeti pada petang harinya.
Biarpun hasil tidak seberapa tetapi dapatlah juga membawa pulang hasil perut Sungai Timun untuk ahli keluarga merasainya bersama.
Sesiapa yang pernah berkunjung ke Sungai Tembeling, sungai yang merentangi garis sempadan dengan Taman Negara, Pahang, khususnya menaiki bot menyusuri sungai
tersebut dan memancing di tebingnya, pastinya geram melihat kelibat sang ikan bermain di permukaan sungai.
Tahukah anda, kelibat ikan tersebut adalah patin lawang atau disebut juara (Pangasius polyuranodon).
Walaupun ia bukan patin bernilai tinggi seperti saudaranya buah, emas dan muncung, tetapi ia tetap menjadi pilihan penggemar masakan ikan patin dan menu berkenaan boleh didapati di kebanyakan restoran terapung di jeti Taman Negara.
Walaupun tidak boleh dibandingkan rasa dan tekstur isinya berbanding saudaranya, buah, emas dan muncung, patin lawang pula dikatakan jauh lebih sedap berbanding patin sangkar atau kolam.
Memang ada benarnya, kerana patin lawang mendiami persekitaran sungai semulajadi dan sudah terbiasa dengan diet pemakanan di tempat semulajadi.
Kunjungan asal saya ke Taman Negara, cuba untuk memancing kelah dengan persiapan diatur sebaik mungkin.
Tetapi disebabkan kekangan tertentu, hasrat tersebut terpaksa ditangguh. Lain yang dicari lain yang dapat.
Sebarau hasil casting juga, tidaklah banyak dan bersaiz ‘hensem’ untuk bergambar.
Lantas guide merangkap tekong bot, Nizam Gajah dan Asri mengajak mengikut mereka bagaimana mudahnya memancing ikan patin lawang.
Tanpa berlengah, saya dan rakan yang lain, Alif, Nizam dan Wahida menyatakan kata setuju.
Selepas makan tengah hari, Nizam dan Asri mula menyiapkan kelengkapan. Ooo…rupa-rupanya memancing kaedah menghanyut botol.
Selepas siap kami bergerak menuju ke lokasi atas Lubuk Katak, iaitu tidak jauh dari Kampung Pagi. Nizam berkata, tali perlu diikat kemas pada mulut botol.
Kepingan roti dipotong bentuk kiub dan bila sudah selesai botol-botol ini akan dicampakkan ke dalam air. Nampak mudah, tapi kena rajin mengulangi langkah ini.
“Untuk lebih cepat dapatkan patin lawang, botol seharusnya dicampak pada bahagian atas kawasan yang dikenalpasti dan biarkan botol berkenaan melewati kawasan tersebut.
“Biasanya dalam 10 buah botol yang kita lemparkan, 2 atau tiga mesti kena. Proses ini dilakukan berulang kali dan perlu bertukar lubuk sekiranya, ikan sudah tidak mahu makan umpan,” katanya.
Ujar Asri pula, adakalanya umpan cepat habis sebelum sempat ia melalui kawasan yang dikenal pasti, patin lawang banyak bermain di permukaan air.
Ini kerana jika menggunakan umpan roti, ia sememangnya cepat habis digetu ikan seluang atau anak-anak ikan dan mudah tertanggal dari mata kail.
Selain roti, umpan terbaik dan lebih cepat patin lawang terkena mata kail adalah lipas rumah hidup.
Ini kerana berbau tengik dan tidak mudah digetu ikan kecil. Tetapi betapa susahnya untuk mencari lipas hidup, guna roti lagi mudah.
Walaupun mensasarkan ikan patin lawang sebagai ikan target, adakalanya dengan kaedah menghanyut ini, rezeki lain boleh diperoleh.
Kadang-kadang boleh terkena patin liar atau ikan lain seperti lampam sungai bersaiz besar.
Selesai mencampakkan botol berkenaan, mata pula perlu sentiasa peka memerhatikan botol tersebut dan bot perlu berada di kedudukan jauh dari botol yang hanyut.
Tetapi penting untuk tidak menghanyutkan botol di kawasan jeram kerana, sukar dan merbahaya kepada bot untuk mengambilnya semula.
Setelah memeriksa sama ada terkena ikan atau tidak botol akan dikumpulkan semula botol, diletakkan umpan dan bot perlu mudik semula ke hulu dan melakukan proses yang
sama berulang kali sehinggalah beredar ke lokasi yang lain Jelas Nizam lagi, selain lokasi faktor juga perlu diambil kira, seperti menghanyut botol memang tidak sesuai dilakukan pada musim air besar, kerana arus laju dan air terlalu keruh.
Air yang paling sesuai adalah seperti keruh ‘bulu kera’ dan waktu yang sesuai pula adalah pada pagi dan petang. Menariknya, memang teknik menghanyut pelampung ni menjadi!
Asri dan Nizam berhasil menaikkan beberapa ekor patin lawang berbeza saiz dalam tempoh 2 jam sahaja.
Itu belum kira yang terlepas akibat sedikit lewat mengangkat botol berkenaan, menyebabkan ikan terlepas. Bagi pemancing di luar sana, mungkin kaedah ini boleh diaplikasikan ditempat masing-masing.
Zon larangan
Sepanjang menyusuri Sungai Tembeling dari jeti Taman Negara, saya tertarik dengan pengenalan zon di sungai ini.
Pengenalan dan pemisahan zon ini, ditanda dengan boya-boya berwarna memancing dan menjala sahaja dengan syarat temoleh (Probarbus jullieni) yang diperolehi mestilah dilepaskan semula hidup-hidup.
Zon Merah pula bermula dari Jeram Panjang meliputi Lubuk Lenting, Lubuk Terenggan, Lubuk Gambir sehingga Lubuk Katak.
Ia zon larangan semua aktiviti seperti memancing, pukat, rawai dan segala jenis kaedah menangkap ikan.
Zon Hijau pula dari Lubuk Katak ke atas hingga ke Kuala Keniam. Zon ini membenarkan memancing, jala, menjaring dan galakkan pemancing melepaskan semula temoleh yang diperolehi.
Rentangan jaring atau pukat menyebabkan kepupusan ikan ini secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Atas kesedaran itulah, sebahagian hulu Sungai Tembeling sepanjang 23 kilometer dirizabkan sebagai zon larangan oleh pihak Jabatan Perikanan Negeri Pahang.
Manakala tugasan pemantauan, seorang masyarakat di sini Azran Abd Sani, telah dilantik sebagai renjer sungai, sekaligus memantau perlaksanaan program Rakan Temoleh di Sungai Tembeling.
Meskipun zon larangan ini diwujudkan khusus menyelamatkan temoleh, secara tidak langsung penguatkuasaan ini telah menyebabkan spesies ‘rare’ lain turut dilindungi,
terutama patin liar (Pangasius), kerai kunyit (Hyrsibarbus sp.), tenggalan (Puntius bulu), tapah (Wallago spp.) dan pelbagai lagi spesies berharga Sungai Tembeling.
Perbezaan ketara patin lawang dengan patin biasa adalah, matanya yang besar dan menonjol. Spesies ini tidak boleh membesar seperti saudaranya. Maksimum beratnya hanyalah bawah 2kg.
Patin lazimnya hidup di lubuk air deras dan kawasan yang terdapat banyak rumpai air atau lumut sebagai sumber makanan.
Selain nama Temoleh, spesies kap terbesar ini turut sebut temelian, ikan ini akan mudik ke kawasan hulu mencari lubuk-lubuk yang dalam untuk menghempas telur.
Pada zaman dahulu, penduduk sekitar Sungai Pahang akan menunggu saat ini dengan memasang jaring untuk menangkapnya.
Ketika Asian Monsoon Casting Tournament (AMCT) 2016, yang berlangsung di Tasik Kenyir, Terengganu wakil dari Korea Sport Fishing Association (KSA), Kim Sunkyu dan Mr Kim Chanyong iaitu satu badan yang menganjurkan International Bass Fishing di Tasik Andong, Korea. Acara yang mendapat penyertaan pemancing profesional dari pelbagai negara termasuk Jepun, China, Australia,Thailand,Indonesia dan Amerika Syarikat. Hasil dari persetujuan bersama pihak KSA berminat menyediakan empat penyertaan (pada asalnya) dari program AMCT untuk menyertai acara di Tasik Andong pada 27 dan 28 May 2017.
Untuk mencari empat peserta yang layak pihak Sekretariat MCT telah melancarkan satu program yang di namakan Anglers Exchange Program di mana peserta perlu melalui beberapa ujian kelayakan termasuk mesti mempunyai enjin bot berjenama Mercury dan pernah menyertai program yang dianjurkan oleh Sekretariat Mct. Setelah tamat pencarian dan sedikit perubahan jumlah penyertaan Hafiz hussin, Kay Fairuz Kamaruddin, Samsu Bahri Ismail, Azri bin Ngah, Ahmad Zulfa Shafie, Vincent Gan, Chung fai Chan dan Chee Wooi Kang terpilih untuk mewakili Malaysia.
Menurut Azri Ngah, Pengerusi Sekretariat MCT yang turut menjadi peserta dalam kejohanan ini, konsep dan peraturan kejohanan tidak sulit atau terlalu komplikasi. Setiap peserta sama ada tempatan atau antarabangsa akan dipasangkan dengan seorang guide atau pemancing profesional dari KSA. Jumlah tangkapan yang diambil kira hanya 10 ekor untuk tempoh pertandingan selama dua hari. Antara peraturan lain pula, hanya tali tangsi atau mono filamen 4-8 lb dan umpan soft plastic 3-8 inci sahaja yang dibenarkan.
Memancing dengan menggunakan bass boat yang lengkap dengan sistem GPS, sonar dan fish finder sememangnya impian semua pemancing, namun memancing ketika hari pertama puasa di bumi Korea yang mana waktu siangnya lebih panjang berbanding malam (Subuh 3.25 pagi dan Maghrib 7.40 malam) merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Dan kejohanan ini, peserta dari Malaysia, Vincent Gan yang berpasangan dengan Kim Hyo-cheol berjaya berada di tangga keempat dari seratus pasangan yang bertanding.
Carta Top 10
1. Kim Doo-Rok / Crown – 10 ekor – 15.240 kg
2. Yong Hong Won / Park Sang Jo – 10 ekor – 14.130 kg
3. Yong Soon Park / Noh Jae-won – 10 ekor – 14.110 kg
4. Kim Hyo-cheol / Vincent Gan – 10 ekor – 13.970 kg
5. Kim Joon Mo / Kim Young-mo – 10 ekor – 13.460 kg
6. Kim Jong Hyeon / Warren Carter – 10 ekor – 13.370 kg
7. Coal Work / Kim Myung-ho – 10 ekor – 13.350 kg
8. Kim Si-ho / Kim Dong-yong – 10 ekor – 13.310 kg
9. Mourner / Lee So-la – 10 ekor – 10 ekor – 13.010 kg
Terdapat banyak pertandingan memancing di negara kita sama ada di kolam berbayar, pantai atau laut dalam malah hadiahnya juga mencecah ratusan ribu ringgit. Jika anda diminta menyertai pertandingan memancing, pasti anda dapat bayangkan keadaan pertandingan yang bagaimana.
Namun, senarai di bawah mungkin pertandingan memancing yang bukan seperti yang anda fikir. Luar biasa atau pelik, inilah antara kegilaan dalam dunia pancing.
Annual Ice Fishing Derby, Maine
Sekali pandang nama pertandingan memancing ini mungkin kelihatan seperti tiada yang luar biasa. Idea asal pertandingan ini pertandingan memancing ini datang dari sebuah bilik di sebuah kolej di Maine dan pertandingan ini menjadi sangat terkenal di kalangan komuniti di Pine Tree State. Masih biasa saja bunyinya kan?
Seterusnya kita lihat apa yang luar biasa dan pelik tentang pertandingan yang diilhamkan oleh seorang Wes Ashe dan rakan-rakannya ini. Dinamakan sebagai Annual Ice Fishin’ Derby, syarat peraturannya ialah ikan terpanjang spesies apa sahaja yang dipancing di mana sahaja di Maine dan pertandingan ini bermula dari 1 Disember dan berakhir pada 28 Mac. Syarat mudahnya, apa jenis ikan, di mana saja dan bila-bila masa sahaja.
Malah penyertaannya melalui emel sahaja dan peserta harus mengambil gambar ikan yang dipancing bersama pembaris (untuk kiraan panjang) berserta dengan kad yang dipanggil derby card yang membuktikan pemancing itu mendaratkan ikannya. Peserta dengan ikan paling panjang dikira pemenang. Fuhh, 4 bulan baru tahu siapa menang.
International Eelpout Festival
Walker, sebuah bandar kecil di Minnesota telah menjadi tuan rumah kepada salah satu acara festival paling meriah selama hampir 40 tahun. Yang luar biasa ialah, International Eelpout Festival merupakan festival yang diadakan bagi meraikan salah satu spesies ikan yang dikatakan terhodoh iaitu eelpout kerana spesies ikan penghuni dasar ini sering dilupakan kerana Leech Lake lebih terkenal dengan spesies ikan walleye.
Bertempat di Leech Lake, festival ini dilangsungkan di sekitar tasik ais di mana suhu di sini biasanya di bawah 0 darjah celcius. Selain mencari eelpout terbesar, beberapa acara sampingan unik lain juga turut diadakan seperti pertandingan tahan nafas di dalam tasik yang digelar Polar Plunge dan mencium eelpout. Siapa tahan sejuk, bolehlah hantar nama ke festival ni.
Tunarama
Pertandingan yang digelar Tunarama ini diadakan di Port Lincoln, Australia setiap tahun ketika sambutan January’s Australia Day. Pertandingan ini bukan hanya pertandingan memancing biasa kerana bukan ikan terberat, malah berapa jauh anda mampu membaling ikan anda.
Ya, ambil ikan anda dan baling sejauh mungkin, kemudian ukur berapa jauh! Menurut rekod, ikan tuna seberat sekitar 20lb pernah dibaling sejauh 37.23 meter dan masih memegang rekod balingan paling jauh.
Ini pertandingan memancing ke acara baling tukul Sukan Olimpik? Tak tahu nak rasa pelik ke, kelakar ke kalau bayangkan tengok banyak ikan-ikan besar bergelimpangan atas padang tu kena baling. Kesian pula rasanya kat ikan-ikan tu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...