Sebenarnya trip ini merupakan trip ulangan saya pada selepas kunjungan pertama yang tidak begitu cemerlang, bila mana tiada seekor kelah bara dinaikkan. Jadi trip ini diharap menjadi pengubat kedukaan dalam misi mencari kelah bara.

 

Setelah semua barang dimuatkan ke dalam kereta, kami memulakan perjalanan dari Petaling Jaya menuju ke bandar Kuala Berang yang mengambil masa kira-kira 6 jam.

Selesai solat subuh dan bersarapan sambil membeli sedikit bekalan tambahan kami bergerak menuju ke Jeti Jenagor untuk mendaftar masuk ke Taman Negara Kenyir.

 

Ekspedisi 10 jam

Jika trip pertama, kami terus menaiki speedboat dari jeti, tetapi kali ini kami menaiki boathouse Tekong Karim. Tekong ini kami anggap antara tekong terbaik yang pernah kami gunakan khidmatnya iaitu sejak enam tahun lalu hingga sekarang.

 

Perjalanan ke Sungai Terenggan mengambil masa kira-kira 5 jam dan seperti biasa tempoh yang panjang ini kami unakan sepenuhnya untuk merehatkan badan, maklumlah kerana di antara kami ada yang bekerja shift malam.

 

Walaupun malam itu kami memancing, tetapi tidak lama. Mungkin teruja untuk aktiviti sebenar keesokan harinya, kebanyakan daripada kami masuk tidur awal.

Awal-awal pagi lagi kami sudah bangun. Selepas persiapan dilakukan dan bersarapan, kami bergerak menaiki speedboat menuju Lubuk Asli secara bergilir.

 

Dari situ kami memulakan perjalanan dan sasaran kami adalah berkhemah di Ulu Pering yang akan mengambil masa kira kira-kira 8 jam untuk sampai.

 

Setelah lebih kurang sejam berjalan meredah hutan, Fuad, salah seorang daripada ahli kumpulan kami mengalami kekejangan otot. Perjalanan terpaksa dihentikan seketika bagi memberi peluang Fuad merehatkan badan dan mengurangkan kesakitan.

 

Tetapi, oleh kerana semangat yang kuat untuk memburu raja sungai, kesakitan yang dialami tidak begitu dihiraukan sambil dia tetap berazam untuk sampai ke destinasi yang dituju.

IKLAN

 

Namun, kami tidaklah memberi tekanan kepadanya, sambil perjalanan berhenti rehat beberapa kali. Sekitar jam 6 petang, kami akhirnya berjaya sampai ke Lubuk Panjang (Lubuk Berdengung).

Kami mengambil keputusan untuk berkhemah memandangkan Fuad sudah tidak berdaya lagi.

 

Pancingan dasar

Setelah khemah siap dipasang dan makan malam, Karim dan Pak Mat membina para untuk menyalai ikan yang ditangkap nanti, manakala Pak Chom, Zack, Aiman dan Milo menuju ke bawah untuk mencuba nasib sebelum malam berlabuh.

Pada pengamatan saya yang sudah beberapa kali trekking bersama Karim, lazimnya jika dia membuat awal para untuk menyalai ikan, akan ada rezeki kelah buat kami.

 

Bagi penjejak kelah, suasana bising perkara yang perlu dielakkan. Bahkan cahaya lampu suluh juga mesti dielakkan dari disuluh di permukaan air terutama di kepala dan ekor lubuk, kerana di sinilah kelah dan kejor bersaiz besar akan mula berkeliaran mencari makanan.

 

Lewat malam, Mus dan Karim beralih mencuba di lubuk dalam di bahagian atas. Sekitar jam 12.30 malam satu sentapan kuat berlaku yang menyebabkan joran Mus hampir terjun ke lubuk. Mujur batang joran sudah berikat.

 

IKLAN

Pertarungan hampir 10 minit tetapi kelibat mangsa belum kelihatan, Karim sudah bersedia di tepi tebing untuk menarik mangsa ke darat, malangnya dengan kudrat yang masih ada mangsa membuat henjutan terakhir memutuskan tali utama (tali sulam 20lb). Hampa sungguh wajah Mus ketika itu.

 

Mangsa dikhuatiri meloloskan diri mungkin terkejut dek cahaya lampu yang disuluh ke dalam air sewaktu pertarungan tadi malah struktur batu-batu besar yang terdapat di dasar membantu mangsa memutuskan tali pancing.

 

Joran patah

Melihat aksi Mus yang digasak begitu hebat, ada di antara rakan-rakan yang tidur-tidur ayam, terus sahaja cerah biji mata. Iyelah memang satu kerugian, trekking jauh-jauh tetapi tidur di dalam khemah. Apa salahnya berjaga sedikit. Bukan selalu dapat sampai ke sini.

 

Malam itu, rata-rata di antara kami galak menerima sambaran. Paling memeranjatkan kami bila joran milik Karim patah dikerjakan mangsa selepas diasak kuat sebelum mangsa berjaya meloloskan diri. Kecewa lagi bila gagal menaikkan kelah bersaiz besar.

 

Pada malam itu, seekor kelah dan dua ekor kejor yang dianggarkan sekitar 1 kg setiap seekor berjaya juga dinaikkan di samping baung akar yang tak terkira banyaknya memenuhi jut.

 

IKLAN

Hari kedua, kami mengambil keputusan berpecah kepada dua kumpulan. Pak Chom, Fuad, Zack, Milo, Nasir dan Aiman menghala ke bawah lubuk khemah. Manakala saya, Mus, Karim dan Pak Mat naik ke atas hingga sampai ke Ulu Pering.

 

Saya yang membaling umpan di hujung ekor lubuk akhirnya mendapat sentapan kuat. Dek kerana air yang jernih memang jelas kelah bara memecut untuk melepaskan diri.

Dengan berhati-hati saya melayan mangsa agar tidak terlepas dan akhirnya puas, bila kelah dalam skala 1.5kg berjaya saya pangku.

 

Akhirnya dapat juga lesen, setelah tiga trip sebelum ini gagal membuahkan hasil. Sejam kemudian, giliran Mus pula menerima sentapan kuat, larian padu mangsa di kepala lubuk membuatkan Mus tak senang duduk kerana terdapat batuan besar yang mungkin dapat memutuskan perambut 20lb yang dipakai.

 

Benar kata pepatah, kalau dah rezeki memang tak ke mana. Kelah hampir sama saiz berjaya didaratkan. Sekitar pukul 4.00 petang kami menamatkan pancingan dan pulang semula ke khemah.

 

Dua ekor kelah bara dan 5 ekor kejor berjaya didaratkan (yang kecil dilepaskan semula ke habitat asal). Perkhabaran daripada rakan di bawah pula, gagal menaikkan kelah bara. Hanya kejor yang berjaya dinaikkan.

 

Hari ketiga

Hari terakhir di lubuk ini, kami memutuskan untuk membuat sebuah rakit buluh untuk membawa barang-barang. Lega rasanya bila bahu tiada lagi beban memikul beg. Kami tidak begitu terlalu memancing pada hari ini dan hanya casting pada lubuk-lubuk tertentu di sepanjang kembali turun ke bahagian hilir.

 

Apa pun, trip kali ini membuatkan kebanyakan daripada kami tersenyum, lebih-lebih lagi kepada rakan yang gemar membuat asam pedas ikan baung yang begitu banyak kami perolehi.

Kami selamat sampai di boathouse sekitar jam 5.30 petang dan sebelah malamnya kami lebih banyak berehat.

 

Jam 10 pagi keesokan harinya, boathouse mula meninggalkan Sungai Terenggan dan kami tiba di Jeti Jenagor menjelang jam 2 petang. Sesungguhnya memori joran terbang dan henjutan kelah bara membuatkan kami tersenyum puas.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI