Kira-kira 2 jam lebih diperlukan untuk tiba di lokasi pertama selepas bot bertolak dari jeti. Arus agak kuat dan ladung saiz 18 ke atas perlu digunakan.

Sedang kami leka, tanpa sebarang amaran drag Chef Hamidon berbunyi nyaring dan terus menerus seakan-akan tanpa henti. Jorannya terus melendut. Kami pasti ia ikan yang agak besar.

 

Agak cemas juga kerana arus yang bertambah laju menyukarkan beliau mengendalikan ikan yang ganas itu. Akhirnya seekor ikan merah bersaiz 4.5kg dinaikkan. Man pula mendapat sambaran kasar selang 30 minit selepas itu.

 

Kelihatan agak payah untuk dia mengatasi kudrat ikan itu. Tali masih mencurah-curah walaupun drag maksimum.

Akhirnya putus begitu saja dan jelas riak kecewa di muka Man. Selepas itu Pok Din terus saja menghidupkan enjin untuk berpindah kerana arus telah menjadi terlalu laju.

 

Tiba di spot berikutnya, K.I yang awal-awal menurunkan pancing mendapat sambaran pertama ketika enjin baru sahaja hendak dimatikan. Nampak mudah perlawanan tersebut.

IKLAN

Seekor ikan saiz agak kecik dinaikkan. Selang 20 minit, salah satu drag pancing K.I berbunyi. Beliau terkial-kial kerana tidak bersedia disebabkan hampir terlelap ketika itu. Kali ini seekor cermin bersaiz agar baik dinaikkan.

 

Awak-awak serta kami juga berjaya menaikkan beberapa spesies kecil seperti kerapu, tambak dan sebagainya. Tiada ikan kasar yang sudi menjamah umpan di sini.

Dalam pada itu, Mie Mamak yang mabuk teruk dari bermulanya perjalanan tetap cuba memancing, namun tiada hasil sehingga kini. Semangatnya yang tinggi itu harus kami puji.

Kami ke kapal karam yang agak jauh apabila hari mulai gelap. Arus air sederhana namun angin pula bertiup agak kuat membuatkan bot sekali sekala bergoyang.

 

IKLAN

Beberapa ekor sotong berjaya dicandat dengan menggunakan jig sahaja ketika ia hampir ke bot. Masing-masing menghiris sotong tersebut. Tanpa menunggu lama, Alip yang sedang bersembang di belakang bergegas ke hadapan bot apabila pancingnya mengena.

 

Pok Din yang turut menunggu ikan juga mengena. Ia pasti ebek. Tepat sekali, seekor ebek dinaikkan. Semua pemancing mula bersemangat dan duduk di depan joran masing-masing.

Sedang saya mengelamun menanti ragutan, tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi drag Penn VSX International dan terus mencapainya.

 

IKLAN

Kuat sungguh lariannya kerana dapat menarik tali keluar walaupun drag pada tahap agak maksimum. Pastinya ebek berdasarkan lariannya. Sekali lagi Pok Din mencangkuk ikan ebek tersebut yang berskala 5kg lebih.

 

Ketika baru saja melabuhkan pancing dengan umpan baru, sekali lagi dray saya berbunyi nyaring. Kali ini lariannya lain namun asakannya padu dan menjunam. Setelah berjaya dikawal, akhirnya jemuduk dalam skala 4kg menjadi habuan.

 

Nizam yang tekun memancing dari tadi mendapat sambaran selang 10 minit selepas itu. Beliau mengambil masa untuk mengendalikan ikan tersebut kerana talinya hanya 30lb.

Lama juga pertarungan tarik tali ini berlangsung dan akhirnya seekor lagi jemuduk skala 4kg ditewaskan.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI