Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, diterajui pengarahnya, Halimi Hanip, 8 Ogos lalu mencatat sejarah paling manis dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi usaha pelepasan lebih sejuta benih udang galah bernilai RM120,000 ke sistem Sungai Timun, Rembau.
Majlis simbolik pelepasan benih udang galah (baka udang galah mega atau jenggo) kira-kira 1,139, 472 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun.
Sijil MBOR berkenaan disampaikan sendiri wakil MBOR, Muhammad Shukri kepada Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan. Menurut Ismail, Negeri Sembilan telah menyumbang pengeluaran udang galah sebanyak 86 tan metrik bersamaan 32.12 peratus pengeluaran udang galah di negara ini bernilai RM4.2 juta dan menjadi negeri kedua terbesar selepas negeri Perak bagi sumbangan hasil berkenaan.
“Terdapat pengurangan trend pendaratan udang galah bermula pada tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik kepada 0.61 tan metrik pada tahun 2015. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan bagi memulihara dan meningkatkan sumber udang galah di Sungai Timun ini.
”
Dalam program ini, pihak Syarikat Tg. Utara sudi menyumbang benih udang galah sebanyak 1 juta ekor dan sekiranya 10% kadar hidup, dianggarkan hasil sebanyak 3.3 tan metrik dengan nilai RM 233 ribu akan dihasilkan,” katanya sempena Majlis Pelepasan Benih Udang Galah Mega di Pengakalan Nelayan Sungai Timun,
Ismail berkata, di Negeri Sembilan terdapat tiga buah hatcheri udang galah aktif dan bilangan penternak udang galah di negeri ini adalah sebanyak 35 orang. Menurutnya, untuk rekod tahun lalu sahaja, Sungai Timun berjaya menarik hampir 680 pemancing rekreasi dan purata sebulan seramai 50 orang.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Halimi Hanip berkata, program pelepasan 1 juta benih udang galah ini merupakan rekod terbanyak yang pertama kali dalam sejarah negara dan telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Recods.
Jabatan berharap dengan pelepasan ini di kawasan Pengkalan Nelayan Sg. Timun (iaitu Sg. Rembau yg mengalir ke Sg. Linggi), ia akan meningkatkan sumber udang galah dan seterusnya dapat dinikmati hasilnya oleh pemancing rekreasi serta meningkatkan sosio ekonomi penduduk kampung setempat.
Bermula diperhangat dengan gambar-gambar tangkapan siakap liar dalam Whatsapp grup oleh rakan saya, Shah, maka bermulalah sesi mesyuarat alam maya mencari bila tarikh yang sesuai untuk turut sama menerjah ke spot berkenaan.
Akhirnya tak sampai seminggu, komplot sehari telah berjaya diaturkan ke sana. Walaupun pada awalnya, lebih dari dua buah kereta yang dijadualkan turut serta, tetapi hanya lima orang sahaja termasuk saya yang confirm.
Ini disebabkan kami terpaksa memilih bukan hari hujung minggu bertandang ke sini. Selepas solat Subuh di lokasi berhampiran dan keadaan masih lagi gelap kami sudah pun memulakan sesi casting.
Lubuk hujung kampung
Spot siakap yang dimaksudkan oleh Shah merupakan aliran sungai pasang surut yang mempunyai kunci air yang mengawal masuk dan keluarnya air ke laut lepas. Ia terletak di daerah Batu Pahat, Johor.
Menurut Shah yang pernah sekali bertandang sebelum itu, tidak ramai yang mengetahui spot berkenaan ada siakap dan sebenarnya lagi, siakap di situ bukanlah ada sepanjang masa dan ia bermusim.
Dalam setahun katanya, berlaku dua kali kumpulan-kumpulan ikan siakap memasuki pintu masuk kunci air sebelum ia bertebaran masuk dan keluar dalam aliran parit-parit kecil di kawasan sekitar.
Jika bukan musimnya, hendak mencari seekor dua pun susah. Kami berpecah dua kumpulan mengikuti dua cabang aliran sungai berkenaan sambil berharap awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk mendapat strike.
Jauh kami berjalan, akhirnya Zul dan Din mula yang berada paling hadapan memecah kebuntuan apabila popper Roosta yang dimainkan berulang-ulang kali disambar rakus dan Din yang begitu setia mempertaruhkan gewang Duo Toto pula menyusul selepas itu.
Saya kemudiannya berpecah dengan mereka dan menyusul mengikuti Ramli dan Shah di satu cabang aliran lagi.
Satu strike yang diterima oleh Ramli, namun saiz siakap yang lagi masih baby telah selamat dilepaskan kembali. Tetapi ada juga siakap yang bersaiz enak dijadikan hidangan diperolehi oleh kami bertiga.
Panas membahang
Disebabkan cuaca yang cepat sahaja terik walaupun jarum jam belum menunjukkan angka 12 tengah hari telah memaksa kami untuk berehat seketika.
Sebuah warung kampung yang terletak tidak jauh dari kunci air tersebut menjadi lokasi kami berehat, membasahkan tekak sambil makan tengah hari.
Akhirnya semua order yang sama bila terlihat menu asam pedas. Fuhh memang terangkat habis bila nasi panas dihidangkan dengan asam pedas ikan pari dan ikan kembung dan sayur ala kampung style.
Ketika menikmati hidangan, Shah memberitahu kunjungan kami pada hari berkenaan sedikit langkah kiri, apabila kunci air tidak akan dibuka walaupun air sedang pasang ketika itu.
Katanya lagi, patutlah strike siakap agak slow. Kira-kira jam 3 petang, kami menyambung sesi pancingan walaupun mengetahui hal tersebut dengan memanjangkan langkah meredah ke arah aliran sungai berhampiran kebun kelapa sawit.
Memang betul, jika ikan yang terbiasa mengikuti arus seperti siakap di kawasan muara ini, walaupun ia ada, tetapi jika tiada arus, ikan tidak galak dan pasif mengejar, kecuali jika
umpan betul-betul disuakan di depannya. Ia sama juga seperti di laut. Jika arus mati, memang ikan tidak aktif memakan umpan.
Kawasan di kebun kelapa sawit ini agak terhad untuk casting terutama di kiri dan kanan berhampiran tebing sungai kerana ia dipagari pokok dan semak samun. Cuma, di mana ada ruang, di situlah kami cuba melontarkan gewang.
Soft plastic yang praktikal
Memasuki kawasan yang sukar ini, saya segera menukar dari menggunakan gewang hard lure kepada soft plastic (sp).
Pada saya ia lebih praktikal jika tersangkut tidaklah ralat sangat. Ini kerana lokasi yang sempit kes gewang sangkut dibangkar kayu di dalam sungai atau tersangkut dahan pokok amat tinggi.
Sp Berkley Power Bait warna putih, misalnya memang sudah cukup lama terbukti menewaskan siakap baik pancingan di kolam air masin ataupun lokasi sebegini.
Kerap kali berlakunya ‘ketukan’ dan kejadian ‘misscall’. Mungkin ada siakap di sini sudah cerdik dan Shah sendiri ada memberitahu, dia juga mengalami kejadian yang sama termasuklah kunjungannya yang terdahulu, iaitu siakap di sini cepat belajar.
Mungkin sudah agak culas disebabkan pernah terlucut dek kunjungan pemancing dahulu. Alhamdulillah, walaupun air mati, masing-masing masih mendapat strike.
Cuma saiznya sahaja sedang-sedang besar tapak tangan. Sebelum mengakhiri komplot petang itu, Din berjaya memperoleh satu strike yang agak kasar.
Walaupun berhadapan kesukaran menaikkan ikan berkenaan, siakap hampir 2kg berkenaan berjaya juga dinaikkan.
Ramli yang melontarkan gewang tidak jauh dari tempat Din strike, tiba-tiba dikejutkan dengan strike yang juga agak kasar, tetapi agak terlewat kerana siakap tersebut telah berjaya menyusup dan terus sangkut.
Akhirnya terpaksalah menarik hingga putus kerana tiada cara untuk menyelamatkannya lagi.
Sejak dari itu, langsung tiada lagi strike dan kira-kira hampir jam 7 malam, kami mengambil keputusan untuk pulang kembali ke Shah Alam.
Walaupun trip ini hanya sehari sahaja, kami tetap memanjatkan rasa syukur kerana masingmasing tidak pulang dengan tangan kosong.
Katak hidup atau katak tiruan? Yang mana lebih efektif untuk memburu haruan? Pasti itu antara persoalan yang terbuku di minda seorang pemancing terutamanya bagi yang baru menjejakkan kaki di dalam hobi ini. Mungkin ada yang beranggapan katak hidup lebih menjadi pilihan, namun ada juga yang lebih menggemari umpan tiruan untuk memburu spesies ini.
Event memancing haruan sambil bersantai ini memang telah lama dirangka. Trip sebegini boleh dikatakan sebagai salah satu aktiviti wajib bagi Kelab Memancing Tasik Puchong Prima dan Puchong Prima Fishing Boat Charter.
Bezanya, kali ini, aktiviti berkonsepkan pertandingan untuk mencari juara yang dapat menjinakkan haruan terbesar. Biarpun berkonsepkan pertandingan, namun tiada yuran penyertaan akan dikenakan kepada ahli.
Jeffry selaku organizer trip kali ini juga memperkenalkan sedikit twist untuk aktiviti kali ini. Twist yang dimaksudkan ialah melalui trip ini mereka akan mengetengahkan teknik casting cara tradisional dan moden. Justeru itu, trip kali ini telah diberi nama “Tradisional vs Moden: Katak vs Lure”.
SPOT BERPOTENSI
Apabila tiba hari yang dinantikan, semua ahli yang menyertai trip ini berkobar-kobar untuk ke lokasi yang di maksudkan iaitu di kawasan Dengkil, Selangor. Untuk ke lokasi ini, perjalanannya agak mencabar juga kerana ia bolehlah dikatakan agak terceruk sedikit.
Apa pun, demi misi trip kali ini, semuanya kami tolak ke tepi. Trip kali ini telah disertai oleh 18 orang ahli. Pada asalnya 25 orang dijangka menyertai komplot ini, namun atas sebab-sebab tertentu hanya bilangan ini sahaja yang dapat mengikuti trip yang dianjurkan untuk kali yang ke-4 ini.
Sampai sahaja ke lokasi, kami mendapati banyak spot yang amat berpotensi untuk menduga spesies berkepala ular ini. Mana tidaknya melihat keadaan air berwarna gelap sahaja telah membuatkan semua ahli trip berkobar-kobar.
Tanpa membuang masa semua ahli mempertaruhkan umpan masing-masing. Daripada katak hidup, ke katak tiruan dan pelbagai jenis gewang lain telah dihulurkan untuk menjinakkan spesies ini. Sebaik sahaja umpan dilabuhkan tidak menang tangan kami dibuatnya. Ada yang strike, namun banyak juga yang rabut akibat kelicikan spesies ini.
KING OF HARUAN
Apa yang dapat disimpulkan melalui trip ini ialah, spesies haruan ini tidaklah begitu memilih umpan. Apa sahaja yang lalu di hadapannya pasti akan disambar tidak kiralah katak hidup mahupun gewang.
Melalui hasil yang diperolehi oleh peserta trip ini, kami amat berpuas hati dan objektif utama penganjuran memang dapat dicapai melalui trip singkat ini.
Aktiviti kemuncak trip ini merupakan majlis penyampaian hadiah bagi juara haruan terbanyak dan terbesar yang dipancing menggunakan katak hidup dan gewang. Bagi kategori katak hidup, Ia telah dimenangi oleh saudara Zulkifli, manakala bagi kategori gewang pula, gelaran juara disandang oleh saudara Muhamad Riduan. Zamivan pula menggondol kategori tangkapan terbanyak bagi trip kali ini.
MEMANCING SAMBIL BERAMAL
Di akhir acara, pihak organizer juga turut membuat kutipan derma untuk disalurkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih. Melalui kutipan ini, Ia telah berjaya mengumpulkan RM200 untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Aktiviti sebegini dianggap sebagai suatu yang positif dan amat wajar dicontohi oleh kelab memancing yang lain.
Akhir kata, untuk trip akan datang, diharapkan agar aktiviti sebegini dapat diteruskan lagi. Di samping dapat melepaskan gian terhadap dunia memancing, sekurang-kurangnya aktiviti sebegini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa yang sama turut membuat amal jariah untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...