Musim panas yang berlaku sekitar pertengahan hingga hujung tahun seperti diramalkan seakan memberi impak kepada hidupan air. Paras air empangan juga dikatakan menjadi semakin surut, begitu juga dengan terusan air yang semakin menyusut dan mengering menambahkan lagi kebimbangan di hati.

 

Apa tidaknya, trip Royal Belum yang telah dirancang awal lagi mungkin berpotensi menemui kegagalan akibat fenomena El Nino ini. Sudah tentulah paras air di sana akan lebih rendah dan lubuk-lubuk yang terbentuk akan menjadi sangat terhad.

 

Mana mungkin untuk membatalkannya, kerana deposit dan permit telah pun dibayar dan dibuat. Bagi yang pernah ke Royal Belum, mesti sudah tahu prosedurnya. Nak tak nak, redah jugalah trip ke sini untuk mencuba nasib.

 

 

HARI PERTAMA

Seawal jam 6.00 pagi kami sudah tiba di jeti Tasik Banding. Sebaik sahaja tekong tiba tidak lama selepas itu, kami seramai 9 orang pemancing menaiki bot terus meredah kedinginan pagi. Terlebih dahulu, kami perlu mendaftarkan diri di pondok Jabatan PERHILITAN untuk mengambil permit.

 

Tanpa berlengah masa, kami terus sahaja menyusuri lubuk yang telah pun ditentukan oleh tekong. Sepanjang perjalanan kelihatan paras air tidaklah sesurut seperti yang kami gambarkan. Tetapi ia tetap juga menampakkan perbezaan paras air di tebing dan kedalaman suak yang menjadi agak cetek.

 

Pada awal pagi, tiada sambaran langsung diterima oleh kami walaupun mencuba pelbagai jenis gewang. Lontaran demi lontaran dibuat ke arah suak atau reba-reba yang diyakini dihuni oleh sang pemangsa namun masih tiada sambaran diterima.

 

 

Apabila jam menunjukkan ke angka 10 pagi, Ojang yang tidak jemu bertukar tukar teknik mencuba jig ringan 14 gram menerima sambaran daripada penghuni lubuk. Teknik henjutan jig berwarna kuning keemasan ke kawasan reba pokok tumbang betul-betul memberikan sinar harapan buat kami. Terkulai sang sebarau bersaiz remaja di tangan Ojang.

IKLAN

 

Azman yang menukar kepada spoon dengan mata kail tunggal terus melakukan lontaran ke arah tunggul kayu yang berada 10 meter dari bot kami. Tidak menunggu lama, ia terus direntap spesies yang diyakini  sebarau. Lantas, beliau terus mengunci drag dan mengawal larian pemangsa tersebut. Tepat sekali, sebarau bersaiz 500 gram berjaya juga dijinakkan Azman.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Apabila matahari terpacak atas kepala, bahang yang panas mula merimaskan kesmua ahli komplot. Sambil itu, kami terus menyusuri suak demi suak mencari lubuk berpotensi. Pelbagai jenis gewang lagi ditukar, sama ada jenis tenggelam, separa timbul, timbul, gemerincing, tidak gemerincing dan bermacam-macam lagilah.

 

Riak air yang bergerak di permukaan air menandakan adanya kawanan anak toman terus sahaja menerbitkan nafsu untuk kami mencuba melontarkan gewang. Mana tahu ada mama toman berada di bawahnya. Malangnya, tetapi, tiada sambutan yang diterima. Dan kami akur, kawanan anak toman yang berjalur ini, mungkin sudah kehilangan ibunya.

 

Selepas hampir 2 jam berehat dan makan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti casting hingga lewat petang. Namun, hanya seekor toman saja yang berjaya dijinakkan Affendy dan ia menjadi penutup hari pertama buat kami.

 

 

HARI KEDUA

Hari kedua yang juga hari terakhir trip ini, kami sepakat untuk meneroka semaksimum spot berpotensi. Mana tahu hari kedua lebih baik dari hari pertama walaupun kami sebenarnya terpaksa menerima hakikat pencarian tangkapan pada ketika dan musim ini bukanlah mudah.

 

Banyak perkara yang dapat kami belajar dari hari pertama kami di sini, terutamanya tentang ‘rumah’ sang sebarau yang gemar mendominasi lubuk-lubuk yang dalam dan mempunyai reba sebagai tempat mencari makan.

 

Tidak sesukar hari pertama, hari kedua nampaknya rezeki lebih banyak memihak kami. Konsep memujuk atau menanti di setiap lubuk sehingga sebarau sudi menjamah umpan adalah antara teknik yang kami terapkan sepanjang hari kedua ini. Namun boleh dikatakan situasi ini amat mencabar dan menguji ketahanan mental.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Walaupun ada masa kami agak was-was dengan lubuk yang disinggahi, namun hasil pengalaman dan tunjuk ajar tekong yang lebih mengetahui isi dasar yang mempunyai banyak reba menjadikan hari kedua kami menjadi semakin baik.

 

Bot akan berhenti betul-betul di atas reba tersebut dan jig diturunkan dicelah celah dahan dan ranting yang mula mereput dimamah air. Di situlah banyak sambaran sang sebarau yang kami terima.

 

 

PENGAKHIRAN TRIP

Kesimpulannya, biarpun berdepan dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu, namun ia masih memberikan kami hasil yang memuaskan. Biarpun dikatakan paras air akan terus mengering, namun ia seakan tidak menjejaskan kawasan Royal Belum kerana ia masih banyak menerima air dari banyak sumber cabang sungai yang ada di sini.

 

Sesungguhnya, kita sebagai rakyat Malaysia harus bersyukur kerana mempunyai antara hutan hujan tropika yang terbaik di dunia sekali gus menjadikan kawasan seperti Royal Belum ini agak kurang terjejas biarpun berdepan fenomena El Nino yang berpanjangan.

Oleh itu, sebagai pemancing yang beretika, inilah masanya kita menjaga alam sekitar agar kawasan yang boleh dikatakan terhad ini sentiasa terpelihara untuk masa hadapan.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Sudah menjadi kemestian ketika ini, jig yang biasa digunakan jigging di laut, wajib dibawa jika trip casting ke tasik.

Teknik ala jigging boleh digunakan dengan menjatuhkan jig terus ke dasar yang di bawahnya dipercayai terdapat tunggul atau kayu balak tumbang yang sering kali menjadi ‘rumah’ sebarau. Walaupun bersaiz kecil, jig boleh dilontar jauh terutama ketika ikan boiling jauh dari bot.