Kerjaya saya sebagai seorang guru di zaman teknologi ini sangat mencabar. Kerenah pelajar kadang-kadang boleh menyebabkan saya sangat stress. Walau bagaimanapun saya mempunyai cara untuk mengurangkan tekanan kerja ini, iaitu dengan melayan hobi memancing.
Tiap-tiap hujung bulan saya pasti akan pulang ke kampung isteri di Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam. Kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk memancing kerana BNO memang terkenal dengan parit-parit yang dihuni oleh spesies seperti tilapia, puyu, haruan dan banyak lagi.
Ads
Semasa cuti Tahun Baru Cina, saya sekali lagi berkesempatan pulang ke BNO. Saya telah membuat persiapan 2 hari sebelum pulang dengan membeli cacing dan melengkapkan alatan memancing yang berkurangan seperti pelampung dan tangsi.
Kami bertolak dari Puncak Alam, Kuala Selangor pada pagi hari Sabtu. Hampir 2 jam perjalanan, kami selamat sampai di BNO. Selepas makan tengah hari, saya seorang diri terus ke parit berdekatan bertemankan 2 batang joran.
Umpan cacing dipasang di mata kail dan kail dilabuhkan berhampiran rimbunan kangkung. Hampir 20 minit menunggu, akhirnya umpan disentap rakus oleh penghuni dasar, si tilapia.
Ads
Apabila bermula sentapan si tilapia, saya tidak menang tangan untuk mengarau 2 batang joran tersebut. Jikalau saya lambat sahaja, si tilapia pasti berjaya mencuri umpan dengan menyelamatkan diri dengan menyusup di bawah rimbunan kangkung.
Ads
Ikan yang berjaya didaratkan, saya bawa pulang dan saya sendiri akan menyiang ikan tersebut. Isteri saya tidak tahan dengan bau lumpur dari perut ikan tilapia. Saya akan menyiang dengan cara membelah ikan tilapia dari atas untuk dibuat ikan masin.
Ikan tersebut akan diletak garam dan akhirnya dijemur berhari-hari sehingga kering. Segala penat lelah akan hilang setelah menikmati keenakan ikan masin tilapia dengan nasi panas-panas.
Jikalau di kelas, saya menggunakan marker pen untuk mendidik anak murid tetapi di lapangan memancing saya menggunakan joran dan umpan untuk bereksperimen bagi menundukkan penghuni dasar. Begitulah rutin seorang guru dengan jorannya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Sepadan dengan nama kumpulan memancing yang kami tubuhkan iaitu Geng Menebing Klang (GMK), maka aktiviti memancing yang kami lakukan lebih menjurus kepada teknik pancingan dasar, menggunakan umpan dan batu ladung sebagai pemberat.
Cuma sedikit perbezaan pada trip memancing kami baru-baru ini, kami bukannya memancing di jeti atau tebing-tebing muara atau kuala sungai, sebaliknya di atas bot pengangkut yang berlabuh di Bagan Hailam, perairan selat Pelabuhan Klang.
Maka konsep pancingan yang dilakukan hampir sama sahaja dengan pancingan tebing atau menebing. Namun ia jauh lebih selesa berbanding menebing di tepi muara.
Untuk memancing di atas bot atau kapal parking ini tidaklah susah dan tidak perlu perancangan atau persiapan berhari-hari lamanya.
Apa yang perlu dilakukan hanyalah pergi ke Jeti Bagan Hailam yang terletak di Pelabuhan Klang.
Di jeti ini akan kelihatan sampan-sampan kecil yang menawarkan perkhidmatan menghantar pemancing ke bot-bot pengangkut yang berlabuh di tengah selat.
Tentu sahaja ia lebih mudah jika kita sudah memiliki nombor telefon operator-operator sampan ini.
Hari itu saya bersama empat rakan dari GMK mencuba nasib memancing di atas bot parking ini. Kami tiba jam 9 pagi dan bernasib baik kerana banyak terdapat kapal yang berlabuh.
Jadi kami bebas memilih bot mana yang dikehendaki dan mudah untuk berpindah sekiranya kapal tersebut perlu bergerak.
Lazimnya kapal-kapal tersebut jarang keluar jika sudah berlabuh dan di situ.
Memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan untuk memancing di atas bot-bot tersebut maka para pemancing haruslah menghargai kemudahan yang disediakan secara percuma.
Jangan sesekali bersikap panjang tangan, merosakkan peralatan di atas bot dan meninggalkan bot dengan sampah atau dalam keadaan kotor.
Sebagaimana keadaan bot ketika naik memancing, begitulah jugalah keadaannya apabila kita selesai memancing.
Menggunakan umpan udang dan umpun-umpun, kami memulakan sesi memancing dengan santai tanpa sebarang tekanan.
Kami yang sudah biasa menebing dan faham dengan faktor spesies yang mendiami habitat di kawasan bot parking tersebut, tidak menaruh harapan tinggi untuk memperoleh ikan bergred tinggi seperti senangin dan jenahak.
Justeru kami tidak merungut apabila kebanyakan spesies yang mengambil umpan kami terdiri daripada gelama dan duri.
Sekiranya ada ikan jenahak atau tetanda yang makan umpan, ia bolehlah dianggap sebagai satu bonus kepada kami.
Namun rezeki kami agak baik hari itu kerana di sebaliknya banyak duri dan gelama yang dinaikkan terdapat juga spesies yang enak dijadikan juadah iaitu sembilang.
Banyak ekor juga sembilang yang kami peroleh.
Sembilang yang bersaiz sesuai untuk hidangan kami ambil dan saiz yang kecil kami lepaskan kembali ke habitatnya.
Keseronokan melayan sembilang menyebabkan tidak tersedar masa berlalu.
Memandangkan servis operator sampan tamat pada jam 7 petang, sekitar jam 6 petang kami menghubungi operator sampan yang menghantar kami untuk kembali ke darat.
Port memancing air tawar semulajadi di Lembah Klang sememangnya terbatas, apatah lagi lokasi yang sedia ada kian dihimpit pembangunan. Tekanan dari pertambahan bilangan pemancing juga ramai. Banyak lombong, sungai yang dahulunya cantik dan berpotensi sebagai lubuk memancing hujung minggu habis musnah. Pendek kata, nak memancing bersama keluarga, memancing sendiri pun belum tentu boleh lepas.
Tetapi usah risau, sebenarnya ada lokasi yang ala semulajadi yang boleh dikunjungi di Lembah Klang ini, iaitu Pusat Rekreasi Air Taman Wetland yang terletak di Presint 13. Ia amat sesuai bagi kaki pancing sekitar Lembah Klang untuk melepaskan gian memancing. Malah tasik yang merupakan tasik buatan manusia ini hanya terletak kira-kira 25 km sahaja dari Kuala Lumpur.
Anda boleh pelbagai menduga spesies yang terdapat dalam tasik ini sepuas-puasnya. Jangan terkejut jika joran anda melendut dek sentapan ikan bersaiz besar kerana di sini memang ada spesies yang bersaiz idaman.
Menurut rekod pihak Taman Wetland, terdapat 42 spesies ikan di dalamnya. Terpulang kepada anda untuk menggunakan apa sahaja teknik, bottom, pelampung atau kerajinan anda casting membaling gewang dan menjejaki dimanakah ikan-ikan ini berada.
Memandangkan kawasan tasik ini luas, casting menggunakan bot adalah terbaik, selain boleh mempraktikkan trolling. Mana tahu sang baung akan dapat diperdaya dengan gewang selaman dalam.
Usah risau kalau gewang anda tersangkut, kerana di dasarnya, secara keseluruhan tidak ada reba kayu yang menyebabkan nilai wang anda lebur sia-sia. Tetapi untuk beringat, tidak salah membawa pelepas gewang sebagai persediaan.
Beberapa kali penulis ke sini bersama rakan-rakan, sebarau mahupun toman pasti tidak menghampakan. Malah teknik trolling pernah menewaskan beberapa ekor belida bersaiz 3kg. Adakalanya baung juga rajin menyambar gewang yang di casting.
Sekiranya ingin mencari sebarau, berhadapan muka sauk terowong air dan penghujung tasik, berhampiran boya kuning adalah port sebarau. Manakala sang toman pula beraja di kawasan suak yang terdapatnya, pokok-pokok kiambang. Jika nasib anda baik dan bertemu dengan mama toman yang sedang membawa anaknya, alamatnya menjerit nyaring kekili anda.
Toman atau giant snakehead di sini sememangnya amat ganas. Anda boleh kehilangan gewang dalam sekelip mata jika tidak berhati-hati. Ini kerana rentapan daripada sang pemangsa ini begitu hebat lebih-lebih lagi yang bersaiz besar sehingga mencapai sekitar 7kg. Yang pastinya, ia menjadi satu kepuasan jika berjaya mendaratkan spesies ini.
Jangan tak tahu, di sini juga terdapat beberapa spesies rare yang dilepaskan oleh Jabatan Landskap dan Taman Putrajaya seperti temoleh, tengalan dan kelah. Cuma kelah yang pernah dilepaskan dahulu, sukar untuk ditemui.
Menurut Ketua Operasi Taman, kelah memang pernah dilepaskan oleh jabatannya, sewaktu ia mula beroperasi bertujuan menambah stok ikan di tasik ini. Namun tidak dapat dipastikan ianya dapat membiak dengan baik atau sebaliknya.
“Pendek kata, terpulang pada umpan yang digunakan si pemancing, kalau nak berjaya menangkapnya, perlu try and error banyak jenis umpan.
“Umpan untuk pancingan bottom yang biasa digunakan oleh pemancing di sini ialah dedak, cacing dan cengkerik,” katanya.
Untuk mereka yang mahukan privacy ketika memancing, anda boleh menyewa bot untuk ke pulau-pulau yang berada di tengah tasik. Pulau-pulau ini ini adalah port terbaik menjerat spesies seperti tengalan dan temoleh.
Pernah suatu ketika ada kaki pancing membawa pulang 2 ekor tenggalan dengan salah seekornya hampir 2 kg.
Selain menawarkan keseronokan memancing ala semulajadi, Taman Wetland juga sebenarnya lokasi ideal untuk membawa ahli keluarga untuk memancing sambil bersantai. Di sini, ribuan lampam boleh diduga menggunakan set pancing ringan.
Hulurkan sahaja pancing dari tebing atau dari atas pelantar wakaf. Pasti umpan yang dihulur akan bersambut. Lokasi ini juga sesuai sebagai medan mengasah mana-mana kaki pancing untuk mengajar anak mereka menyintai hobi ini.
Terdapat banyak kemudahan fasiliti yang disediakan oleh pihak pengurusan Taman Wetland. Di sini tersedia sebuah kafe yang menyajikan hidangan yang lazat bagi pemancing untuk berehat setelah penat memancing.
Lain-lain kemudahan yang disediakan:
Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk surau, parkir kereta, tandas dan lain-lain.
Jika ingin barbeku, membakar ikan hasil tangkapan atau membawa ayam perap berempah yang ingin di bakar di sini, terdapat beberapa wakaf yang lengkap dengan pembakar elektrik.
Beli sahaja token dikaunter dan masukkan sahaja ia di dalam mesin disediakan dan boleh terus membakar. Bak kata orang memang cukup lengkaplah!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...