Setibanya di kawasan pancingan, terlihat kelibat joran bersaiz galah bersusun di tepian pantai. Nampaknya semua ahli begitu bersemangat untuk menewaskan dan memperbaharui lesen pari mereka di sini.
Saya begitu teruja sejak awal tadi mula berjumpa dan bersalaman dengan semua ahli. Boleh dikatakan kesemuanya sangat mesra dan begitu mengalu-alukan ketibaan Team Umpan ke Pantai Chedoq. Selepas itu, ahli ASC membawa penulis untuk melihat hasil tangkapan mereka.
Saya agak terkesima melihat lambakan pari yang telah mereka daratkan. Dan yang paling mencuri perhatian adalah seekor pari monster dengan berat 34kg yang berjaya dinaikkan oleh Om Salim. Dikhabarkan juga pari ini menjadi rekod terbesar yang dinaikkan oleh ahli ASC sepanjang penubuhan kelab itu.
Namun jauh di benak fikiran saya terfikir, bagaimana mereka hendak menaikkan ikan sebesar ini di tepi pantai menggunakan joran? Tetapi selepas melihat video dan demonstrasi teknik yang mereka gunakan membuatkan saya kagum dengan mereka.
Di sini saja banyak ilmu yang saya dapat pelajari terutama cara membuat lontaran umpan dan seterusnya mencari lesen besar pancingan pantai.
Ads
Hari kedua, usai saja sarapan, awal-awal lagi kami telah meneruskan misi pemburuan pari. Sesuai dengan keadaan sedang air jalan pasang, kami terus memulakan sesi menjaring bagi mendapatkan umpan segar untuk memikat sang pari.
Di sini, rata-rata mereka mengesyorkan ikan pelata, bolos dan gelama sebagai umpan terbaik untuk memancing pari. Usai mendapatkan bekalan umpan, kami terus menuju ke lokasi pilihan untuk memancing.
Ads
Tidak perlu menunggu lama, Ghu yang sedang duduk di bahagian paling hujung menjadi orang pertama menerima sambaran. Sejurus kemudian, seekor pari dalam anggaran 2kg berjaya didaratkan dan tidak lama selepas itu giliran Din Kedah pula menerima sambaran.
“Joran Seahawk dan buat kerja!” jerit seorang ahli ASC di tepi pantai. Kali ini spesimen berskala 3kg pula yang tumpas. Agaknya 3 ekor pari ini datang sekawan.
Ads
Sedang saya asyik mengambil gambar ikan, terdengar pula jeritan di bahagian hujung menandakan salah satu joran telah menerima sambaran. Kali ini lenturan di hujung joran agak kuat menandakan ikan yang bersaiz lebih besar sedang menanti.
Sesuai dengan aksi tarik menarik, pari kali ini yang dinaikkan oleh Abang Mie lebih besar dan dianggarkan bersaiz sekitar 5kg.
Belum sempat berbuat apa, satu lagi joran yang berdekatan tunduk seperti ingin menyembah bumi. Awie yang berada berdekatan lantas menyambar joran dan berlakulah episod tarik menarik.
Pari seberat 3kg selamat didaratkan dan menjadi pari penutup untuk sesi pancingan kali ini. Menjelang tengah hari semuanya berkemas untuk check out dari Chedoq Beach Resort dan pulang ke lokasi masing-masing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sepanjang tempoh lautan bergelora, pelbagai acara pancingan ’atas darat’ mengambil-alih. Ada yang ke tasik, casting sebarau. Ada yang mencari toman dan juga peacock bass. Tidak kurang juga yang meresap ke paya mengilat haruan.
Segelintir turun ke kolam komersial untuk pacak patin, rohu dan pacu. Yang penting jari yang diserang ‘parkinson’ mesti diubati segera.
Dek kerana kerinduan terlampau, maka D’ Senu Anglers telah membulatkan nekad untuk turun juga. Trip pancingan bottom yang dirancang sekian lama menjadi nyata. Lapan orang pemancing yang akan menyertai trip ini sudah pun bersedia.
Bateri untuk kegunaan mesin elektrik sudah dicas penuh. Batu ladung besar penumbuk pun dibawa. Sambil menunggu rakan yang belum sampai, kami ngeteh dulu. Bila sudah cukup komplot, kami terus bertolak dalam pukul 12.30 pagi dan subuh kami sampai di jeti Mersing.
Kami menggunakan khidmat Tekong Azahar. Selesai barang keperluan dan peralatan tempur dimasukkan ke atas bot, maka bot menyusur kuala menuju ke perairan Pulau Aur.
Macam biasa, siapa yang asyik menguap dari tadi mengambil tempat di dalam dek bot untuk melelapkan mata.
Yang lain menyiapkan perambut dan sebagainya sebelum sampai ke port memancing. 4 jam perjalanan, tekong singgah di unjam pertama untuk mencari ikan umpan.
Acara apollo cukup meriah. Selar, tamban, selar kuning dan anak kembung menghiasi mata apollo setiap kali dinaikkan. Satu tong ikan acara apollo kami perolehi. Lebih dari cukup untuk dibuat umpan nanti.
Selebihnya boleh dibawa balik, goreng! Tekong Azahar tidak mematikan enjin bot sepanjang kami ‘mengapollo’ anak-anak ikan. Teknik berhanyut ini nampaknya lebih menjadi. Berpuas hati dengan umpan yang diperoleh, kami menuju ke spot pertama.
TAMBAK YANG BERLAMBAK
Labuhan pertama, kami diserang gerombolan ikan tambak. Tidak menang tangan kami melayan. Kekili elektrik menjerit di depan dan di belakang bot. Tekong tersenyum.
Walaupun pun kepala terasa pening-pening lalat (nak mabuk la tu) tetapi hilang kerana keasyikan melayan tambak. Sesekali kaci menyapa umpan.
Tidak ketinggalan jenahak juga sudi menjadi penghuni tong Coleman yang kami bawa. Jebong atau ikan ayam yang enak turut sama menyelit.
Berhenti sejenak menarik ikan apabila kami menerima isyarat daripada tekong, masa untuk ‘orang’ pulak makan. Masakan Tekong Azahar memang ‘terangkat’.
Ya lah… segar dari ladang katakan. Misi bottom diteruskan selepas makan malam di mana tambak terus mendominasi tangkapan.
Hari kedua kami memancing sambit bot berhanyut. Nampaknya anak-anak kerapu saiz hidangan pula mengambil bahagian. Perambut dua mata sering menghasilkan double strike. Ikan merah dan ibu kerisi juga turut memenuhi carta tangkapan kami.
Suasana atas bot menjadi riuh-rendah apabila kami diterpa sekumpulan dorado@ belitung. Kelam-kabut kami melayan pancing masing-masing. Aksi lompatan demi lompatan sang belitung disambut dengan sorak gembira.
Berpesta belitung kami pagi tersebut. Berbelas-belas ekor belitung sempat dilayan dengan set light casting yang ‘sengaja’ dibawa. Pemancing yang tidak standby, tengok saja lah..
Seekor selar segar dicangkuk ke mata kail dan dilontar jauh oleh Borhan@Kilat. Sebaik sahaja mencecah air, umpan terus direntap ganas dan kekili berlagu nyaring.
Joran Expert Graphite yang baru dibeli dan ditukar cincinnya dipadankan dengan kekili Bossna 4000, melentur habis. Tali 30lb sepanjang 200 meter nampaknya surut hanya beberapa saat. Pecutan awal yang penuh bertenaga tidak boleh berbuat apa-apa.
Satu lompatan akrobatik yang cantik menampakkan si pencuri umpan. Mersuji yang punya angkara. Apa lagi..bersorak lah kami satu bot. Kilat hanya dapat menahan joran 8 kaki yang melendut-lendut.
Lantas Tekong Azahar mengarahkan semua menaikkan pancing dan tekong segera mengejar ke arah ikan tersebut. Tiba-tiba ikan berpatah balik ke arah belakang. Tekong membuat U-turn. Drama kejar mengejar masih berlangsung. 25 minit ‘berperang’ jari mula terasa kebas lantas Kilat menghulur joran kepada Jeff untuk meneruskan pertarungan.
Mersuji dalam anggaran 50kg selamat dinaikkan ke lantai bot setelah 5 orang melayannya secara bergilir-gilir. Terima kasih banyak kepada tekong yang bertindak pantas. Kerjasama daripada pemancing lain juga adalah antara faktor yang membantu.
Kalau buat ‘dono’ sahaja sudah pasti meletup tali atau terbarailah mesin. Harapan untuk menatap wajah dan ‘memeluk’ mersuji tinggal harapan sahaja lah.
Keceriaan jelas terpancar di wajah geng D’Senu Anglers dan sudah tentu lah yang empunya lesen, si Kilat. Menurut Azahar selama lebih 10 tahun dia menjadi tekong di sini, telah banyak kali mersuji membaham umpan pemancing tetapi tidak berjaya menaikkan ikan tersebut.
Setelah selesai sesi bergambar dengan mersuji berkenaan, bot dihalakan ke jeti Pulau Aur. Kami mengambil peluang berehat di atas pulau setelah letih bertarung dengan ‘balak laut’ tadi,mandi,solat dan semestinya ngeteh. Ya lah..sudah dua hari tidak ‘pekena’ teh tarik.
Sewaktu perjalanan balik , enjin bot mati secara tiba-tiba. Beberapa kali cubaan menghidupkan semula enjin gagal. Tiupan angin kencang menghanyutkan bot kami sehingga hampir 2 km . Menggelabah juga kami dibuatnya.
Akhirnya tekong terjun ke dalam air untuk memeriksa bahagian bawah bot pula. Rupa-rupanya kipas sudah terbelit tali hanyut.
Itulah sebabnya sebarang sampah atau apa sahaja yang tidak diperlukan lagi semestinya dibuang di tempat yang sepatutnya. Jangan main campak sahaja sesuka hati. Kitalah yang sepatutnya menjaga kelestarian lautan kita. Betul tak bang..?
Dengan susah-payah tekong berjaya merungkai tali yang membelit kipas. Enjin dihidupkan dan bot meredah ombak menuju ke Jeti Mersing. Kami semua berpuas hati dengan trip ini.
Walaupun cuaca kurang elok dan alun yang membadai terutama pada sebelah malam angin monsun sering mengganas. Di samping tangkapan bonus ikan mersuji, hasil ‘pecah tong’ yang dibawa balik pastinya dua bulan kami tidak perlu ke pasar mencari lauk.
Belum terlambat sebenarnya jika anda berminat untuk menyertai pertandingan memburu ikan berparuh atau program Royal Pahang International Billfish Challenge (RPBIC) bagi edisi 2018 ini.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah bentuk satu pasukan 3 orang pemancing, sewaan bot memancing bersama tekongnya selama dua, dan daftarkan penyertaan pada 14 September ini di kaunter pendaftaran bertempat di Lanjut Beach & Golf Resort, Rompin.
Royal Pahang Billfish International Challenge merupakan program yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia bersama Kerajaan Negeri pahang.
Ia merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan ramai penggemar sukan memancing sejati turut menjadi simbolik bermulanya musim memburu ikan berparuh atau billfish di
perairan Rompin, terutamanya spesies ikan layaran yang terkenal dengan tarian akrobatiknya apabila terkena mata kail.
Tahun ini, RPBIC dianggap istimewa kerana KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang sudi mencemar duli untuk turun padang merasmikan majlis pelepasan peserta di Jeti Pantai Bernas, Kuala Rompin.
Malah, baginda turut sama mencemar duli bagi menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang akan berlangsung pada 16 September (Ahad malam) yang bakal berlangsung di Lanjut Beach & Golf Resort, Rompin.
Sempena pertandingan memancing bulanan, kolam pancing Seri Bayu Tekala, Semenyih mengadakan Cabaran Memancing Bulan November di kolam tersebut, Ahad ini dengan menawarkan wang tunai sebanyak RM102,200.
Sebanyak RM52,000 menanti juara Cabaran Bulan November, RM12,000 bagi pemenang di tangga kedua dan RM6,000 bagi pemenang podium ketiga. Sementara RM 1,000 menanti pemenang di tempat keempat. Pertandingan yang berkonsepkan sapu bersih sehingga ranking 150 ini turut menyaksikan pemenang di tangga ke-101 hingga ke-150 memperoleh RM150.
Sebagaimana pertandingan sebelumnya pihak pengurusan kolam masih lagi menetapkan spesies ikan patin Chao Phraya tidak dipertandingkan sebaliknya dikategorikan sebagai hadiah khas bersama spesies tongsan sisik halus. Bagi pemenang kedua-dua kategori ini memperoleh RM5500 bagi tempat pertama, RM300 untuk tempat kedua dan RM200 untuk tempat ketiga.
Selain ganjaran tunai, pihak kolam turut menawarkan dua unit televisyen LED berjenama dan 10 unit kekili berjenama Shimano bagi cabutan bertuah atau cabutan bonanza. Yuran pendaftaran penyertaan sebanyak RM100 bagi satu joran boleh dibuat di kaunter pendaftaran yang mula dibuka pada jam 1.00 petang, Sabtu bersamaan 18 September nanti. Sebanyak 1,000 helai baju T lengan panjang disediakan bagi pendaftaran awal.
Menurut Eddie Rani selaku pengurus pertandingan, bagi sesi memasang pancang yang akan bermula pada 5.00 petang hari Sabtu nanti, pihak kolam telah sediakan pancang di kesemua enam buah kolam yang akan digunakan untuk pertandingan. Dalam erti kata lain, bagi melancarkan perjalanan sesi merebut spot dan atas faktor keselamatan, para peserta tidak dibenarkan membawa pancang sendiri.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...