Memandangkan keadaan cuaca acap kali hujan dan tidak menentu, maka perancangan memancing hanya tertumpu pada lokasi yang berhampiran sahaja.

Tambahan pula kebanyakan ahli-ahli team berasal dari Lembah Klang lantas kami bercadang untuk memancing di kawasan Kampung Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.

 

Satu persetujuan telah dicapai dengan tekong Wak Man Sparrow setelah kami menyatakan tujuan untuk menduga perairan berkenaan.

Paling menggembirakan kami ialah, tawaran Wak Man untuk mencuba bot baru milik beliau yang lebih besar dan selesa berbanding bot sebelum ini.

 

BAGAN TENGKORAK

 

Trip Retro – Buru Jenak Bantal Bagan Tengkorak

 

Kampung Bagan Tengkorak terletak 5 km dari Tanjung Karang Selangor. Kawasan ini terletak di pinggir laut Selat Melaka.

Istilah Bagan bermaksud tepian pantai ataupun jeti di tepi pantai. Kawasan Bagan Tengkorak lebih dikenali sebagai perkampungan Nelayan.

Muara Sungai Tengkorak di sini menjadi lokasi bot-bot nelayan singgah di bagannya. Bot nelayan mudah singgah di sini terutama semasa air pasang.

 

Sebahagian penduduknya terdiri daripada orang Melayu dan Cina. Ramai pemancing datang ke Bagan Tengkorak untuk memancing kerana terdapat banyak spesies ikan dan udang yang banyak dan menarik minat mereka.

Terdapat restoran makanan laut yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina dan Melayu.

Perjalanan ke Bagan Tengkorak jika dari Kuala Lumpur tidak mengambil masa yang lama memandangkan keadaan jalan raya dari KL amat selesa.

 

BLUEFIN SPOT FISHING

 

Kami tiba di Kampung Bagan Tengkorak pada seawal pagi lagi. Selepas bersarapan kami bergerak ke pasar segar Tanjung Karang untuk membeli stok umpan segar berupa sotong dan ikan tongkol.

Kami juga membeli barang dapur untuk persediaan 3 hari 2 malam di atas bot. Selepas selesai membeli barang keperluan, kami segera menuju ke jeti di mana terletaknya bot milik Wak Man.

 

Kelihatan bot baru beliau saiznya hampir sekali ganda bot milik beliau yang sebelum ini.

Bot yang dinamakan sebagai Bluefin Spot Fishing amat luas lengkap dengan bilik tidur, dapur dan bilik air yang berlantaikan batu marmar.

Kelihatan ruang dalam bot Bluefin ini amat mewah dengan hasil kerja kayu. Bot ini juga dilengkapi dengan popping deck yang amat luas serta dilengkapi dengan 14 rod holder untuk kemudahan para pemancing.

 

Selesai memunggah segala peralatan dan barang-barang keperluan, bot segera bergerak menuju ke destinasi.

Kali ini bot dikendalikan oleh anak Wak Man iaitu Ipul yang baru berumur 21 tahun. Walaupun Ipul masih muda, beliau kelihatan cekap mengendalikan bot Bluefin.

Awal-awal lagi kumpulan kami telah memaklumkan kepada Wak Man dan Ipul bahawa ikan sasaran untuk trip kali ini ialah ikan gred A.

 

Trip Retro – Buru Jenak Bantal Bagan Tengkorak

 

IKLAN

Dengan senang hati Ipul bersedia membawa kami ke lubuk terbaik beliau yang dihuni oleh ikan jenahak atau lebih dikenali sebagai bantal emas.

Selepas beberapa jam dilambung ombak akhirnya bot memperlahankan kelajuan.

 

Kebetulan semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi, kami terserempak dengan apungan.

Apungan ialah istilah tempatan yang membawa maksud sampah ataupun pokok tumbang yang hanyut dibawa arus di lautan.

Peluang ini kami gunakan untuk memancing ikan pecah periuk yang suka tinggal di bawah apungan.

 

“Kita layan apungan dulu” jerit Tekong Ipul memberitahu kami sambil menuju lokasi apungan yang ditemuinya.

Ini bermakna kami akan memancing ikan pecah periuk sebagai sesi pemanas badan.

Dengan mudah kami berjaya menaikkan beberapa ekor spesies ini yang bersaiz kasar.

 

Kemudian bot mula bergerak mencari apungan berhampiran yang hanyut dibawa arus. Selepas memanaskan badan dengan hasil tangkapan ikan pecah periuk, bot mula menyambung perjalanan menuju ke lokasi lubuk jenahak.

Perjalanan ke sana mengambil masa beberapa jam lagi.

 

BANTAL EMAS

 

Apabila tiba di destinasi yang dimaksudkan, bot mula membetulkan posisi tepat di lubuk. Kami pun menurunkan umpan untuk memancing.

Antara umpan killer yang kami gunakan untuk menjerat ikan jenahak di sini ialah umpan udang lipan hidup yang telah tekong tempah terlebih dahulu dengan harga RM1.50 seekor.

 

Udang ini mudah didapati di jeti Bagan Tengkorak. Selain itu, sotong hidup juga merupakan umpan power untuk jenahak.

Umpan sotong hidup kami dapati dengan mencandat sementara menunggu ikan memakan umpan. Melihat sonar yang terdapat di dalam bot, lubuk tersebut mempunyai kedalaman 80-90 meter.

 

IKLAN

Trip Retro – Buru Jenak Bantal Bagan Tengkorak

 

Bagi kami yang kebanyakannya menggunakan set manual pasti memeritkan jika memancing dengan kedalaman sedemikian.

Mujur arus yang tidak terlalu laju memberi kelegaan kepada kami. Hanya batu bersaiz 12-14 sahaja yang digunakan disertakan penggunaan tanduk atau ranggung bersama tali perambut berkekuatan 80lb.

 

Selepas menanti seketika, umpan yang diturunkan mula terasa getuan ikan. Selepas membuat sentapan kemas, salah seorang rakan kami mula bertarung dengan ikan yang memakan umpan.

Melihat dari lentukkan joran, kelihatan seperti ikan besar. Selepas beberapa minit bertarung, akhirnya seekor gerut-gerut berjaya diperolehi.

 

Kemudian seorang demi seorang ahli trip kami berjaya menaikkan gerut-gerut dalam anggaran berat yang sama sebelum ini. Bayang ikan jenahak masih belum muncul lagi.

Kami meneruskan aktiviti memancing hingga la ke waktu subuh. Apabila fajar mula menjelma, barulah salah seorang rakan kami mendapat ikan sasaran iaitu jenahak.

 

Namun, melihat saiz ikan berkenaan, ia belum boleh dikategorikan sebagai bantal emas kerana saiznya sekitar 2kg sahaja.

Kemudian seorang lagi rakan kami menerima satu henjutan kuat daripada penghuni di bawah air.

Selepas perlawanan sengit, timbul ikan yang berwarna keemasan di permukaan air. Itu dia! Bantal Emas ataupun jenahak anggaran saiz 5kg yang dicari-cari telah muncul.

 

Nampaknya jenahak di sini suka memakan umpan pada awal pagi. Maka umpan killer pun diturunkan dengan pantas.

Seekor demi seekor ikan jenahak berjaya dipancing. Kejadian double hook up ikan jenahak juga sering berlaku di kalangan kami.

 

Trip Retro – Buru Jenak Bantal Bagan Tengkorak

 

Selepas fajar meninggi, kelibat jenahak mula menghilang. Tiada lagi hasil yang berjaya dipancing. Tekong Ipul mula menghidupkan enjin bot dan mula beredar ke lubuk lain.

IKLAN

Di lubuk yang lain, hasilnya tidak begitu memberangsangkan. Hanya beberapa ekor gerut-gerut dan gelama sahaja yang sudi melayan kami.

 

Tekong Ipul amat rajin bertukar lubuk apabila hasil ikan tidak memberangsangkan.

Selepas hampa dengan hasil pancingan pada waktu siang, tekong Ipul bercadang menuju ke lubuk karang tinggi yang terletak utara Bagan Tengkorak.

 

Perjalanan ke sana akan mengambil masa beberapa jam dan kesempatan ini kami gunakan untuk tidur dan berehat untuk persediaan berjaga malam pada malam ini.

 

KAMI BERPESTA

 

Pada lewat petang kami tiba di lokasi yang dimaksudkan oleh tekong Ipul. Sebelum memancing, makan malam kami siapkan lebih awal.

Selepas solat Maghrib dan makan malam, kami menyambung kembali aktiviti. Mulanya suasana sangat muram sekali. Umpan yang dihulur asyik digetu ikan gelama.

 

Kehadiran spesies ini merugikan umpan hidup yang kami gunakan. Walaupun begitu kami masih tetap bersabar dan berusaha lagi.

Inilah kelebihan apabila kita menceburi hobi memancing ini. Sifat sabar dapat dipupuk semasa menanti ikan memakan umpan. Memang berbaloi kami bersabar.

Lebih kurang pukul 11.00 malam jenahak yang kami harapkan akhirnya muncul juga.

 

Kami kemudiannya berpesta jenahak di selang-seli dengan gerut-gerut bersaiz kasar. Jenahak di lubuk ini, rata-ratanya bersaiz melebihi 3kg dan layak digelar sebagai bantal emas.

Selepas lubuk menjadi sunyi, tekong dengan pantas menukar lubuk yang terletak berhampiran.

 

Trip Retro – Buru Jenak Bantal Bagan Tengkorak

 

Kesempatan jenahak yang sedang galak memakan umpan tidak disia-siakan beliau. Di lubuk seterusnya kami masih lagi berpesta dengan hasil ikan jenahak.

Kami meneruskan memancing sehingga stok umpan hidup kami kehabisan. Umpan sotong yang dibeli di pasar juga hampir kehabisan digunakan oleh kami.

Mujur umpan tersebut dapat bertahan sehingga waktu pagi.

 

TERIMA KASIH TEKONG IPUL

 

Dengan hasil yang memberangsangkan serta stok umpan yang kehabisan, kami bergerak awal pulang ke jeti.

Nampaknya kunjungan kami memancing di perairan Bagan Tengkorak berjaya lagi. Kami bersyukur dengan rezeki yang diberikan kepada kami.

 

Kami juga amat berterima kasih kepada anak Wak Man iaitu Ipul yang cukup muda umurnya tetapi amat berpengetahuan luas mengendalikan bot dan berpengetahuan tentang lubuk di sekitar perairan Bagan Tengkorak.

Kami pasti kejayaan trip kami ini di Bagan Tengkorak akan dimasukkan di dalam kalender kami pada tahun-tahun akan datang.

(Catatan: Akasah)

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI