Bertitik tolak daripada liputan kejohanan memancing tahunan yang dianjurkan Royal Selangor Yacht Club (RSYC) dan Persatuan Pengail Selangor (PENGAIL) di perairan Pelabuhan Klang, saya diundang untuk menyertai komiti penganjur ini bersantai-santai memancing di perairan air tawar, Tasik Kenyir.

 

Selama 4 hari 3 malam para komiti RSYC & PENGAIL yang merupakan pemancing-pemancing otai serta jemputan dari Pure Fishing, berkomplot di atas boathouse Sri Gagau, menduga penghuni Tasik Kenyir secara santai.

 

Penulis yang diundang awal-awal lagi sudah berasa teruja untuk menyertai trip ini. Biarpun tarikhnya serentak dengan event lain, penulis tidak berubah fikiran untuk menyertai trip otai-otai ini.

Bukan senang nak dapat peluang memancing bersama, berkongsi pengalaman dan cerita, dan menimba ilmu memancing daripada pemancing berpengalaman seperti mereka ini.

 

Trip Trobek – Otai Port Klang Gegar Tasik Kenyir

 

Kesantaian grup ini terserlah apabila boathouse Sri Gagau mula bergerak keluar dari jeti Pengkalan Gawi, rupanya mereka belum putuskan ke mana destinasi yang hendak dituju. Mengetahui penulis sudah kerap ke Tasik Kenyir, pendapat penulis ditagih untuk sama-sama menentukan lubuk terbaik yang harus dituju.

 

Mandangkan grup ini tidak memohon permit memancing di taman negara, maka lubuk-lubuk bersempadanan dengan taman negara dicari. Perbincangan bersama tekong boathouse Sri Gagau akhirnya Sungai Lawit menjadi lubuk pilihan.

IKLAN

 

Selain aktiviti menjaring yang agak berleluasa kerana terletak di luar kawasan taman negara, Sungai Lawit tidaklah terlalu menghampakan.

Biarpun di luar musim, paras air tasik yang masih tinggi, senario pancingan di Sungai Lawit hampir tidak banyak bezanya dengan Sungai Terenggan atau lubuk lain di dalam kawasan taman negara.

 

Trip Trobek – Otai Port Klang Gegar Tasik Kenyir

 

Banyak teluk, suak dan sistem sungai bagi kaki casting keluar memburu sebarau dan toman. Malah lokasinya juga tidak untuk ke Sungai Papan atau Sungai Lepar. Aktiviti pancingan di atas boathouse juga tidak begitu membosankan. Belida, baung dan lampam agak mudah dipancing.

 

Malah jauh lebih baik kalau dibandingkan dengan keadaan di taman negara. Dan agak seronok juga menyaksikan gelagat pemancing-pemancing otai laut dalam yang biasa menaikkan pari serta jenahak bagak-bagak ini bertungkus-lumus cuba menjinakkan lampam sungai.

IKLAN

 

Pelaburan selama 2 malam di Sungai Lawit agak memuaskan hati ahli-ahli grup. 2 ekor belida berskala 4 dan 7kg berjaya dinaikkan dan selamat dijadikan sup bebola istimewa. Baung-baung bersaiz kasar juga banyak didaratkan. Cuma aktiviti mengilat sedikit mengecewakan.

Begitu banyak port yang menarik tetapi tiada sambutan dari sebarau mahupun toman. Yang banyak meligan gewang hanya toman rempit atau sebarau remaja.

 

Trip Trobek – Otai Port Klang Gegar Tasik Kenyir

 

Hari ke-3, ahli-ahli grup sepakat sekata untuk mencuba nasib di Sungai Mentong pula. Pada hari yang sama juga satu pertandingan kecil di antara ahli grup diadakan. Namun pancingan di Sungai Mentong ini agak menghampakan.

 

IKLAN

Selain daripada aksi 4 kumpulan toman remaja berkongsi satu teluk meligan gewang yang dilontar, selebihnya boleh dikatakan tiada aktiviti yang menarik. Biarpun banyak teluk dan suak yang berpotensi, namun kelibat sebarau mahupun siakap langsung tidak kelihatan.

 

Trip Trobek – Otai Port Klang Gegar Tasik Kenyir

 

Rumusannya, trip bersama otai-otai perairan Port Klang ini cukup menghiburkan. Semangat dan disiplin mereka yang seawal 6.30 pagi sudah siap untuk turun casting setiap pagi benar-benar mengagumkan.

Mungkin faktor nasib dan masa saja yang tidak menyebelahi mereka. Yang pasti, penulis menaruh harapan mereka masih sudi untuk meneroka sungai-sungai di Tasik Kenyir lagi.

 

Trip Trobek – Otai Port Klang Gegar Tasik Kenyir

 

Secara peribadi pula, penulis gembira kerana masih ada ikan belida yang masih mahu memakan umpan yang dilabuh berdekatan dengan boathouse.

Bukan mudah sebenarnya ikan belida untuk ditewaskan kebelakangan ini di Tasik Kenyir. Tak mustahil suatu hari nanti ia satu usaha yang mustahil sebagaimana untuk menaikkan seekor kelah merah.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI