(Oleh: Oyabun)

Badan sakit boleh sihat bila memancing! Balik rumah sakit menjelma dan pulih kembali bila berada di lautan bertemankan joran.

Inilah yang saya perhatikan apabila terjadi kepada seorang sahabat lama yang kesihatannya tidak begitu memberangsangkan sejak beberapa bulan sebelumnya.

 

Namun begitu pada waktu sama beliau tidak ketinggalan menyiapkan bot untuk kegunaan apabila sihat nanti. Sabar menanti dalam waktu ia siap, beliau kerap menjalani rawatan di pusat perubatan.

Perancangan daripada manusia, ketentuan dari Ilahi dan bot siap ketika keadaan beliau belum pulih sepenuhnya.

Bayangkan bila bot siap dan ditukar dengan enjin baharu sesiapa sahaja tidak sabar untuk turun beraksi. Mana boleh tahan bila pelaburan dibuat tanpa dapat menuai faedahnya.

 

“Badan masih lemah-lemah lagi tapi gian sangat ni lama tak mancing. Jom esok turun ‘ngetes’ (pandu uji sambil pancing) bot baru!” ujar Haji Yusof kepada saya sebaik sahaja bot diturunkan ke air.

Salah satu bukti minat dan gian sebagai salah satu rawatan psikologi semula jadi membantu dalam kehidupan seharian.

 

Perancangan ala kadar sahaja memandangkan ia diputuskan pada saat akhir. Nasib baik ada kenalan hulur beberapa ekor sotong kurita baki mereka memancing pada hujung minggu.

Perancangan awal menuju ke lokasi yang dah hampir setahun dilupakan kerana ketiadaan sampan yang sesuai untuk ke sana.

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

 

Lubuk paloh

 

Paloh atau lubuk yang dimaksudkan terletak hampir dengan garisan merah laluan kapal dagang.

Lokasi ini hanya sesuai memancing pada siang hari kerana penglihatan dan pengawasan terhadap kapal yang lalu lalang lebih baik.

 

Memancing bersauh di kawasan ini adalah berisiko tinggi. Kalau berhanyut kadang kala kita akan berada di tengah dua biji kapal kontena besar, maka tidak lama selepas itu sampan

perlu berada dalam ‘standby mode’ untuk melawan dua alun kapal yang bakal menghimpit bot kiri dan kanan laluan.

 

Perjalanan memakan masa sejam setengah dari pangkalan menuju ke lokasi yang terletak hampir 24 batu nautika di tengah Selat Melaka.

Namun jarang sekali dapat memecut dengan kelajuan 25 knot lebih kerana di sini lautnya tidak pernah tenang.

Pagi itu setiba di Pulau Pintu Gedung, alun lebih dari semeter tinggi memperlahankan bot sehingga ramai yang berpatah balik menunggu angin dan alun reda.

 

Pukul 9 pagi kami bergerak, jam 12 tengah hari baru tiba di lokasi termasuk 30 minit sesi apollo mencari umpan ikan hidup dalam keadaan angin dan arus yang bertembung tersebut.

Semua ini diredah demi menunaikan hajat sahabat sambil memulihkan semangat daripada keuzuran yang dialami sebelum ini.

 

IKLAN

Memancing berhanyut di kawasan air sekitar 180 kaki dalam tidak boleh bergantung kepada satu set pancing sahaja.

Paling tidak 2 set untuk setiap orang namun kedudukan joran dan jarak pancing perlu diatur supaya tidak memangkah satu sama lain.

Haji Yusof menggunakan kekili elektrik atas alasan tenaga beliau belum pulih sepenuhnya. Cuma semangat beliau menjadi pengubat kepada penyakit yang di alami.

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

 

Umpan segar

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

 

Umpan hidup amat perlu memancing dalam keadaan begini kerana ikan yang paling banyak berada di kawasan dasar sentiasa lapar dengan umpan pemancing.

Sang tengkerong adalah pencuri umpan paling dinamik dan rakus mengutis jika umpan mati diguna pakai. Ikan hidup dan kurita hidup bukanlah menjamin 100% dari serangan

ikan kecil namun ia dapat bertahan dari serangan tengkerong sebelum umpan memasuki ‘strike zone’.

 

Bila terjadi strike zone, bot akan berpatah balik tidak lama selepas itu mengulangi laluan sama kerana ikan buruan biasanya berkumpulan kecil.

Mesti ada lagi saki baki ikan berkenaan di lopak laluan. Atas dasar ini kedalaman hampir 200 kaki untuk mengarau sampai 3 set pancing manual memang memenatkan.

Tenaga sentiasa diperlukan kerana tersasar kelaluan kapal juga perlu dikarau pancing mencari kedudukan yang lebih selamat.

 

Kami berempat menggunakan kedua-dua jenis umpan yang dibawa. Selain tamban dan selar, kurita sebenarnya adalah pilihan ramai kerana ia lebih lasak berbanding ikan hidup.

Ada juga pertanyaan, sotong tu tak menyelinap dalam karang ke, jawapan tentu tidak sempat kerana ia diseret ladung saiz 16 hingga 24 sepanjang masa dengan kelajuan mengikut halaju arus dan angin setempat.

 

IKLAN

Hari itu kelajuan arus sambil dibantu tolakan angin ialah 1.7 knot. Agak laju juga kebarangkalian kurita berenang melarikan ladung nombor24 yang terseret di dasar adalah kecil.

Bila laju begini kurita akan mengambai sedikit di atas permukaan dasar seperti memanggil mana-mana ikan yang kelaparan. Bukan ikan sahaja, malah jika laluan terdapat karang tinggi, ia turut memerangkap kurita sehingga joran melentur sehabisnya.

 

Kepekaan terhadap situasi begini diperlukan kerana kemungkinan joran patah berlaku.

Atas dasar ini disarankan agar tidak menggunakan tali perambut yang keterlaluan kasar kerana sangkut pada objek dasar tinggi kemungkinannya.

Dengan bantuan joran 20-50lb, kekili multiplier manual 3000 siri minima muatan tali sulam 80 Lb disambung dengan perambut 60Lb sepanjang 2 depa serta diikat 2 mata kail 3/0 dan 5.0 sudah cukup sesuai untuk kegunaan kawasan ini.

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

 

Bila kail tersangkut, biasanya perambut 60 Lb akan putus berbanding dengan tali utama. Maka selamat ladung serta tanduk keluli tahan karat.

Saya gemar menggunakan kekili high speed dengan nisbah putaran 6.1:1 lebih pantas isian tali berbanding dengan kekili elektrik.

 

Walaupun dalam keadaan cuaca yang beralun, kami tidak perlu menunggu lama apabila kurang dari 30 minit melabuhkan umpan strike pertama diterima.

Hari itu leretan hanyut sampan masuk lubang persembunyian jenahak. Dua joran bergegar serentak, saya sempat menyentap satu darinya, manakala satu lagi joran dibiarkan melentur seketika.

 

Dalam proses melawan tarikan ikan pertama, joran kedua terlucut hasilnya di pertengahan jalan. Jenahak skala 2.5kg menjadi modal penyuntik semangat terutama Haji Yusof yang tekun memerhatikan gegaran kecil pada hujung jorannya.

Memasuki zon sentapan kedua, kali ini dua joran sekali lagi bergoyang Inul, kebetulan keduanya milik Haji Yusof.

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

Semakin pulih semangat orang lama ini melihat jorannya mengena ikan. Setidak-tidaknya hajat melihat set pancing beliau menarik ikan sudah terlaksana jua.

IKLAN

Muncul ikan jenahak dara dalam berat 1kg dan seekor ikan remong-remong setengah kilo tidak melemahkan semangat beliau kerana titik permulaan saiz bukan ukuran, yang penting ialah hasil dan jumlah menurutnya lagi.

 

Kemudian semua joran dinaikkan ke atas untuk mengulangi laluan zon serangan mencari lagi kumpulan jenahak di kawasan dasar berkarang jeriji.

Mana yang pakai kekili elektrik, senyum sahaja, picit butang katanya, yang menggunakan set manual bekerja keras menggulung 2 set pancing masing-masing kerana mengejar waktu ikan sedang membuka selera.

 

Meriahnya tangkapan

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

Pusingan kedua pula umpan baru dipasang dengan kombinasi ikan selar hidup, kurita serta tamban mati segar.

Saya biasanya akan memberi isyarat kepada yang lain apabila kedudukan sampan hampir memasuki zon ikan menyentap umpan agar masing-masing bersedia pada kedudukan.

Kelebihan membiarkan umpan hanyut jauh dari yang lain supaya tidak berbelit sekali lagi membuahkan hasil, dua pancing saya mengena lagi.

 

Yang belum merasa tarikan diberi peluang untuk mengayuh dan mengepam kekili menarik ikan dari ke dalam 165 kaki ketika itu.

Hasil pusingan kedua seekor aruan tasik 11kg membedal ikan selar manakala ikan merah 3 kg lebih teruja dengan umpan tamban yang baru mati. Selesai sesi fotografi, sampan tidak lama lagi bakal memasuki zon serangan kedua.

 

Mana-mana joran yang berbelit sudah diperbetulkan dan kini hanya menunggu sahaja tanda-tanda getuan ikan terhadap umpan.

Masuk sahaja zon kedua, 4 joran meletur, melentur dan terus melentur tanpa getaran…. ini kali bukan strike tapi sangkut. Inilah pahit maung bila memancing berhanyut.

 

Selesai mengikat perambut baru, Haji Yusof menyarankan kami mengulangi zon ini untuk kali ketiga. Tempat sangkut kuat tentu ada kerapu…pedoman orang lama. Masuk sahaja zon waspada, joran saya mengena terlebih dahulu.

 

Jamsuri mengambil alih posisi mengepam ikan kerana tidak lama getuan mengena untuk joran kedua.

Arie pula mencapai joran melayan asakan ikan. Seekor kerapu ‘table size’ dan haruan tasik kedua menambah koleksi kami.

Dalam pada itu Haji Yusof turut mengena ikan merah saiz hampir sama dengan merah pertama tadi.

Dalam kesuntukan waktu, ketika proses mengarau pancing ke atas, Jamsuri pula terpaksa bertegang urat menahan jorannya tersangkut.

 

Trip Pembuka Tirai Pintu Gedung

 

Tidak lama selepas itu sangkutan terlerai jorannya terenjut-enjut seperti mengena sesuatu. Sah ikan cuba mencari perlindungan di celah karang namun saiznya menjadikan ia sukar untuk menyelinap.

Kerapu penutup tirai kerana kami perlukan sejam lebih untuk sampai ke jeti di celah lelangit mula kemerahan.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI