Apabila dipelawa oleh tauke Umpan Ulong untuk berkhemah di tebing Sungai Tembeling selama 2 hari 1 malam, memancing spesies ikan liar sungai seperti tenggalan, kerai, patin

lawang, udang galah dan lain-lain lagi, penulis tidak menunggu lama untuk menyatakan persetujuan.

Objektif utama adalah untuk melihat sendiri keberkesanan produk terbaharu Umpan Ulong, serbuk pes belangkas yang telah pun berada di pasaran dan menerima testimoni yang memberangsangkan dari penggunanya.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Lokasi kami di lubuk Batu Papan

 

Trip yang dirancang itu sememangnya tepat pada waktunya di mana air Sungai Tembeling menyusut dengan agak drastik dan agak menghijau airnya.

Waktu puncak untuk memancing ikan-ikan berkualiti terutamanya tenggalan. Sebelum kedatangan kami sudah beberapa grup pemancing membawa pulang hasil yang memuaskan hati dari Sungai Tembeling.

 

Beberapa hari sebelum kejadian, keterujaan kami hampir direnggut apabila diberitakan hujan mula turun di hulu sungai sehingga berlakunya kejadian kepala air di kuala Sungai Tahan.

Memandangkan semuanya sudah diatur, kami teruskan juga perancangan asal.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Penantian di Batu Papan

 

Sebelum jam 7.00 pagi penulis sudah tiba di Bandar Pusat Jengka. Dari situ kami bertiga (Wadi dan Asan) bergerak ke Padang Piol, Jerantut untuk mengambil guide atau jurupandu

pancing kami iaitu Amir (Hikayat Amir Hamzah) dan seterusnya ke pangkalan di Kampung Merting, di mana tekong Wan (Wan Shah Iman) dan pembantunya akan membawa kami ke lubuk pilihan.

 

Rancangan asal untuk berkhemah di lubuk Kuala Atok terpaksa dibatalkan kerana air agak keruh dan arusnya masih deras. Kami mudik lebih ke atas dan memilih lubuk Batu Papan.

Tanpa berlengah kami menyediakan khemah dan mula memancing.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Asan jadi pembuka tirai menaikkan lais

 

Kesilapan saya membawa set pancing ringan dan batu ladung bersaiz kecil ternyata tidak sesuai untuk digunakan.

Walaupun menggunakan batu ladung saiz besar sekalipun, tali pancing yang merentang arus yang membawa dedaun di dasar sungai menyebabkan umpan dan ladung diseret ke tepi juga. Sudahnya saya memilih untuk mengilat saja.

 

Menjelang lewat petang hari pertama tiada seekor ikan tenggalan yang mengena.

Sebaliknya ikan lais, patin lawang dan baung pula yang galak mengambil pelbagai umpan yang dipertaruhkan.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Tenggalan tak muncul, lais pun boleh

 

Lewat petang juga melihatkan perkembangan positif ekoran arus mula perlahan dan paras air menyusut agak drastik.

Sekurang-kurangnya 4 kaki air menyusut sehinggalah hujan kembali turun dengan lebat di bahagian hulu.

 

Berikutan hasil yang kurang memberangsangkan pada sebelah malam, ia tidak merangsang kami untuk berjaga hingga dinihari.

Bagi saya pula, ia tidak terlalu menghampakan. Peluang untuk menikmati sardin masak bunga kantan, sebarau masak tempoyak dan meratah ikan lais dan parang sungai goreng garing adalah satu keberhasilan yang lebih dari memuaskan hati.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Hasil pancingan Amir

 

Sesi awal pagi keesokan harinya juga kurang memberangsangkan. Kesan hujan lewat senja kelmarin menyebabkan paras sungai naik beberapa inci.

Menjelang tengah hari kami mengambil keputusan untuk menghilir dan menyambung sesi memburu ikan tenggalan yang masih gagal di lubuk Kuala Atok.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Lubuk Kuala Atok

 

Lubuk asal yang sebelum ini begitu berjaya menurut Amir. Beberapa ekor tenggalan saiz kasar yang berjaya didaratkan oleh kumpulan pemancing yang mana beliau menjadi jurupandu pancingnya.

 

Lubuk Kuala Atok sememangnya cantik. Melihat pada lubuknya memang tidak mustahil ia menjadi kediaman atau persinggahan ikan-ikan menunggu makanan masuk ke lubuk.

Cuma faktor nasib tidak menyebelahi kami. Sekali lagi faktor air menggagalkan kami untuk mendaratkan sebarang tangkapan di lubuk Kuala Atok ini.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Menyediakan makan tengah hari yang tip top

 

Dan sekali lagi juga juadah yang disediakan oleh Amir menutup segala kekecewaan. Baung dan udang galah masak tempoyak yang disediakan oleh Amir yang cukup padu mengakhiri trip memancing pada hari kedua itu.

 

Sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat jurupandu pancing di sekitar Sungai Tembeling atau lebih jauh ke hulu, bolehlah hubungi beliau di akaun Facebook Hikayat Amir Hamzah dan khidmat tekong pula boleh hubungi Facebook Wan Shah Iman.

 

Trip Menebing Sungai Tembeling (video)
Aksi tekong

 

(Video lokasi)

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI