Biasanya saya akan mengikut nenek dan sepupu bila memancing. Daripada merekalah saya mendapat pengetahuan tentang betapa seronoknya memancing. Bila waktu ini, saya selalu berkunjung ke rumah nenek yang tidak jauh dari rumah saya.
Yang seronoknya bila saya datang, semua peralatan pancing telah pun sepupu saya sediakan sehinggalah bab nak pasang umpan cacing.
Kami akan berbasikal atau berjalan kaki di permatang berhampiran tanah sawah milik nenek. Bila ada lokasi berpotensi dan nampak deburan air, tanda ikan bermain, terus sahaja umpan dihulur.
Ads
Paling seronoknya, ialah bila ikan puyu menjamah umpan, hujung joran teleskopik melentur habis.
Kadang-kadang, bila saya lambat sedikit je sentap, ikan puyu berjaya masuk ke celah pokok kangkung air. Ada kalanya, saya bersama sepupu berlumba siapa yang paling banyak berjaya menaikkan ikan.
Selain ikan puyu, ikan lain seperti haruan, selat dan keli juga berjaya saya naikkan. Sebenarnya nama-nama ikan ini saya ketahui dari nenek saya. Pernah saya terperanjat dan lari lintang-pukang sampaikan menangis sebab terkejut bila saya terpancing ular.
Ads
Tetapi nenek dan sepupu saya terus sahaja ketawa sebab katanya itu bukanlah ular, tapi sebenarnya belut yang telah pun memakan umpan saya. Kemudian barulah saya tahu, rupa-rupanya itu adalah belut, bukannnya ular dan boleh di makan.
Ads
Nenek selalu memberikan sihat kepada saya dan sepupu yang lain, memancing ini perlu sentiasa sabar, tidak boleh bising dan kena hormati hak makhluk lain.
Kata nenek, kalau kita tidak mahu ikan tersebut, hendaklah lepaskannya semula. Begitu juga dengan saiz yang kecil, sebaiknya kita hendaklah lepaskannya semula.
Ikan puyu memang sedap dimakan, lebih-lebih lagi dimasak pedas, lemak, bahkan goreng pun sedap. Yang seronoknya, bila selesai memancing, nenek sudah tahu apa yang ingin dimasak. Selalunya apa yang nenek masak memang sedap.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Memancing adalah satu cabang aktiviti luar khususnya pancingan sungai pegunungan. Meneroka alam semulajadi merupakan satu aktiviti lasak yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal dalam menguji jati diri.
Cuti hujung minggu lalu, kami seramai tujuh orang memulakan langkah untuk menjejakkan kaki ke Jeram Berembun Hulu Batangsi di Semenyih, Selangor. Trip ini juga disertai seorang pegawai Perikanan Semenyih.
Trip ini sebenarnya lebih kepada mengenal kawasan dan mengenal pasti lubuk-lubuk ikan bagi tujuan pemeliharaan terkawal pada masa-masa mendatang. Dengan bantuan dari tiga orang rakan Orang Asli atau `Star Geng’ bagi panggilan mereka di sekitar Semenyih kami memulakan perjalanan dengan menaiki motosikal.
Jalan yang dilalui cukup mencabar, melalui jalan belakang pinggir hutan, ladang kelapa sawit dan melalui bekas jalan pembalakan dan seterusnya sehingga lereng-lereng bukit hutan. Dianggarkan memakan masa sejam perjalanan sehingga sampai di satu tempat.
Seterusnya kami terpaksa trekking atau berjalan kaki kerana motosikal tidak boleh memasuki kawasan sungai dan bukit tinggi. Selama satu jam lebih lagi memakan masa dengan pendakian 3 buah bukit akhirnya kami sampai di destinasi hulu Jeram Berembun.
Kami tiba sudah lewat petang jadi kami segera mendirikan khemah, membuat unggun api dan lain-lain perkara sebelum malam menjelma yang menyukarkan untuk melakukan sebarang kerja.
Pada malam hari kami mula memancing. Target saya adalah untuk mencari ikan keli limbat batu. Memandangkan kami tidak membawa set pancing moden, maka kami hanya menggunakan joran bertam berumpan cacing tanah. Kami mula mencari lubuk atau celah-celah batu yang tiada arus untuk melabuhkan umpan.
Tidak perlu menunggu lama… kami sudah berjaya memperoleh hasil. Ikan sasaran iaitu keli limbat batu sudah mengena. Ada juga di antara kami yang menggunakan umpan biskut dan roti yang digaul hancur untuk mencari spesies ikan sisik seperti tengas dan spesies ikan batu yang lain.
Lewat malam barulah kami berehat untuk menghilangkan penat. Kami akan menyambung aktiviti memancing pada keesokan harinya.
Waktu subuh sehingga matahari mula menampakkan sinar adalah waktu paling sesuai untuk menjerat tengas. Dari hasil pancingan kami juga berjaya mendapatkan beberapa spesies tengas yang agak kasar. Ini menandakan bahawa kawasan sungai hutan pergunungan ini masih ada penghuninya yang boleh dibanggakan.
Kami juga sempat memasak sedikit hasil untuk merasa bagaimana nikmatnya hasil alam dengan keadaan cuaca yang sejuk, nyaman dan jauh dari kebingitan kota. Selesai makan tengah hari kami mula mengemas barang utk berangkat pulang.
Walaupun mata yang masih bengkak tidak Tidur dari awal malam kerana perjalanan daripada ibu negara ke sini mengambil masa 5 jam untuk sampai kami tetap bersemangat meneruskan perjuangan ini.
Tekong mula menghala bot terus ke tuasnya dengan kelajuan maksimum memecah kesunyian pagi dengan deruman bunyi bising ekzosnya. 1 jam perjalanan kami tiba di tuasnya dan acara casting bermula.
Kelihatan kelibat tenggiri membuat ‘boiling’ kelihatan kira-kira 100 meter dari bot kami. Memandangkan lontaran peluru torpedo kami tidak sampai ke tahap itu, maka kami menggunakan teknik menghanyut umpan segar.
Menanti beberapa ketika, kekili Abu Garcia 405 berdesing memuntahkan tali secara tidak henti. Lantas Ayim menyentak 2 kali jorannya agar mata kailnya tertancap kemas pada mangsa dan setelah diyakini mangsa tertewas dengan tusukan mata kail tersebut.
Ayim segera mengarau kekilinya tanpa memberi ruang kepada mangsa untuk melarikan diri. Beliau amat yakin dengan teknik dan kekuatan tali utama 50 paun dan steel leader berkekuatan 40 lb tidak mampu diputuskan pemangsa. Akhirnya tenggiri seberat 7 kg dapat ditewaskan.
Setelah kawanan tenggiri menghampiri tuas, kami meneruskan aktiviti pagi itu dengan acara casting menggunakan peluru ‘torpedo’ yang dijual di jeti. Tekong menasihatkan kami membuat karauan selaju mungkin bagi menarik perhatian mangsa.
Lontaran dibuat sejauh mungkin dan dikarau selaju mungkin bagi menjadikan larian umpan ‘torpedo’ kelihatan seperti sotong jarum yang melarikan diri apabila terlihat pemangsa.
Memang benarlah kata orang, inilah karannya bila casting tenggiri di sini. Sebabnya tangan anda penat mengayuh laju, kekili, ketika itulah tiba-tiba umpan anda disentak ke belakang dan dihenjut tanpa memberi amaran langsung.
Ragutan pertamanya membuatkan anda mampu berasa cemas dan ketika itulah serapan penghayatan kuasa ikan mengalir dari tali terus ke joran dan mengalir ke urat tangan anda dan seterusnya merangsang otak anda untuk melawan kembali asakan tersebut.
Selain tenggiri yang menjadi target, ikan lauk lain juga menjadi sasaran kami iaitu cencaru dan juga kembong dengan menggunakan teknik apollo. Penutup trip tenggiri terakhir seberat 9 kilogram menjadikan tangkapan keseluruhan 12 ekor. Misi telah tercapai dengan semua ahli dapat merasai permainan tenggiri di sini.
Ikan peacock bass atau disebut ikan PB atau ikan raja memang telah lama diketahui, ia telah lama menjarah perairan kita terutama di tasik, lombong, tali air terutama di negeri Perak dan Selangor.
Namun, mungkin masih ada yang belum menyedari, di sebalik kerakusan ikan PB yang ada di perairan kita (majoriti spesies Cichla ocellaris), terdapat saudaranya yang lebih ganas dan rakus iaitu dari spesies Cichla temensis.
Perburuan Si Temmy
Pada awalnya, ramai rakan yang ingin turut serta, namun pada saat akhir, tinggal kami berempat sahaja yang turut serta. Setibanya di lokasi, rakan saya dan dua orang lagi rakannya menanti kunjungan kami. Sempat jugalah, rakan saya ini mengajar kami tentang gewang apa dan juga setup terbaik untuk memancing spesies yang rakus ini.
Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua grup dan mengambil spot masing-masing. Masing-masing mempraktikkan cara pancingan dan bertukar-tukar jenis gewang dan beralih lokasi. Sayangnya, tiada sebarang sambaran bersaiz besar diterima, kecuali temensis juvenil.
Terdapat juga riak air menandakan ada kumpulan temensis bermain air terlalu jauh di tengah dan juga di celahan dahan pokok yang merimbun di tepi gigi air. Tetapi agak sukar untuk memujuknya. Kerap kali juga gewang tersangkut di celah pokok. Ada juga yang putus… aduh… nak buat macam mana, redha jelah.
Pukul 11 pagi, kami keluar dari spot berkenaan dan kami berkumpul di sebuah gerai makan. Rupanya grup satu lagi, sudah sukses dengan tangkapan temensis masing-masing. Malah ada juga mendapat ragutan kasar yang diterima oleh seorang rakan saya yang mencuba soft plastic (SP). Tetapi sayangnya rabut.
Ubah Spot
Lepas makan, kami menuju ke spot kedua. Kali ini, laluan untuk sampai agak jauh, perlu berkereta dan seterusnya berjalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke kawasan berkenaan. Semasa memakir kereta di bahu jalan, terdapat beberapa buah kereta lain. Tahulah kami, bukan kami sahaja yang ada di kawasan ini, tetapi juga geng pemancing lain. Bahkan mereka lebih awal daripada kami.
Setibanya di spot kedua, masing-masing berpecah mencari spot di yang dirasakan ada potensi. Kebanyakan spot kami terpaksa meranduk air bagi memudahkan lontaran. Ini disebabkan semua tebing terdapat pokok. Apabila 10-15 minit tiada sebarang hasil, kami akan beralih lokasi.
Di satu lokasi, dari atas tebing saya sempat melihat seekor temensis yang pada anggaran saya 1-2 kg mengekori gewang saya. Namun hanya mengikut sahaja hingga ke tebing, sebelum saya menjatuhkan semula gewang ke dalam air dan disambar. Malangnya terdapat dahan pokok yang tumbang di dalam air menyebabkan ikan berkenaan berjaya menyelinap di situ sekaligus melepaskan diri.
Mungkin juga mata kail pada gewang berkenaan tidak tertancap kemas. Dek kerana kurang info apakah gewang-gewang yang sesuai semasa pergi, tidak banyak gewang yang saya bawa ke lokasi ini.
Salah satunya adalah jig. Ketiadaan jig menyebabkan gewang tidak dapat dihantar jauh ke tengah dan di bahagian dalam.
Keberkesanan lain penggunaan jig adalah semasa mata hari sudah tinggi kerana temensis akan mendiami paras air yang lebih dalam dan jig yang sampai ke dasar dan di unjun mampu menarik naluri spesies ini.
Walaupun dikatakan peluang menaikkan temensis menggunakan gewang bersaiz besar dan panjang (sehingga bersaiz 13cm), sambaran temensis sukar dijangka.
Ini kerana, kami yang membawa gewang bersaiz 5cm pun mendapat sambaran. Cuma, cubaan menggunakan SP agak kurang menjadi, meskipun saya diberitahu keputusan menggunakan SP juga ada kalanya menggalakkan.
Misi Selesai
Lewat petang kami berangkat pulang keluar dari lokasi berkenaan dalam keadaan hujan lebat yang diiringi guruh dan petir. Mujur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Setelah berkunjung sendiri melihat dan merasai pengalaman memancing spesies yang lebih ganas dari PB ini, barulah tahu bagaimana dan apakah setup terbaik untuk memancingnya.
Saya tidak menolak untuk datang ke sini lagi ke lokasi ini, lebih-lebih lagi mendapat tahu pernah ada kaki pancing yang berjaya menaikkan temensis bersaiz besar dengan kaedah casting. Selain temensis, terdapat juga ikan zebra tilapia dan juga kelisa liar yang mendiami lokasi sama.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...