Antara kelebihan memancing di kelong, terutamanya kelong yang terletek di pesisiran pantai, kita berpeluang untuk memancing pelbagai spesies ikan. Salah satu spesies yang agak istimewa ialah ladyfish atau bandang.
Bukan sekali dua Cikgu Sabri mengundang saya bagi memenuhi permintaan saya sendiri iaitu menghasilkan berita pancingan ikan bandang. Namun setiap kali diundang ia sering kali sahaja bertembung dengan tugasan lain yang tidak mengizinkan saya untuk turut serta.
Justeru, apabila Cikgu Sabri mengundang lagi buat sekian kalinya ketika cuti panjang hujung minggu sempena cuti umum pada hari Isnin, saya segera bersetuju walaupun dilanda demam pada hari kejadian.
Cikgu Sabri sememangnya gah sebagai seorang juru pancing di kelong. Pakej memancing di kelong yang dikendalikannya jarang berakhir dengan kekecewaan. Terutamanya pakej memancing di Kelong Pozi. Malah kebanyakan pelanggan di Kelong Pozi lebih mengenali Cikgu Sabri berbanding pemilik kelong tersebut.
Ads
Saya tiba di Kelong Pozi sekitar jam 5.00 petang dan ketika itu Cikgu Sabri dan kumpulannya sedang bersiap sedia memulakan perburuan. Ketika itu air laut sedang bergerak naik dijangka pasang penuh jam 7.30 malam.
Memandangkan pada kebiasaannya ikan-ikan bandang ini akan bertandang dan berkeliaran di kawasan kelong tatkala air pasang bergerak surut, maka kami bersantai dahulu sementara menunggu waktu bandang bertandang.
Ads
Namun bandang yang ditunggu tidak kunjung datang, begitu juga dengan spesies-spesies lain. Memburukkan lagi keadaan menjelang tengah malam, hujan ribut pula yang bertamu. Begitu pun Cikgu Sabri tetap positif dan percaya bandang akan bertandang ketika air bergerak surut keesokan pagi.
Keyakinan Cikgu Sabri didorong oleh bekas-bekas kotoran berwarna putih susu yang dikeluarkan oleh ikan-ikan bandang pada lantai kelong, yang dipercayai dinaikkan oleh pemancing sehari sebelum kedatangan kami.
Ads
Hujan yang berlarutan hingga ke awal pagi membuatkan saya hampir berputus harapan. Tetapi Cikgu Sabri sebaliknya. Tanpa menghiraukan hujan beliau tekun menukar umpan udang hidup satu persatu pada joran-jorannya. Dan kesabarannya itu berbalas apabila salah satu jorannya melentur dan kelibat bandang melakukan akrobatik di udara gagal melucutkan mata kail yang tertancap pada mulutnya.
Suasana di Kelong Pozi bertukar sejurus bandang itu berjaya didaratkan. Walaupun saiznya tidaklah sebesar mana ia tetap menyuntik semangat pemancing lain. Ia memberi petanda bahawa bandang sudah bertandang. Tidak lama kemudian dua ekor lagi bandang yang berjaya dipancing. Bahkan spesies lain seperti daun baru turut sama mengena.
Menjelang tengah hari saya terpaksa meninggalkan Kelong Pozi berikutan ada keperluan untuk ke lokasi padang pancing lain pula. Dan menurut Cikgu Sabri, tidak lama selepas kepulangan saya banyak lagi spesies lain seperti talang dan ebek bertandang ke Kelong Pozi bersama-sama si bandang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Salah satu spot pancingan kegemaran saya adalah di mukim Serendah. Terdapat sebuah lombong yang agak besar dan gelap airnya di sini yang banyak dihuni oleh toman-toman agresif. Dua kali kunjungan saya ke lombong ini belum lagi mengecewakan.
Kali pertama saya bersama seorang rakan berjaya mendaratkan seekor toman bujang yang gelap skema warnanya dan mencecah 10kg timbangan menggunakan lip grip hanya dengan kaedah mengilat dari tebing sahaja. Kunjungan kali kedua, saya ditemani seorang lagi rakan menduga dengan menaiki bot pula dan dipacu oleh thruster 55lb.
Dengan cara ini kami berpeluang untuk menyelongkar setiap sudut lombong tersebut yang terhad untuk diakses dari tebing. Kali ini banyak toman bujang berskala 1-2kg yang rakus menghentam gewang selaman dalam berjaya kami daratkan. Tangkapan bonus bagi kunjungan kedua ini adalah seekor induk toman yang begitu gemuk dan sihat.
Namun, satu pengalaman baru yang saya perolehi sebelum berjaya mendaratkan induk toman ini adalah sebaik sahaja balingan pertama ke arah timbulan kumpulan anaknya, timbulan yang seterusnya kumpulan anak tersebut telah berpecah menjadi tiga.
Agak sukar untuk mengesan kedudukan sebenar induknya di kalangan tiga kumpulan anak yang telah berpecah. Oleh itu, cara yang paling mudah dan efektif adalah dengan menunggu sahaja induknya timbul bersama anak-anaknya kemudian barulah gewang dihantar.
Kegembiraan bersama rakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pengilat.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit). Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama.
Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi.
Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu.
Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok.
Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu.
Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan.
Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai.
Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan.
Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan.
Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan.
Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail.
Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti.
Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu.
Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung.
Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, rakan bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin.
Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut.
Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan.
Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik seorang rakan menjerit minta dikarau. Pantas beliau mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail.
Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya.
Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya rakan yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa.
Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air.
Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai.
Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan.
Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas.
Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan.
Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
(Catatan: Muhammad Faiz)
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Hampir semua teknik memancing ikan berparuh ini ialah dii permukaan dan pertengahan air.
Belum pernah berlaku ikan layaran ini dipancing melalui teknik dasar kecuali memperolehnya secara tidak sengaja di lokasi perairan cetek.
Trolling (menunda)
Menunda atau trolling disifatkan cara mudah menjinakkan layaran dan diamalkan secara meluas di luar negara seperti Australia.
Bot bergerak dengan kelajuan 4 hingga 10 knot, jika menggunakan gewang replika ikan, kelajuan di bawah 8 knot adalah disarankan.
Jika bot mampu memecut melebihi 10 knot makan gewang skirt adalah disyorkan.
Namun teknik trolling ini agak kurang dipratikkan oleh pemancing tempatan atas beberapa faktor.
Walaupun ada pemancing yang mengaplikasikannya namun peratusannya amatlah rendah.
Drifting atau berhanyut
Cara ini paling digemari dan paling banyak diaplikasi oleh pemancing terutamanya berada di kawasan unjam atau karang luas.
Teknik hanyut dikaitkan dengan penggunaan umpan hidup dan dibiarkan bebas berenang tanpa pemberat.
Namun teknik hanyut dengan menggunakan pelampung terutamanya belon dan botol mineral lebih banyak diamalkannya.
Sekiranya arus agak laju makan pemberat kecil bersama belon sering dipraktikkan.
Hanyut berladung
Teknik ini pada asasnya bukanlah memancing layaran, sebaliknya menyasarkan ikan tenggiri tetapi turut diambil oleh layaran.
Caranya hampir sama dengan teknik drifting, di mana umpan hidup yang dilayang atau dihanyutkan bersama batu ladung kecil sebagai pemberat.
Tujuannya adalah untuk menenggelamkan umpan sehingga satu pertiga permukaan atau setengah kedalaman air.
Peralatan
Sekiranya berhasrat untuk merasai pertarungan dengan layaran dengan kepuasan optimum, maka gunalah peralatan kelas pertengahan.
Disaran menggunakan kekili kelas siri 5000 yang mampu memuatkan tali sulam 30-40 lb sepanjang 300 meter. Manakala perambut berkuatan 50 lb sudah memadai.
Walaupun layaran berupaya melakukan pecutan deras dan mampu menghela tali dari kekili sehingga 100 meter dalam sekelip mata, namun ia bukanlah spesies yang mampu
mengheret tempoh pertarungan yang panjang. Pertarungan yang berlarutan akan meningkatkan tekanan dan memendekkan jangka hayatnya.
Penggunaan mata kail lingkar yang mudah reput di dalam air masin amatlah digalakkan.
Biarpun mata kail J lebih efisien dari segi peratusan hook up, namun mata kail lingkar lebih bersifat mesra kepada ikan kerana ia menyebabkan ikan tertelan mata kail.
Mata kail saiz 3/0 hingga 7/0 adalah disarankan. Walau bagaimana pun pemilihan saiz mata kail bergantung juga pada saiz umpan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...