Setelah hampir sebulan merancang, akhirnya pada Sabtu lalu (12 Jan) trip memancing udang di Kuala Selangor berjaya juga dilaksanakan dan memperoleh hasil yang memuaskan.
Trip seramai 33 orang peserta ini sebenarnya terdiri dari pelanggan New Fisher Tackle di Shah Alam dengan kerjasama Kelab Meruan Kita, Mata Tiga Angler & Under 15 Roof.
Trip ini dianggap bukan biasa-biasa kerana bukan senang untuk mengheret Ah Seng, pemilik kedai pancing New Fisher Tackle ini memancing udang.
Para peserta memperlihatkan komitmen penuh apabila mula berkumpul di Jeti Pasir Penambang, Kuala Selangor pada pukul 6.45 pagi.
Ads
Selain mudah untuk mendapatkan perkhidmatan sewaan bot di Jeti Pasir penambang, kawasan jeti ini juga luas dan selamat untuk memarkir kenderaan.
11 buah bot fiber disewa untuk kegunaan trip ini di mana 33 orang peserta telah dibahagikan kepada 11 buah bot iaitu 3 org untuk sebuah bot.
Semua Peserta mula dilepaskan pada jam 7.00 pagi dan tamat pada jam 7.00 malam.
Ads
Trip berlangsung dengan begitu lancar dan cuaca juga turut menyebelahi kami. Kerisauan beberapa peserta tentang populasi udang-udang galah di Kuala Selangor yang dikatakan amat berkurang juga terjawab apabila hasil tangkapan melangkaui jangkaan.
Setelah kesemua para peserta kembali ke jeti, hasil pancingan ditimbang bagi menentukan siapakah yang bakal muncul sebagai pemenang udang galah terberat bagi kategori berkumpulan dan individu.
Ads
Kebanyakan bot meraih hasil tangkapan dalam 1.5 kg bagi setiap buah bot. Kategori udang terberat berkumpulan dimenangi oleh Anuar, Iswardi dan Firdaus dengan jumlah udang
terkumpul sebanyak 2.5 kg dan udang terberat individu pula dimenangi oleh Imran dengan berat 210 gram.
Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dan mengambil bahagian.
(GALERI)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perancangan untuk beraksi semula di lokasi Pulau Bidan, Pulau Telor dan Pulau Song Song sudah lama kami sepakat untuk datang semula ke sini sejak kali terakhir tahun lalu menjejakkan joran di sini.
Namun istimewanya kali ini, kami memfokuskan pancingan light jigging dengan beberapa ketul gewang tiruan pilihan dari Bakau jadi sandaran untuk diaplikasikan.
Kenapa Light Jig?
Beberapa kali kehadiran kami di sini tidak sekalipun terlintas ketika itu mencuba aplikasikan rantaian gewang-gewang light dari Bakau.
Kebetulan ketika di sini, kami berpakat untuk sebulat suara maksimumkan penggunaan gewang light jig jenama Bakau dan ghairah ingin lihat sendiri kehebatannya!
Istimewanya Di Sini!
Mungkin bagi sesetengah pemancing tegar enggan mencuba untuk memancing di ketiga-tiga pulau ini kerana khabarnya agak susah untuk ‘strike’ ikan yang besar.
Namun, istimewanya di sini kejutan saiz ikan yang acap kali dinaikkan barangkali boleh mengejutkan pemancing jika bernasib baik.
Tempoh memancing sedikit sebanyak mempengaruhi suasana trip secara keseluruhan. Kami kurang bersetuju jika ada pemancing setempat katakan lokasi ini kurang ikan!
Cukup Ke 1 Hari?
Untuk trip yang memfokuskan light jigging sambil mencuba-cuba aplikasikan gewang memadailah sekadar 1 hari trip bagi kami.
Cumanya, perlulah bergerak awal untuk dapatkan aksi pertembungan satu lawan satu yang epik lagi berbaloi dengan ikan yang dihajati.
Bermulalah Segalanya
Masing-masing di antara kami terus sahaja mencapai set light jigging yang telah disediakan lebih awal.
Maklumlah, hendak memancing light jig ini set kekili dan joran tidak perlu bertugasan berat memadailah sekiranya set ringan dan sederhana ringan diguna pakai.
Disebabkan sebelum kedatangan kami ke sini sempat sedikit research dilakukan, penggunaan gewang light jig punyai berat dari skala 30 – 80 gram sudah cukup berkemampuan membuktikan sesuatu pada kami.
Untuk itu, kami memilih Bakau Jig (BSJ 2208) yang beratnya 40g, sebagai gewang uji kaji kami.
Kami melihat, keadaan arus tidaklah begitu kuat dan sedikit tenang, jadi kami berharap berkemungkinan pilihan kami ini berpotensi meraih sesuatu nanti.
Bersilih Ganti Strike
Bila sampai di spot dikehendaki, unjunan jig daripada KC Yap sekali lagi berjaya terlebih dahulu naikkan ebek.
Aksi pertembungan hampir 10 minit ini dikejutkan dengan teriakan Samson Khor yang turut berjaya mendaratkan Jenahak.
Mujurlah, kekuatan tali sulam dari Ajiking membataskan asakan padu dan berturut-turut. Cukup mengagumkan apabila tali langsung tidak sangkut atau putus sebaik menerima hentaman yang kuat.
Turut dibantu dengan pengalaman yang lalu, selang beberapa minit kemudian spesies ikan gelama pula berjaya digoda.
Kami dimaklumkan oleh pemancing setempat, spesies ikan gelama agak jarang kelihatan sejak beberapa tahun lalu.
Kami bolehlah dikira beruntung dan bernasib baik, kerana ikan spesies gelama ini tergoda dengan gewang Bakau yang di kemudi kemas oleh Samson walaupun pada mulanya ikan ini bukanlah sasaran kami.
Sotong Oh Sotong!
Menyedari persekitaran tiga buah pulau ini memiliki banyak sotong menggabang, kami tidak ketinggalan untuk mencarinya. Untung-untung boleh dibawa pulang masak tumis pedas.
Selepas beberapa kali casting, akhirnya kami berjaya memperdaya beberapa ekor sotong dengan set ringan dan menggunakan candat sotong jenama Bakau.
Kaedahnya adalah lontarkan sejauh mungkin candat ini ke pinggir batu pulau, biarkan ia tenggelam seketika dan karau. Selain itu, candat ini juga di unjun ke bawah dan ke atas ketika kami berada di atas bot.
Samson Khor dan KC Yap masing-masing berjaya menaikkan saiz sotong yang diinginkan setelah hampir 25 minit mencuba. Sememangnya kawasan berbatu di sekitar Pulau Song Song, Pulau Bidan dan Pulau Telor adalah lubuk sotong menggabang.
Mencuba Teknik Appolo!
Tidak lama selepas itu, kami bertukartukar lakukan teknik pancingan appolo, bagai sudah rezeki kami bertalu-talu ikan yang berjaya didaratkan dengan strike berganda-ganda.
Agak penat terutama Samson melayan semua ikan yang berjaya naik ke permukaan.
Pertempuran Belum Selesai
Kami terus bergerak menuju ke beberapa spot khas khusus mencari ikan seperti jenahak dan ebek.
Dengan keadaan air mula bergelora, kami teruskan menuju ke spot berpotensi di sekitar kawasan antara Pulau Telor dan Pulau Bidan iaitu lokasi tulen spesies Jenahak berlegar-legar.
Jumpa Lagi!
Walaupun hakikatnya kami tidaklah disajikan dengan aksi yang begitu bertenaga. Trip kali ini bolehlah dianggap sukses.
Ini kerana gewang tiruan jenis light jig yang dieksperimen berjaya hasilkan sesuatu yang membanggakan.
Tempoh yang singkat dengan beberapa strike yang boleh dikira dengan jari mungkin kerana nasib yang tidaklah begitu menyebelahi kami. Matahari terbenam simbolik untuk kami terpaksa pulang.
Walaupun kampung halaman di Bagan Datoh yang sememangnya popular sebagai destinasi memancing udang galah namun ia seperti tidak menggamit untuk menggerakkan kaki saya lebih kerap pulang ke kampung. Dan walaupun kerap kali pulang ke kampung, amat jarang saya turun memancing udang. Padahal abang ipar sendiri merupakan seorang tekong udang galah yang agak popular di Bagan Datoh.
Mungkin setelah beberapa kali percubaan dan sering berakhir dengan keputusan yan kurang padu membuatkan saya seperti tiada chemistry dengan jenggo. Cuma sejak kebelakangan ini saya agak kerap pulang ke kampung dan memancing udang galah. Itu pun untuk memenuhi permintaan rakan-rakan rapat yang mula terkena getah tarikan jenggo.
Bersama dua rakan rapat, kami mengulangi trip yang pernah dilakukan pada awal tahun. Seperti biasa trip bidan terjun ini dilakukan pada saat-saat akhir. Dan seperti biasa juga urusan bot tambahan, umpan, perambut mata kail, malah joran untuk memancing sekali pun saya akan minta Yeop, abang ipar sediakan.
Dengan menggunakan bot sewaan saya dan Fazli mengekor saja Yeop yang membawa Shahrul kerana Yeop lebih arif mengesan lubuk-lubuk berpotensi. Pada awal pagi ketika arus bergerak surut kami lebih banyak memancing merapati tebing kerana menurut Yeop awal-awal pagi udang lazimnya berkumpul berhampiran tebing sungai.
Spot pertama kurang memberangsangkan lalu kami berempat berpindah ke arah hilir. Di spot kedua ternyata agak memberangsangkan. Tidak lama berada di spot kedua saya berjaya menaikkan seekor jenggo menggunakan umpan udang kertas.
Sementara Fazli yang menggunakan umpan umpun-umpun lebih banyak mendaratkan udang galah namun bersaiz kecil.
Apabila udang galah semakin kurang menjamah umpan sebaliknya lebih banyak dicuri ikan-ikan pengacau, kami berpindah lagi. Namun Yeop dan Shahrul kekal di lubuknya.
Menjelang tengah hari dan setelah berpindah beberapa kali kami kembali ke tempat Yeop dan Shahrul. Rupanya mereka sudah ke tengah sungai. Hajat kami bermegah dengan hasil tangkapan terpaksa dilupakan saja apabila hasil tangkapan jauh lebih banyak dan besar dari hasil kami.
Kali ini kami tidak berpisah jauh lagi dengan lubuk pilihan Yeop. Mungkin disebabkan kurang sabar menanti dan kerap berpindah menyebabkan hasil tangkapan berkurang.
Ketika arus semakin lemah kami bergerak lebih jauh ke tengah sungai dan apabila arus kembali bergerak laju, kami berempat berpindah ke arah tebing bertentangan pula. Namun usaha kami untuk menyaingi tangkapan Yeop dan Shahrul sudah terlewat.
Sebaliknya kami semakin pedih mata melihat mereka menaikkan udang demi udang sedangkan jarak antara kami tidaklah sejauh mana.
Dan sebelum matahari terbenam di ufuk timur, kami sempat mengumpul dan menimbang kesemua hasil tangkapan. Tak sangka hampir lima kilogram juga udang galah dan jenggo yang kami perolehi. Secara tidak langsung tanpa sedar ia membuatkan saya pula yang terkena getah jenggo setelah berjaya keluar dari badi kumpau jenggo.
Pancingan spesies tenggiri memang cukup popular di kalangan pemancing kita. Lokasi atau lubuk paling sinonim dengan tenggiri di utara ini tentulah tuas.
Tuas ialah tukun atau unjam yang dibina di tengah laut, biasanya terdiri daripada gelung simen, daun kelapa atau daun pokok Ibus yang kemudiannya diikat dengan buluh sebagai penanda lokasinya.
Maka, kelihatanlah ceracak-ceracak buluh di tengah laut penanda lokasi berkumpul ikan-ikan kecil dan besar termasuklah tenggiri.
Tenggiri memang gemar berenang berhampiran tuas untuk memburu ikan-ikan kecil seperti kembong, selar atau tamban di sekitar tuas. Jadi bagi peminat tarikan tenggiri, pastinya tuas menjadi lubuk pilihan untuk berentap.
Tuas Yan di Kedah sudah sekian lama diakui antara yang terbaik mencari tenggiri. Namun untuk lari daripada kebiasaan, grup Penang Anglers Club (PAC) telah memilih untuk mencabar tenggiri di lokasi tuas kawasan Pulau Payar atau Tuas Payar.
TRIP TUAS PAYAR ANJURAN PAC
Trip cungkil tenggiri ini pada awalnya dianjurkan oleh PAC bertujuan mengumpulkan rakan-rakan pemancing khususnya ahli PAC sendiri untuk mengeratkan hubungan sesama ahli grup seterusnya menikmati hobi hanyir yang dikongsi bersama ini.
Pihak PAC memilih lapangan Tuas Payar kerana secara tidak langsung dapat menguji lapangan dan mempromosikan lokasi ini sebagai lokasi alternatif di utara tanah air kepada peminat tegar tenggiri di Malaysia.
Sekitar 25 orang pemancing menyertai trip ini dan berkumpul di Jeti Kubang Rotan, Kuala Kedah seawal jam 6.30 pagi. Setelah berkumpul dan sesi taklimat ringkas, 5 buah bot bertolak membawa pemancing menuju ke kawasan tuas.
Tiba di tuas, masing-masing terus melabuhkan umpan pilihan. Begitu juga dengan penulis, Khairul, Tokwan, Fazrul dan Pet yang berada dalam satu bot.
Awal pagi kami bermula dengan teknik apollo mencari kembong dan tamban untuk dijadikan umpan dengan teknik drift belon.
Sambil menanti henjutan tenggiri, kami melayan cencaru yang tidak putus-putus melarikan apollo.
Di belakang bot, balingan demi balingan sesudu SO’DO perak oleh Tokwan akhirnya bersambut.
Henjutan yang dilakukan ditangani kemas oleh Tokwan yang menggunakan kekili Quantum EXO PT lantas seekor belitong sub-juvenil berjaya dinaikkan.
Tiba-tiba set joran berumpankan kembong menjerit lalu pantas disambar oleh Khairul dan mula melakukan kayuhan demi kayuhan.
Keadaan agak riuh dengan masing-masing membayangkan tenggiri pertama. Namun, bayangan tinggal bayangan apabila yang terdampar lemah ialah sang todak.
Patutlah tarikannya melilau di permukaan.
Oleh kerana keadaan air tenang dan tiada angin, kami lebih banyak melakukan teknik casting dan jig-cast sambil menanti sang tenggiri.
Fazrul masih gigih melayan cencaru dan kerisi, King of Cencaru hari itu. Casting menggunakan sesudu dan mini jig tidak menghampakan.
Belitong, cencaru dan pecah periuk antara hasilnya, jig dan sesudu yang berhasil putus pun ada.
Sekitar jam 2 petang, balingan bulu daripada Khairul akhirnya diragut kasar. Henjutan kali ini pasti tak lain tak bukan sang tenggiri torpedo.
Asakan larian bak torpedo ditahan kuat oleh Khairul sebelum mendapat peluang membuat karauan.
Setelah beberapa minit, seekor tenggiri berskala 4kg menyembah di tepi bot dan menjadi satu-satunya tenggiri hasil bot kami.
TUAS PAYAR, SPOT ALTERNATIF DI KUALA KEDAH
Di penghujung trip, hasil bot yang kami naiki hanya berjaya mengcungkil seekor tenggiri. Menurut tekong, mungkin nasib agak tidak menyebelahi kami.
Permukaan air sangat tenang kerana tiada angin menyebabkan ikan kecil kurang mengejar riak air. Namun, setidaknya ikan lauk seperti cencaru, kerisi dan selar yang memenuhi tong masih membuatkan kami berpuas hati.
Hasil daripada bot rakan pemancing lain dikumpulkan bersama pada petang itu. Jumlah spesies target iaitu tenggiri yang berjaya dicungkil sejumlah 8 ekor dengan yang paling berat ialah 12 kg.
Teknik drift umpan hidup, membulu dan casting antara teknik yang menewaskan 8 ekor tenggiri ini.
Pada hari yang tidak berapa baik, 8 ekor tenggiri yang dicungkil menandakan betapa tuas Pulau Payar ini mempunyai potensi yang baik sedikit masa lagi.
Penulis difahamkan kebanyakan tuas berusia sekitar 12 – 14 bulan dan akan ada penambahan tuas berperingkat.
Rakan pemancing yang sudah ke sini sebelum ini juga mengatakan tuas Payar tidak mengecewakan.
Melihatkan keadaan, jelas tuas Payar mampu menarik kedatangan pemancing khususnya sebagai spot melayan tenggiri.
Peranan tekong juga memainkan peranan penting dalam memberi impak positif kepada perkembangan Tuas Payar sebagai satu spot pancingan terbaik.
Dengan lokasi yang tidak jauh dari Taman Laut Pulau Payar, penulis percaya sedikit masa lagi, Tuas Payar akan dijulang sebagai satu spot utama spesies king mackerel ini.
Info Tambahan:
Kesesuaian Teknik: Pancingan tenggiri di kedah, terutama di Yan dan sekitarnya sedikit berbeza dengan tempat lain. Ada yang menganggapnya begitu cerewet.
Banyak teknik yang perlu dipraktikkan seperti casting menggunakan 2 @ 3 mata menggunakan ikan kembong (temenung) mati, drift, jigging, trolling, casting bulu dan gewang.
Untuk keberkesanan hasilnya, cubalah semua teknik kerana cita rasa tenggiri kadangkala tidak sama. Rajin-rajinlah bertanyakan kepada tekong atau orang lama atau kaki-kaki tuas sejati atau rajin-rajinlah berkunjung ke tuas.
Bukan bermakna sekali anda gagal terus tak mahu mencuba. Anggaplah ini semua sebagai satu cabaran bagi diri anda sebagai seorang kaki pancing sejati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...