Trip Cari Suasana Di Kelong Kg. Teluk

Share

 

Memancing di kelong atau rumah rakit merupakan salah satu aktiviti santai bagi para sahabat pancing yang inginkan suasana damai, rileks dan menenangkan perasaan. Tidak lama dahulu, saya berkesempatan mengikuti satu trip memancing di kelong.

 

 

Ini kali kedua kami sampai ke kelong ini di mana hasil tangkapan pada trip pertama agak memuaskan hati. Kali ini seramai 8 orang turut serta yang mana kebanyakan pemancing ini cukup sibuk dengan tugasan kerja. Mereka memilih untuk memancing di kelong. Pilihan mereka kali ini adalah kelong Persatuan Nelayan Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson.

 

 

Kami bertolak dari jeti nelayan Kg. Teluk jam 5.00 petang. Memandangkan kelong ini tidak berapa jauh dari daratan maka perjalanan bot cukup mudah dan cepat. Kadar bayaran (pakej) bagi kelong ini sekitar hanya RM280 bagi 8-10 orang.

 

 

Kelong ini beroperasi dari jam 3.00 petang hingga 10.00, 3 kali seminggu saja iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad. Sebenarnya kelong ini masih dalam proses pembinaan. Belum sempurna sepenuhnya. Kemudahan asas seperti lampu dan toilet masih dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini.

 

 

Namun ini bukanlah halangan bagi pemancing yang dtg untuk melepaskan gian dalam erti kata menikmati sentuhan ikan. Segala peralatan dan makanan mereka bawa sendiri.

 

Bermula jam 6.00 petang para pemancing mula melabuhkan Joran. Mereka tidak menunggu lama untuk menaikkan tangkapan. Pelbagai spesies berjaya didaratkan. Antaranya gemang, semilang, gelama, gelama papan, tetuka, senangin, seludu, tetanda dan beberapa spesies lain.

 

 

Pada malam hari mereka memancing sambil menikmati juadah makanan yang dimasak ataupun yang di bawa sendiri. Suasana harmoni inilah yang mampu merapatkan silaturahim yang dipenuhi gelak tawa sepanjang hari.

 

 

Kami meninggalkan kelong jam 10.00 pagi keesokannya. Segala tangkapan dibahagi sama rata untuk dibawa pulang.

IKLAN