Perairan Kuantan dari Cherating, Kempadang hingga ke Penor menjadi medan kaki light jigging. Namun kurang kedengaran cerita pancingan dasar. Kalendar memancing kami berubah dengan tidak semena-mena dek silau kemerahan si ikan merah dan pantulan kilau kerapu minyak yang berjaya dipunggah oleh pemancing lain.
Sebaik tiba di lokasi pertama, tekong membunyikan hon sebagai isyarat umpan sudah boleh dilepaskan ke dasar. Borhan yang duduk di bahagian hadapan bot mula-mula mendapat strike. Hujung joran yang melendut-lendut menyerap asakkan hingga mencecah air menandakan mangsa bersaiz kasar.
Kami yang menanti umpan dijamah ikan, memerhati sambil menunggu apakah hasil sulung trip ini yang bakal dinaikkan oleh Borhan. Seekor kerapu minyak berjaya didaratkan ke lantai bot. Semakin berkobarlah semangat kami. Selang beberapa minit sahaja, Khalim pula mendapat strike. Di sebelah kiri bot, kelihatan Rizal pula sedang bertarung.
Wah… meriah betul. Beberapa minit sahaja di lokasi pertama 3 ekor kerapu berjaya dipancing. Saiznya pun boleh tahan besar. Sekitar 15 minit kemudian tekong membunyikan hon 2 kali agar pemancing menaikkan umpan dan bot terus membelah ombak untuk ke lokasi seterusnya.
Ads
Ketika trip ini berlangsung, Khalim merupakan pemancing yang ‘hanyir’. Ikan merah terberat serta kerapu bersaiz besar, dia yang naikkan di samping ikan-ikan lain yang menghuni tongnya. Bila bot singgah sahaja di mana-mana lokasi pasti jorannya bergegar dan kekili elektriknya menjerit nyaring. Awak-awak sentiasa berada tidak jauh darinya untuk membantu.
Ini kali dia punya ‘ong’. Akan datang orang lain pula. Kadang-kala kita lupa yang kita sudah pun mengalami situasi lepas aku..aku, suatu ketika dahulu. Atau mungkin belum pernah mengalaminya sehingga sekarang. Suatu ketika nanti pasti hari ‘menjadi’ menjelang tiba. Allah Maha Adil dalam pemberian rezekinya.
Ads
Masalah Problem
Di pertengahan jalan tiba-tiba enjin bot mati. Beberapa kali cubaan menghidupkan enjin tidak berjaya. Tekong mengarahkan awak-awak menyelam untuk melihat kipas bot. Memang betul kipas telah berbelit dengan tali. Setelah selesai membuang tali, enjin dihidupkan dan kami menyambung kembali perjalanan menuju kapal karam.
Antara spesies yang berjaya ditewaskan seperti ikan merah, kerapu, jemuduk, jebong, kaci serta beberapa ikan lain. Cuaca juga cantik cuma pada malam kedua angin serta ribut kecil melanda. Bila bot dah bergoyang dan hujan yang mencurah, apa pun tak boleh.
Ads
Lebih baik masuk ke kabin dan baring. Langsung terlelap. Sedar-sedar ruang kabin dah ‘penuh’ dengan rakan-rakan yang lena.
Keadaan laut kembali tenang, saya merangkak keluar dan kelihatan di birai bot 2 orang rakan sedang bergasak dengan aruan tasik.
Trip kali ini kami hanya memancing di lubuk kapal karam yang hampir. Menurut tekong ada sebuah lagi kapal karam yang jauh tapi tidak dapat dikunjungi kerana kesuntukan masa. Jika tempoh trip lebih panjang pastinya kami akan melenjan penghuninya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjalanan hari pertama berjalan lancar dengan cuaca begitu cantik. Menurut Din, trip ini bukanlah 100 peratus trip ke Pulau Jarak, tetapi akan lebih banyak singgah ke check point lubuk-lubuk kegemaran Ah Heng.
Tiba di lokasi pertama, aktiviti pancingan pun bermula. Perambut apollo berumpankan hirisan kembung, udang pasar dan sotong diturunkan. Tidak lama kemudian, umpan yang dihulur disambut ramah oleh kawanan ikan karang terutamanya ikan kerisi dan anak kerapu.
Ah Heng beberapa kali menukar lokasi mencari lubuk paling strategik bagi mendapatkan boron dan si bantal emas. Ini kerana, trip geng paramedik dan TNB ini mensasarkan pancingan dasar sepenuhnya.
Malam itu semasa makan malam, kekili bangla Dr Rizal yang dipasang di bahagian belakang bot ditekan kuat oleh penghuninya. Nyata itulah kelebihan bangla yang tiada pada set pancing lain. Sambil makan nasi tekan sahaja punat dan tunggu ikan naik. Akhirnya jenahak dalam skala 2 kg lebih menyerah diri.
Kami cuba mencandat sotong, namun tiada seekor pun sotong yang berjaya di candat, malahan malam itu kelibat sotong juga langsung tidak kelihatan di alunan bot.
Apa yang boleh diharapkan ialah menggunakan umpan mati yang ada di dalam tong ais. Beberapa spesies ikan karang berjaya dinaikkan menghiburkan suasana walaupun umpan berkenaan lambat digetu.
Tekong Ah Heng cuba untuk memberikan kepuasan kepada kami dengan sedaya upaya menjejaki lubuk-lubuk yang berpotensi sepanjang hari kedua ini. Apa yang menariknya, jika tempoh 10-15 minit langsung tiada tanda umpan di getu, Ah Heng akan membunyikan hon sebagai tanda kami perlu mengangkat umpan untuk beralih lokasi lain.
Tengah hari, kami tiba di lokasi tukun kapal karam. Dr Rizal dan Dr Yu cuba untuk jigging terlebih dahulu. Baru sahaja jigging Dr Yu melangkaui beberapa meter di bawah, terus sahaja jig miliknya direntap kuat. Selang beberapa saat beraksi, jig tersebut putus yang dipercayai mangsa adalah spesies tenggiri.
Cubaan mereka untuk terus jigging terus hampa kerana tiada langsung sambutan yang diterima. Bagi geng TNB, mereka memang terus setia menggunakan kekili bangla.
Hasilnya walaupun tidak besar tetapi ragutan yang kerap terutama dari spesies tanda dan kerapu menceriakan suasana. Dengan senyum Atok, berkata “Pancingan ekstrem bagilah kat orang muda,” katanya.
Lewat petang, angin begitu kuat menderu tiba-tiba sahaja datang dan pada malam itu ribut serta hujan lebat menimpa kami. Memang tiada pilihan, kecuali bertahan sahaja di dalam bot. Mujur bot Ah Heng memiliki kabin yang luas dan tertutup.
Malam itu, kami semua melayan sahaja alun laut sehinggalah jam 3 pagi keadaan mulai reda. Ketika ini, geng-geng paramedik yang dah lama ketagih mencari ikan sasaran, menurunkan umpan masing-masing.
Dr Rizal, Dr Jeeva, Dr Yu, Din, Atok dan Azzahari dilihat antara paling konsisten. Selain tidak jemu-jemu memeriksa umpan, Dr Rizal antara yang paling rajin mencandat sotong. Berbekalkan joran teleskopik khas yang diletakkan candat sotong dan dipasang pada rod holder sendiri, beberapa ekor sotong akhirnya berjaya di candat.
Hasil menggunakan umpan hidup beberapa ekor gerut-gerut bersaiz kasar serta jenahak bersaiz hampir 3 kg berjaya dinaikkan.
Syafiq yang menukar umpan baru tersenyum riang apabila Banax Kaigen miliknya menjerit kuat. Tetapi bila dinaikkan, hasilnya cumalah yu cicak. Patutlah kuat melawan katanya.
Menjelang subuh, hujung joran milik Dr Jeeva yang duduk di bahagian belakang bot melentur habis. Melihat aksi rod yang ‘minum air’ kami menjangkakan ikan boron besar berjaya dinaikkan dan apabila dihela sahaja ke atas, timbul seekor kerapu bersaiz sedap hidangan menjadi rezeki. Dr Jeeva tersenyum riang kerana walaupun ia bukan bersaiz boron dan hanya seberat hampir 4 kg, ternyata ia ikan yang paling besar dalam trip ini.
Menjelang tengah hari, bot mula bergerak pulang menuju ke Jeti Hutan melintang dan tiba di jeti bot Ah Heng kira-kira jam 2 petang.
Dr Jeeva dinobatkan sebagai pemenang ikan terberat iaitu dengan tangkapan kerapu seberat sekali gus menerima hadiah sehelai T-shirt Umpan. Walaupun hasil tidak memberangsangkan, tetapi trip ini berjaya menjalinkan hubungan sesama kami.
Nyata geng-geng paramedik ini begitu mendambakan tangkapan yang memuaskan. Terbaru saya menerima email gambar tangkapan dari Dr Rizal yang kembali ke perairan ini. Memang teruja melihat hasil tangkapan mereka, boron terberat 14 kg dan enam ekor yang lain bersaiz 6-9 kg setiap ekor.
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
Sempena cuti yang agak panjang dan kebetulan ada trip memancing di Kuantan, saya mempelawa Faiz, Fadzrul dan Fitry untuk turut serta. Sebelum menyertai trip memancing pada keesokan harinya, kami singgah dahulu di rumah keluarga Faiz untuk sesi pancingan santai mengilat haruan.
Port atau padang pancing yang menjadi permainan kami merupakan sebuah bekas kolam ternakan ikan yang tidak lagi aktif. Kolam yang semakin cetek dan hampir dilitupi rumpai sepenuhnya itu sudah lama terbiar dan hanya didiami spesies tegar seperti haruan dan puyu.
Tanpa banyak membuang masa sebelum senja menjelang, kami segera mengayun umpan tiruan pilihan masing-masing Hasil penggunaan umpan tiruan getah lembut atau soft plastic, Fitry menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor haruan yang agak kasar juga saiznya.
Tidak lama kemudian Fitry sekali lagi mendaratkan haruan di spot yang sama sekali gus mendorong kami yang belum merasai sambaran mengerumuni spot tersebut. Namun tiada lagi haruan yang berjaya dipujuk.
Di penjuru bertentang tidak lama kemudian baharulah Faiz dan Fadzrul memperoleh lesen masing-masing. Fadzrul berjaya memujuk haruan dengan menggunakan katak kayu Faiz atau jump frog sementara Faiz pula menggunakan gewang.
Manakala saya pula terus berputih mata. Hanya sekadar merasai sambaran beberapa kali namun gagal untuk mendaratkannya.
Hampir dua jam mengilat, hasilnya agak memberangsangkan juga. Terbukti kolam terbiar milik keluarga Faiz yang pernah menjadi lokasi penggambaran sebuah rancangan memancing suatu ketika dahulu masih lagi menghiburkan.
Memandangkan keluarga Faiz tidak bercadang untuk menjadikan haruan-haruan tersebut sebagai juadah maka kami lepaskan kesemuanya kembali ke kolam tersebut. Sekiranya berpeluang suatu hari nanti kami akan kembali untuk memujuknya lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...