Sempena cuti yang agak panjang dan kebetulan ada trip memancing di Kuantan, saya mempelawa Faiz, Fadzrul dan Fitry untuk turut serta. Sebelum menyertai trip memancing pada keesokan harinya, kami singgah dahulu di rumah keluarga Faiz untuk sesi pancingan santai mengilat haruan.
Port atau padang pancing yang menjadi permainan kami merupakan sebuah bekas kolam ternakan ikan yang tidak lagi aktif. Kolam yang semakin cetek dan hampir dilitupi rumpai sepenuhnya itu sudah lama terbiar dan hanya didiami spesies tegar seperti haruan dan puyu.
Tanpa banyak membuang masa sebelum senja menjelang, kami segera mengayun umpan tiruan pilihan masing-masing Hasil penggunaan umpan tiruan getah lembut atau soft plastic, Fitry menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor haruan yang agak kasar juga saiznya.
Ads
Tidak lama kemudian Fitry sekali lagi mendaratkan haruan di spot yang sama sekali gus mendorong kami yang belum merasai sambaran mengerumuni spot tersebut. Namun tiada lagi haruan yang berjaya dipujuk.
Di penjuru bertentang tidak lama kemudian baharulah Faiz dan Fadzrul memperoleh lesen masing-masing. Fadzrul berjaya memujuk haruan dengan menggunakan katak kayu Faiz atau jump frog sementara Faiz pula menggunakan gewang.
Ads
Manakala saya pula terus berputih mata. Hanya sekadar merasai sambaran beberapa kali namun gagal untuk mendaratkannya.
Ads
Hampir dua jam mengilat, hasilnya agak memberangsangkan juga. Terbukti kolam terbiar milik keluarga Faiz yang pernah menjadi lokasi penggambaran sebuah rancangan memancing suatu ketika dahulu masih lagi menghiburkan.
Memandangkan keluarga Faiz tidak bercadang untuk menjadikan haruan-haruan tersebut sebagai juadah maka kami lepaskan kesemuanya kembali ke kolam tersebut. Sekiranya berpeluang suatu hari nanti kami akan kembali untuk memujuknya lagi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kami memulakan perjalanan dari bandar Mukah setelah kesemua ahli komplot berkumpul. Setelah menikmati teh tarik di Open Air Mukah sekitar jam 10 malam, maka perjalanan ke Tasik Bakun sejauh lebih kurang 400 km bermula.
Sekitar jam 4.20 pagi, kenderaan 4×4 kami sampai di Simpang Sungai Asap iaitu tempat pertemuan dengan guide, Richard Kiin yang juga rakan pancingan kami bertanggungjawab mengepalai sesi pancingan selama 2 hari 1 malam nanti.
Sebelum trip lagi saya telah dimaklumkan oleh Richard Kiin bahawa paras air di Tasik Bakun mengalami penurunan hampir 20 kaki dari paras normal. Cuaca panas dan kurangnya hujan menyumbang kepada penurunan paras air yang amat drastik.
Sesungguhnya keadaan ini amat tidak menyenangkan Richard Kiin. Ujarnya, kebanyakan spot pancingan terbaik banyak yang telah terjejas dek kerana paras air yang rendah. Namun atas minat serta keghairahan untuk menjerat penghuni tasik terutamanya semah trip ini tetap kami teruskan juga.
Sampai saja di boathouse, Richard Kiin terus menyediakan sedikit sarapan sebelum kami memulakan sesi pancingan pada hari pertama tersebut. Perjalanan ke lubuk pertama yang merupakan aliran keluar air dari sebuah bukit cuma memakan masa sekitar 10 minit.
Percubaan kami spot pertama kurang memberangsangkan. Cuma beberapa kejadian miss call berlaku. Setelah mencuba dalam masa lebih kurang 20 minit, yang dicari tetap enggan memunculkan diri. Kami sepakat untuk mencuba lubuk yang seterusnya pula.
Kali ini spot yang dipilih betul-betul di sebuah kuala sungai dan dipagari kayu mati, kira-kira 20 minit perjalanan dari spot pertama. Richard Kiin sempat `menabur racun pekat’ kepada kami dengan mengatakan spot itu memang sukar dijangka. Pernah beberapa kali gewangnya dilesapkan oleh penghuni reba yang rata-rata bersaiz lingkungan 2kg dan ke atas.
Kata-katanya telah membuatkan kami ghairah untuk menjerat penghuni lubuk tersebut. Setelah beberapa balingan dibuat, namun penghuni reba serta lubuk belum memberikan respon. Disebabkan lubuk di situ agak dalam, kami menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala TDD 9cm, Max Rap Fat Minnow 9cm serta Shad Rap yang mampu menyelam ke kedalaman 3-6 meter.
Saya yang menggunakan Rapala Max Rap Minnow 9cm warna Flake Ayu telah memecah kesunyian apabila seekor sebarau satu belang melarikan gewang dengan rakus. Semua tumpuan terarah ke arah saya seketika kerana tangkapan itu adalah yang pertama untuk pagi tersebut.
Setelah melayan seketika dengan setup yang disasarkan untuk bertempur dengan sang monster Tasik Bakun, Rapala Shadow 10-20lb yang bergandingan dengan kekili Daiwa Ryoga 1016HL, bertali utama Sufix 832 20lb serta perambut fluorocarbon Hi Seas 30lb, sang sebarau 1 belang rempit tersebut dengan mudah didaratkan.
Rupa-rupanya tangkapan tersebut adalah petanda yang kami akan berpesta sebarau dan diselang-selikan dengan semah ataupun kelah untuk sesi pagi tersebut. Belum pun sampai seminit selepas tangkapan pertama saya, Cikgu Iqbal juga berjaya mendaratkan seekor sebarau rempit tidak jauh dari spot yang pertama tadi.
Kemudian giliran Richard Kiin pula menerima sambaran padu. Melihat pecutan dan larian yang dipamerkan, kami menjangka ia adalah angkara seekor sebarau. Kami bersorak gembira seekor sebarau bersaiz kasar berjaya didaratkan. Sebarau satu belang itu dalam anggaran lebih kurang 1.2kg. setelah mengambil gamar, sebarau tersebut juga dilepaskan kembali ke habitat asalnya dengan segera.
Seorang lagi rakan iaitu Felix turut mendapat tangkapan sebarau satu belang juvenil tidak lama kemudian. Disebabkan ia lesen sebarau pertamanya, Felix amat gembira sehingga beberapa kali dia mengambil gambar pose istimewanya.
Keadaan dalam bot bagaikan tak keruan apabila selepas itu kami terus menerus mendaratkan pelbagai saiz sang sebarau. Double hooked up sering kali terjadi tatkala matahari semakin meninggi. Tuan Majid yang pertama kali menyertai trip 100% casting air tawar turut tidak terkecuali mendapat trofi sebarau pertama pada pagi tersebut.
Untuk trip mengilat pada hari pertama saja, kami betul-betul lost count angkara amukan sang sebarau dan semah yang pelbagai saiz. Namun kesemua tangkapan tidak mengira saiz kami lepaskan semula ke habitat asalnya dengan harapan supaya stok ikan di tasik ini akan terus terjaga dan mapan.
Pada hari kedua, kami menyasarkan mencari spesimen yang lebih besar, namun badong yang kami cari tidak juga memunculkan diri. Yang ada saiznya lebih kurang sama seperti hari pertama. Kadangkala ada juga haruan yang menyambar rakus gewang. Kelibat kaloi besar berlegar-legar di bawah bot, siap berpasangan lagi. Namun ikan berkenaan langsung tidak bernafsu dengan gewang yang kami lontarkan. Cuma ikut saja!
Selama 2H1M kunjungan saya ke Tasik Bakun ini, bolehlah dianggap berjaya walaupun casting pada paras air tidak berapa cun. Namun kerana keramahan penghuninya menghentam gewang membuatkan saya jatuh cinta. Saya tidak dapat bayangkan jika saya bertandang ke tasik ini lagi sewaktu musim monsun sebagaimana syoknya rakan di semenanjung memancing sebarau pada musim monsun di Tasik Kenyir.
Apabila ada rakan mengajak ke Kuala Trong untuk mengilat siakap liar, tanpa berfikir lebih mendalam saya terus menyatakan persetujuan. Walaupun nama Kuala Trong sebagai padang pancing tidak lagi segah dahulu, namun sistem sungai yang melingkari hutan kayu bakaunya masih lagi berpenghuni. Siakap, siakap merah atau setidak-tidaknya populasi ikan bulan masih lagi berkembang biak dengan sempurna.
Sejurus tiba dan sebelum mencari tempat penginapan, kami berdua bertemu dahulu dengan boatman atau tekong yang akan membawa kami mengilat keesokan harinya. Berita daripada tekong berkenaan aktiviti memancing selama dua hari termasuklah pada hari itu amat positif.
Banyak spesimen siakap atau kakap putih skala berat sehingga 9 kg berjaya didaratkan. Beliau amat positif rezeki dan cuaca akan berpihak kepada kami. Namun malam itu bumi Kuala Trong dibasahi hujan setelah hampir seminggu panas terik.
Ketibaan kami di jeti Kuala Trong keesokan paginya disambut oleh hujan lebat juga. Hampir satu jam juga kami pasrah menunggu sehingga hujan reda. Setelah hujan reda, tekong segera membawa kami ke sebuah muka kuala sungai kecil yang sebelum ini merupakan spot utama kami memburu siakap.
Berikutan airnya yang agak keruh dan sementara menanti air yang keruh itu ditolak ke hulu oleh air pasang, kami ke spot lain dahulu namun tiada sebarang hasil diperoleh.
Sejam kemudian kami kembali semula ke spot tersebut namun spot tersebut terlebih dahulu dilabuh oleh sampan fiber dan pemancing lain. Dalam pada itu sempat juga kami menyaksikan salah seorang pemancing di sampan tersebut bertarung dengan siakap dan serta menghulurkan bantuan mendaratkan hasil tangkapannya.
Mungkin dek bantuan ikhlas yang kami berikan, setelah berlabuh tidak jauh dari spot utama itu, saya berjaya pula mendaratkan seekor siakap merah saiz hidangan.
Setelah berteduh beberapa ketika tatkala matahari terpacak di atas kepala, kami bersama dua buah sampan fiber lagi menyambung kembali aktiviti mengilat. Kembali ke spot yang sama, gewang rattlin yang saya gunakan disambar sesuatu.
Walaupun saiznya sekitar satu kilogram saja ia cukup bermakna kepada saya. Apatah lagi itulah siakap tunggal yang kami peroleh dan orang kedua yang berjaya mendaratkan siakap pada trip hari tersebut.
Walaupun hasil trip agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca yang kurang cantik, sedikit sebanyak ia membuktikan Kuala Trong masih lagi mampu dan berupaya menjadi padang pancing untuk kaki-kaki mengilat memburu spesies raja muara.
Kesinambungan Battle of Jigger yang mengambil tempat di Pantai Pelindung diteruskan pula dengan edisi kedua. Pada edisi pertama yang digelar Pelindung Challenge sebagai acara pengenalan, edisi kedua Battle of Jigger pula memperlihatkan cabaran penggunaan tali berkekuatan 10lb lantas acara kali ini digelar Poundage Challenge.
Jika edisi pertama lebih kepada pengenalan kepada acara Battle of Jigger dan Pantai Pelindung, edisi kedua pula lebih fokus kepada keupayaan peserta secara teknikal apabila disyaratkan untuk menggunakan tali berkekuatan 10lbs. Juga bertempat di Pantai Pelindung, Kuantan, edisi kali ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan lebih ramai peserta bersaing sesama sendiri.
Dengan penyertaan seramai 44 orang peserta, acara kali ini bermula sekitar jam 7.30 pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang.
Selain untuk bersaing secara teknikal, edisi ini juga dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama pemancing yang rata-rata datang dari sekitar Pahang dan Lembah Klang.
10 buah bot digunakan sepanjang pertandingan dan kesemua dibantu oleh tekong-tekong berpengalaman di Pantai Pelindung. Penganjur juga menyediakan hadiah yang lebih lumayan berbanding edisi lepas setelah mendapat tajaan daripada Pure Fishing Malaysia, Senses, Bossna, Buff dan Hong Lam Aquarium.
Tulang belakang disebalik kejayaan penganjuran kali ini ialah Shah Right, Kay Red dan Nazim dengan kerjasama erat daripada Angler Buff Malaysia. Edisi kali ini juga memperlihatkan peserta menaikkan hasil ikan yang lebih banyak berbanding edisi lepas walaupun cuaca agak mendung sewaktu acara pelepasan waktu pagi.
Mohd Shahidi B. Wahab berjaya memahatkan namanya selaku juara bagi kategori ikan terberat(main prize) edisi kali ini dengan hasil aruan tasik seberat 10.48 kg disusuli oleh Mohd Hafizuddin Talib dan Norsafwan Nordin masing-masing dengan hasil tangkapan gerong belang seberat 4.23kg dan 4.12kg.
Oleh kerana peserta hanya layak membawa pulang satu hadiah seorang, Mohd Hafizul Abd Rahman membawa pulang gelaran hadiah khas kategori ikan terberat dengan spesies aruan tasik seberat 8.2kg. Ikan terpanjang pula dimenangi oleh Aizuddin Shah Osman manakala Mohd Alfashat Md Rawi memenangi kategori ikan terbanyak atas 1kg. Pat Itam atau Mohd Yusof Abdullah pula memenangi hadiah khas kategori tekong terbaik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...