Matahari sudah mula terbenam, namun joran kami masih belum terusik. Sesudah beberapa kali memasang umpan, hanya riak halus air yang kelihatan. Kami ambil keputusan untuk bersolat dahulu. Sesudah solat, kami makan nasi bekal yang disediakan oleh ibu di rumah tadi, sambil sedia untuk bertindak andainya pancing terusik. Sesudah makan, kami kembali tumpukan perhatian kepada pancing.
“Isy… kenapa tak ada sekor pun naik ni?”, bisik hati aku. “Belum rezeki agaknya…”
Ketika aku asyik memerhatikan permukaan air, mataku tertumpu ke arah sesuatu yang kelihatan seperti cahaya, kira-kira 5 meter dari tempat aku duduk. Aku mula memerhatikan objek tersebut yang berkelakuan seperti seekor pepatung yang seringkali kelihatan bermain-main di permukaan air.
“Apa tu aaa…? Kalau pepatung takkan cerah sangat cahayanya tu.” Namun kata-kata itu tidak aku tuturkan.
Cahaya tersebut semakin pudar dan dengan perlahan terbentuk suatu objek lain yang sesungguhnya menyebabkan aku tergamam. Jelas di hadapanku, kelihatan satu lembaga berbentuk kepala. Mukanya hodoh dan berambut panjang mengurai.
Ads
Aku mula menggigil, tapi mulutku benar-benar terkunci. Pak cikku yang tadi berada tidak jauh dariku kini sudah hilang. Aku berasa amat takut. Lembaga tersebut mengerbang-ngerbangkan rambutnya seperti sayap burung dan memandang ke arahku. Matanya yang merah membuatkan aku semakin takut. Tiba-tiba aku rasa seluarku basah. Serentak dengan itu, bahu aku ditepuk dari belakang.
“Lan! Lan oii…! Kau tengok apa tu?”
Ads
Mulutku cuba untuk-untuk berkata-kata tapi tak berdaya. Mataku tetap memandang ke arah lembaga tersebut yang kelihatan semakin kabur.
Seketika kemudian, ia lenyap sepenuhnya. Aku tetap tak boleh bercakap, walaupun aku sedar dengan apa yang berlaku di sekelilingku. Pakcikku terus memanggil-manggil namaku. Semakin lama aku rasa semakin lemah dan akhirnya aku pengsan. Keesokannya, aku mula sedar. Aku berada di rumah dan ibuku berada di sebelah.
“Mana pakcik?” spontan aku bersuara.
“Pakcik ada kat luar tu…”, ibuku menjawab.
Ads
Aku rasa badanku lemah, tapi aku masih boleh melangkah perlahan-lahan ke serambi rumah. Pakcikku yang sedang leka menghembuskan asap rokoknya, lantas membetulkan duduknya apabila aku bersila berhampiran dengannya.
Aku cuma mendengar apa yang diceritakannya. Katanya, dia lihat aku seolah-olah dipukau sesuatu dan langsung tak hiraukan panggilannya.
Dia terus mengangkat semua joran dan mengemaskan barang. Aku kemudiannya didukung masuk ke kereta dalam keadaan kejang, seperti terkena kejutan elektrik.
Aku tak dapat huraikan sepenuhnya bentuk lembaga tersebut kerana setiap kali teringat, aku akan berasa takut. Sehingga ke hari ini, aku tidak berani memancing pada waktu malam. Mungkin aku dah kena fobia agaknya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahun 1995 hingga 1998 adalah tahun saya kemaruk dengan aktiviti memancing. Maklumlah waktu tu jadi guru banyak masa senggang. Waktu petang boleh buat macam macam aktiviti. Lebih-lebih kalau duduk di Saratok. Boleh mengail udang di pangkalan.
Waktu itu juga kawan-kawan Iban sering mengajak saya memukat di Alit. Pantai Alit yang agak landai memang menjadi lokasi memukat anak belanak atau disebut orang tempatan ikan kemura. Selain anak belanak kadang udang laut (lapis/tohey) juga mudah sangkut.
Saya masih teringat lagi saat air surut kami dah mula mencacak kayu atau buluh di pantai. Selepas jaring diikat pada kayu atau buluh tadi. Kami akan menunggu saat air pasang. Waktu itu kami tak hanya berdiam diri. Maka masing-masing mencapai joran dan melabuhkan kail dan ladung sambil menanti pari merenggut umpan.
“Woii! Dapat woiii!” jerit Cikgu Zul bila jorannya direntap sesuatu. Sambil melayan kekili, Cikgu Zul menarik sedikit demi sedikit tali jorannya. Meskipun mula-mula ikan melawan tapi akhirnya tewas juga ditarik ke daratan. Ternyata bukan pari tapi sembilang.
Bila air mula pasang… saya, Cikgu Zul dan Cikgu Wan mula meninjau pukat. Banyak juga anak belanak sangkut dipukat. Cikgu Zul memang peminat ikan belanak.
“Ni kalau masak steam sedap ni, Zal.” kata Cikgu Zul.
Selesai memukat saya menyimpan pukat di dalam bonet Kancil. Masing-masing pulang ke rumah. Namun pada waktu malam ada ‘pelawat’ datang menjengah di rumah mertua tempat saya menginap.
Ia disedari oleh orang kampung yang nampak sebiji bebola api berlegar di atas kereta saya. Saya juga perasan bila terdengar bunyi kicauan murai dan tekukur di tengah malam agak riuh.
Saya pun turun ke bawah rumah. Kelihatan beberapa orang kampung datang membawa lampu suluh. (maklumlah waktu itu kampung Nyabor masih menggunakan generator).
“Ado antu laut dibah yo… tapi dah lari dikepong kamek orang.” Kata seorang jiran tidak jauh dari rumah.
Keesokan paginya 5 ekor bangkai tekukur peliharaan adik ipar mati dalam keadaan dadanya berlubang.
“Apa kitak polah ari marek cikgu?” Tanya seorang penduduk.
“Kamek memukat jak. Dapat ikan murak dan lapis. Pas ya kamek pulang,” jawab saya.
“Ni pukat tek?” Soal beliau kembali.
“Ado dalam bonet,” jawab saya.
“Sik dicuci?” tanya beliau lagi.
“Sik…” jawab saya pendek.
“Yasullah. Patutlah diagak antu kitak tok… (patutlah kamu di kejar hantu) rupanya pukat sik dicuci.”
“Manalah saya tahu…” jawab saya tersengih.
Saya membuka bonet. Terkejut sungguh bila pukat saya penuh dengan sampah, daun kering dan tulang ikan.
Saya dan penduduk kampung mengutip semua sisa yang terlekat dipukat dan dibawa semula ke pantai Alit untuk dibuang.
Sejak itu saya tak berani lagi kelaut. Rasa cuak bila dikejar penunggu laut. Bila gian nak mengail. Saya hanya mengail haruan di parit sahaja.
Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Nak bagi terang kawasan memancing situlah kan.
Walaupun belum gelap lagi tapi takkan dah gelap baru nak pasang api kan… betol tak?
Aku plak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yg mencurigakan.
Uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……
Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Huh! Hampeh betul.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu.
Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis.
Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan.
Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tgk balik dah takde.
Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?!
Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh… baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. Adeh… siot betul.
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam.
Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau..bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la.
Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari puncak bukit tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu mmg dah gelap.
Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia.
Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, HIJAU beb Hijau…!
Orang yang bawak teksi tu warna hijau… nasib baik aku yang jeling tengok dia. Bukan dia yang menjeling tengok aku… kalau tak kompom 180kmj turun bukit tu… hahaha.
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku di area Ampang. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina.
Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak.
Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan sembahyang. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Inilah salah satu cerita seram aku dalam dunia sebagai pemancing tegar… hehe. Agak menyeramkan.
Pada hari Sabtu itu, Haziq mencadangkan tempat yang menarik untuk kami memancing. Tidak pernah mengatakan tidak, kami berlima terus bersetuju dengan cadangan Haziq. Tempat yang dicadangkan olehnya di puncak Bukit Polo Iskandar, Ipoh.
Kami sampai di situ kira-kira jam 5.30 petang. Sampai sahaja di situ kami mencari lokasi yang terbaik untuk memulakan memancing. Kelihatan kocakan air memang banyak. Tidak hairanlah banyak ikan di situ kerana dahulunya merupakan tapak bekas kolam ikan yang dibela.
Setelah itu kami menunaikan solat fardu asar secara berjemaah. Berbekalkan roti kosong di cicah bersama sardin yang dibekalkan oleh ibu Afiq tadi, kami bersama menikmatinya sambil berborak kosong. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran Mirza disambar. Naik seekor toman lebih kurang 3 kg beratnya.
Hari semakin beransur gelap. Mirza dan Iddin sibuk memasang unggun api. Nak bagi kawasan terang dan juga menghalau agas kata mereka. Aku pula duduk berborak dengan Afiq dan Haziq. Sedang asyik berborak tiba-tiba aku terdengar bunyi sesuatu yang mencurigakan. Uuuiiii….uuiiii..uiiii. Afiq dan Haziq mungkin tidak terdengar bunyi itu kerana asyik membebel sahaja pasal ikan yang tak makan umpan.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul. Aku cuba mencari dari manakah arah bunyi tersebut. Hati aku sudah mula rasa tidak sedap. Tetapi untuk tidak melayan perasaan takut itu aku buat tak tahu sahaja. Akan tetapi bunyi itu semakin berlanjutan. Aku tak pandang joran ketika itu. Dalam keadaan bunyi yang mencurigakan tiba-tiba ada tambahan bunyi pula, aku terdengar bunyi budak menangis.
Bunyi itu semakin berlarutan. Tiba-tiba datang Mirza. Mukanya agak pucat. Dia duduk sebelah aku. Ada benda yang ingin disampaikannya. Tetapi agar sukar untuk Mirza berkata-kata. Kawan-kawanku yang lain juga perasan akan perubahan Mirza dan segera datang ke arah aku dan Mirza. “Kau kenapa ni Mir,”? soal Haziq cemas. “Ceritalah,” sambung Afiq.
“Aku perasan ada orang memancing tadi di sebelah sana, aku pun tergur dia, tapi tak sampai 5 saat orang itu hilang betul-betul depan mata aku,” cerita Mirza dalam nada ketakutan.
Ketika Mirza menceritakan kejadian itu, kedengaran uuuuuiiii…uuuuiii….uiii bunyi tangisan budak itu berselang-seli dan semakin kuat. Kini bukan sahaja aku seorang yang dengar malah yang lain juga turut terdengar bunyi yang sama.
Tanpa berlengah masa, aku terus mengajak kawan-kawanku pulang. Tetapi Afiq dan Iddin enggan pulang. Katanya baru sampai takkan mahu pulang. Akhirnya mereka semua akur dengan keputusan aku yang mahu pulang. Kami semua berkemas dan berjalan keluar dari kawasan itu.
Bila sudah hampir dengan tempat meletak motosikal kami, baru aku sedar bunyi itu datang pokok yang paling hampir dengan tempat aku meletak motosikal. Hendak tak hendak aku harus melalui pokok itu untuk mengambil motor.
Tapi apa nak buat mesti lalu pokok itu dulu takkan nak terus berdiri di situ. Bertemankan cahaya lampu suluh kami melalui pokok itu. Itu pun lampu suluh meragam. Kejap menyala, kejap tidak. Masa lalu pokok tu hanya Allah yang tahu.
Bulu romaku meremang sakan. Masa nak sampai ke motosikal, kami terdengar orang ketawa mengilai panjang. Apa lagi kami semua hidupkan enjin tekan gear dan jalan. Mujurlah enjin senang dihidupkan ketika itu.
Aku menjadi orang yang paling belakang. Tak tengok belakang aku terus menunggang dengan tenang. Ingatkan gangguan itu sudah habis, tapi masa turun puncak bukit itu ada berlaku kejadian aneh. Ketika turun dari bukit itu keadaannya memang gelap.
Tiba-tiba ada sebuah motosikal yang datang dari arah belakang memotong aku dan rakan-rakan. Lagi pelik motosikal itu tidak berlampu dan dinaiki seorang pakcik tua. Sedangkan kawasan itu gelap. Jika tiada lampu mustahil akan nampak dengan keadaan jalan yang berbukit pula, lagi bahaya.
Aku lihat kawan-kawanku juga tidak peduli dengan keadaan itu. Kami terus memandu dengan berhati-hati. Bukit di situ agak curam. Jadi aku menggunakan gear 1 sahaja. Dalam keadaan gelap begitu, kami diuji lagi. Ada sebuah kereta berwarna merah bertembung dengan kami. Kereta itu menuju ke puncak bukit.
Masa berselisih dengan kereta itu, aku menjeling untuk melihat apa yang ada dalam kereta itu. Alangkah terkejutnya aku kereta itu tiada pemandu dan di belakangnya ada seorang penumpang yang berambut panjang dengan paras rupa yang menyeramkan. Aku cuba kawal perasaan aku ketika itu. Mulutku tidak berhenti membaca ayat kursi dan 3 qul. Bulu romaku semakin menegak.
Kelihatan kawa-kawanku memecut motor laju masing-masing. Aku cuba fokus untuk menunggang dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tanpa melihat kiri dan kanan aku terus memecut laju. Oleh kerana sudah jalan landai, agar lancar perjalanan. Fikiranku hanya mahu sampai ke rumah dengan segera tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Dalam hatiku masih lagi tertanya-tanya siapakah penunggang motosikal tadi? Dan tujuan apakah perempuan itu menuju ke bukit. Mujurlah hanya aku sahaja yang menjeling wanita itu, namun wanita itu tidak menjeling aku kalau tidak, mahu 120km/j aku turun dari cerun bukit itu.
Setelah memakan masa hampir 45 minit untuk keluar daripada kawasan itu, akhirnya kami semua sampai di jalan besar. Kami terus mengambil keputusan untuk singgah ke rumah nenek Iddin yang terletak tidak jauh dari situ. Oleh kerana hari sudah larut malam, kami bersetuju untuk tumpang di situ sementara menunggu hari siang.
Kebetulan pula,rumah nenek Iddin bersebelahan dengan jirannya berbangsa Cina. Rumah jirannya itu ada anjing. Semasa kami semua mahu masuk ke rumah nenek Iddin itu, anjing tidak duduk diam dan menyalak dengan kuat sambil memandang ke arah kami semua. Mungkin anjing itu tahu akan kehadiran entiti asing di situ.
Semenjak kejadian itu, kami berlima tidak lagi memancing di lokasi itu. Kami lebih selesa memilih pot yang ada orang ramai dan mudah meminta bantuan andainya berlaku kejadian yang tidak diingini. Kejadian yang berlaku itu kini menjadi satu memori misteri yang hingga kini sukar untuk dirungkaikan!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...