(Oleh: Pemancing Marhaen)

Channa micropeltes, giant snakehead ataupun toman adalah antara spesies snakehead yang sentiasa membangkitkan adrenalin serta menjadi kegilaan pengilat-pengilat di negara kita yang mendambakan aksi letupannya yang gemar menghentam gewang permukaan.

 

Saya juga dari seawal pembabitan dalam teknik mengilat ini begitu teruja memburu toman dan haruan sehinggalah sekarang kerana spesies ini tidak mengira musim mahupun cuaca untuk meligan gewang yang dihulur.

 

Lokasi yang ingin saya ketengahkan kali ini terletak di pinggiran negeri Selangor dan amat popular di kalangan pengilat serta kaki pancing dasar kerana berada berdekatan Lembah Klang.

 

Kawasan tadahan air berkeluasan 1,500 ekar ini telah siap dibina pada tahun 1986 dan berkedalaman antara 17 – 35 meter dan merupakan antara sumber air bagi Lembah Klang dan sebahagian besar negeri Selangor.

 

Kajian tentang ikan dan perikanan pernah dijalankan di sini dan mengenalpasti terdapat beberapa spesis ikan yang popular di sini antaranya ialah sebarau (Hampala

macrolepidota), toman (Channa macropeltis), haruan (Channa striatus), patin (Pangasius sutchi), sia (Mystacolrucus marginatus), baung (Mystus nemurus), lampam sungai (Puntius

schwanenfeldii) serta kerandang (Channa marulloides) yang agak sukar untuk ditemui sekarang ini.

 

Saya bernasib baik kerana telah diperkenalkan spot ini oleh seorang sahabat iaitu Zaini yang saya kenali semasa sama-sama mengikuti satu trip mengilat di Royal Belum pada

penghujung tahun 2011 dan semenjak itu kami sering berhubung melalui telefon serta melalui laman sosial Facebook.

 

Kebetulan pula beliau yang tinggal berdekatan dengan kawasan tadahan air ini malah turut mempunyai sebuah bot fiber berserta enjin.

Sejak itu kami sering berkunjung ke sini berdua ataupun kadangkalanya ditemani seorang lagi rakan pengilat lain.

 

Kunjungan Pertama

 

 

Kunjungan kali pertama saya ke kawasan tadahan air ini kebetulan untuk merasmikan enjin Mercury 5 kuasa kuda yang baru dibeli oleh Zaini.

Kunjungan ini juga disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut.

Banyak suak berpotensi kami terokai bagi mencari spesies target utama iaitu Channa macropeltis.

 

Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut.

Tanpa berlengah lagi pelbagai gewangpermukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut malah langsung tidak mahu menghentam gewang-gewang kami.

IKLAN

 

Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg dengan kaedah

yang kami gelar di sini ‘Drive Thru Casting’ iaitu dengan cara menghantar ‘buyun’ @ katak rambutan dan buzzbait sehampir yang boleh dengan tebing sambil bot dipandu secara perlahan menyusuri tebing tasik.

 

pabila perut semakin berbunyi ditambah pula dengan kesejukan berhujan dari pagi, kami mengambil keputusan untuk berehat di spot yang saudara Zaini gelarkan ‘Port Air Terjun’

kerana terdapatnya sungai kecil berair terjun yang mengalir masuk ke kawasan tadahan air ini.

Sambil menghampiri spot tersebut secara perlahan-lahan kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya.

 

Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.

Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.

Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia diset pancing saya.

 

Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran.

Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!

 

Berlakulah adegan tarik-menarik yang begitu mencemaskan daripada penghuni dasar dan saya menahan sedaya yang termampu.

Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut dan menelan gewang kegemaran saya. Lebur RM50!!!

 

Aksi Selepas Rehat

IKLAN

Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan.

Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar.

Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan. Setelah gambar dan hasil timbangan diambil, toman bunga tersebut dilepaskan semula ke

habitat asalnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga kerana telah berjaya mendapat lesen penuh bagi spesies kepala ular ini.

 

Sehingga lewat petang tiada lagi sebarang sambaran yang kami perolehi kecuali seekor toman bujang yang menghentam buyun saya, jadilah daripada ‘kumpau’ serta sebagai lesen saya di sini.

Namun semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya.

 

Zaini dan Apit serentak menghantar gewang permukaan serta gewang selaman dalam namun kedua-duanya tidak memperoleh sambaran.

Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.

 

 

 

Sekali lagi, sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak yang begitu kuat menyambar dan tali utama terus tegang.

Sistem tegangan kekili yang hampir 85% telah saya ketatkan terus-menerus memuntahkan tali dari gelendong.

Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.

 

Dua kali saya kempunan untuk mendaratkan toman gadang pada kunjungan pertama ini. Setelah kejadian rabut kedua tersebut tiada lagi sebarang sambaran kami terima dan kami pulang sambil menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke sini.

 

IKLAN

Kunjungan Kedua, Ketiga dan Keempat

Kunjungan ulangan dirancang tidak lama selepas kunjungan pertama dan kami bertiga kembali semula dengan misi yang sama untuk menumpaskan sang mama.

Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini.

 

 

Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg dengan berpelurukan Rapala Fat Rap warna Fire Tiger.

Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar sekali lagi dengan menggunakan buzzbait jenama Ofmer.

Saya pula setelah rabut seekor mama pada awalnya namun akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama setelah mengacau kawanan anak toman yang masih merah

yang menimbul berhampiran tebing di satu bahagian suak dan seekor lagi di tengah highway pada kunjungan ketiga saya di sini.

 

Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.

 

 

Potensi Kemusnahan

Satu perkara yang amat membimbangkan saya di sini ialah aktiviti menjaring dan merawai amat berleluasa dari hari ke hari.

Saban minggu dapat dilihat pertambahan bilangan bot yang menjalankan aktiviti ini tanpa segan silu dan tanpa sebarang pemantauan mahupun halangan dari sembarangan pihak.

 

Sepanjang 2-3 kunjungan kami ke sini, banyak kami temui jaring serta rawai di kebanyakan suak yang kami masuki.

Kerap kali juga gewang selaman kami tersangkut pada jaring dan tali rawai yang ditinggalkan.

Mungkin disebabkan tiada kawalan ataupun larangan daripada pihak berkuasa yang berkenaan menyebabkan mereka ini bebas melabuhkan jaring serta rawai sewenang-wenangnya malah lebih menyedihkan tanpa mengira hari dan masa.

 

 

Sekiranya tiada sebarang tindakan sewajarnya diambil dalam masa terdekat, tidak mustahil keadaan sama yang berlaku di Tasik Pergau sepertimana yang dilaporkan sebelum ini akan turut berlaku di sini.

Titik tolaknya pada diri kita sendiri untuk turut mengambil bahagian dalam usaha membanteras daripada kemusnahan ini daripada terus berlaku di hadapan mata kita sendiri.

Dalam pada masa yang sama, etika pemancing sentiasalah kita patuhi demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara. Sentiasalah kita amalkan Tangkap dan Lepas (C&R).

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI