Bagi meneruskan ketagihan memancing, kami akan beralih pula ke Sungai Jengka. Sungai Jengka merupakan salah satu anak sungai yang bersambung dengan Sungai Pahang. Sungai Jengka memang tidak asing lagi bagi kaki mengilat di sekitar Jengka, Maran dan Temerloh.
Malangnya setiap tahun, sungai ini sering dituba oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan tamakkan hasil sungai dalam masa singkat tanpa mengambil kira kemusnahan yang ditinggalkan. Jika tidak dituba, hasil pancingan di sungai ini boleh dikatakan lumayan.
Ketika kondisi air sungai yang agak jernih, spesies seperti toman bunga amat mudah dipancing. Kehadiran toman bunga boleh dikesan apabila ia timbul mengambil nafas di tepi-tepi tebing sungai.
Saya juga tidak terlepas peluang bertarung dengan spesies ini menggunakan gewang crankbait buatan sendiri. Saya berjaya strike 4 ekor toman bunga. Spesies yang biasa menjadi buruan di sungai ini seperti tenggalan, lampam, udang galah, lais, patin dan kaloi.
Ads
Bagi kaki mengilat pula spesies seperti sebarau, toman, belida, baung, toman bunga dan haruan… di sungai ini juga terdapat begahak dan tapah.
Potensi untuk aktiviti memancing di Sungai Jengka agak baik. Jika tiada sebarang aktiviti menuba. Ketika air keruh, geng-geng membottom (pancing dasar) kerap turun memancing spesies patin, baung, tenggalan dan udang galah.
Ads
Lain pula cerita ketika air mula surut dan jernih. Ketika air jernih, Sungai Jengka sangat berpotensi untuk aktiviti mengilat. Tetapi, ketika inilah kaki-kaki tuba datang menuba!
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk menduga spesies ini. Sifat baung yang suka bersembunyi dalam struktur reba juga sangat mencabar. Mana tidaknya,silap baling sangkut derrr…
Ads
Handmade crankbait warna parrot yang mampu menyelam hingga 2 meter memang menjadi untuk memujuk spesies baung. Sifat gewang yang cepat timbul apabila berhenti karauan memudahkan operasi ketuk reba.
Disarankan untuk menduga Sungai Jengka, set yang sesuai digunakan dari kelas medium light hingga ke medium heavy, dengan panjang joran tidak lebih 6kaki. Ini kerana rod yg panjang menyukarkan untuk membuat cast (lontaran) kerana akan tersangkut pokok dan ranting. Sudah memadai set rod antara 5-10lb hingga 6-17lb, dengan mainline berkekuatan 15-25lb.
Jika reba berpenghuni, pasti sang baung akan membaham gewang. Spesimen baung terberat yang saya daratkan dengan handmade crankbait warna red crawfish. Sebarau yang turut membaham crankbait yang sama. Tak disangka sebarau juga menghuni reba yang sama dengan baung.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Boleh makan ke ikan toman? Itulah reaksi umum masyarakat kita yang banyak menilai sifat luaran semata-mata.
Hanya disebabkan rupa ikan toman yang menakutkan, dan dagingnya yang hambar rasa, kita tidak ingin mengambil tahu gizi dan khasiat ikan tersebut.
Pembentukan Tulang
Kandungan asid amino esensial yang terdapat pada ikan toman sangat berguna untuk pertumbuhan dan perkembangan tulang pada kanak-kanak, membantu penyerapan kalsium dan menjaga keseimbangan nitrogen dalam tubuh.
Selain itu juga dapat menghasilkan antibodi, hormon, enzim, dan pembentukan kolagen.
Menyihatkan Otak
Otak merupakan pengendali tubuh, apabila seseorang memiliki cerebellum yang sihat, maka ia akan mendorong kesihatan.
Namun sebaliknya, jika otak dalam keadaan yang tidak sihat, maka itu merupakan penyebab dari segala masalah pada tubuh.
Maka dari itu anda harus mengamalkan memakan ikan toman supaya memiliki otak yang sihat.
Mengawal Tekanan Darah
Apabila seseorang berhadapan dengan hipertensi, pengambilan ikan toman setiap hari dapat membantu menjaga tahap tekanan darah supaya tetap stabil dan terkawal.
Tingginya kadar kalium yang terkandung pada toman ini membantu menjaga tekanan darah normal, selain itu juga bisa menurunkan risiko komplikasi kesihatan.
Mencegah Penyakit Jantung
Salah satu cara untuk mencegah risiko penyakit jantung ialah dengan pengambilan makanan yang banyak mengandungi omega 3, contohnya ikan toman.
Selain itu juga banyak terdapat gizi serta nutrisi di dalamnya.
Sumber Vitamin
Ikan toman merupakan salah satu jenis ikan yang banyak mengandung sumber gizi yang penting bagi tubuh, terutama vitaminnya.
Contohnya ada vitamin B kompleks, A, D, dan E. Ada baiknya bila pengambilan toman ini secara rutin.
Menurunkan Risiko Kencing Manis
Memakan ikan toman secara rutin ternyata berupaya menurunkan risiko kencing manis atau biasa disebut dengan diabetes.
Ini kerana di dalamnya terdapat kepelbagaian asid lemak yang berperanan dalam pencegahan serta mengawal kadar gula darah.
Menurunkan Berat Badan
Kandungan omega 3 yang terdapat pada ikan toman dikenal dapat membantu menurunkan berat badan. Selain itu juga harus diselaraskan dengan senaman teratur supaya dapat menurunkan lemak dalam perut secara signifikan.
Hal ini juga dapat membantu mengatur metabolisme tubuh. Maknanya, kenalah banyak lakukan trip memburu toman.
Kurang Risiko Kanser Payudara
Khasiat antioksidan yang terdapat pada ikan toman dapat mengurangi risiko kanser payudara, karena bantuan dari asid lemak omega 3.
Selain itu, apabila anda mengolah masakan jangan terlalu banyak dicampuri serbuk perasa atau MSG.
Mengubati Depresi
Orang yang mengambil asid lemak omega 3 dengan menjadikan ikan toman sebagai lauk pauk dalam menu harian, dapat membantu mengubati dan merubah suasana hati yang terjadi pada pengidap depresi.
Walaupun kumpau memancing toman, dengan pengambilan toman dalam diet, ia akan mengurangkan tahap depresi akibat kumpau.
Perjalanan menuju ke port idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah casting.
Tidak kira ikan spesies apa, yang penting kaedah casting ini memang menjadi ‘makanan’ saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa feel yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.
Petang itu, kemeriahan memang terasa di port kami. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cicah dengan kicap bersulamkan cili api.
Berbaloi rasanya trekking jauh ke tengah hutan, mendapat pot yang bagus dan dapat membaling gewang dicelah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2 kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang sniper!
Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Tetapi Asmadi yang terkenal dengan gelaran Madi Ayam mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ.
Sahabat saya, Aidil bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya sudah lama berdengkur di buai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.
Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur-dengkur sejak tadi.
Sayup-sayup di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba picingkan telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah.
Suara budak berlari, menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Sesaat itu juga, bulu remang saya tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula berasa seram sejuk.
Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi ‘pengsan’. Tidak teragak langsung untuk mengejutkan Shahril bagi menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan blur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar melihat.
Sebaik sahaja zip khemah saya kuak, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang berhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat.
Budak-budak berumur lima enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.
“Assalamualaikum sahabat,” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga.
Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, berserban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam.
“Silakan menikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT,” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.
“Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami,” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya.
Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal.
Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang. Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar.
Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu.
“Kau orang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!.
“Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam.
“Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai.
“Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.
Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan pot sebarau dan baung itu.
Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’. Wallahualam.
Saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap dipancang di pinggir air. Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam. Air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.
Tidak jauh daripada saya, Ruslan dan kawan baiknya Badrul juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa. Sejak petang tadi, kami bertiga memancing di lombong terbiar berdekatan.
Tidak jauh daripada saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya. Apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya.
Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan. Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Dari jauh, saya lihat Badrul dan Ruslan juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.
Setelah memasang umpan pada mata kail tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas. Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi.
Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Gelagat Badrul Dan Ruslan tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi. Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.
Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.
Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.
Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!
“Zack…Zack….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.
Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!
Ruslan datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Badrul, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...