Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, MENOTOK merupakan istilah kepada teknik pancingan dasar secara berhanyut.
Teknik menotok ini cukup popular di perairan Pelabuhan Kelang dan kaedah paling selamat untuk memancing di kawasan laluan kapal dagang.
Untuk memancing dan kembali dengan hasil dan selamat, beberapa panduan dan tips ini haruslah diaplikasikan.
TEPATI MASA
Kebanyakan jeti bot di kawasan perairan Pelabuhan Kelang terletak di kuala dan selat sungai yang cetek.
Oleh yang demikian faktor pasang surut air laut memainkan peranan sebelum anda menaiki bot.
Ini kerana jika air surut maka bot akan berhadapan untuk masuk atau keluar dari jeti.
Justeru itu apabila tekong menetapkan waktu tertentu untuk bergerak, maka patuhilah waktu yang telah ditetapkan.
Ads
PERALATAN SESUAI
Jangan segan untuk bertanya kepada tekong tentang peralatan pancing yang sesuai untuk digunakan. Ia lebih baik kelihatan seperti tak tahu apa-apa daripada berlagak pandai.
Dari jenis kekili, joran, kekuatan tali, jenis perambut, mata kail dan batu ladung, sebaiknya tanyalah pada tekong kerana tekong sudah pastinya lebih arif.
JANGAN KEDEKUT UMPAN
Sotong kurita dan udang lipan merupakan umpan yang paling efektif di perairan ini khususnya untuk memancing ikan merah, jenahak dan kerapu.
Namun harga bagi seekor umpan terutamanya sotong kurita semakin hari semakin melambung harganya.
Ads
Tetapi, jika anda terlalu berkira-kira untuk membeli dan `sayang’ untuk menggunakannya, usahlah bermimpi untuk pulang dengan hasil penuh di dalam tong.
RABUT DAN PUTUS
Mana-mana tekong pasti akan meradang apabila kejadian rabut dan putus berlaku berulang kali terutamanya di lubuk ikan merah.
Atas sebab itulah anda sangat-sangat digalakkan mendapatkan nasihat tekong terlebih dahulu terutamanya pemilihan perambut dan jenis ikatan yang bersesuaian.
Jika putus juga itu cerita lain. Sekurang-kurangnya tekong tiada modal untuk menyalahkan anda lagi.
Ads
TINJAU SEKELILING
Jangan menunggu sehingga kapal membunyikan hon amaran sebagai tanda untuk beredar dari laluannya.
Anda pula jangan bergantung kepada tekong sahaja untuk memantau kedudukan kapal yang lalu lalang di kawasan anda berhanyut.
Ada kalanya tekong terlepas pandang juga. Bila mendapati ada kapal yang bergerak ke arah bot, cepat-cepatlah beritahu tekong walaupun ikan sedang galak membaham umpan di lubuk berkenaan.
JANGAN TIDUR SERENTAK
Ada ketikanya tekong akan terlelap juga ketika berhanyut terutamanya jika menotol pada waktu malam. Kalau lihat tekong tertidur ataupun sememangnya tidur untuk seketika, jangan pula ikut sama tidur.
Lagi parah kalau kesemua ahli trip ikut sama tidur. Dan ia akan menjadi tragedi lebih parah jika kapten kapal dagang yang sedap bergerak laju ke arah anda juga tertidur.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
Periksa Kondisi Tali Pada Reel
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
Sentiasa Memeriksa Sambungan Tali Dan Leader
Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata.
Bawa Umpan Dalam Kuantiti Yang Mencukupi
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
Jangan Biarkan Rod Tanpa Pengawasan
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
Pastikan Tukang Gancu Atau Sauk Sangat Berpengalaman
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
Rancang Trip Memancing Mengikut Kesesuaian Waktu
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
Pastikan Kondisi Set Pancing Anda Dalam Keadaan Baik
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
Pantau Keadaan Cuaca
Ini adalah penting untuk keselamatan anda. Jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan adalah lebih baik untuk anda membatalkan hasrat keluar memancing. Jangan sekali-sekali cuba untuk menggadai nyawa anda keluar memancing sewaktu cuaca tidak mengizinkan.
Pelbagaikan Teknik Untuk Hasil Yang Terbaik
Kita tidak akan pernah tahu teknik apa yang akan menjadi pilihan ikan pada hari kita memancing. Jadi, adalah wajib bagi setiap kaki pancing cuba mempelbagaikan teknik yang anda tahu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
DALAM DIVERSITI SPESIES IKAN YANG MELUAS, TERDAPAT PELBAGAI JENIS DAN RUPA BENTUK YANG UNIK DAN MENARIK. BIASANYA SPESIES YANG SANGAT AGRESIF DAN GANAS MEMPUNYAI SIFAT LUARAN YANG LEBIH MENAKUTKAN, NAMUN TERDAPAT JUGA SEBALIKNYA. SPEKULASI DAN MITOS TIDAK DAPAT DIELAKKAN BILA BERCERITA TENTANG IKAN GERGASI YANG AGRESIF DAN KEMAMPUANNYA UNTUK MENYERANG MANUSIA. KADANGKALA MANGSA MAMPU BERTUKAR MENJADI PEMANGSA!
BELUT ELEKTRIK
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini. Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
MUSKELLUNGE
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia. Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan Barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
KELI WELS
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lbs dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan. Keli Wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli Wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
PARI AIR TAWAR GERGASI
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lbs. Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda berasakan dasar sungai yang anda pijak bergerak!
GOONCH
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan keli Goonch seberat 300lbs. Ikan ini dikatakan menarik mangsanya dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan Goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
PIRAIBA
Dengan warna biru kehitaman, Piraiba ini mampu mencecah sepanjang 9 kaki dan merupakan antara gergasi air tawar. Spesies ini merupakan spesies keli terbesar dan dikatakan berpotensi sebagai pemakan manusia. Gigi ikan raksasa ini tidak kelihatan menakutkan memandangkan tiada taring terkeluar, namun gigi ikan ini tersusun rapi menghala ke bahagian dalam mulut ikan. Keadaan ini menjadikan mangsanya tidak akan terlepas jika sudah dalam cengkaman mulutnya.
GOLIATH TIGERFISH
Spesies Goliath Tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan. Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lbs dan lebih enam kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat. Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
BULL SHARK
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu Bull Shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain. Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lbs, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky. Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, Bull Shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...