Wajib ada set bangla (joran dan kekili elektrik) yang dua tiga lebih mahal harganya dari kos trip. Anggaran set bangla yang paling murah pun tidak kurang dari RM2,000. Set pancing manual tidak sesuai untuk digunakan dalam trip memancing yang memakan masa 4-5 hari.
Set lain perlu ada ialah set untuk jigging. Set jigging yang berkualiti tinggi amat penting kerana kawasan pelantar minyak merupakan lubuk ikan-ikan monster. Sekurang-kurang pun anda akan hangus RM1500-RM2000.
Untuk dua set pancing bottom dan jigging memerlukan dua jenis tali sulam yang berlainan kuasa. Untuk memasukkan tali ke dalam kedua-dua spool ini anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM300 lagi.
Selain itu perambut 60-100lb perlu disediakan dalam kuota yang mencukupi. Jig, popper, split ring, mata kail, batu ladung, fighting belt. Lain-lain perbelanjaan seperti kos perjalanan, ais, makan minum, semuanya memerlukan belanja yang bukan sedikit.
Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.
Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam sakit sebelum bertolak. Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.
Biasanya, ramai yang tidak mementing soal ini sehinggalah merasai dan menyaksikan kekuatan tarikan ganas ikan-ikan mega di pelantar minyak. Ramai yang mengakui lain kali perlu lebih persediaan peralatan yang lebih baik termasuklah teknik ikatan pada popper dan shock leader yang lebih kemas. Lain kali sebelum datang, masuk gym dulu!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Banyak perkara unik tentang ikan atau berkaitan dengan ikan yang kebanyakan pemancing tidak tahu. Berikut disenarai 10 fakta berkaitan ikan yang akan merubah pandangan korang terhadap ikan.
Fakta 1
Kebanyakan ikan tropika yang dijual di Amerika datangnya daripada Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
Jadi, korang jangan terkejut jika terjumpa ikan sepat ronggeng di Amerika.
Fakta 2
Ikan mempunyai deria yang sangat baik termasuk deria penglihatan, sentuhan, rasa dan sesetengah ikan juga mempunyai deria bau dan deria dengar yang cukup baik.
Oleh kerana itulah kita tak boleh bising-bising ketika memancing.
Fakta 3
Paus biru merupakan mamalia berdarah panas yang bernafas dengan paru-paru. Panjangnya boleh mencapai 33 meter dengan berat 190 tan.
Ia dipercayai haiwan terbesar yang pernah ada di dunia.
Fakta 4
Suara bersin paus biru boleh didengari sehingga 161 km jauhnya. Malah ia boleh mengeluarkan bunyi secara berterusan hingga 30 minit lamanya.
Ia menggunakan suaranya untuk berburu dalam gelap di kedalaman dasar laut.
Cuba bayangkan sekirangnya korang berada betul-betul di sebelah paus biru ketika ia bersih.
Fakta 5
Bunyi yang dikeluarkan oleh ikan herring berasal dari pancaran gas dari duburnya. Selain komunikasi antara ikan hering dengan yang lain, suara pancaran gas digunakan untuk menakutkan pemangsa.
Kiranya ikan herring ini berkomunikasi melalui dubur la. Heheheh…
Fakta 6
Ikan koi mampu berumur panjang sehingga 200 tahun. Peghhh… kalau kita bela sekarang ni gamaknya dah dapat cicit pun ikan ni masih hidup lagi.
Fakta 7
Ikan lumba-lumba telah digunakan sebagai pembantu peronda Angkatan Laut Amerika Syarikat sejak tahun 1960-an.
Ikan ini menggunakan sonar biologi mereka untuk mencari objek tertentu.
Fakta 8
Ikan yu Harimau (Tiger Shark) dianggap binatang paling rakus. Ia memakan apa sahaja di sekelilingnya.
Kajian pernah mendapati terdapat kasut, pinggan, hingga pecahan kelengkapan perang. Di dalam perut induknya, mereka saling melahap antara satu sama lain.
Fakta 9
Arapaima gigas, merupakan ikan air tawar terbesar di dunia. Ia boleh hidup sehingga 100 tahun dan banyak terdapat di Sungai Amazon.
Fakta 10
Walaupun ganas dan reputasi menakutkan sebagai ikan yang memakan manusia, ikan piranha biasanya menjadi makanan buaya Amazon dan juga burung bangau.
Terutamanya pada musim kemarau kerana banyak ikan ini akan terperangkap di lumpur.
Jika aktiviti mengilat atau casting memiliki spesies sasaran utama tersendiri, begitu juga dengan dunia pancingan pantai atau surfcasting ini. Malah spesies sasaran dalam pancingan pantai ini jauh lebih bernilai kerana ia bukan saja memberikan tentangan hebat kepada para surfcaster, kebanyakan spesiesnya juga bernilai tinggi di pasaran. Berikut disenaraikan spesies sasaran tersebut.
Pari
Tidaklah sama ada pari beting, pari daun atau pari lalat… ia merupakan spesies sasaran utama mana-mana pemancing pantai. Ini adalah kerana daya juangnya yang tidak mengenal erti kalah. Semakin besar saiz ikan pari yang ditawan, semakin seronoklah cabaran yang diberikan. Selain itu, ikan pari turut menjadi sasaran disebabkan faktor keenakan dagingnya. Umpan yang biasa digunakan untuk memancing pari terdiri daripada udang, ikan dan juga sotong.
Gerong Belang
Gerong belang atau golden trevally lebih mudah dipancing dan menjadi sasaran surfcaster di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Di Pantai Barat, spesies ini agak sukar untuk ditemui berikutan faktor geografi dasar pantai. Gerong belang diminati oleh penggemar surfcasting berikutan pecutan dan tenaganya yang jitu.
Sebagaimana ikan pari, ia turut diburu untuk sumber protein dan memiliki daging yang enak. Gerong belang biasanya diburu dengan menggunakan umpan hidup, ikan dan juga sotong.
Ebek
Ebek atau diamond trevally lazimnya akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20 meter hingga 100 meter sebagai habitatnya. Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus. Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara atau tepian pantai.
Ebek-ebek inilah lazimnya yang diburu oleh para pemancing pantai. Selain ebek juvenil, adakalanya ebek dewasa turut sama berjaya ditawan dan ia dianggap bonus. Ebek biasanya dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup, udang lipan dan turut mengambil umpan hirisan sotong.
Yu kemejan
Spesies campuran yu dari pari ini mampu menghabiskan tali utama sepanjang 200 hingga 400 meter di dalam gelendung kekili milik surfcaster dengan sekelip. Justeru yu kemejan menjadi spesies sasaran utama bagi pemancing pantai yang mendambakan pertarungan yang sengit dan penuh mencabar.
Yu kemejan merupakan spesies yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan rata yang mendatar. Waktu utama pemburuannya ialah pada waktu malam berikutan ia lebih aktif memburu mangsa pada tersebut. Umpan bagi memburu spesies ini lebih kurang sama dengan pari iaitu udang, sotong dan ikan.
Talang
Ikan talang atau queenfish biasanya boleh ditemui di lagun pantai, terumbu dan persekitaran pulau-pulau. Mereka mendiami perairan yang jernih dari permukaan hingga kedalaman 100 meter. Sementara talang juvenil mendiami kawasan air cetek berhampiran pantai dan boleh memasuki muara termasuklah kawasan air payau.
Walau bagaimana pun ikan dewasa turut menghampiri pesisir pantai dan sering menjadi sasaran kepada pemancing pantai. Ikan ini digemari oleh surfcaster berikutan aksi akrobatiknya selepas tercangkuk mata kail. Ia boleh dipancing dengan menggunakan umpan belanak hidup, udang hidup serta hirisan ikan.
Daun baru
Ikan daun baru atau sicklefish boleh ditemui hampir merata pesisiran pantai semenanjung. Ikan daun baru menjadikan pesisiran pantai berkarang, berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya. Walaupun tidak tergolong dalam game fish yang memberikan tentangan hebat kepada pemancing, ia turut tersenarai dalam ikan sasaran pengemar pancingan pantai. Ikan daun baru boleh dipancing dengan menggunakan umpan umpun-umpun, hirisan ikan dan udang.
Sembilang
Sembilang atau gemang merupakan spesies sasaran utama khususnya di bahagian sebelah Pantai Barat Semenanjung yang memiliki pesisir pantai berlumpur. Spesies yang terkenal dengan sirip berduri dan berbisa ini juga mampu melenturkan joran panjang jika bersaiz kasar. Ia menjadi sasaran utama bukanlah kerana keupayaan pertarungan, sebaliknya lebih kepada hidangan di meja makan berikutan keenakan dagingnya.
Banyak jenis umpan boleh digunakan untuk memancing sembilang seperti udang, sotong, ikan, umpun-umpun dan kerang-kerangan.
Belukang
Ikan belukang atau sagor catfish, lazimnya boleh didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai. Ia hidup di laut berlumpur berdekatan pantai dan estuari. Bagi sesetengah pemancing menganggap ikan belukang umpama ikan pengacau umpan.
Namun ia masih menjadi buruan utama bagi sesetengah pemancing lain, malah menjadi sasaran utama khususnya di dalam pertandingan memancing pantai. Berikutan ia dilabel sebagai pengacau umpan maka apa saja umpan yang digunakan untuk memancing spesies sasaran lain boleh dijadikan umpan untuk memancing belukang.
Ibu Gelama
Ibu gelama atau temerih mendiami kolom dasar, lubang dalam di muara, selokan yang terbentuk dengan baik di luar pantai, terumbu pantai yang berlumpur, bangkai kapal atau lubang yang bersebelahan dengan terumbu luar pantai sehingga 40 meter.
Diet utama ibu gelama terdiri dari cecacing, udang, sotong dan ikan kecil.
Penipuan dalam pertandingan memancing yang telah dibincangkan itu sebenarnya hanyalah salah satu penipuan yang terdapat dalam dunia memancing.
Masih banyak lagi jenis penipuan yang ada dan di sini kami senaraikan beberapa jenis penipuan yang telah dikesan.
Umpan tipu
Sama ada anda setuju atau tidak, hanya dengan menggunakan gewang, ia secara tidak langsung menjadikan anda seorang penipu. Iyalah, nama pun dah umpan tipu.
Namun, penipuan jenis ini tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan dan sama sekali tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kecuali ikan sahaja.
Tipu umpan
Tipu umpan tidak sama dengan umpan tipu. Jika umpan tipu itu gewang, tipu umpan juga turut melibatkan gewang.
Tipu umpan yang dimaksudkan ialah pemancing yang tidak menyatakan umpan sebenar yang digunakan ketika memperoleh tangkapan bonus.
Terutamanya pemancing kolam air tawar yang begitu taksub pada sesuatu umpan dan sama sekali akan mendedahkan umpan sebenar yang digunakan.
Tipu lubuk
Rasanya semua pemancing sudah faham dengan maksud tipu lubuk. Jika dibuat perbandingan, pemancing yang paling kuat menyembunyikan atau berbohong tentang kedudukan sesuatu lubuk ialah para caster atau pengilat.
Jarang sangat nak jumpa caster yang beritahu secara tepat dan jujur lubuk yang mana dia memperoleh kelah atau sebarau monster.
Tipu tangkapan
Tipu tangkapan ni memang banyak dilakukan oleh para pemancing. Ada yang mengaku pernah mendaratkan sesuatu spesies itu sedangkan tak pernah dapat strike.
Sejenis lagi ialah yang jenis suka bergambar dengan ikan orang lain tetapi claim ikan tu dia yang berjaya tangkap.
Tipu saiz
Tipu saiz ikan ini lebih kurang macam tipu hak milik tangkapan jugaklah. Ia berlaku dalam dua keadaan juga.
Yang pertama, dapat ikan saiz curut je tapi sembang kat orang lain macam dapat monster.
Dan yang kedua, jenis yang suka nak menampakkan ikan macam besar melalui teknik fotografi. Rasanya, penipu jenis ini memang banyak jumlahnya.
Tipu jual beli
Jenis kaki menipu dalam jual beli barangan pancing ini pun tidak kurang jumlahnya.
Para penipu dari jenis ini bukan saja bijak menipu bahkan juga cekap menghilangkan diri apabila kantoi. Tau-tau hilang begitu saja.
Tipu bini
Hahahaha… ada tak sesiapa yang tidak pernah menipu isteri untuk pergi memancing? Baguslah kalau tak pernah tipu bini.
Tapi, tipu bini untuk pergi memancing itu lebih bagus daripada tak pergi memancing kerana takut bini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...