Belitong spesies ikan yang jarang menolak hidangan ikan hidup. Umpan ikan mati yang masih segar turut sama dibedal belitong ketika kemuncak ia menggila memburu ikan-ikan.

Namun untuk berpeluang bertemu dengan gerombolan belitong yang sedang frenzy ini jarang berlaku. Jadi, apabila peluang terhidang jangan sesekali dilepaskan.

 

Bagi memancing belitong, menggunakan set pancing aksi ringan paling menyeronokan. Kekili siri 3000 hingga 5000 dan joran PE 1-3 adalah gabungan yang sepadan.

Sementara tali sulam 20lb – 40lb sepanjang 150 meter di dalam spool. Perambut pula berkekuatan 50Lb dengan satu mata kail 3/0 jenis Octopus yang tajam.

 

Jika ingin mengamalkan konsep sportfishing maka mata kail lingkar harus digunakan.

Walaupun penggunaan mata kail lingkar agar sukar untuk memperoleh hook up dan perlu hook up yang sempurna, ia bersifat mesra ikan kerana boleh dilepaskan kembali dengan baik.

 

Teknik pancingan berhanyut atau drifting merupakan kaedah terbaik untuk memancing belitong.

Umpan hidup dibiarkan hanyut bebas dengan menggunakan belon atau tanpa belon. Penggunaan belon lebih efektif jika banyak kelihatan belitong bermain di sub permukaan air.

 

 

Ikan belitong ini amat bijak mencuri umpan. Walaupun kelihatan rakus membaham umpan namun banyak berkesudahan dengan gagal strike.

Ia tidak terus menelan umpan yang dihidangkan, tetapi sekadar menggonggong seketika dan membuat pusingan U sebelum membuat larian.

 

Oleh yang demikian kita haruslah bijak memilih waktu untuk melakukan strike.

Waktu terbaik menyembat belitong selepas loncatan pertama ke permukaan air kerana ketika ini belitong terasa tusukan mata kail di mulutnya.

 

Selain bijak mencuri umpan, belitong juga akan berusaha mat-matian untuk memuntahkan mata kail yang tertancap di mulutnya.

Lompatan akrobatik bersama libasan kepala dilakukan berulang kali. Ketika inilah pemancing perlu bijak meregang tali.

Jika tali pancing kendur ia akan memberi peluang kepada belitong untuk memutuskan tali atau menanggalkan mata kail.

 

Tinggalkan Komen